Monday, November 28, 2005

Mendung idea

Sudah lebih dua tahun saya ditekan kemelut ini -- beban menulis yang "ganjil". Saya tidak mahu, jiwa meronta-ronta, tetapi saya terpaksa dan memaksa diri...

Dengan mudah, orang menyebut gejala ganjil ini "hadangan penulis" atau writer's block.

Kononnya kes pertama dialami oleh penyair era Romantik berbangsa Inggeris Samuel Taylor Coleridge, seperti disebut dalam buku notanya pada 1804.

"So completely has a whole year passed, with scarcely the fruits of a month. -- O Sorrow and Shame.... I have done nothing!" (dipetik dari 'Blocked: Why do writers stop writing', New Yorker, 14-21 Jun 2004)

Coleridge, pengasas aliran Romantisme Inggeris bersama William Wordsworth, dikenali melalui sajak-sajaknya pada usia 20-an. Keluhannya tadi ditulis sewaktu ulang tahun hari lahirnya ke-32. Dia juga terjerat dengan ketagihan dadah.

Sajaknya ini 'Work without Hope', antaranya, berbunyi:

And I the while, the sole unbusy thing,
Nor honey make, nor pair, nor build, nor sing
.

John Stuart Mill, pemikir liberal yang berpengaruh besar, pernah menulis tentang Coleridge pada 1840:

"The influence of Coleridge, like that of Bentham, extends far beyond those who share in the peculiarities of his religious or philosophical creed.

"He has been the great awakener in this country of the spirit of philosophy, within the bounds of traditional opinions. He has been, almost as truly as Bentham, 'the great questioner of things established'; for a questioner needs nor necessarily be an enemy."

Jeremy Bentham, tokoh utama liberalisme abad 18 dan 19 di Inggeris, yang disebut oleh J S Mill ini dekat dengan bapanya, James. Mereka digelar 'philosophical radicals'.

Kumpulan penulis aliran Simbolik di Perancis menjadi korban kedua gejala "berhenti menulis dengan serius; menulis sebagai satu kepuasan hidup", bukan sekadar kerjaya atau 'cari makan'.

Paul Valery, prolifik pada usia 20-an, pula mengambil masa santai selama 20 tahun (selepas itu) untuk kembali menulis selepas "menyelami proses fikirannya sendiri", artikel majalah New Yorker dipetik.

Beliau sendiri pernah menyebut: "Puisi tidak pernah selesai, hanya dibiarkan terabai", a poem is never finished, only abandoned.

Kalau boleh saya mahu sekali menulis setiap minggu kepada Malaysiakini.com (kolum 'Tiada Noktah', terakhir Ogos lalu), Mstar.com.my (kolum baru 'Pojok', hanya dua kali sejak Oktober lepas), Ummahonline.com (kolum 'Pub', tiada bahan baru) dan beberapa terbitan lain tetapi, ... :(

Namun beban dan tekanan sebagai penulis kolum dan penulis bebas tidaklah tertanggung oleh tubuh saya yang kurus kering ini. Saya harus terus menulis jika begitulah kehendak dan janji dengan editor. Tetapi memaksa diri menulis jauh lebih berat daripada memikul segunung batu!

Jiwa tertekan, semua idea mengalir lesu tersendat-sendat, tidak ada yang jernih dan berfokus. Mendung panjang memuncak dalam fikiran.

5 comments:

Aqil Fithri said...

Iya Fathi,

Enak menulis hadir bila catatan kita lancar dan terfokus. Tika itu tak perlu merujuk sangat, sbb segalanya hampiur tersimpan dalam benak, kan? Namun, bila tulisan mula tersendat-sendat, maka lazimnya ia kurang bermutu!

Oh, pasal sendat-menyendat (Islam?) ini, teringat aku pada PAS, hehehe...

Anonymous said...

Macam putus cinta nampaknya Fathi..

Cheer up mate. Berjuta-juta sel dalam frontal lobe, mesti ada yang belum mogok idea..

ventti

Anonymous said...

Salam,

Ventti: Sel bukan idea! Seperti kita tidak boleh membawa sel sperma ke mahkamah. Sel tidak bersalah sebab tidak berbentuk.

Bolehkah karangan dihasilkan daripada A, B, C, D, .... X, Y dan Z? Tidak mungkin, bukan? :)

Terlalu atomistik! Hehehe...

Rasanya putus cinta lebih mudah daripada mendung idea, Ventti.

Aqil Fithri: Lazimnya kurang bermutu tetapi beban penulisannya pula luar biasa berat. Tidak berbaloi!

PAS? Hehehe,... lupakanlah buat sementara waktu.

Hanya orang yang bercinta sahaja suka melihat bumbung rumah kekasihnya, Aqil. Jangan bertahlil dan meratib dengan kata-kata ini, "PAS, PAS, PAS..."

fathi aris omar faomar@yahoo.com

Mat Arau said...

Salam Fathi,

Kata orang mendung tak semestinya hujan.

Fathi apa kata sesekali saudara membicarakan mengenai sains dan teknologi atau IT seperti majalah yang saudara baca New Scientist atau Wired? Dulu Cikgu Sains saya kata pernah berkata, katanya sifat-sifat sesuatu bahan sama seperti tabiat manusia, contohnya konsep "inertia" sama juga seperti manusia, menolak perubahan secara tiba-tiba namun akhirnya bersetuju untuk berubah...

Fathi gitu-gitu kiranya.

Archive Of Learning said...

Bung Fathi,
Mendung yang pernah dilalui dalam 2 minggu pertama lepas habis tesis. Nasib baik, waktu itu dah berlalu, tetapi masih bergelut dengan kata-kata yang elusif.

Dalam cerita lain, Fathi pernah baca pasal kisah cinta John Stuart Mill? Penemuan semula cinta sejati yang mengembangkan fikiran dan jiwanya di lewat hidup. Cinta itu bukan jenis pandang pertama mahupun tarikan fizikal, tetapi yang telah dijana melalui kata-kata, iaitu melalui wacana surat yang mendiskusi pelbagai konsep dalam masa membuka pekung diri antara dua pihak, telah membawa kepada 'kebebasan' yang tidak pernah Mill hadapi sejak dilahirkan. Jiwa yang tidak lagi dikekang konvensi dan membebaskan idea2 yang akhirnya menjadikan beliau abadi ke hari ini. Percintaan yang berlangsung dalam perkahwinan lebih dari sedekad kemudian. I terlupa nama si-isteri (tapi dia seorang yang agak istimewa, dari apa yang saya dapat baca, dan dia hanya mengahwini Mill lepas suami pertamanya meninggal disebabkan masalah perundangan yang tidak membenarkan perceraian kecuali atas sebab zina) tapi I rasa kandungan surat-menyurat antara mereka pada masa itu ada menyentuh juga kepercayaan Mill terhadap kebolehan perempuan, dan kesamarataan hak untuk mendapat pendidikan dan stimulasi intelektual. Dan banyak lagi yang menarik.....

Sayangnya, zaman menulis surat sebagai satu karya seni dan bentuk berwacana tidak lagi wujud di zaman glokalisasi ini :(