Saya anggap hujahnya itu terlontar dari si bahlol -- ringkasnya, saya jawab di sini.Dan hari ini, seperti dilaporkan oleh Utusan Malaysia, begini pula pendapat seorang lagi ustaz:
Pemakaian cawat besi perlu dihidupkan kembali kerana wanita zaman kini banyak terdedah kepada jenayah rogol yang semakin berleluasa, kata tokoh agama, Datuk Abu Hassan Din Al-Hafiz.
Sama ada kenyataannya bahlol atau tidak, anda analisalah sendiri ...
Dua kenyataan ini, dua tokoh agamawan yang dihormati di negara kita, mengingatkan saya pada Yusuf al-Qaradhawi.
Seorang teman saya baru-baru ini menceritakan tentang suatu klip video (atau filem) rakaman wawancara al-Qaradhawi dan ada sari katanya dalam bahasa Inggeris.
Saya tidak ingat sepenuhnya perbualan kami di pagi itu, tetapi kesimpulannya pandangan ustaz besar ini -- lagi disanjung tinggi dan dibesar-besarkan di negara kita -- masih sangat mentah, naif, ortodoks, ketinggalan zaman dan tidak relevan.
al-Qaradhawi mengupas soal wanita dan dara. Tetapi hujahnya, kata teman saya itu, pastilah tidak mengikut perkembangan ilmu perubatan yang terkini, misalnya beberapa pakar sakit tuan/puan di negara kita.
Saya terkejut besar dengan kebahlolan ini. Tetapi oleh kerana saya belum menontonnya sendiri dan gagal mengutip sumbernya yang tepat (kecuali melalui mulut teman saya yang masih berusrah), saya tidaklah dapat mengupas panjang di sini.
Tetapi sewaktu saya membaca analisa dan pandangan al-Qaradhawi tentang demokrasi, dan hubungannya dengan Islam, saya tahu yang disebut "ulama besar" ini rupa-rupanya seorang yang tidak mendalam kajian, renungan dan pembacaannya!
Betullah kata orang: Dalam masyarakat buta, seorang yang celik sebelah mata akan disanjung sebagai ulama besar!
