Tuesday, May 27, 2008

Debat baju sekolah

Isu-isu ini memang panas. Perkataannya - "seksi" - panas, dan sindirannya juga pedas. Jawapan dan kecaman terhadap sindirannya tidak kurang panas... Tetapi foto dari negara jiran ini, yang ditunjukkan oleh editor saya yang pernah bertugas di negara jiran, lagilah panas. Pakaian seragam untuk mahasiswi Thailand yang dikenali sebagai "pakaian pensil" kerana warnanya yang hitam dan putih.

Baju sekolah memang 'seksi'
(Malaysiakini.com, 26 Mei 2008)

Muslimat PAS bersetuju dengan saranan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) yang menggesa pakaian seragam pelajar perempuan diganti kerana jarang dan boleh mengundang gangguan serta jenayah seks.

Bagaimanapun setiausaha dewan itu Aiman Athirah Al Jundi berkata isunya bukan warna baju pelajar itu tetapi jenis kainnya yang jarang dan menarik perhatian.

"Kita tidak dapat menafikan bahawa material (bahan) kain putih yang digunakan selama ini adalah agak nipis dan menyebabkan pelajar-pelajar perempuan kelihatan agak seksi khususnya apabila tidak mengenakan tudung yang dapat membantu menutup dada mereka (sekiranya dilabuhkan sedikit)," katanya.

"Apatah lagi sekiranya mereka hanya memakai coli tanpa mengenakan singlet dalam. Lebih ketara apabila warna pakaian dalam mereka lebih terang atau kontra dengan seragam putih yang mereka pakai.

"Lebih malang bagi pelajar perempuan ialah apabila hari hujan."


Tukar baju elak gangguan seks
(Malaysiakini.com, 21 Mei 2008)

Kementerian Pelajaran dicadangkan menukar pakaian seragam pelajar perempuan bagi menangani jenayah seksual melibatkan remaja dan hubungan seks sebelum perkahwinan dalam kalangan mereka.

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) berkata, kementerian boleh menukar baju putih kepada baju berwarna kerana ia tampak sesuai dan tidak jarang untuk dipakai oleh pelajar perempuan.

"Baju berwarna putih sangat jarang untuk dipakai oleh pelajar perempuan menyebabkan ada daya tarikan di situ," kata pemimpin wanita PKPIM, Munirah Bahari hari ini.

"Lebih-lebih lagi ia (baju jarang) akan mengganggu mata lelaki, sama ada suka melihatnya atau pun tidak. Baju berwarna putih itu tidak sesuai dipakai oleh pelajar perempuan di sekolah kerajaan.

"Di sinilah punca yang boleh kita saksikan bahawa pelajar perempuan itu sendiri mempunyai daya tarikan supaya lelaki mendekatinya.

"Oleh itu terjadilah perkara-perkara seperti pencabulan, penzinaan dan sebagainya."

Beliau mencadangkan kementerian menilai semula secepat mungkin baju seragam sekolah untuk pelajar perempuan.

1 comment:

Mohd Nadzri Kamsin said...

Lebih seksi gambar yang dipaparkan saudara.