Wednesday, April 04, 2007

Patahbalek v1

Terima kasih Lucia Lai kerana tertarik dengan buku kecil saya (sebenarnya tebal, dengan kertas yang cantik) Patah Balek: Catatan Terpenting Reformasi. Moga-moga Lucia, dan teman-teman pembaca boleh mengambil sedikit manfaat daripada buku tersebut (kalaulah ada!).

Dalam kata pengantarnya, saya ada menyentuh tentang kekalutan politik era Dr Mahathir Mohamad dan "reformasi" yang ingin dibawa oleh Abdullah Ahmad Badawi. Seakan-akan, saya rasa kini, analisa sepintas saya itu ada benarnya -- dan kini menjadi kenyataan.

Saat ini, kita belum lagi memperbaiki keburukan-keburukan yang pernah ditunjukkan oleh Dr Mahathir secara terang-terangan, sistematik dan berterusan. Oleh itu, negara ini masih menyimpan ‘time bomb’ untuk kemusnahan besar di masa depan.

Peralihan kepimpinan kepada Abdullah Ahmad Badawi tidak menggugat apa-apa yang buruk itu. Beliau hanya mampu tidak berlagak diktator walau kemudahan atau prasarana untuk itu terbentang luas.

Beliau juga bukan reformis yang nampak kejahatan silam untuk diperbaiki segera. Abdullah hanya menunggang peluang dan ruang yang ada.

Jika beliau serius mahu menanganinya (‘prasarana kediktatoran’ itu), apakah nilai dan budaya politik kita yang selesa dengan era kepemimpinan Dr Mahathir tidak menentangnya? Apakah gelagat-gelagat atau perspektif-perspektif kehidupan – yang tumbuh subur di bawah kediktatoran itu – mudah dibasmikan?


Kita pernah mendengar, tidak lama dulu, "the honeymoon is over" daripada corong pemerintah -- dan kita juga tahu kekangan semakin ketat, dan berleluasa kembali, sejak tempoh bulan madu itu tamat.

Rustam A Sani, sewaktu membentangkan pandangannya di hadapan barisan pemimpin PKR Selangor dan Wilayah Persekutuan awal bulan lepas, mencatat begini:

Yang menariknya, kesan kekangan pemerintahan Mahathir itu tidak sekadar berlaku dalam Umno sahaja. Kesanya terhadap pemerintahan pada keseluruhannya – dan terhadap dasar-dasar yang dilaksanakan pemerintahan itu – amatlah jelas.

Tidak banyak dasar pemerintahan negara yang telah difikirkan semula, apa lagi dibatalkan, semata-mata kerana dasar-dasar tersebut dikritik oleh para cerdik pandai atau profesional – kalaupun masih ada cerdik pandai yang berani mengkritik kerajaan pada zaman itu. [....]

Oleh kerana itu, bila Mahathir mengakhiri zaman pemerintahannya beberapa tahun lalu, segala kebobrokan itu – malah pelbagai kebobrokan yang sudah terlembaga (institutionalised) dalam pemerintahannya itu – dengan tiba-tiba kelihatan seolah-olah sedang mengalami suasana politik dan kekuasaan yang baru.

PM baru, Abdullah Badawi, tampaknya memperlihatkan keinginan dan hasrat untuk melakukan sesuatu. Namun keinginannya itu tidak mencapai tahap yang cukup tinggi untuk dapat dianggap sebagai iltizam politik yang mantap.


Selama ini memang obsesi saya pada kekangan halus yang telah terinstitusi dalam birokrasi, masyarakat, termasuk di kalangan pembangkangnya akibat kediktatoran Dr Mahathir itu. Patah Balek sebagai renungan atas gejala Reformasi 1998, dalam semangat kata pengantarnya dan beberapa siri artikel tersebut, menyentuh kebimbangan ini -- walaupun mungkin tidak mendalam, panjang lebar dan berbobot.

Reformasi di kulit buku saya itu membawa maksud mendalam, jauh lebih mendalam daripada laungan di pinggir-pinggir jalan, kalaulah kaum reformis (sebagai mana mereka menggelar diri mereka sendiri) mengetahuinya!

1 comment:

Anonymous said...

Saya tidak menduga peminat Pram mengungkap buku sendiri sebegini.
Jika Pram, dia serah saja pada pembaca.