Thursday, June 05, 2008

Tidakkah kau takut?

Barangkali saya tersalah tanya isu yang salah kepada tokoh muda yang salah.

Di hujung wawancara dengan Mohamad Ezam Mohd Nor kurang lebih seminggu lepas, saya bertanya (kira-kira berbunyi):

Apakah anda tidak takut melihat kehidupan berpolitik kita hari ini, apabila orang politik lebih banyak dan hebat mendedahkan isu-isu dan kes-kes rasuah berbanding media dan wartawan? [Apakah anda tidak takut melihat kehidupan berpolitik kita hari ini ...] sebahagian isu rasuah itu untuk menghentam orang lain dan menaikkan diri sendiri?

Soalan ini, di hujung sisa-sisa temubual di pejabat Malaysiakini pada Sabtu lepas, bukan soalan politik dan tidak wajar ditanyakan kepada tokoh politik -- walau Mohamad Ezam mahu dikenali sebagai juara anti-rasuah melalui GERAK.

Soalan ini juga, saya kira, bukan soalan berita yang wajar diperhitungkan untuk dimasukkan sebagai bahan santapan pengguna media.

Mohamad Ezam menjawab sesuatu, bukan berdiam diri atau termenung. Saya tidak pasti sama ada beliau memahami persoalan itu, atau cuba menduga siratan pertanyaan yang tersurat.

Namun saya dapat menduga beliau agak kekok dengan pertanyaan ini, dan janggal pula dengan persoalan ini.

Lalu saya cuba memancing lagi (sekali lagi, kira-kira berbunyi):

Di negara-negara lain pendedahan rasuah dan skandal orang politik, khususnya parti pemeritah, dan selebriti diusahakan oleh media, di tangan wartawan. Tetapi di sini, tidak. Media berdiri jauh di belakang pendedahan skandal dan rasuah yang dibuat orang politik.

Saya agak Mohamad Ezam, dan teman-teman seangkatannya sama ada pembangkang atau kerajaan, tidak dapat menduga sedalam mana persoalan ini daripada beberapa baris pertanyaan ini. Dan, mungkin jauh sekali untuk menduga kepentingan dan keberkaitannya dengan isu politik, rasuah dan kehidupan demokrasi di negara kita.

Saya tidak salahkah beliau dan saya tidak salahkan sesiapa -- sememangnya untuk menjadi mahkluk politik, dan political junkie, kita tidak perlu bertanya isu-isu yang lebih mendalam dengan cakupan yang luas.

Politik kita tidak memerlukan itu semua.

Persoalan saya itu persoalan kebudayaan, persoalan filsafat, persoalan yang bertujuan menerobos ke dasar kesedaran diri daripada sekadar retorika. Persoalan saya itu persoalan refleksi, renungan dan cerminan balik ke dasar-dasar persoalan.

Oleh kerana tidak ada lagi soalan yang lebih ingin ditanyakan kepadanya, sebagai wartawan, saya melontarkan persoalan tersebut. Oleh kerana sudah lama tidak mengemaskini blog ini dan oleh kerana tiada bahan yang hendak saya tulis, maka saya bangkitkan persoalan tersebut.

Ya, ia hanya sisa-sisa persoalan daripada semua yang berguna. Yang enggan dijawab, dan mungkin tidak mahu dipertanyakan orang.


[ii]

Sudah agak lama saya tidak berendam dengan buku, idea dan diskusi warung yang rancak. Mungkin sepanjang usia perkahwinan saya, atau lebih panjang lagi. Setidak-tidaknya, dalam ingatan saya, sejak kembali dari Jakarta dan sejak berhenti menulis kolum "Tiada Noktah" di Malaysiakini, saya hari demi hari semakin jauh dari buku -- maksud saya, buku yang memuaskan batin!

Sehinggalah, demi menghabiskan sisa-sisa perjalanan yang tidak terlalu membosankan dari Puduraya ke Tanjung Malim dan Besout, saya membelek-belek The Reckless Mind: Intellectuals in Politics, buah tangan Mark Lilla.

Ternyata, ia memang mengasyikkan, boleh meningkatkan berahi intelek yang luar biasa -- kadang-kadang terasa juga buku ini, walaupun tentang tokoh, sejarah dan idea filsafat besar abad ke-20 hanyalah sekadar buku pop tentang orang, idea dan zamannya. Buku-buku yang lebih baik sedikit daripada biasa.

Namun, persoalan yang dibangkitkan oleh Lilla, memang berat dan mencabar. Persoalan ini semakin relevan apabila Pakatan Rakyat menguasai politik nasional dalam skala yang besar, sewaktu teman-teman, khususnya yang muda-muda 20-an usianya terseret dalam kancah kemenangan tersebut.

Kecuali seorang (agak saya), teman-teman lain belum membacanya -- walau hubungan dan peranan intelektual dengan politik sudah tidak terlalu asing kepada kami. Saya baru sampai di halaman 206 bab "The lure of Syracuse", yang kononnya pernah ditanyakan kepada Martin Heidegger selepas Nazisme tumbang.

Walaupun tidak mendalam dan biasa-biasa sahaja, saya sering juga menyentuhnya. Menghabisi bab demi bab The Reckless Mind: Intellectuals in Politics ibarat mengkhatam sejuzuk al-Quran, asyik dan rohani sekali kesannya.

Apatah lagi jika dibaca di dalam sebuah bas dingin yang tidak mempunyai (seorang pun!) gadis manis...

6 comments:

babazahra' said...

welcome back!

Syahir the Owl said...

Saya suka dengan blog En. Fathi Aris! Ia penuh dengan kritis! Tulisan saudara amat menarik dan mempunyai bahasa yang mengkagumkan! Saya pernah baca buku ide! Ia sangat menarik! Teruskan perjuangan anda!

penanya said...

encik. saya mula mengkagumi penulisan encik. ya. saya seorang yang sangat muda dan sedang mula mengenali dan berdepan dengan permainan dunia. namun begitu, untuk sekadar mengetahui, berdasarkan apa yang encik katakan pada post ini,

1)"Di negara-negara lain pendedahan rasuah dan skandal orang politik, khususnya parti pemeritah, dan selebriti diusahakan oleh media, di tangan wartawan. Tetapi di sini, tidak. Media berdiri jauh di belakang pendedahan skandal dan rasuah yang dibuat orang politik."

dan ini,

2)"Saya tidak salahkah beliau dan saya tidak salahkan sesiapa -- sememangnya untuk menjadi mahkluk politik, dan political junkie, kita tidak perlu bertanya isu-isu yang lebih mendalam dengan cakupan yang luas."

ingin saya bertanya; 1) apakah wartawan di negara-negara lain mempunyai kebebasan mutlak dalam mengeluarkan atau mendedahkan segala apa yang mereka perolehi melalui media? atau ada batas-batas tertentu yang menghalang mereka mengeluarkan 'statement' yang mampu memudaratkan meskipun kepada negara yang didiaminya sendiri?

dan ingin saya mempersoalkan; 1)bolehkah saya katakan, bahawa kerajaan yang memeritah kini (yang dikatakan memegang kuasa media tempatan) telah bertindak menyekat kebebasan media demi menutup beberapa keburukan atau 'tahi' yang telah mereka lakukan sepanjang pemerintahan. ataupun mereka menutup segala isu-isu yang berkaitan dengan perkauman yang serius. adakah ia suatu kebaikan demi menjaga kestabilan dan keamanan negara kerana jikalau andainya kebebasan media dilepaskan, berlaku pergolakan internal yang melibatkan politikus2 negara. dan sudah tentu ia lambat laun melibatkan rakyat sesama sendiri.

ingin saya bertanya lagi; 2) mengapa kita tidak perlu bertanya tentang isu-isu yang mendalam dalam cakupan yang luas "untuk menjadi politic junkie" (mereka yang bukan politic junkie?). adakah jawapan yang akan kita dapat apabila bertanya ia adalah jawapan yang berbentuk suatu dalih atau berbunyi begini-"err. itu akan diberitahu kelak".

itu sahaja pertanyaan dari saya seorang budak mentah kepada encik. secara jujurnya, saya sekadar ingin tahu dan memberitahu. dan tidak semestinya kata2 atau respon encik akan bulat2 saya terima kerana saya perlu mempersoalkannya terlebih dahulu. dan mana yang bagi saya adalah baik sebagai perisai hidup saya dalam menentang arus kehidupan moden yang semakin tebal dengan kehendak materialistik ini, akan saya semat dan gunakannya dengan baik.

sekian dan salam,
penanya.

mf said...

teman-teman. mari kempen untuk kebebasan berkarya.

Anonymous said...

paris..yang mung g tanyer ezang tu buat apa..mung tanyer dia biler dia nok dedahkan rasuah pemerintah malaysia yang berkotok2 tu dan eangkatan dengannya..aku rasa jawapang ezang senang jer.."habuk pun tarak............." hohohoho. Mung try tanyer joe kidd..ape hal masa Protes d kelaner jayer baru2 ning....

ibnuaiz said...

dari pandangan peribadi kwn, golongan media dan wartawan tidak cukup daya dan kekuatan yg mana peranan yang sepatutnya dimainkan tidak berfungsi sebaliknya terpaksa dipikul oleh orang politik. walaubagaimanapun walau siapa pun yang memainkan peranan tertentu demi kebenaran dan kerana allah insyallah selamat.

satu perkara lagi pandangan peribadi kawan kurang sesuai menyamakan karya manusia dengan al-quran kerana sesungguhnya kalam allah tidak sama dengan kata-kata atau tulisan manusia kerana sifat allah adalah bersalahan dengan segala yang baharu.