Sunday, February 25, 2007

Rosnah

Bagi kebanyakan orang, apatah lagi organisasi Islam, dramatis Rosnah Mat Aris telah dianggap menghina isteri Nabi.

Mungkin bagi Rosnah sendiri, dia sudah terlanjur kata, dan kerana itu dia memohon maaf berkali-kali.

Bagi kerajaan pula -- melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) -- bukan sahaja pelakon ini "bersalah" tetapi stesen TV yang menerbitkan 'Sensasi' wajar dihukum.

Bagi saya, pertubuhan Islam dan SKMM salah dalam penilaian mereka dan terburu-buru. Malah, bagi saya Rosnah sudah berlebih-lebih memohon maaf atau mengaku bersalah.

Bagi saya, Rosnah "tidak menghina Nabi" dan "tidak menghina Islam".

Samalah sikap saya dalam kontroversi kartun hasil tangan Wiley di akhbar New Straits Times, kira-kira setahun lalu. (Baca juga Otaku, 24 Feb 2006).

Atau bantahan kami (teman-teman dan saya) pada langkah menggam Wan Nor Azlin beberapa tahun lalu selepas tersebar rakaman video intimnya.

Bagaimanapun, tidaklah saya berpendapat bahawa kenyataan ringkas, seimbas lalu, itu tidak menyinggung perasaan sejumlah orang Islam.

Tetapi untuk merumuskan kenyataan Rosnah itu dengan sengaja, terancang, padu, padat dan konsisten "menghina Nabi" -- bagi penilaian saya -- sudah tersasar jauh daripada akal sihat dan penghakiman yang waras, wajar dan adil.

Kita nampaknya tidak menghakiminya, kita telah menghukumnya! Jadi apalah lagi yang boleh kita katakan kalau niat kita memang untuk menghukumnya "bersalah".

Hairan ya, dalam isu-isu kontroversi begini dan tidak jelas hitam putihnya, kita dengan penuh emosi (kita sebut keyakinan atau iman) boleh sewenang-wenangnya menghukum seseorang atas nama agama, Nabi dan Tuhan.

Kita enggan menghalusi persoalannya lagi, konteks, susun atur kata-kata Rosnah.

Wah, demi Tuhan, wallahi janganlah kerana kebencian kamu kepada sesuatu kaum menjadikan kamu tidak adil, dan berlaku adillah, sesungguhnya ...

TEKS TAMBAHAN 27 Feb jam 12:20 pagi
(rasional saya kenapa Rosnah tidak boleh dianggap "menghina isteri Nabi")

Bolehkah kita menganggap ucapan seimbas lalu Rosnah itu menghina isteri Nabi?

Berdasarkan klip video program itu seperti yang disebarkan di Internet, Rosnah berkata: "Tua ke muda tu? Dah nak mampus ke tidak tu?"

Sebelumnya pelakon awal berusia 50-an itu bertanya penonton, khususnya yang berada di studio: "Zaman nabi (Muhammad) bercinta dan kahwin dengan Khadijah dulu, umur Nabi berapa? Berapa umur Siti Khadijah?"

Dalam kenyataan Rosnah di atas, perkataan yang sukar diterima ramai "mampus" dan dikaitkan pula dengan isteri ikon paling suci umat Islam.

Hakikatnya, perkataan "mampus" itu sendiri sukar digunakan dalam perbualan rasmi, ia sering dimasukkan dalam drama, novel dan perbualan harian (tidak rasmi dan bersifat peribadi di kalangan teman dekat).

Umumnya masyarakat menerima perkataan "mampus" sebagai penuturan yang kasar atau kurang adab, walaupun maksudnya sama sahaja dengan mati, meninggal dunia atau mangkat, tetapi darjah ketertiban penggunaannya berbeza-beza.

Barangkali hujah yang lebih sesuai, kata-kata Rosnah itu boleh dianggap "celupar" atau boleh "mengguris perasaan umat Islam".

Tetapi sukar dirumuskan dengan mudah kenyataan tersebut "menghina isteri Nabi" kerana ia disampaikan dalam konteks yang ringkas (sepintas lalu), dan dibandingkan pula konteks itu dengan gaya kehidupan peribadinya.

Kira-kira separuh maksud "mampus" dalam kenyataan Rosnah itu merujuk pada dirinya sendiri, bukan sepenuhnya menghujahkan bahawa usia isteri Nabi tersebut.

Lagipun, sesuatu tindakan yang dianggap menghina Nabi mestilah datang secara tekal (consistent) dan berdasarkan keyakinan penuturnya.

Misalnya novel tebal 'Satanic Verses' karangan Salman Rushdie yang diolah dan dirancang begitu lama, berdasarkan renungan dan penelitian, dan diambil berasaskan sikap yang sengaja dan bersungguh-sungguh.

Ucapan Rosnah tersebut -- walaupun beliau sendiri mengaku "bersalah" -- tidaklah boleh dikatakan dilafazkan dengan keyakinan dan kesungguhan.

Ia dituturkan sepintas lalu sahaja, tidak diulang-ulangkan semula, dan tidak merujuk seratus peratus (membahaskan) tentang usia isteri Nabi (sebagai satu topik dan penekanan khusus).
Ia tidak dilafazkan dengan niat dan perancangan.

Pendek kata, kelihatan ucapan itu dibuat secara melatah atau tidak sengaja.

Secara simbolik, ungkapan "tua ke muda tu? Dah nak mampus ke tidak tu?" merujuk pada diri pelakon itu sendiri yang diasak oleh persoalan kenapa beliau berminat pada lelaki lebih muda berbanding usianya yang relatifnya lebih lanjut.

Kebetulan perbandingan tersebut disandarkan pada usia isteri Nabi, dan barangkali ia sukar diterima ramai, khususnya penonton Islam.

Jika perbandingan itu dibuat dengan pelakon Barat, misalnya Elizabeth Taylor, barangkali penonton tidak perasan perkataan "mampus" itu sendiri kasar atau sejenis istilah bahasa pasar.

Jika kita yakin Rosnah "melatah" dan tidak bermaksud menghina isteri Nabi, maka apakah pula bentuk tindakan yang wajar dikenakan padanya, dan juga pada rancangan Sensasi?

Thursday, February 22, 2007

Telanjang

"Ya, saya pernah berbogel di Internet," seorang gadis mengaku terang-terangan.

Mengingatkan kenyataan ini, saya termenung mengenang seorang gadis Malaysia (maksud saya, Melayu) yang merekodkan dirinya di Youtube.com --- maaf, dia tidak bertelanjang walau pernah menayangkan kakinya tanpa seurat benang!

Mungkinkah kita sedang berdepan dengan satu generasi yang semakin terbuka, semakin mendedahkan diri, semakin menelanjangkan emosi, fikiran, dan tubuh sendiri?

Kami ada satu projek sulit di mStar Online tentang "telanjang di Internet".

Mulai hari ini, jangan lupa kunjung kami ...

Friday, February 16, 2007

Ustaz bahlol

Kita baru sahaja melewati sambutan Hari Kekasih, atau Valentine's Day, yang pernah disebut oleh mufti Perak sebagai "boleh jatuh murtad" jika "tiru tradisi Kristian".

Saya anggap hujahnya itu terlontar dari si bahlol -- ringkasnya, saya jawab di sini.

Dan hari ini, seperti dilaporkan oleh Utusan Malaysia, begini pula pendapat seorang lagi ustaz:

Pemakaian cawat besi perlu dihidupkan kembali kerana wanita zaman kini banyak terdedah kepada jenayah rogol yang semakin berleluasa, kata tokoh agama, Datuk Abu Hassan Din Al-Hafiz.

Sama ada kenyataannya bahlol atau tidak, anda analisalah sendiri ...

Dua kenyataan ini, dua tokoh agamawan yang dihormati di negara kita, mengingatkan saya pada Yusuf al-Qaradhawi.

Seorang teman saya baru-baru ini menceritakan tentang suatu klip video (atau filem) rakaman wawancara al-Qaradhawi dan ada sari katanya dalam bahasa Inggeris.

Saya tidak ingat sepenuhnya perbualan kami di pagi itu, tetapi kesimpulannya pandangan ustaz besar ini -- lagi disanjung tinggi dan dibesar-besarkan di negara kita -- masih sangat mentah, naif, ortodoks, ketinggalan zaman dan tidak relevan.

al-Qaradhawi mengupas soal wanita dan dara. Tetapi hujahnya, kata teman saya itu, pastilah tidak mengikut perkembangan ilmu perubatan yang terkini, misalnya beberapa pakar sakit tuan/puan di negara kita.

Saya terkejut besar dengan kebahlolan ini. Tetapi oleh kerana saya belum menontonnya sendiri dan gagal mengutip sumbernya yang tepat (kecuali melalui mulut teman saya yang masih berusrah), saya tidaklah dapat mengupas panjang di sini.

Tetapi sewaktu saya membaca analisa dan pandangan al-Qaradhawi tentang demokrasi, dan hubungannya dengan Islam, saya tahu yang disebut "ulama besar" ini rupa-rupanya seorang yang tidak mendalam kajian, renungan dan pembacaannya!

Betullah kata orang: Dalam masyarakat buta, seorang yang celik sebelah mata akan disanjung sebagai ulama besar!

Wednesday, February 14, 2007

Valentine sang Wali

Terkejut besar, berbeza dengan tanggapan umum masyarakat, PAS hari ini mengeluarkan fatwa baru yang sekali gus mengkuduskan St Valentine, atau Valentine sang Wali, seorang pejuang keadilan dan sekali gus hak asasi berdepan dengan pemerintah yang sangat zalim.

Versi resmi PAS seperti berikut:

Sejarah Valentine
Berdasarkan catatan sejarah 'Hari Kekasih' dipercayai bermula dari kisah seorang pendeta Kristian bernama Valentine yang hidup di Rom pada abad ketiga.

Beliau hidup dalam kerajaan yang dipimpin oleh Kaisar Claudius yang terkenal dengan sifat kejam. Claudius memiliki bala tentera yang besar, dia mengerahkan pemuda di bawah pemerintahannya menjadi tentera.

Namun hasrat Claudius tidak mendapat sambutan. Para pemuda enggan terlibat dalam perang kerana mereka tidak ingin meninggalkan keluarga dan kekasih-kekasih mereka. Hal ini membuat Claudius sangat marah.

Claudius berfikir jika pemuda tidak berkahwin atau mempunyai pasangan, mereka mudah untuk dikerah menjadi pasukan tentera. Lalu Claudius melarang perkahwinan.

Para pasangan muda menganggap keputusan ini sangat tidak perikemanusiaan dan ini adalah idea yang tidak boleh diterima, maka St Valentine menolak untuk melaksanakannya.

Valentine tetap melaksanakan tugasnya sebagai pendeta, iaitu berkahwin dengan kekasihnya secara rahsia.

Perkahwinan itu diketahui Kaisar yang segera memberinya amaran, bagaimanapun perkahwinan itu tetap diteruskan dalam suasana di dalam sebuah kapal kecil yang hanya diterangi cahaya lilin, tanpa bunga, tanpa cincin pernikahan.

Namun malangnya pasangan Velentine ditangkap dan dihumban kedalam penjara sehingga beliau mati di situ.
Beliau bukan dihina, malah dikunjungi penyokongnya, orang ramai menghadiahkan bunga ketika beliau dipenjara.

Pada 14 Februari, beliau sempat menulis tentang dirinya di dalam diari dan memesan kepada semua gadis dengan ungkapan "Dengan Cinta dari Valentinemu."

Kini setiap tanggal 14 Febuari orang serata akan dunia merayakannya sebagai hari kasih sayang. Orang-orang yang merayakan hari itu mengingat St. Valentine sebagai pejuang cinta.


Iktibar daripada fatwa PAS ini seperti berikut:

(a) Valentine seorang pemuda yang sedar diri dan menentang kebejatan sistem sosial dan politik di negaranya zaman itu, iaitu undang-undang zolim lagi tidak masuk (lebih kejam daripada ISA atau OSA), yakni larangan berkahwin.

(b) Sebagai tanda protesnya pada kebejatan undang-undang itu, Sang Wali ini pun melangsungkan cinta. Tidak ubah cerita pejuang-pejuang yang terjun ke dalam parit api (ashabul ukhdud) yang difirmankan dalam surah al-Buruj.

(c) Walaupun menghadapi tekanan hebat pemerintah, si pemuda itu tetap dengan idealismenya yang akhirnya membawa Sang Wali ke penjara. Kebenaran terserlah juga apabila para penyokong tidak meninggalkan pejuang kebenaran, sebaliknya terus bersama. Membuktikan bahawa kesetiaan pada idealisme perjuangan dan pendukungnya sangat penting dalam menegakkan agama Allah.

Kita sebagai pejalan-pejalan kaki di landasan yang benar, haruslah sedia mengikut jejak Sang Wali Valentine yang berani, tabah dan rela gugur berdepan dengan kezaliman kerajaan.

Tuesday, February 13, 2007

Novo 2

Mardhiah, saya tidak faham dengan komentar ringkas Sdri di bawah, di kaki coretan Novo.

Tetapi saya ambil kesempatan ini untuk menghuraikan lagi apa maksud, dan motivasi, saya menulis perkara tersebut seperti berikut ini:

Dalam analisa lebih mutakhir, berdepan dengan kelemahan modernity dan pengkhususan sains, ramai pemikir dan intelektual abad ke-20 mencadangkan pendekatan multidisciplinary (pelbagai bidang). Misalnya sains tulen dicantumkan dengan perspektif/teori sastera.

Dalam perjalanan panjang perdebatan itu, beberapa pemikir membahaskan dikotomi, konflik, rekahan dan interaksi antara dunia fizik dengan dunia metafizik.

Lalu muncul beberapa perbahasan yang digelar brain-culture co-evolution (evolusi bersama antara otak dan budaya). Kadang-kadang disebut juga mind-culture co-evolution (evolusi bagaimana otak, yang jasmaniah, menghasilkan fikiran, yang abstrak).

Satu tulisan seumpama ini dihasilkan oleh Edward O. Wilson, dalam bukunya Consilience: The unity of knowledge (seperti nota kaki 1). Beliau menyebut gene-culture coevolution. Rujukan tentang teori boleh kita googlekan.

Dengan kata lain, bagi pemikir-pemikir ini, rumusan dan rahsia besar manusia terbongkar dalam otak --- tempat persimpangan dan pertemuan antara alam benda (matter, materalism) dengan alam bukan benda (metaphysics, knowledge, culture, religion).

Sewaktu cuba memahami dan mendalami persoalan ini, dan dikaitkan dengan Islam, saya perasan bahawa persimpangan dan pertemuan paling mendasar dua alam ini (benda dengan bukan benda) terjadi sewaktu alam benda (benih lelaki menerobos benih wanita) selepas/ketika bersenggama.

Otak terbentuk paling awal, kemudian kepala, dan anggota-anggota badan yang makin jauh dari kepala (otak). Otak mengambil sebahagian besar proses awal ini kerana ia kemudiannya yang akan mengawal organ-organ kita yang lain.

Kita tahu ruh tidak singgah bertempel pada jasad pada saat pertama, minit pertama atau jam pertama pertemuan benih. Ruh datang kemudian. Selepas proses janin terbentuk.

Sebelum datang ruh, janin semata-mata seketul alam benda (waktu itu, kita samalah dengan seketul batu atau semangkuk makanan).

Sebab itulah ketika saya memikirkan lebih panjang persimpangan dan pertemuan alam benda dengan alam bukan benda, persimpangan dan pertemuan otak dengan fikiran, persimpangan dan pertemuan otak dengan pengetahuan/budaya/agama/idea menjadikan saya cenderung merumus ---> semua persoalan rupa-rupanya bermula di celah dua wanita, sewaktu buat pertama kali rahim ibu kita diami ....

Nota: Tidak semua wanita itu kekasih atau kupu-kupu malam, ada seorang di celah-celah kerumunan wanita itu, ibu kita!

Thursday, February 08, 2007

Huruf 'besar'

Kawan saya, seorang penyelidik di sebuah universiti di Jerman memberitahu saya (kurang lebih begini):

Dalam abjad awal Arab Jahiliyyah, kira-kira 100 tahun sebelum Muhammad dilahirkan dan sebelum evolusi huruf dan bahasa ini seperti yang kita kenal sekarang, memang terhadap sistem huruf besar (capital letter) seperti pada huruf Roman yang kita gunakan sekarang.

Jadi, orang Arab pada waktu itu menulis 'Tuhan' bagi menunjukkan tuhan yang maha esa, dan 'tuhan' bagi menunjukkan tuhan-tuhan selain 'Tuhan'.

>> Itu menurut pendapat teman saya itu, seorang Yahudi yang mendalami sejarah Arab tua.

[ii]

Seorang wartawan Utusan Malaysia menulis berita, sambil memetik kenyataan Ketua Polis Negara, seperti berikut:

Hukum juga ‘si bapa’ -- Cadangan KPN bagi membendung perbuatan buang bayi

KUALA LUMPUR 6 Feb. – ‘Bapa’ kepada bayi yang dibuang perlu dikenakan hukuman setimpal sama seperti wanita yang melakukan kesalahan itu sebagai usaha membendung perbuatan kejam tersebut.

Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Musa Hassan ketika mencadangkan perkara itu menegaskan, untuk itu Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun terhadap wanita yang didapati bersalah membuang bayi yang diguna pakai sekarang perlu dilihat dan dikaji semula.

>> Isu yang saya mahu timbulkan, dengan huruf yang bertanda 'merah' di atas, kenapa dieja 'bapa' dan bukan bapa tanpa perlu tanda petik itu? Mungkinkah 'dia' (dan 'penyuntingnya') 'tidak tahu', 'jahil' atau 'bodoh'?

[iii]

Semasa saya kecil-kecil dulu, atau 'lebih tepat' semasa di 'sekolah menengah', kami (atau lebih tepat 'kawan-kawan' satu usrah) berhujah tentang (a) sembahyang atau solat, bilik sembahyang atau musolla, (b) apakah layak kuil, gereja atau tokpekong disebut 'rumah ibadat bukan Islam'? Bukankah mereka tidak beribadat?

>> Sekarang saya perhatikan semakin ramai orang solat, sudah tidak ramai orang Sembah Hyang. Dan orang Islam sahaja yang beribadat dengan cara-caranya, sementara bukan Islam melakukan upacara-upacara agama (ingat: agama, bukan ad-din!) konon ad-din itu hanya terkhusus dan paling khusus untuk Islam.

Saya tak sempat tulis panjang, tetapi kurang lebih di sela-sela carut-marut teks ini, beginilah maksud saya sewaktu menulis komentar di kaki artikel Pak Abu.

Friday, February 02, 2007

Novo

Tertarik dengan poster filem ini, maka saya terus memuatturunkannya di sini. Sekali imbas fabrik dan gubahan corak, warnanya juga, pada badan si pemakai memang memikat.

Mungkin ada lagi yang lebih menarik daripada itu. Tetapi biarlah kita tangguhkan dulu pembicaraannya.

Yang pasti kita tidak mengenali wajahnya. Ya, kalau kita nampak mukanya sekali pun, apakah ia membawa makna?

Andaikan tidak ada teks bertulis di sini. Yang ada hanya teks fotonya sahaja, apakah mungkin kita dapat membayangkan mukanya?

Tidak!

Sesuatu yang tersembunyi, tersorok di celah-celah misteri, mungkin terus menjadi inspirasi, atau sebut sahaja imaginasi, yang menyasaukan diri.

Imej ini terlalu bertenaga sehingga tidak membayangkannya menjadi mustahil.

Namun bukan semua misteri di celah dua peha dapat diterokai. Ia malah terus lari menyorok diri. Membiarkan kita tergapai-gapai mencari.

Aneh, manusia terus-terusan mencarinya --- dengan bermacam-macam nama, kitab suci, idea, Tuhan, ideologi, seks, atom dan juga kata-kata.

Sehinggakan, suatu hari saya selalu percaya keagungan Tuhan yang paling puncak bukannya tersimpan di sela-sela halaman kitab suci. Tuhan yang paling mengkagumkan sebenarnya (ulang: sebenarnya) tersimpan di celah dua peha seorang wanita!

Apakah anda boleh bersetuju dengan pernyataan ini?


Nota kaki:
1. Charles C. Gillispie, E. O. Wilson's Consilience: A Noble, Unifying Vision, Grandly Expressed (American Scientist, Mei-Jun 1998)
2. Blake Gopnik, 'Science, Trying to Pick Our Brains About Art' (Washington Post, 25 Jan, 2004)
3. Fathi Aris Omar, 'Salib di biskut: Faith, plurality and freedom' (Jalantelawi.com, 5 Dis 2006)

Thursday, February 01, 2007

Musharraf

Untuk apa dia datang? Agenda siapa yang dia bawa?