Wednesday, November 09, 2005

Korban sosial

Rahman (bukan nama sebenar) dituduh penganut Syiah, sebuah aliran tradisi agama yang cukup tua tetapi sering dikepung oleh Ahlul Sunnah wal Jama’ah. Namun di negara kita, menganut Syiah juga bermakna wajar dipenjarakan atau layak didiskriminasikan.

Seorang pensyarah pengajian Islam di kampusnya pernah mengesyaki anak muda 22 tahun ini seorang yang ‘tidak mempercayai Tuhan’ atau lebih ilmiah, atheist.

Rahman menjadi ‘korban sosial’ dalam masyarakat akademia kita, sama ada siswa apatah lagi pensyarah, yang tidak meminati falsafah dan menutup siri-siri persoalan yang masih berdenyut-denyut di kepala.

Tiada yang tidak pasti – semuanya ada jawapan, begitu masyarakat beranggapan, sedang dirinya sendiri masih bergelombang dengan pilihan-pilihan hidup atau mazhab agama.

Dalam pencariannya yang sepi, di sebuah dunia yang tidak mesra ujikaji akliah, dia sering berjumpa pensyarah-pensyarah. Tentu untuk bertanya, meredakan keresahan yang ditanggung sendirian. Pasti dia juga – ini memang syarat wajib dalam pencarian – membeli buku-buku dan majalah-majalah, antaranya Siasah (tidak lagi beroperasi).

Semua pensyarah itu, kecuali satu atau dua, mendominasikan ideologi ilmu dan perspektif (ulang: ilmu, di sini, sebagai ideologi) masing-masing sebagai ‘jawapan’. Ada pula yang pantang dicabar atas kepejalan sekelumit pengetahuan yang mereka paksakan untuk ditelan mahasiswa.

Sementara temannya, sebut sahaja Bakar, tidak meminati falsafah tetapi menumpukan perhatian pada karya-karya sastera Melayu. Minat yang tidak ada pada Rahman ini membolehkan Bakar berkongsi keterasingan yang sama kerana majalah ini (sempat diterbitkan selama setahun mulai pertengahan 2002) mencantumkan falsafah, seni, agama, sastera, hiburan pop dan isu-isu semasa.

Semuanya bermula lebih giat di sebuah kampus kecil di Nilam Puri pada tahun majalah itu diterbitkan. Tidak terduga sama sekali, ramai juga anak muda berjaya disesatkan oleh majalah kecil yang tidak luas edaran ini, rupa-rupanya! Teks lengkap, lihat mstar.com.my (8 Nov 2005)


* * * * * *

Kata 'buka', selain pakaian, memang sentiasa menggoda. Termasuk 'berbuka' puasa, khususnya di siang hari.

Di Indonesia, sempena promosi Ramadhan, sebuah syarikat rokok terkenal menulis iklannya seperti berikut: “Sekalinya ditutup, langsung pada buka”. Di bawah teks ini, foto kaki-kaki beberapa pengunjung warung yang duduk di atas sebuah bangku panjang.

Indahnya negara jiran kita, warung di pinggir jalan, termasuk warung Tegal (warteg) dan rumah makan Padang, hanya perlu menutup pintu dan tingkap kacanya dengan kain.

Seolah-olah menikmati makanan di dalam sebuah kubu pertahanan perang, anda dan orang lalu lalang tidak nampak antara satu sama lain – kecuali kasut dan selipar anda!

Pengunjung boleh menikmati makanan, minuman dan rokok sepuas-puasnya tanpa perlu takut pada cemuhan masyarakat atau diserbu pegawai jabatan agama seperti di negara kita.

Malaysia tidak ada budaya warung bertutup pada bulan puasa sebab kemungkinan makan secara terbuka telah lama tertutup. Sesiapa yang enggan berpuasa harus membeli, dengan malu-malu, di restoran dan makan di tempat tersembunyi, selalunya rumah sendiri. Teks lengkap, lihat mstar.com.my (17 Okt 2005)

2 comments:

Mat Arau said...

Saudara FAO,

Permintaan dari saya.

Jika ada menulis apa-apa artikel di internet jangan lupa post kan di patahbalek.

Sukar untuk saya menjejaki idea saudara jika artikel saudara bersepah-sepah.....

Terima kasih.

Mat Arau said...

Korban Sosial...

Mengapa minda kita masih terbelenggu?

Bila boleh kita amalkan demokrasi minda dengan bebas tanpa sebarang ugutan?

Acukan saja persoalan Teori Evolusi pasti jawapan yang diberi agak menggerunkan....Hati-hati dengan persoalan aqidah....Benarkah begitu?