Friday, August 03, 2007

Keju

Tolong saya, teman-teman, saya tidak faham membaca dua berita di bawah:

Berita 1

KUALA LUMPUR, 3 Ogos (Bernama) Mahkamah Majistret di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara dua tahun ke atas seorang pemasang kabel elektrik selepas mengaku bersalah mencuri dua kotak minyak wangi berharga RM27.80 dari sebuah pasar raya di sini, Mei lepas.

Majistret Manira Mohd Noor memerintahkan Johari Ishak menjalani hukuman itu mulai daripada tarikh tangkapan iaitu 24 Mei lepas.

Johari, 33, dari Raub, Pahang mengaku melakukan perbuatan itu di pasar raya UDA Ocean, Jalan Tunku Abdul Rahman di sini, pada pukul 11.20 pagi, 24 Mei.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda.

Mengikut fakta kes, seorang pengawal keselamatan pasar raya itu nampak tertuduh menyorok dua kotak minyak wangi dalam seluarnya dan meninggalkan premis itu tanpa membayarnya di kaunter.

Terdahulu, Johari, yang tidak diwakili peguam, memohon mahkamah meringankan hukuman dengan alasan beliau menghidap penyakit lelah dan mempunyai dua orang anak kecil berusia dua dan tujuh tahun.

Pendakwaan dijalankan oleh Cif Inspektor Alif Charles Belon. BERNAMA


Berita 2

KUALA LUMPUR, 3 Ogos (Bernama) Mahkamah Majistret di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara dua bulan ke atas seorang pemasang mozek atas tuduhan mencuri tiga bungkus keju tiga bulan lepas.

Majistret Manira Mohd Noor memerintahkan Lim Kok Boon, 40, menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh ia ditangkap iaitu pada hari kejadian.

Manira juga mengarahkan Lim menjalani hukuman penjara 20 hari setelah mengaku bersalah gagal menunjukkan kad pengenalan ketika diperiksa oleh pihak berkuasa. Kedua-dua hukuman berjalan serentak.

Lim, dari Taiping, Perak mengaku bersalah melakukan perbuatan itu di 7-Eleven Time Square, Jalan Imbi di sini pada 6.40 petang, 23 Mei lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda.

Tertuduh yang berpendapatan RM60 sehari mengaku terdesak melakukan perbuatan tersebut.

Lim yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah meringankan hukuman ke atasnya dengan alasan perlu menanggung sewa rumah serta menjaga bapanya yang menghidap sakit jantung yang memerlukan rawatan setiap bulan.

Mengikut fakta kes, seorang jurujual yang bertugas melihat tertuduh dalam keadaan mencurigakan dan semasa ditahan dengan bantuan pengawal keselamatan mendapati tertuduh mengambil tiga keju bernilai RM24.60 milik 7-Eleven Sdn Bhd tanpa membayarnya di kaunter.

Pendakwaan dijalankan Cif Ins Alif Charles Belon. BERNAMA

Seorang dikenakan hukuman penjara dua bulan kerana mencuri keju bernilai RM24.60, sementara seorang lagi dipenjara dua tahun akibat mencuri minyak wangi berharga RM27.80. Majistretnya orang yang sama. Macam mana?

Bolehkah kita buat kesimpulan: Lebih baik mencuri keju daripada mencuri minyak wangi? Atau, Lebih baik mencuri di 7-Eleven daripada mencuri di UDA Ocean?

2 comments:

faizalzainol said...

memikirkan dari dimensi yang berbeda, mungkin kerana minyak wangi bisa mewangikan tubuh si dia dalam tempoh masa 2tahun maka melayakkan di jel selama 2tahun, keju mungkin boleh disimpan kira-kira 2bulan bagi memastikan prestasi kesedapannya bisa dikekalkan lantas melayakkan di jel 2bulan.

mungkin juga Cif Inspektor Alif Charles Belon memiliki kisah silam tentang keju, menyebabkan segala isu keju didiskriminasikan dengan begitu kejam sekali....

Anonymous said...

Farrel, minyak wangi harga RM20 lebih tahan berapa lama sangat! Kalau sembur, entah2 dua, tiga jam sahaja!