Pengarang (asal): Khaled M. Abou el-Fadl
Penterjemah: al-Mustaqeem Mahmod Radhi
Penerbit: Middle-Eastern Graduates Centre (MEGC)
Terbitan: 2007
Harga (kedai): RM25.00
Buku baru, dan menarik. Wajib dibaca!
Hanya Tuhan Mengenal Tenteranya: Persoalan wibawa dalam wacana Islam terjemahan karangan Inggeris, And God Knows the Soldiers: The authoritative and authoritarian in Islamic discourses.
Buku ini menjelaskan, tidak semua wacana itu bersifat adil, ilmiah dan demokratik. Malah ada wacana agama, dan pengemuka wacana agama itu, bersifat authoritarian atau "kuku besi" (paksaan atau pemaksaan, istilah yang dipakai di dalam buku ini) dalam menyebarkan tafsir-tafsir keagamaan.
Buku ini nipis, tetapi padat, sesuai untuk bacaan peminat agama, termasuk penggiat usrah dan aktivis dakwah, yang ingin mengenali kewibawaan, atau sifat authoritativeness dan authority, sebenar sesuatu wacana --- khususnya agama (Islam).
Pengetahuan yang dilontarkan oleh pemikir ini boleh dijadikan panduan untuk mengenali siapakah guru, aliran berfikir dan wacana Islam yang "berwibawa" (authoritative) dan siapa pula yang bersifat "paksaan" (authoritarian), yakni tidak membenarkan pendengar/pembaca berfikir sendiri dan merumus kefahamannya, atau sesuatu tafsir yang beragam ditenggelamkan ragam fikiran yang lain.
Siapa yang "berlagak" Tuhan ketika menyampaikan "kebenaran" agama?
Buku Hanya Tuhan Mengenal Tenteranya: Persoalan wibawa dalam wacana Islam memberikan garis panduan tersebut, bermula dengan persoalan teks, pengarang dan pembaca.
Apa yang dibawa Khaled M. Abou el-Fadl mungkin asing dan pelik jika kita tidak mengikut perdebatan/teori tentang hubungan/ketegangan antara tiga unsur ini: teks, pengarang dan pembaca.
Jadi, persoalan kediktatoran wacana dan kewibawaan wacana sulit untuk kita fahami.
Untuk menyelami rahsia besar perdebatan yang dibawa oleh Khaled M. Abou al-Fadl, saya bercadang menghuraikan lebih lanjut teori/debat tentang [1] "teks, pengarang dan pembaca", khususnya yang telah dikembangkan dalam dunia akademia dan [2] kediktatoran wacana dan kewibawaan wacana.
Mungkin, jika dipersetujui teman-teman, Komunite Seni Jalan Telawi (KsJT) akan mendiskusikan panjang lebar buku ini dalam siri-siri Diskusi Warong kami. Apa kata kalau kita jadikan teks kuliah Ramadhan nanti?
[ii]
Buku ini sesuai dibaca oleh khalayak yang berdepan dengan teks, khususnya teks-teks berbau agama, dan juga semua pembaca, seperti mereka yang terlibat dengan usrah kerana setiap minggu mereka berdepan dengan teks, sama ada al-Quran, buku dakwah atau hadis.
Khaled mengingatkan kita untuk cermat dalam memahami teks, dan sekali gus, teliti mengemukakan pandangan, khususnya agama, agar tidak terjatuh menjadi "pemaksa" kebenaran tuntas dan tunggal sewaktu wujud persaingan pandangan atau sesuatu itu bersifat terbuka dan belum muktamad.
Buku ini asalnya ditujukan kepada, dan mengulas isu, umat Islam di Amerika Syarikat -- tempat ahli akademik ini mengajar perundangan Islam. Ia bermula dengan sebuah "fatwa" yang beredar melalui e-mel tentang hukum berdiri menghormati lagu negara dan bendera negara tersebut.
Perjalanan ini sampai di peringkat menganalisis budaya intelektual dan tingkat berfikir masyarakat Islam di negara itu, dan di beberapa negara lain -- mungkin di Malaysia juga, yang menderitai penyakit "kemalasan berfikir" atau berfikir dengan mudah seolah-olah agama dan persoalan agama begitu ringkas dan tidak perlu dipayah-payahkan.
Buku enam bab ini bermula dengan pengenalan 'Peninggalan sebuah buku ringkas' dan berakhir dengan 'Pasca penerbitan', kedua-duanya bab baru yang ditambah untuk tidak mengganggu edisi asal sewaktu cetakan semula 2001.
Jadi, kita boleh mendekati buku ini dengan bab-bab di tengahnya dahulu, misalnya bab 2: Persoalan wibawa, bab 3: Teks dan wibawa, dan bab 4: Kajian kasus (kes) sebelum bab 5: Pembentukan autoritarian. Saya cadangkan buku ini dibaca begitu, kerana bab-bab ini dikarang lebih awal daripada dua bab lagi. Namun, bagaimana mendekati buku ini terserah kepada pembaca.
Misalnya kita temui perenggan berikut di Bab 2: Tuhan, menurut hujah ulama, tidak menetapkan kebenaran yang objektif dan tunggal. Kebenaran melekap pada pencarian ---pencarian itu sendiri merupakan kebenaran yang unggul. Hasilnya ketepatan, atau kebenaran, diukur berdasarkan keikhlasan pencarian masing-masing individu.
Di bab 3, walaupun pengarang menyebut suasana buruk tradisi keilmuan Islam di Amerika Syarikat, tetapi saya fikir gejala yang sama juga wujud di Malaysia --- menjadikan buku lebih relevan dibaca juga di sini.
Misalnya pengarang menulis: ... mereka belum membangunkan jalan untuk menilai keabsahan atau kewibawaan pelbagai jalan yang boleh digunakan untuk membaca dan mentafsir sesebuah teks Islam. Hubungan antara warisan hermeneutik dan epistemologi klasik dengan Muslim yang hidup di Amerika sangat parah.
Muslim di Barat merupakan kelompok yang tidak mempunyai warisan, dan mereka terbujuk untuk membentuk semula diri mereka tanpa bersandar kepada hikmah yang dikumpulkan oleh generasi Muslim terdahulu.
Apabila tiba waktu untuk memahami teks Islam, terdapat lompong yang jelas --- lompong yang sering diisi oleh agen-agen autoritarian yang mentafsir Kehendak Tuhan dengan tujuan mematikan wacana. Keparahan ini diakibatkan oleh puritanisme yang despotic untuk mewujudkan suasana sunyi yang melemaskan.
Ungkapan beliau di sini mengingatkan kritik Seyyed Hussein Nasr terhadap fundamentalisme agama, yang disebutnya "Islamicist" dalam kitabnya Traditional Islam in the Modern World.
Yakni ayat Khaled M Abou el-Fadl yang ini: "tanpa bersandar kepada hikmah yang dikumpulkan oleh generasi Muslim terdahulu" atau dalam konteks kita di Malaysia, merobek-robek "hikmah yang dikumpulkan oleh generasi Muslim terdahulu" yang dilaungkan dengan jelas apabila kita menekankan beberapa mazhab "rasmi" Islam sahaja seperti Sunni dan Syafi'e sahaja dengan mengabaikan, malah mungkin lebih tepat --- menyembunyikan, sejumlah aliran dan tokoh Islam klasik.
Malah, tokoh Islam kontemporari juga menjadi korban pada sikap jahat memilih-milih ini, termasuk karya Nasr sendiri Traditional Islam in the Modern World.
Sebab itulah buku Khaled ini sangat relevan!
.... bersambung/
3 comments:
abang fathi, tarima kaseh atas kunjungan ke Nota kaki sebentar tadi.
Saya tak pernah baca buku ni, tapi nak tanya apakah meritnya lapangan intelektual yang tiada autoriti (demokratik)?
Teringat pandangan SMN Al-Attas bahawa krisis manusia moden ialah kehilangan adab - yang boleh ditafsirkan sebagai meratakan kekuatan hujah semua orang.
Saya tak tahu samada Khaled Abou el-Fadl mempertimbangkan elemen-elemen autoriti dalam epistemologi Sunni klasik - sanad dan ijazah. Adakah beliau pro atau kon terhadap sistem ini?
Analisis awal saya, sanad dan ijazah ini memberi suatu struktur yang stabil - bukan autoritarian mahupun anarki. Atas sifatnya yang berupa unwritten rule, terdapat pelbagai kelonggaran sekaligus memberi ruang checks&balances (sedikit sebanyak).
Saya tahu, kebarangkalian besar Abang fathi tak akan ulas komen saya ini dan mahukan saya khatam dulu buku Khaled sebelum mengeluarkan hujah. Saya tiada masalah mendapatkannya di perpustakaan, cuma reading-list saya untuk Jun dan Julai ni terlalu panjang.
Oh bukan. Bukan begitu maksudnya. Pengarang buku ini tidak menyebut perkataan "wacana demokratik".
"Demokratik", maksud saya, wacana yang terbuka, yang mengizinkan saingan hujah dan kajian kembali/semakan terhadap wacana si pembawa idea.
Nanti saya sambung, dan jelaskan lagi ... insya Allah
faomar@yahoo.com
Salam,
Tulisan Khaled memang sentiasa segar. Saya sudah baca buku Musyawarah Buku tulisan beliau. Saya kagum dengan usha belaiu menggali kitab-kitab lama.
Rasa saya tulisan Khaled macam ada persamaan dengan Patah Balek.
Kedua-duanya saya suka.
Post a Comment