Sunday, February 25, 2007

Rosnah

Bagi kebanyakan orang, apatah lagi organisasi Islam, dramatis Rosnah Mat Aris telah dianggap menghina isteri Nabi.

Mungkin bagi Rosnah sendiri, dia sudah terlanjur kata, dan kerana itu dia memohon maaf berkali-kali.

Bagi kerajaan pula -- melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) -- bukan sahaja pelakon ini "bersalah" tetapi stesen TV yang menerbitkan 'Sensasi' wajar dihukum.

Bagi saya, pertubuhan Islam dan SKMM salah dalam penilaian mereka dan terburu-buru. Malah, bagi saya Rosnah sudah berlebih-lebih memohon maaf atau mengaku bersalah.

Bagi saya, Rosnah "tidak menghina Nabi" dan "tidak menghina Islam".

Samalah sikap saya dalam kontroversi kartun hasil tangan Wiley di akhbar New Straits Times, kira-kira setahun lalu. (Baca juga Otaku, 24 Feb 2006).

Atau bantahan kami (teman-teman dan saya) pada langkah menggam Wan Nor Azlin beberapa tahun lalu selepas tersebar rakaman video intimnya.

Bagaimanapun, tidaklah saya berpendapat bahawa kenyataan ringkas, seimbas lalu, itu tidak menyinggung perasaan sejumlah orang Islam.

Tetapi untuk merumuskan kenyataan Rosnah itu dengan sengaja, terancang, padu, padat dan konsisten "menghina Nabi" -- bagi penilaian saya -- sudah tersasar jauh daripada akal sihat dan penghakiman yang waras, wajar dan adil.

Kita nampaknya tidak menghakiminya, kita telah menghukumnya! Jadi apalah lagi yang boleh kita katakan kalau niat kita memang untuk menghukumnya "bersalah".

Hairan ya, dalam isu-isu kontroversi begini dan tidak jelas hitam putihnya, kita dengan penuh emosi (kita sebut keyakinan atau iman) boleh sewenang-wenangnya menghukum seseorang atas nama agama, Nabi dan Tuhan.

Kita enggan menghalusi persoalannya lagi, konteks, susun atur kata-kata Rosnah.

Wah, demi Tuhan, wallahi janganlah kerana kebencian kamu kepada sesuatu kaum menjadikan kamu tidak adil, dan berlaku adillah, sesungguhnya ...

TEKS TAMBAHAN 27 Feb jam 12:20 pagi
(rasional saya kenapa Rosnah tidak boleh dianggap "menghina isteri Nabi")

Bolehkah kita menganggap ucapan seimbas lalu Rosnah itu menghina isteri Nabi?

Berdasarkan klip video program itu seperti yang disebarkan di Internet, Rosnah berkata: "Tua ke muda tu? Dah nak mampus ke tidak tu?"

Sebelumnya pelakon awal berusia 50-an itu bertanya penonton, khususnya yang berada di studio: "Zaman nabi (Muhammad) bercinta dan kahwin dengan Khadijah dulu, umur Nabi berapa? Berapa umur Siti Khadijah?"

Dalam kenyataan Rosnah di atas, perkataan yang sukar diterima ramai "mampus" dan dikaitkan pula dengan isteri ikon paling suci umat Islam.

Hakikatnya, perkataan "mampus" itu sendiri sukar digunakan dalam perbualan rasmi, ia sering dimasukkan dalam drama, novel dan perbualan harian (tidak rasmi dan bersifat peribadi di kalangan teman dekat).

Umumnya masyarakat menerima perkataan "mampus" sebagai penuturan yang kasar atau kurang adab, walaupun maksudnya sama sahaja dengan mati, meninggal dunia atau mangkat, tetapi darjah ketertiban penggunaannya berbeza-beza.

Barangkali hujah yang lebih sesuai, kata-kata Rosnah itu boleh dianggap "celupar" atau boleh "mengguris perasaan umat Islam".

Tetapi sukar dirumuskan dengan mudah kenyataan tersebut "menghina isteri Nabi" kerana ia disampaikan dalam konteks yang ringkas (sepintas lalu), dan dibandingkan pula konteks itu dengan gaya kehidupan peribadinya.

Kira-kira separuh maksud "mampus" dalam kenyataan Rosnah itu merujuk pada dirinya sendiri, bukan sepenuhnya menghujahkan bahawa usia isteri Nabi tersebut.

Lagipun, sesuatu tindakan yang dianggap menghina Nabi mestilah datang secara tekal (consistent) dan berdasarkan keyakinan penuturnya.

Misalnya novel tebal 'Satanic Verses' karangan Salman Rushdie yang diolah dan dirancang begitu lama, berdasarkan renungan dan penelitian, dan diambil berasaskan sikap yang sengaja dan bersungguh-sungguh.

Ucapan Rosnah tersebut -- walaupun beliau sendiri mengaku "bersalah" -- tidaklah boleh dikatakan dilafazkan dengan keyakinan dan kesungguhan.

Ia dituturkan sepintas lalu sahaja, tidak diulang-ulangkan semula, dan tidak merujuk seratus peratus (membahaskan) tentang usia isteri Nabi (sebagai satu topik dan penekanan khusus).
Ia tidak dilafazkan dengan niat dan perancangan.

Pendek kata, kelihatan ucapan itu dibuat secara melatah atau tidak sengaja.

Secara simbolik, ungkapan "tua ke muda tu? Dah nak mampus ke tidak tu?" merujuk pada diri pelakon itu sendiri yang diasak oleh persoalan kenapa beliau berminat pada lelaki lebih muda berbanding usianya yang relatifnya lebih lanjut.

Kebetulan perbandingan tersebut disandarkan pada usia isteri Nabi, dan barangkali ia sukar diterima ramai, khususnya penonton Islam.

Jika perbandingan itu dibuat dengan pelakon Barat, misalnya Elizabeth Taylor, barangkali penonton tidak perasan perkataan "mampus" itu sendiri kasar atau sejenis istilah bahasa pasar.

Jika kita yakin Rosnah "melatah" dan tidak bermaksud menghina isteri Nabi, maka apakah pula bentuk tindakan yang wajar dikenakan padanya, dan juga pada rancangan Sensasi?

Thursday, February 22, 2007

Telanjang

"Ya, saya pernah berbogel di Internet," seorang gadis mengaku terang-terangan.

Mengingatkan kenyataan ini, saya termenung mengenang seorang gadis Malaysia (maksud saya, Melayu) yang merekodkan dirinya di Youtube.com --- maaf, dia tidak bertelanjang walau pernah menayangkan kakinya tanpa seurat benang!

Mungkinkah kita sedang berdepan dengan satu generasi yang semakin terbuka, semakin mendedahkan diri, semakin menelanjangkan emosi, fikiran, dan tubuh sendiri?

Kami ada satu projek sulit di mStar Online tentang "telanjang di Internet".

Mulai hari ini, jangan lupa kunjung kami ...