Thursday, January 20, 2005

Sewaktu diundang IKD

Sudah lama mengabaikan kertas kerja yang dibentangkan ini, Transformasi Minda dalam Proses Reformasi, saya baru-baru ini terserempak dengannya di laman web (lama?) gerakan siswa DEMA.

Kertas ini saya bentangkan di program pendidikan siswa anjuran Institut Kajian Dasar (IKD) pada 13 Januari 2001. Turut membentangkan idenya, penulis kolum Malaysiakini.com Lee Ban Chen.

Barulah saya sedar proses evolusi idea yang masih berkembang sekarang (sewaktu di Jakarta), sebahagiannya telah dituangkan dalam buku Patah Balek: Catatan terpenting reformasi. Berikut sedikit petikannya (harap maklum: salinan kertas ini kepada format web mengandungi beberapa kesilapan ejaan):

"Transformasi minda" ertinya keupayaan akal kita untuk menyedari bahawa kita perlu sentiasa memproses kembali cebisan-cebisan maklumat akibat kekurangan dalam proses [berfikir, menganalisa] yang terdahulu; keupayaan akal kita untuk menyedari bahawa ada beberapa cara lain untuk melihat sesuatu perkara; atau keupayaan akal kita untuk tidak berasa terlalu yakin dengan apa yang kita ketahui dan fahami.

Sebagai seorang yang hidup di alam realiti, khususnya sebagai aktivis, penganalisis atau pakar strategi, kita harus sentiasa menilai realiti-realiti dan mencapai kefahaman-kefahaman baru (kejernihan berfikir) agar dapat mencipta peluang dan mengurangkan masalah -- ini sebenarnya matlamat dan proses hidup seseorang individu, kumpulan masyarakat, bangsa dan tamadun yang sentiasa berlaku.

Nota tambahan: Beberapa sambungan (link) yang relevan dengan tema 'transformasi minda' (1) Do You Suffer from Paradigm Paralysis (2) Paradigms: The Business of Discovering the Future (3) Paradigm Shifting dan (4) First Notes on Metanoia