Tuesday, January 03, 2006

Borges & Hayek

Dalam satu ceritanya, penulis Argentina yang terabai Jorge Luis Borges menulis (terjemahan):

Seorang pustakawan berkaca mata gelap bertanya kepadanya: 'Apakah yang anda sedang cari?' Hladik menjawab: 'Saya sedang mencari Tuhan.' Pustakawan itu menjawab: 'Tuhan itu di satu daripada beberapa kata di satu daripada beberapa halaman dalam satu daripada empat ratus ribu jilid [perpustakaan -- FAO] Clementine. Nenek moyang saya dan nenek moyang kepada nenek moyang saya telah cuba menyelongkar perkataan ini; saya sendiri sudah hampir buta semata-mata mencarinya [perkataan tersebut -- FAO]' Dia pun membuka kaca mata gelapnya, dan Hladik melihat mata pustakawan itu, yang telah lama mati.

(muka surat 122, cerita 'The secret miracle' dalam koleksi yang diterjemahkan kepada bahasa Inggeris, Labyrinths, 1970, Penguin Books)

Borges (baca: Bohes) memulakan cerita ini dengan memetik satu ayat al-Qur'an (surah al-Baqarah: 261) tentang dialog ashabul kahfi (penghuni gua) dengan Tuhan selepas mereka dibangkitkan daripada lena yang panjang, 100 tahun.

"Berapa lamakah kalian di sini?"
"Sehari atau sekerat hari sahaja," mereka menjawab.

Kutipan Borges ini salah, tidak tahu sama ada dia sengaja atau tidak, sepatutnya ayat tersebut al-Baqarah: 259. Saya sebut "sama ada sengaja atau tidak" kerana sifat pengarang ini yang suka menyebut sumber-sumber yang ada (dan tidak ada) sebagai kreativitinya. Lihat, misalnya karya (juga dalam buku antologi yang sama) 'Tlon, Uqbar dan Orbis Tertius' dan beberapa cerita yang lain.

Ulasan buku Borges boleh diperolehi di New York Times (Man without a life, oleh Roberto Gonzalez Echevarria), Reason Online (Labyrinths of identity, oleh Charles Paul Freund) dan 'Borges and I' (karya Borges sendiri) oleh Martin Irvine.

(kemas kini terakhir, 5 Jan 2006)

+ + + + +

Satu lagi buku yang saya sedang geluti dihasilkan oleh pemenang anugerah Nobel sains, Gerald Edelman, Wider than the Sky: The phenomenal gift of consciousness.

Tulisannya cuba dipermudahkan kepada pembaca umum; semua konsep dan ungkapan ilmiah-saintifik yang berat-berat dan sulit disebut telah dikurangkan sebanyak mungkin tetapi, sebagai pembaca yang lembab, saya masih sulit menyelami. Mungkin perlu bacaan kedua.

Edelman memenangi hadiah Nobel pada 1972 dalam bidang perubatan. Jika mahu membaca wawancaranya dengan sebuah jurnal menarik, lihat 'Neural Darwinism' (New Perspective Quarterly, edisi Musim Panas 2004).

(Saya akan mengemas kini teks ini di kesempatan yang lain)

+ + + + +

Apa kata kita berkenalan dengan pemikiran Friedrich August von Hayek, pemenang anugerah Nobel 1974 dalam bidang ekonomi?

Teman-teman dan saya bercadang mengambil satu artikel pendeknya 'Two types of mind' [lihat satu tafsiran di sini] untuk dijadikan bahan perbincangan. Artikel ini bahagian 'falsafah' dalam koleksi makalahnya (yang dibukukan) New Studies in Philosophy, Economics and History of Ideas (1978), muka surat 50-56.

Saya tertarik dengan pandangannya ini (asalnya terbit dalam jurnal Encounter, Vol. 45, September 1975) kerana inti perdebatannya benar-benar relevan dengan realiti pendidikan kita saat ini yang mengutamakan hafalan, peperiksaan berdasarkan muntahan idea para pensyarah dan watak mahasiswa yang "berdisiplin" (selalu pergi kelas, tidak miss tutorial) tetapi tidak merangsang minat berfikir, menyemak kembali (teori-teori yang dipelajarinya) dan terus-menerus mewarisi pengetahuan (lama).

Bagi Hayek, kaedah belajar-mengajar seumpama itu hanya satu jenis fikiran; ada satu lagi fikiran (yang dialami sendiri oleh Hayek): pemikiran yang lebih kreatif, inovatif, mempersoal, merangsang semakan kembali model-model lama berfikir dalam bidang-bidang pengetahuan dan di alam realiti juga.

Kerana idea Hayek ini sangat relevan dengan kita semua, saya kutip agak panjang di bawah ini:

In my private language I used to describe the recognised standard type of scientists as the memory type. But this is somewhat unfair because their ability is due to a particular kind of memory, and there are also other kinds. I shall therefore here call this type simply the 'master of his subjects'. It is the kind of mind who can retain the particular things he has read or heard, often the particular words in which an idea has been expressed, and retain them for a long time. [hal. 51]

Perbezaan Hayek dengan sarjana atau tokoh akademik yang lain, ceritanya lagi, yang menyebabkan beliau tidak berasa rendah diri kerana (hal. 52):

What preserved me from developing an acute sense of inferiority in the company of those more efficient scholars was that I knew that I owed whatever worthwhile new ideas I ever had to not possessing their capacity, i.e. to often not being able to remember what every competent specialist is supposed to have at his fingertips. Whenever I saw a new light on something it was as the result of a painful effort to reconstruct an argument which most competent economists would effortlessly and instantly reproduce. [huruf condong dalam teks daripada karangan asal -- Fathi]

Bagi tokoh ini, sejenis lagi minda dikenali sebagai 'puzzler' atau 'muddler', meminjam pandangan seorang pemikir Inggeris yang terkenal Alfred North Whitehead "muddleheadedness is a condition precedent to independent thought." Hayek menyebut jenis minda ini:

Their constant difficulties, which in rare instances may be rewarded by a new insight, are due to the fact they cannot avail themselves of the established verbal formulae or arguments which lead others smoothly and quickly to the result. But being forced to find their own way of expressing an accepted idea, they sometimes discover that the conventional formula conceals gaps or unjustified tacit presuppositions. [hal. 53, huruf condong penekanan saya -- Fathi]

Yang memukau perhatian saya -- yang berminat meneliti isu kawalan minda, bahasa, budaya, kesedaran dan kuasa (politik, tradisi, agama, pengetahuan antaranya) -- bahagian berikut (apa yang saya sebut sebagai "andaian tidak bersemak" atau "lantai berhujah":

They will be forced explicitly to answer questions which had been long effectively evaded by a plausible but ambiguous turn of phrase of an implicit but illegitimate assumption. [hal. 53, huruf condong penekanan saya -- Fathi]

Satu lagi biografi Hayek boleh diperolehi di sini, F. A. Hayek: A biography oleh Richard Ebeling atau di sini, 'History of economic thought'

(kemas kini terakhir 12 Januari 2006, 1:38 pagi)

+ + + + +

Saya tidak faham di manakah menariknya karya Dr Muhammad Imarah, Islam dan Pluralitas: Perbedaan dan kemajemukan dalam bingkai persatuan (edisi terjemahan Indonesia, 1999, daripada teks Arab).

Yang saya sedar, pengarang ini memuatkan terlalu banyak retorika agama, dan aspek-aspek geo-politik, yang sudah biasa diketahui, membosankan dan tidak fokus pada topiknya.

M Imarah seolah-olahnya ingin merumuskan semuanya (daripada A hingga Z) dan mengabaikan beberapa aspek kajian atau pemikiran yang sedia ada, di Barat misalnya.

Saya sudah lama bosan mendengar retorika pemikir-pemikir Arab (seumpama) ini! Tetapi kerana assignment tertentu, terpaksa saya jenguk lagi...

Atau, mungkin terjemahannya tidak sebaik teks asal? Ya, hati-hati membaca karya-karya terjemahan dari negara jiran kita ini, tidak semuanya (atau: selalunya) tidak berhati-hati, tidak cermat dan tidak bagus.

Lebih selesa, dan menghiburkan akal, bila membaca And God Knows the Soldiers: The authoritative and authoritarian in Islamic discourses (2001) karangan Khaled Abou El Fadl. Banyak juga yang boleh kita pelajari. Beberapa lagi karya Aboul Fadl boleh lihat di sini.

(kemas kini terakhir 5 Jan 2006)

Monday, January 02, 2006

Takut kacau

Ada dua buku yang ingin saya baca dan telaah -- kemudian, harap-harap, dapat diulas dalam kolum saya, jika tidak di Malaysiakini.com (Tiada Noktah) boleh jadi di Mstar.com.my (Pojok).

Kedua-duanya diusahakan oleh sekumpulan penulis dan pengkarya muda, rata-ratanya Melayu kecuali Danny Lim (jurugambar The Edge) dalam Wilayah Kutu.

Kumpulan karya kreatif yang pertama ini memuatkan cerpen; sementara Jiwa Kacau memuatkan luahan kreatif pengendali-pengendali blog Melayu. Kedua-duanya boleh diperolehi di, antaranya, toko buku Silverfish, Jalan Telawi.

Pulang dari Pulau Pinang, untuk menghadiri satu seminar "pemimpin muda teraju masa depan", anjuran Open Dialogue Center (ODC), saya berharap dapat menumpukan perhatian kepada dua buku ini.

Tetapi ... saya masih ada sebuah buku (Inggeris) yang belum habis dibaca.

Selain itu, saya sentiasa ada rasa takut (maafkan saya!) berdepan dengan karya-karya berbahasa Melayu. Saya takut membaca atau menekuninya kerana bimbang ia akan merosakkan pemikiran saya sebagaimana saya takut membaca akhbar negara ini atau tinggal lebih lama di sini.

Ketakutan yang saya gambarkan dalam beberapa artikel saya di Malaysiakini.com, misalnya "Ketewasan jiwa intelektual Melayu" (12 Mei 2003) dan "Krisis kepemimpinan intelektual Melayu" (19 Mei 2003).

Sebagai pengamat, saya seharusnya membaca, menelaah dan merenung baris-baris makna yang tersirat di sebalik Wilayah Kutu dan Jiwa Kacau tetapi saya takut pada "kekutuan" dan "kekacauannya".

Seperti saya takut melihat jembalang kerendahan mutu dalam artikel-artikel saya sendiri, dan beberapa wacana yang disebarkan oleh orang-orang yang saya hormati (juga).

Saya tidak tahu apakah ada orang yang akan (boleh) memahami maksud saya ini. Mungkin teman-teman dekat boleh memahami tetapi saya bimbang penulis-penulis dua karya kreatif tersebut sukar menyelami hal ini.

Saya tidak bermaksud sinis dan tidak merendahkan keupayaan akal mereka. Saya belum membacanya, maka saya belum boleh menilai dan berkata-kata.

Tetapi saban waktu saya bergelut dengan hal ini...

Sekuat tenaga saya telah cuba lari daripada kebodohan, kelompok yang bodoh dan wacana yang buruk tetapi akhirnya saya temui semua kebodohan itu dalam fikiran saya sendiri.

[Dalam beberapa artikel, saya menyebutnya begini: Awal kebodohan di Indonesia, Benarkah Melayu bodoh? dan Punca anak muda gagap (semuanya diterbitkan kembali dalam blog Selak Lagi)]

Kuat sekali kejahatan dalam masyarakat ini membunuh keupayaan berfikir kita. Keburukan masuk ke dalam jasad seperti ungkap Karl Popper dalam Knowledge and Mind-Body Problem: In defence of interaction atau Pierre Bourdieu lewat karyanya Language and Symbolic Power.

Tetapi apakah kita (ulang: kita semua, tanpa kecuali) menyedari akan hal ini?