Keputusan mahkamah persekutuan dalam kes Lina Joy, bagi sejumlah orang Islam, sebagai "melegakan". Ada nada "gembira" dengan keputusan ini, termasuk di kalangan segelintir penyokong Islam yang berkumpul di mahkamah tersebut.
Bagi saya pula, keputusan itu tidak memberikan banyak jalan keluar atau "penyelesaian" terhadap isu-isu seumpama ini. Malah, ia hanyalah pemanjangan kes-kes sebelum ini, termasuk Revathi Masoosai, Rayappan a/l Anthony, M. Moorthy dan R. Subashini.
Yang harus serius difikirkan ialah: kesejahteraan individu terbabit, keluarganya dan kerukunan hidup antara agama dan antara kaum di negara ini.
Maksudnya, "jalan keluar" terhadap isu-isu ini harus difikirkan secara serius, ilmiah, perundangan, politik dan "psikologi" ke arah mencapai matlamat kemanusiaan, bukan tujuan keagamaan atau ketuhanan.
Dan di sisi ini, orang Islam kena yakin dan berani untuk membenarkan seseorang anggota masyarakatnya (sama ada Melayu atau bukan Melayu) keluar daripada Islam. Sama ada dilahirkan daripada keluarga Islam atau menganut Islam (daripada agama lain), seseorang itu harus diizinkan untuk meninggalkan Islam.
Dalam bahasa agama, kita sebut "murtad". Kita harus benarkan proses ini berlaku -- suatu keputusan yang berat, membingungkan, menekan psikologi, mempunyai kesan-kesan politik, kebudayaan dan agama.
(Hakikatnya tidak ada bangsa yang menganut satu agama sahaja. Semua tamadun besar melahirkan keragaman kepercayaan, agama dan bukan agama, dalam sesebuah masyarakat. Malah, anggota-anggota keluarga nabi-nabi banyak juga tidak beriman pada risalahnya.
Jadi, orang Melayu-Islam harus bersedia meninggalkan takrif "Melayu" sedia ada dalam Perlembagaan Persekutuan. Takrif itu bersifat ketat dan keras).
Membenarkan anggota masyarakat Islam keluar daripada agamanya hanya satu pilihan. Yang akan dianggap anjal, demokratik dan menjunjung hak-hak asasi manusia -- nilai-nilai yang kini dianggap lebih relevan dan sesuatu dengan arus zaman. Pilihan ini pilihan pertama.
Sebab, selagi kita tidak memperkenalkan hukuman bunuh kepada seseorang yang murtad, selagi itulah kita harus memberi ruang ini (atau "jalan keluar") selepas seseorang yang ingin murtad itu telah melalui proses-proses yang sedia ada, misalnya kaunseling, denda atau penjara.
Selepas menjalani hukuman tertentu, tetapi jika seseorang itu terus tekal ingin meninggalkan Islam, maka masyarakat Islam harus membiarkan proses ini berjalan lancar dan diiktiraf secara rasmi, perundangan, dokumentasi, politik dan kebudayaan -- seperti seorang warganegara yang sama hak dengan orang lain.
Kalau kita enggan membuka jalan ini, kita ada pilihan kedua. Yakni, menjatuhkan hukuman mati kepada seseorang Muslim yang ingin meninggalkan agamanya. Dalam soal ini, kita sama ada ingin memakai pandangan ortodoks, klasik tentang isu ini atau pun kita memakai ijtihad baru.
(Jadi, dalam pilihan kedua ini, kita jangan fikir bagaimana tanggapan orang lain atau negara lain. Kita juga jangan fikir apa-apa implikasi politik dan kebudayaan akibat memperkenalkan hukuman bunuh. Selagi kita was-was, selagi itulah kes-kes seumpama Revathi, Rayyapan, Moorthy dan Subashini akan berulang. Mahu atau tidak? Bila? Sekarang atau akan datang?)
Dua sahaja pilihan yang kita ada. Yakni menghapuskan jasad itu (bunuh) atau membiarkan jasad itu hidup dengan pilihan agama barunya.
[ii]
Bagaimanapun, isu kebebasan beragama atau "tiada paksaan dalam beragama" (Islam) atau "agama itu ruang peribadi antara seseorang dengan Tuhannya" tidaklah sama dengan minum teh tarik atau makan roti canai.
Yakni, seseorang boleh makan roti canai sesuka hatinya hari ini, kemudian keesokannya mahu makan mee udang, lusa makan satay Pariaman! Agama, di sisi ruang subjektif individu (perkaitan Tuhan dengan individu), memang boleh bertukar lebih pantas daripada memakan roti canai.
Tetapi agama, di sisi undang-undang awam (yakni hubungan individu dengan masyarakat), haruslah tidak semudah makan roti canai. Harus ada rekod hitam putih dan juga dokumentasi. Dokumentasi ini bukanlah bertujuan mengongkong kebebasan hati nurani (freedom of conscience) tetapi sifat individu yang tidak terpisah daripada hubungannya dengan individu lain, keluarga, masyarakat dan negara.
Jika kita tidak berpuas hati dengan kaedah dokumentasi, elok kita bubarkan sahaja institusi-institusi moden ini (yang kita panggil "negara", birokrasi, undang-undang atau rekod). Kita kembali ke zaman yang lebih primitif yang tidak memerlukan kad pengenalan, pasport dan boleh membina tempat kediaman di mana-mana sahaja di ceruk dunia ini. Malangnya, zaman itu sudah berlalu!
Bagaimanapun, saya tidak setuju rekod atau dokumentasi itu harus (wajib) melalui mahkamah sahaja. Mahkamah, syariah atau sivil, hanya satu pilihan atau jalan keluar. Suruhanjaya Sumpah mungkin satu lagi saluran. Kecuali ada pertikaian serius, maka pihak-pihak berwajib boleh tidak menjadikan mahkamah sebagai jalan keluar agama. Seseorang boleh menggunakan kaedah-kaedah lain yang sah, kuat dan diiktiraf undang-undang.
Apatah lagi tanggapan terhadap mahkamah syariah yang masih tebal dengan ortodoksinya. Mahkamah bukan tempat sah memberikan perakuan tentang status agama (termasuk pertukaran), tetapi mahkamah juga tempat menghukum seseorang.
Jika seseorang ke mahkamah syariat, peluangnya untuk dibenarkan murtad menjadi "80:20" (80% tidak boleh: 20% boleh). Sepatutnya, mahkamah menukar nisbah itu menjadi "20% tidak diizinkan (kes-kes istimewa) dan 80% diizinkan".
Mahkamah menjadi saluran yang "aman" dan sahih untuk merekodkan pertukaran agama. Tanggapan ini, buat masa ini, tidak wujud. Orang takut ke mahkamah syariat kerana bimbang.
Dalam pilihan 1 (membenarkan seseorang murtad), rekod atau dokumentasi hanya satu pilihan. Pilihan kedua, kaunseling dan pendidikan. Andaiannya: seseorang itu membuat pilihan untuk meninggalkan agama (Islam) tidak berdasarkan kesedaran, pengetahuan, kefahaman atau kerelaan hati yang tinggi (ulang: "tinggi") tetapi disebabkan dorongan-dorongan lain yang rendah atau remeh.
Jika begitu, pertukaran agama menjadi semata-mata "pilihan peribadi", hampir-hampir menyamai proses makan roti canai, nasi dagang, laksam atau satay Solo! Yakni, pilihan peribadi yang "main-main", yang tidak serius, anutan agama jatuhnya sama taraf dengan bertukar-tukar fesyen baju atau kasut!
(Saya tidak mahu mengatakan ia bukan satu "pilihan yang sah" tetapi implikasi dalam masyarakat, perundangan dan politik akan menjadi lebih rumit. Khususnya jika kekerapan menukar agama terlalu tinggi -- sehingga seseorang boleh beragama apa sahaja, di mana-mana dia suka, kemudian mendirikan rumah tangga, beranak-pinak sewenang-wenangnya. Ibaratnya: Aku punya pasallah, apa kau orang peduli!)
[iii]
Jika kaedah kaunseling atau didikan diguna pakai, sebelum seseorang itu boleh disahkan murtad (meninggalkan Islam), maka kaedah yang sama juga harus digunakan kepada muallaf (sebelum menganut Islam) yang ingin menganut Islam. Jadi, masuk-keluar agama harus melalui proses kaunseling dan didikan.
Jadi, apakah "pusat pemulihan akidah" yang ada di suatu tempat di Selangor boleh dianggap sejenis proses "kaunseling" dan "didikan" atau sejenis hukuman (penjara)?
Saya cenderung menyebut begini: Selagi proses kaunseling atau didikan ini bersifat tertutup dan kurungan, tidak telus, selagi itulah prasangka akan muncul. Prasangka di kalangan anggota keluarganya, prasangka komuniti agamanya, dan juga prasangka di kalangan orang Islam sendiri.
Apakah yang sebenarnya terjadi sehingga (a) dia mengekalkan Islam selepas enam bulan di pusat pemulihan akidah? atau (b) dia terus bersedia meninggalkan Islam selepas "dikaunseling" di pusat tersebut? Ertinya, dalam kes (b), dakwah Islam yang disampaikan itu tidak berkesan atau tidak berguna apa-apa!
Jadi, dengan misteri ketertutupan pusat pemulihan akidah tersebut, maka mudahlah orang menuduh proses yang berlaku sebenarnya bukan kaunseling, didikan atau dakwah, tetapi "pembasuhan otak", brainwashing -- suatu "erti" yang paling kuku besi pernah diperkenalkan dalam era demokrasi.
Saya tidak menolak proses kaunseling atau dakwah, tetapi bukan melalui institusi pemulihan. Seharusnya pendidikan atau kaunseling bersifat "terbuka", beberapa cara boleh difikirkan. Misalnya, anggota-anggota keluarganya boleh hadir di sesi-sesi tersebut. Atau, peguamnya atau wakil NGO boleh hadir. Bukan sebagai "pengacau majlis" tetapi sebagai pemerhati agar pusat pemulihan akidah menjadi lebih terbuka, bukan "Bilik 101" George Orwell, Nineteen Eighty Four.
Saya menyokong proses kaunseling yang lebih terbuka kerana sifat ilmu pengetahuan agama (sama ada Islam atau bukan Islam) sudah terlalu mudah untuk kita perolehi. Jadi, kenapa sejumlah pengetahuan itu -- yang boleh dibeli di kedai buku, di perpustakaan kampus, dalam pengetahuan "pakar" atau di Internet -- harus disampaikan secara sulit, rahsia, misteri atau tidak telus?
Bukankah kaedah ini mengembangkan lagi prasangka bahawa pusat pemulihan akidah itu sebenar-benar "Bilik 101" Orwell, kalau pun bukan kem penderaan Nazi!
Maksud saya, brainwashing -- isi-isi pengetahuan Islam bertukar propaganda paksaan, bukan lagi diskusi adil dan telus secara ilmu/ilmiah.
>>> Kurang-lebih beginilah jawapan saya kepada sekumpulan aktivis muda yang mewawancara saya tentang "kebebasan agama" dalam konteks hari ini. Rakaman filem ini, selepas mereka sunting, mungkin boleh diperolehi pada Ogos ini.
>>> Sementara itu, jika berminat, sila tinggalkan ulasan di kaki coretan ini. Berhujahlah dengan saya sepuas-puas hati pembaca. Jika ada yang sesuai, saya ulas kembali. Jika saya tidak mampu, biarkan pembaca lain mengulasnya. Wallahu a'lam.
Saturday, June 30, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
10 comments:
Aduh! Takut sekali saya membaca tulisan sdr, tetapi beginilah tulisan yang jarang terdedah di media tajaan parti. Sungguh saya merasa diurbankan oleh jalur pemikiran sdr.
Setahun lepas, saya telah berkesempatan membeli buku PATAH BALEK, dan telah mengesyorkan buku tersebut kepada teman wanita saya, ternyata tiada bantahan dari teman wanita saya.
Terima kasih kerana tulisan-tulisan sdr. Sungguh saya sebagai pembaca merasa beruntung menatapnya.
Dari apa yang saya nampak, proses kaunseling ni memang berbentuk brainwash dan hukuman. Sebab tidak ada alternatif kepada hukuman denda dan penjara oleh Mahkamah Syariah negeri, kaunseling ni sekadar nak tunjuk PR, kononnya 'doing the right thing'. Apa kata Fathi cari graduan2 yang lulus kelas kaunseling ni, dan interview mereka?
Bro,
I think you are spot-on with your call for a more open and transparent counseling process. There is no logic in keeping all of us out of it: such knowledge should benefit everybody, including you and I, right? If it's going to be hush-hush, then you can't really blame the people when they become suspicious and if they decide to light candles and keep vigil for the detained. And then, like you said, people whisper about the brainwashing that goes on in those detention camps ...
Let's be open about it. Or don't have it at all.
Salams.
Pada gue Lina Joy mewakili peribadi yang ingin mengisytihar apa nama agamanya ke pelusok dunia. Kurang lebih begini, 'dulu aku beragama Islam, sekarang tidak lagi. Aku sudah menganut agama Kristian.
Seolah-olah dalam benaknya apa yang tercatat di kad pengenalan ka, di pejabat pendaftaran ka menjadi hal bagi Tuhan barunya. Tidak pelik kan? Ramai pihak percaya Tuhan orang Islam lain, Tuhan penganut Kristian lain, Yahudi lain dll.
Jadi demi mendapat keredaan Tuhan barunya, namanya sebagai muslim dalam KP perlu dipadam.
Atau ada pihak-pihak lain berada di belakangnya? Al maklum, muslim di sini kolot, jadi bila diprovoke sikit, besoknya hari seolah-olah sudah nak kiamat jadinya.
Sekali lagi, seperti mana sering terjadi, orang Melayu yang beragama Islam akan dijadikan bahan sindiran dan hentaman baik dari kiri, kanan, depan dan belakang.
Sebaik orang Melayu sendiri turut menyindir dan menghentam, 'okey.. kerja kita dah selesai. Kita tunggu babak lain pulak.
(menyebut istilah Melayu pun sudah ramai yang mencebik bibir hari ini. Ini bukan gue melayan kepala kala kepala gue terbang tinggi, fakta apa!)
keluar agama ni pada saya lebih pada isu 'hukum diluar tabiee' macam perlakuan homoseksual or lesbian
jikalau dibiarkan sekali pun mustahil MAJORITI manusia akan begitu
saya lebih melihat pada isu BUDAYA DAN MANUSIA dalam rangka konsistensi perlakuan or habitual action dalam menentukan keinginan masing masing
dalam era di mana ekonomi pada individual semakin melonjak dan mengembang sayap (distributed evenly) saya kira berlaku banyak pertembungan ego (kuasa, keakuan)
yang kecewanya pihak atasan or upper class tidak melihat kebebasan sebagai ruang terbaik untuk pihak di bawah mengeksploit kesempatan tahap maksima sambil tidak mencemburui pihak yang di atas. Ada isu ketakutan yang diatas pada ke maraan yang dibawah.
Dakwah lebih mudah dari atas ke bawah instead of vice versa. Dan dakwah adalah mustahil bila tiada ruang kebebasan.
akum bro fathi..apa programm terbaru?..ana ada artikel baru kat blog ana..pasal ISA.boleh anta komen sikit,apa yg perlu ana tambah utk artikel selanjutnya?...
hope to see u soon.
Selamat pengantin baru. Semoga kekal abadi sampai di alam sana..
Kes agak rumit. Permintaan JPN agar Lina Joy mendapatkan surat dari Mahkamah Syariah adalah bertepatan dengan peraturan yang sedia ada. Kalau tiada surat 'murtad' sekiranya berlaku sebarang tuntutan harta pusaka dan sebagaimana macamana nak diselesaikan. Kalau tak ada surat dia boleh kata dia masih Islam. Kita sepatutnya melihat dari sudut yang berlainan. Jangan hanya menghentam. Namum sekiranya dia nak keluar dari Islam benarkan, saya setuju.
Tuntutan lina Joy bukan sesuatu tuntutan memastikan jesus christ tidak marah sekiranya ICnya masih tercatit Islam dan Bukan Kristian. Sebaliknya satu provokasi bagi menuntut perhatian dan cuba mengundang reaksi semua orang termasuklah Fathi. Apa yang dibuat kelompok yang mempergunakan lina Joy sekadar mahukan mewujudkan satu front yang terdiri dari Bukan Islam dan Islam yang akan menyertai front tersebut secara jelas atau secara samar.Maka ia perangkap yang gagal difahamai oleh mereka yang berada di jalur 'intelektual perasanisme'.
Kenyataan 'Anonymous' ini benar-benar buta berita! Lain kali, baca berita. Jangan pandai menaip sahaja. Guna otak, bukan guna papan kekunci, bro!
Bukan kes Lina Joy sahaja yang saya sebut. Sudah banyak kes yang melibatkan murtad tanpa dokumentasi dan menimbulkan persoalan. Ia menuntut "penyelesaian".
Post a Comment