Sunday, December 04, 2005

Tarian teks

Tarian teks di atas ker(pen)tas**

Our perception of our world is inevitably conditioned by the beliefs, fantasies, fears and wishes that we project onto it – that is, all the possible states of affairs that we imagine and propose. The ‘actual’ world of the drama is similarly subject to the speculations and projections not only of the characters within it but also of the spectators who observe it. – Keir Elam, The semiotics of theatre and drama (2002: 102)

The impossibility of rediscovering an absolute level of the real is of the same order as the impossibility of staging illusion. Illusion is no longer possible, because the real is no longer possible. – Jean Baudrillard, Simulacra and simulation (2003: 19)

All great prophecies are polysemic. That is one of their cardinal virtues, and explains how they have such general applications, and are transmitted so well across cultures and down the generations. – Pierre Bourdieu, dalam Bourdieu: A critical reader (ed. Richard Shusterman, 1999: 224)

Apabila jasad-jasad dinafikan wajah-wajah, apabila suara-suara diceraikan daripada jasad-jasadnya, yang tinggal hanya gerak-gerak dan gema-gema teriakan, kegembiraan dan ketakutan. Rasukan. Tangan-tangan meronta-ronta, pelarian dan pencarian. Panggung dicengkam kesunyian, kelam alam di suluhan lampu. Gema dan pancaran adalah kesedaran, kuasa-kuasa yang menyatu bersama panggung. Manusia dan kemanusiaan telah mati atau diberikan nafas baru – nafas kepalsuan.

Ruang empat segi yang mendatar, dan tanpa penjuru, mungkin mendatar, masa telah terkubur dalam ruang gelap. Tenaganya tenaga kegelapan. Semakin kita cuba memahami, ia semakin menyesatkan. Mungkinkah jasad dinafikan wajah dan suara? Teks, bunyi, imej dan suara menindih ruang, jasad dan panggung, kadang-kadang melimpah ke sisi panggung dan ke atas penonton. Agitasi seiras propaganda – propaganda yang mematikan; percaya atau enggan percaya sama sahaja – pembohongan memenuhi kegelapan yang tidak pernah dikenali atau mahu dimengertikan.

Cahaya datang daripada teks; bukan sebaliknya! Kemodenan, modernity, harus dicurigai – ia sang kudus bukan pembawa khabar syurgawi. Kerana bulan itulah mentari malam (kalau pun kita mahu percaya). Imej muncul daripada lolongan-lolongan anjing atau jasad-jasad yang tersisa. Masa telah menjadi sia-sia. Kesia-siaan menjadi batas waktu yang tanpa penghujung. Paradoks dan simpang-siur menjadi satu, menyatu bersama jasad-jasad, di atas panggung dan di bawah panggung. Seluruhnya hanyalah pentas, semua orang berlakon atau dilakonkan. Semua kesedaran hanya palsu. Pembohongan, kesedaran dan propaganda memenuhi panggung merayap-rayap di atas penonton. Panggung dan penonton menyatu – semuanya dibayangi kegelapan dan kesuraman; semua kita berbohong dengan mentera-mentera kesucian. Skrip diusung menjadi taubat sang pengarah. Dan pelakon-pelakon duduk menyaksikan penonton. Ia sebuah spectacle, suatu tontonan yang mengasyikkan tapi bohong. Alam belum jungkir balik tetapi saat-saat itu akan tiba, sedetik lagi tetapi bukan di atas pentas. Sebaliknya ia hadir di muka pintu, di luar panggung.

Jika makna hadir di sini dan bergerak – dari mana mahu ke mana ia mengembara?

Makna tidak hadir di alam fikiran; ia telah meloncat keluar dari teks, bunyi, cahaya dan gerak. Dari semua arah makna hadir dan ke semua arah ia pergi. Makna enggan bersatu di hati atau di atas teks, bunyi, cahaya dan gerak. Makna mahu hidup sendiri, ada nadi dan nafas sendiri tetapi ia tiada jasad. Ia terawang-awang, bukan di atas panggung tetapi di luar fikiran penonton. Tanda dan makna tercerai-cerai. Pengarah telah gagal kerana makna telah lari dari skrip; aturan bergerak tanpa makna lagi. Warna juga mati, terpisah makna, kerana ruang gelap menfanakan kepalsuan. Not-not muzik sudah tidak harmoni. Tarian keasyikan bergerak dari panggung ke atas penonton – sejenis perselingkuhan yang abadi. Semua hukum dilanggar; semuanya menjadi hukuman demi hukuman tetapi di sinilah keasyikan (ecstasy dan hedonism) – disorder sebagai order. Pentas menjadi ruang tari; jasad-jasad menjadi tiub-tiub warna. Kanvas itu sebuah gedung pewayangan (spectacle) yang dicari selepas menyaksikan, bukan sewaktu menonton. Ia kekal atau hilang, 1 atau 0. Logika perduaan (binary logics), sesuatu yang palsu tetapi nyata, bukan logika drama (dramatic logic) yang dipaksakan. Di sini ruang pembebasan. Makna terbang dari fikiran ke fikiran, kembali melalui asakan-asakan bunyi, warna, gerak dan lampu. Tontonan sekadar lakonan; ia bukan anugerah tetapi festival pendemokrasian makna. Semua orang menjadi pengarah, skrip, pelakon dan spectacle. Alam mengalami atomisasi melampau, semuanya cair; kod dan konvensi tidak dikenali. Putih bukan lawannya hitam. Gelap bukan bezanya terang. Bunyi bukan lawannya sunyi. Semuanya simpang siur.

Ini alam baru, semuanya tenaga, semuanya ruh yang bergentayangan. Semuanya kebaruan (novelty) dan kita baru sahaja dilahirkan dengan kementahan. Tiada beban tetapi kreativiti, beban kreativiti, beban penafsiran. Tetapi ia juga permainan dan khayalan. Ia tidak melekat, ia hanya hadir dan terus hadir (kepada yang mahu dan tidak mahu – semuanya harus menjadi mahu). Kita, manusia, semuanya tukang angguk, tiada protes. Di sini bukan jalan cerita dan tiada permasalahan dan tiada pula jawapan. Kebingungan adalah kekuatan dan tenaga. Pencarian adalah perjalanan. Pertanyaan menjadi ilmu, menjadi skrip dalam fikiran penonton. Ia kesementaraan yang tidak terjangkau tetapi dialami. Ia adalah khayalan simbol dan simbolisasi. Perwakilan tanpa keterwakilan.

Utan Kayu, Jakarta 2 Ramadhan 1426

** sebuah teks yang tidak pernah siap tetapi tiba-tiba diterbitkan dari Tanjung Aru, Sabah (4 Disember 2005); tidak layak dibaca kecuali mereka yang menikmatinya ;)

1 comment:

fathi aris omar said...

Artikel ini elok dibaca bersama dengan pertanyaan (ruang komentar) artikel berikut:

http://patahbalek.blogspot.com/2006/02/korupsi.html

Seorang teman pembaca bertanya seperti berikut:

(i) "Re: Perjalanan waktu mendewasakan ...sekaligus mengkorupsikan kita."

Wittgenstein musykil mengapa G.E. Moore dipuji kerana memiliki 'childlike innocence'. Apakah itu satu pujian, tanya W, kerana 'innocence' (kesucian?) yang dimilik anak-anak itu 'innocence' yang tidak pernah diuji.

Sdr lihat pengalaman sbg korupsi, tapi manusia spt W melihatnya sebagai ujian, di mana kita perlu memilih (seperti kata Dumbeldore kpd Harry Potter) antara yang mudah dan yang betul.

(ii) "Re: ...paling korup/muflis, etc etc"

Saya tak faham. Apa korupnya pembaca akhbar harian/majalah? Ya, ada yang membaca dan menelan bulat-bulat apa yang secara konvensinya literal tapi dalam sebutir beras pun sang pemikir zen boleh mencari beribu kebijaksanaan. Barthes, misalnya merungkai apa yang epik dalam gusti, dalam iklan, dalam mundanity kehidupan.

Foucault berkata, kritikan yang bersifat hukuman membuat aku mengantuk. Aku mimpikan kritikan yang memberi nafas pada idea, menyalakan api. Kritikan yang menjadi menjadi alis kilat taufan yang datang! Lebih bagus lagi kalau semua ini dicipta [dari sesuatu yang tak wujud].

Dan kemudian, selepas jawapan ringkas saya, menulis lagi:

FAO,

Cuba sdr consider, kalau kita bertanya tentang 'keikhlasan' bahasa, dan menghukum ia sebagai 'muflis dan korup' bukankah akhirnya kerja itu sia-sia, kerana untuk melakukan kerja itu (yakni menghukum) kita menggunakan bahasa juga (yang muflis dan korup!) - atau apakah ada golongan istimewa yang bahasanya suci murni?)

Apa nilai kritikan kita akhirnya?