Saturday, February 25, 2006

Bertudeng

Amaran kepada semua pelajar perempuan: Jangan pakai tudung senteng! Kalau tidak mahu tudung anda digunting, elok pakai tudung labuh. Faham?

Tetapi kalau tidak bertudung, cikgu? [sambil angkat tangan] Bagaimana? Nak gunting apa (atau, siapa) pula?

Enam puluh lima pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Teluk Sentang di Kuala Krau, Pahang menerima padah apabila tudung mereka digunting oleh guru disiplin.

Kejadian itu berlaku di dewan perhimpunan sekolah berkenaan Rabu lepas. Tiga guru disiplin wanita mengarahkan semua pelajar perempuan berhimpun di dewan untuk diperiksa.

"Mereka kemudiannya menggunting tudung 65 pelajar kerana mendapati ia tidak mematuhi kriteria yang ditetapkan oleh pengurusan sekolah," kata wakil rakyat Kuala Krau, Ismail Mohd Said kepada Bernama (Jumaat, 24 Feb).

Sekolah berkenaan dilaporkan telah mengeluarkan garis panduan sendiri, berbeza daripada peraturan kementerian, kepada para pelajar mengenai cara berpakaian yang dibenarkan.

"Garis panduan tersebut menggariskan semua pelajar perempuan beragama Islam hanya dibenarkan memakai tudung labuh dari jenis bulat yang lazimnya digunakan oleh pelajar sekolah agama," cerita wakil rakyat itu lagi.

"Ini berbeza dengan garis panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran, yang mensyaratkan pelajar perempuan Islam yang ingin bertudung, mengenakan tudung berbentuk segi tiga atau skaf."

+ * + * +


Sebuah filem Turki yang sedang ditayangkan di Jerman ditarik balik daripada edaran selepas dibantah oleh beberapa kumpulan politik, melalui permainan media, atas alasan "menghina agama (orang Yahudi)", anti-Semitic, dan "anti-Amerika".

Pemimpin wilayah Bavaria, Edmund Stoiber, dan ketua Parti Hijau, Reinhard Buetikofer, antara tokoh politik yang lantang dalam hal ini. Mereka mendesak pawagam agar tidak menayangkan filem ini.

Stoiber pergi lebih jauh dengan mendesak kerajaan Turki memohon maaf atau ia akan menyulitkan proses kemasukan Turki dalam Kesatuan Eropah!

Filem Valley of the Wolves: Iraq lakonan Billy Zane dan Gary Busey dianggap "menyebarkan kebencian dan berbahaya" kerana dianggap memaparkan tentera Amerika Syarikat berlaku kejam di Iraq dan melakonkan watak seorang doktor Yahudi di daerah perang itu yang suka mencuri organ.

Mengulas perkembangan ini, pengedar filem ini Anil Sahin berkata perkembangan ini semata-mata permainan orang politik, khususnya puak berhaluan kanan, untuk meraih sokongan.

Apa kata kalau kita mengikuti petikan lengkap Sahin dalam bahasa Inggeris?

"It is no coincidence that politicians, particularly on the right, are attacking this movie now, when we are in the middle of the controversy over the Mohammed cartoons.

"This is being used as a political football to score points. I wonder if any of the politicians has actually seen the movie. It's just a fun, silly action flick -- Rambo told from the other side."

Bagaimanapun sambutan penonton tidak pula menurun; malah meningkat dengan munculnya kontroversi ini. Pengedarannya meningkat daripada 65 kepada 86 tayangan, lapor agensi Reuters/Hollywood Reporter.

Tiket Valley of the Wolves: Iraq berjaya dijual 280,000 keping di Jerman dan perlahan-lahan sedang merebak ke beberapa negara Eropah. Di Perancis, ia akan menemui penonton minggu depan.

Filem ini sebuah filem box-office di Turki, dan pendatang dari negara ini di Eropah juga ingin menontonnya.

Sahin, ketua syarikat pengedaran Maxximum, berkata: "Sebagai ahli perniagaan, saya berterima kasih kepada ahli-ahli politik Jerman (yang menjadikannya kontroversi) kerana menolong mempromosikan filem ini.

"Tetapi sebagai seorang demokrat, saya mual dengan lagak politik yang suka bermain-main dengan isu kebebasan bersuara."

15 comments:

publicma said...

sos

Anonymous said...

nyaris aku tak kena gunting.. aku guna tudung botol..

Editor said...

filem dr turki pun ada yg best-best ek...

Anonymous said...

Kekuasaan... tolong faham sikit, bukan aku tak suker org pakai tudung, tapi lepas pakai tudung, kena pakai yg laboh, lepas pakai yg lapoh, dia tetapkan color tudung tak boleh warna2 yang cerah, lepas tu kekuasaan tu tentukan apa yang boleh dan apa yang tak boleh kita buat... dan akhir sekali kekuasaan tu menentukan hidup seseorang dan kekuasaan boleh buat apa yang dia suker... inilah masalah kekuasaan yang orang PAS tak faham!!!!

Anonymous said...

Bukan sahaja jihad, Mile; jihad fi sabil lillah! Amar ma'aruf nahyu munkar! Kononnya, sedaif-daif iman membenci dalam hati; tetapi apabila sudah ada kuasa (maklum: jadi guru disiplennnnn ....) wajarlah mencegahnya dengan gunting!

Anonymous said...

haramkan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan UMNO. Ini parti perkauman dan rasis!!!

Anonymous said...

Pelajar kecewa dihalang tonton makyung

KOTA BHARU 26 Feb. - Sekumpulan pelajar Sekolah Media dan Persembahan, Kolej Universiti Sunway yang berhasrat menonton makyung di sini bagi menyiapkan kerja kursus mereka, kecewa apabila persembahan tersebut dibatalkan atas arahan pihak berkuasa.

Pengarah Pusat Kebudayaan dan Warisan Asia, Prof. Dr. Ghulam-Sarwar Yousof berkata, beliau kesal kerana Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) bertindak membatalkan persembahan berkenaan di saat-saat akhir.

``Saya tidak faham apa masalah sebenarnya sedangkan tarian makyung yang hendak dipersembahkan dilakukan di rumah persendirian.

``Ia untuk tujuan akademik, bukan tontonan umum. Mungkin masalahnya kerana kita mengedar poster kecil kepada pelancong-pelancong asing di sekitar Kota Bharu,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di sini selepas dimaklumkan pembatalan berkenaan oleh Bahagian Penguat Kuasa MPKB-BRI

Hadir sama pada sidang akhbar tersebut ialah penggiat makyung, Saari Abdullah yang juga dikenali dengan gelaran Saari Raja Gondang dan Ketua Sekolah Persembahan dan Media, Kolej Universiti Sunway, Rey Bueno.

Bueno yang ditemui berkata, beliau kecewa dengan tindakan MPKB-BRI kerana tujuan membawa pelajarnya ke Kelantan adalah untuk memastikan mereka dapat menghayati tarian itu dengan lebih mendalam.

``Sebelum ini kita pernah bawa penggiat makyung mempersembahkan tarian tersebut di Kuala Lumpur tetapi kali ini kita bawa pula pelajar ke Kelantan yang kaya dengan budaya dan kesenian,'' jelasnya.

Sementara itu, Saari yang juga adik ipar kepada primadona makyung, Allahyarham Khatijah Awang berkata, beliau hairan kerana sebelum ini bukan kali pertama makyung dipersembahkan di rumahnya yang terletak di Pengkalan Chepa.

Katanya, beliau difahamkan oleh anggota penguat kuasa MPKB-BRI persembahan berkenaan tidak boleh diteruskan kerana ia sudah bersifat umum apabila ada poster mengenainya diedarkan.

http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2006&dt=0227&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_10.htm

Anonymous said...

Dalam kes ini, kenapa mahu haramkan PAS dan Umno? Soal tudung atau tidak ini, tidak ada kena-mengena dengan dua parti ini.

Lain kali, jawab mengikuti topik diskusi, ya? Fathi Aris Omar, faomar@yahoo.com

Anonymous said...

Semasa membaca tajuk, ingatkan sekolah tidak membenarkan bertudung.

Rupanya tidak, "pekeliling sekolah" tersebut ada peraturan tersendiri.

Sepatutnya guru displin menambahkan lagi kain tudung itu supaya labuh bulat jika dipotong bukankah lagi pendek?

Anonymous said...

Najib: Gunting tudung pelajar perempuan tidak wajar
25-02-2006 05:06:54pm www.mstar.com.my

PEKAN: Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan tindakan guru disiplin Sekolah Menengah Kebangsaan Teluk Sentang, Temerloh menggunting tudung 65 pelajar perempuannya Rabu lepas sebagai tidak wajar.

Timbalan Perdana Menteri berkata tindakan itu malah bertentangan dengan garis panduan yang telah diberikan kepada sekolah-sekolah.

Beliau bagaimanapun menyerahkan kepada Kementerian Pendidikan untuk mengambil tindakan lanjut.

"Pelajar terbabit tidak pun melanggar peraturan bertudung seperti yang telah diedarkan melalui surat pekeliling sebelum ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Kesyukuran dan Anugerah Kecemerlangan 2005 Sekolah Kebangsaan Indera Shahbandar di sini hari ini.

Insiden itu dilaporkan berlaku di dewan perhimpunan sekolah berkenaan Rabu lepas apabila tiga guru disiplin wanita sekolah itu dikatakan telah mengarahkan semua pelajar perempuan berhimpun di dewan untuk diperiksa.

Mereka kemudiannya menggunting tudung 65 pelajar kerana mendapati ia tidak mematuhi kriteria yang ditetapkan oleh pengurusan sekolah.

Pengarah Pelajaran Pahang Datuk Ahmad Azmey Abu Talib dalam satu sidang akhbar selepas itu berkata, tiga guru berkenaan, pengetua sekolah dan guru hal ehwal pelajar sekolah terbait telah dipanggil ke pejabatnya semalam.

"Saya telah meminta pihak sekolah menarik balik peraturan itu...malah pada Isnin ini, saya akan ke sekolah berkenaan dan akan meminta guru-guru terbabit meminta maaf kepada keluarga para pelajar itu," katanya.

Katanya tindakan tiga guru terbabit agak keterlaluan dan telah menjatuhkan maruah profesion perguruan.

"Walaupun ia tidak melibatkan penderaan fizikal ke atas pelajar tetapi perbuatan itu telah menjejaskan emosi mereka," katanya.

Katanya Kementerian Pelajaran membenarkan pelajar memakai tudung mini tetapi sekolah itu telah memperkenalkan tudung labuh yang menutup bahagian dada.

Masalahnya mereka tidak boleh melaksanakan peraturan itu secara paksaan, kata Ahmad Azmey yang menganggap guru-guru itu telah melanggar etika pentadbiran dan boleh diberi surat amaran.

Sementara itu, Najib berkata kes keciciran pelajar di negara ini masih tinggi, bukan sahaja di kalangan anak Orang Asli bahkan kaum lain juga, yang kebanyakannya berpunca daripada kemiskinan keluarga.

Katanya ibu bapa perlu sedar bahawa pendidikan boleh menjadi satu jalan keluar daripada cengkaman kemiskinan dan kemiskinan bukan alasan untuk menghentikan persekolahan anak-anak kerana Kementerian Pelajaran menyediakan skim bantuan kewangan untuk kanak-kanak miskin.

Majlis itu diadakan bagi meraikan pencapaian cemerlang lima pelajar Sekolah Kebangsaan Indera Shahbandar, yang kebanyakannya anak nelayan, dengan memperoleh keputusan 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2005. BERNAMA

Anonymous said...

Senarai buku bercanggah akidah ke KKDN Berita Harian, 27 Feb 2006

PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan menyerahkan senarai terbaru buku dan bahan bercetak yang didapati bercanggah dengan akidah Islam kepada Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KKDN) untuk disyorkan pengharaman atau disekat cetakan di negara ini.

Ketua Pengarah Jakim, Datuk Mustafa Abdul Rahman, berkata puluhan buku dan bahan bercetak yang ada dalam senarai itu, kebanyakannya adalah terbitan asing.

Buku dan bahan bercetak berkenaan termasuk yang mengandungi unsur menghina Islam dan melanggar Garis Panduan Bahan Penerbitan Bercetak dan Audio Visual Berhubung dengan Unsur-Unsur yang Bercanggah dengan Akidah dan Amalan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang dikeluarkan Jakim.

“Kita memang ada peraturan dan garis panduan jelas yang menghalang pencetak atau penerbit menerbitkan sesuatu yang bercanggah dengan syariat dan boleh memesongkan akidah umat Islam.

“Ini termasuk yang terdapat dalam senarai kita buku mengenai Islam tetapi membuat ilustrasi menggambarkan contohnya nabi, sahabat nabi atau malaikat,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Katanya, dalam menangani hal ini, Jakim mempunyai Bahagian Kaji Selidik yang membuat kajian khusus dan teliti bagi mengenal pasti buku dan bahan bercetak itu.

Beliau berkata, sebarang pertanyaan dan rujukan mengenai garis panduan itu boleh dibuat dengan menghubungi Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jakim, Datuk Wan Muhamad Abd Aziz di talian 03-88892035. – Bernama

“Kita juga membuat pemantauan dengan melakukan pemeriksaan sendiri ke kedai buku secara berkala bagi mengawasi pengedaran dan penjualan bahan bacaan yang jelas bercanggah dengan akidah Islam,” katanya.

Jakim, katanya, mengambil pendirian serius mengenai penyebaran buku atau bahan bercetak yang isi kandungannya mempunyai unsur menghina Islam selain yang berunsur khurafat.

Beliau juga akan mengesyorkan kepada kerajaan supaya meminta semua pencetak dan penerbit tempatan serius dalam mengguna pakai Garis Panduan Bahan Penerbitan Bercetak dan Audio Visual Berhubung dengan Unsur-Unsur yang Bercanggah dengan Akidah dan Amalan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Akhbar yang sama, Berita Harian (27 Feb) melaporkan kenyataan Khairy Jamaluddin tentang isu karikatur.

Hentikan segera polemik karikatur: Khairy

IPOH: Semua polemik berhubung penyiaran karikatur yang dikaitkan dengan penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW wajar dihentikan supaya tidak terus mencetuskan kontroversi berpanjangan.

Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, berkata keadaan tidak akan menjadi seperti yang berlaku sekarang jika semua pihak memahami sensitiviti agama dan kaum lain.

Beliau berkata, jika semua pihak memahami sensitiviti dan kepercayaan agama kaum lain, ia tidak akan mencetuskan kemarahan umat Islam di seluruh dunia akibat penyiaran karikatur itu.

“Oleh itu, perkara (menimbulkan isu sensitif) yang sama tidak wajar berlaku di negara ini dan semua pihak patut lebih berhati-hati pada masa depan.

“Pihak media khususnya lebih berhati-hati terhadap sensitiviti masyarakat terutama berkaitan agama,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri sesi pemilihan pasukan MyTeam di Padang Ipoh di sini, semalam.

Sehubungan itu katanya, sudah sampai masanya untuk semua pihak mengambil iktibar daripada apa yang berlaku.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri sudah memberi arahan jelas mengenai perkara itu kerana ia membabitkan sensitiviti agama dan sesiapa pun tidak wajar mengulanginya,” katanya.

Beliau berkata, menggantung permit penerbitan sesebuah akhbar kerana menghina agama Islam adalah tindakan wajar supaya tiada pihak mengambil mudah mengenainya dan boleh menjadi peringatan kepada mereka yang terbabit.

Anonymous said...

Isu guru gunting tudung pelajar selesai (Utusan Malaysia, 28 Feb 2006)

TEMERLOH 27 Feb. - Isu tiga guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Teluk Sentang dekat sini menggunting tudung 65 pelajar perempuannya dalam kejadian Rabu lalu selesai apabila guru-guru berkenaan serta ibu bapa pelajar terbabit saling bermaaf-maafan sebagai tanda berdamai.

Pertemuan dalam suasana penuh emosi itu berlangsung kira-kira dua jam secara tertutup di sekolah berkenaan sambil disaksikan oleh Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Pahang (JPNP), Datuk Ahmad Azmey Abu Talib selaku pengerusi `sesi berdamai' itu.

Turut hadir ialah Ahli Parlimen Kuala Krau, Ismail Mohamed Said; Pengetua SMK Teluk Sentang, Mohamad Saballah Taib serta guru-guru sekolah tersebut.

Bercakap kepada pemberita, Ahmad Azmey berkata, isu tersebut selesai dan beliau berpuas hati dengan kesudian ibu bapa pelajar terbabit memaafkan tiga guru yang dikatakan bertindak menggunting tudung anak mereka.

``Ini satu tanda positif, ibu bapa nak selesaikan perkara ini dengan sebaiknya. Ibu bapa dan pihak sekolah masing-masing menerima penjelasan dengan baik.

``Saya berterima kasih kepada semua pihak khususnya PIBG yang bersikap terbuka demi kebaikan pelajar,'' katanya sambil menambah, pihak sekolah bersedia menggantikan 65 tudung baru kepada pelajar terbabit.

Beliau memberitahu, kesemua tudung baru itu adalah mengikut saiz standard seperti yang ditetapkan dalam garis panduan Kementerian Pelajaran dan bukannya tudung labuh.

Emosi

Jelasnya, beberapa guru kaunseling hari ini dibawa bertemu pelajar terbabit yang antara lain untuk memulihkan emosi mereka berikutan kejadian tempoh hari.

``Sesi kaunseling ini akan dibuat secara berterusan saya akan minta kaunselor negeri dan daerah memantau perkembangan dari semasa ke semasa. Ini kerana ada pelajar yang mungkin tak dapat terima, emosi mereka berbeza-beza dan kaunselor akan teliti perkara ini,'' ujarnya.

Ahmad Azmey berkata, beliau juga akan bertemu dengan semua guru sekolah berkenaan untuk berbincang berkaitan soal disiplin dan pengurusan bagi melahirkan pelajar cemerlang dan berhemah selaras dengan dasar Kementerian Pelajaran.

Mengenai bentuk tindakan yang mungkin dikenakan terhadap tiga guru terbabit, beliau berkata, perkara itu akan diputuskan oleh Kementerian Pelajaran.

Setakat ini, jelas beliau, pihaknya serta Jemaah Bahagian Nazir Sekolah Pahang sudah menghantar laporan kejadian itu kepada kementerian berkenaan untuk tindakan lanjut.

``Kita sedang tunggu maklum balas daripada Kementerian Pelajaran, ia akan diketahui dalam masa terdekat ini,'' katanya.

Bagaimanapun beliau berkata, tiga guru itu mungkin akan diberi surat amaran bagi memastikan tidak mengulangi perbuatan serupa pada masa akan datang.

Ahmad Azmey turut memperbetulkan laporan bahawa hanya seorang guru bertindak menggunting tudung pelajar terbabit sementara dua lagi guru ditugaskan merotan.

Dalam kejadian Rabu lalu, beberapa guru SMK Teluk Sentang bertindak menggunting tudung pelajar perempuan sekolah itu dalam satu perhimpunan atas alasan tudung yang mereka pakai tidak menepati peraturan yang ditetapkan.

http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2006&dt=0228&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_09.htm

Amin Ahmad said...

Dalam surat khabar yg sama komen pembaca cuba justifikasikan isu dengan dakwaan bahawa tudung labuh itu selaras dgn Islam. tapi dia tak sebut pula tindakan menggunting tu selaras ke tak..

Anonymous said...

Itulah ceritanya Pak Amin! Subteksnya, tidak mengapa kita menggunting tudung jika niat dan perlakuan tersebut dibuat dengan alasan "amar ma'ruf nahi munkar"!

Penulis surat di Utusan Malaysia (28 Feb), pastilah belum mendengar atau tidak bersetuju jika kita hujahkan bahawa bertudung itu sendiri boleh wujud dengan bermacam-macam format

Anonymous said...

FAO.. itu wajah sahabatku... hak hak hak