Saturday, October 15, 2005

Seksrangga

Saya cemburu, terus terang sahaja!

Melihat koleksi foto ini, saya cemburu. Saya hanya ada 3 jenis serangga dalam adegan mengghairahkan ini.

Satu daripadanya sumbangan teman Eric, pacar Ayu, sepasang belalang kunyit sedang melampiaskan nafsu sewaktu bertenggek di sebuah ranting.

Satu lagi, sepasang lalat (tanpa malu, sewaktu kami sedang minum teh tarik dan berdiskusi politik, di Bangsar Utama) tiba-tiba singgah menayangkan aksinya di sisi kertas Mingguan Malaysia (tidak silap, 2004).

Dan, terakhir, sejumlah aksi sepasang kekasih kumbang pasir (yang saya ambil fotonya di taman belakang rumah saya di Pasir Panjang) pada 2002.

Mungkin sejenis 'kumbang harimau' [foto yang disediakan di link ini tidak begitu berkualiti, sayang] yang wujud di kawasan berpasir di California, Amerika Syarikat. Wajah dan bentuknya sama, jadi pasti, kumbang pasir di rumah saya itu termasuk dalam keluarga Cicindelidae.

Tetapi satu laman web What's That Bug memiliki koleksi yang jauh lebih menarik, dengan kualiti imej yang (wow!) mengkagumkan.

Lihatlah, saya benar-benar kagum dan sekali gus jealous!!!

Kelmarin, di Plaza Indonesia, saya bertemu Ayu dengan Eric di sebuah restoran masakan Cina. Ayu akan ke Iowa, Amerika Syarikat malam ini.

Saya menyerahkan sebuah buku Insect Lives: Stories of mysteries and romance from a hidden world (1999) tentang serangga yang hidup seperti 'manusia' atau social insects, termasuk babak-babak senggama. Mungkin untuk bahan-bahan penulisan kreatifnya.

Kami sering juga mendiskusikan sifat-sifat senggama, dan sosialisasi, binatang, termasuk serangga-serangga.

Dari dulu lagi (1991), saya tahu binatang kecil yang kita namakan serangga ini memang 'manja'.

Dulu, waktu itu, saya sudah mula jatuh cinta. Atau kini disebut entophile. Maklum, kami ini pelajar entomologi dan harus membuat koleksi 50 species serangga.

Aduh, siapa ada koleksi foto 'seksrangga' atau 'insex'? Boleh serahkan pada saya? :)

Lihat foto kiri, bukan sahaja senggama tetapi pesta seks, orgy! Lima ekor 'kaboi', kata orang Utara dan kami juga, sedang yang keenam agak kelambatan, mungkin akibat traffic jam!

Dalam buku di atas, dijelaskan bentuk-bentuk penderaan (atau keganasan) seks sewaktu pasangan serangga mencapai puncak kenikmatan masing-masing.

Selalunya akan ditemui beberapa lubang (luka) di bahagian kepala. Ada yang memakan kepala jantannya sehingga asmara diteruskan dalam keadaan pasangannya tiada kepala! Sementara itu, didapati serangga (jantan) juga membawa 'hantaran kahwin' untuk memikat pasangannya!

Nota: Semua foto lucah ini dicuri daripada laman web (c) Whatsthatbug.com.

Untuk peminat seksrangga, kumbang atau rama-rama (juga kepada mereka yang geli-geleman melihat serangga, entophobic), sila pelajari lagi di sini atau cuba di sini.

Untuk pemula, sebuah buku dalam bahasa Melayu terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP, 1992) Serangga dan Manusia karya Mohd Salleh Mohd Said sangat informatif dan lucu, juga.

Atau, lawat Muzium Serangga tertua di negara kita; ini pula foto kaedah menangkap serangga air (UGM, Jogjakarta)

Wednesday, October 12, 2005

Lebaran sentimen

Tidak lama lagi Hari Raya Puasa (atau, sebut sahaja Lebaran atau 'Idul Fitri).

Tetapi kenapa harus ada exodus pulang ke kampung? Kemudian, kenapa pula harus ziarah kubur? Hari untuk menyambut fitrah diri (yang baru) atau hari 'berjiwang'?

Lebaran dan sentimentalitinya, fuh..., membosankan! Jiwangnya ... orang Melayu.

(c) foto ketupat ini dicuri daripada laman web Fairy.Mahdzan.com

Tuesday, October 04, 2005

Kesedaran palsu

Bolehkah kesedaran kita membohongi diri kita sendiri?

Jika kita bermimpi dan tidak pernah bangun daripada tidur, apakah yang nyata -- mimpi itu atau kesedaran diri di luar alam tidur?

Saya, entah mengapa, tiba-tiba tergoda dengan ungkapan 'kesedaran palsu' atau false consciousness; asalnya dipromosikan oleh pemikir-pemikir Marxist.

Tetapi saya tidaklah tertarik pada soal-soal kapitalisme atau modal atau kelas seperti lazim difahami dalam kerangka fikir Marxist; cuma saya tergoda (sekali lagi!) dengan 'ideologi dominan' dan 'hegemoni budaya' selain 'fetishisme' (bukan sekadar komoditi).

Saya tertarik sekali pada permainan kuasa sosial (kolektif atau awam) dalam membentuk wacana, bahasa dan budaya.

Lagi-lagi seperti menurut beberapa pemikir, antara lain, Jurgen Habermas, Pierre Bourdieu [foto kiri], Michel Foucault, Karl Popper atau Lutwig Wittgenstein (sekadar beberapa nama).

Semua orang -- saya fikir -- mengusung kesedaran yang palsu. Atau, mungkin juga Tuhan menidurkan kita dengan kepalsuan hidup ini supaya kita tidak menemui-Nya? Supaya kita terus meraba-raba?

Saya fikir ... ada yang tidak beres dalam diri manusia. Kenapa, ya? Tuhan membingungkan manusia?