Thursday, June 25, 2009

Rosmah

Maklumat ini belum diberitakan - sebahagiannya sudah pernah disebut dalam laporan Harakahdaily.net, sementara sebahagian yang lain pernah menjadi buah mulut segelintir wartawan media arus perdana dan peminat dunia hiburan.

Tetapi, umumnya, sehingga kini tiada berita atau pengesahan rasmi.

Berita ini ada kaitan dengan Rosmah Mansor, isteri perdana menteri kita sekarang, sewaktu beliau belum lagi bergelar "wanita pertama" negara ini.

Beberapa klip video yang dimuatkan di Youtube sejak dua minggu lalu membangkitkan semula memori saya sewaktu bertugas dengan mStar Online, edisi dalam talian akhbar berbahasa Melayu yang diusahakan oleh Star Publications Bhd.

Malaysiakini siang tadi melaporkan sedikit tentang kewujudan tiga klip video ini. Kami mengambil keputusan untuk tidak menerbit-ulang dakwaan-dakwaan yang dimuatkan dalam video-video tersebut. Biar pembaca mengkaji dan membuat kesimpulan sendiri.

Malaysiakini hari ini hanya menganalisis, kurang lebih, kedudukan tiga klip tersebut dan bagaimana ia tersebar - dimanfaatkan oleh golongan yang anti-Rosmah, anti-PM atau anti-Umno atau ketiga-tiganya sekali gus.

Dan bagaimanapun reaksi mereka yang pro-Rosmah, pro-PM atau pro-Umno atau ketiga-tiganya sekali gus.

Dalam satu daripada tiga klip tersebut, seorang lelaki yang mendakwa adik Rosmah menceritakan kemarahan "wanita pertama" apabila dia menolong menguruskan perkahwinan anak perempuan Rosmah dengan seorang selebriti yang bergelar doktor, anak seorang Datuk yang berkait erat dengan Umno.

Dalam klip video itu juga ditunjukkan (baca: mendakwa) seorang lelaki yang mendakwa Rosmah menghalang tetamu utama (yang telah diundang) ke majlis perkahwinan tersebut dihalang oleh "orang-orang Rosmah."

Saya tidak dapat mengesahkan kedua-dua dakwaan ini. Sama ada benar atau palsu, terpulang pada penyelidikan masing-masing pembaca.

Namun maklumat yang saya mahu kongsikan di sini berkaitan (sangat-sangat berkaitan) majlis perkahwinan anak gadis Rosmah (bukan anak dengan Najib) seperti dua lelaki itu dakwa dalam klip video "Rosmah perempuan puaka."

Saya tidak tahu bagaimana editor atau wartawan hiburan di akhbar-akhbar harian dan majalah-majalah hiburan yang lain. Tetapi saya ingin kongsikan satu maklumat tentang perkahwinan tersebut seperti yang saya pernah alami (lihat dengan mata) di mStar Online.


[ii]

Pada malam itu saya kebetulan pulang lewat dari pejabat. Seorang teman wartawan, wanita dan masih muda, ditugaskan untuk menghadiri dan membuat liputan tentang perkahwinan tersebut.
Beliau bahagian hiburan, sementara saya bahagian berita.

Sebagai seorang yang dedikasi, selepas majlis tersebut, beliau terus kembali ke pejabat dan menfailkan story tentang majlis tersebut - maklumlah anak isteri timbalan perdana menteri dengan selebriti yang meningkat naik waktu itu. Tentu nilai beritanya tinggi dan mStar Online ingin segera melaporkan peristiwa bersejarah dan meriah itu.

Kalau tidak salah ingatan saya, waktu itu sudah jam 10 malam. Saya menyemak sepintas lalu dan merancang untuk pulang.

Kira-kira sejam selepas ia dimuatnaik, tiba-tiba editor kami (lebih tepat acting editor, kerana mStar Online belum ada editor rasmi, waktu itu) bergegas datang dari rumahnya di Ampang.

Beliau sudah pulang lebih awal, petang hari itu atau beberapa jam sebelum muncul kembali di depan saya - di tingkat 7 bangunan The Star. Tiba-tiba diarah datang ke pejabat. Tidak hairan beliau nampak sedikit tidak senang dan merungut-rungut.

Rupa-rupanya "boss" (bukan sahaja big boss di The Star, tetapi yang lebih atas dan di luar The Star) mengarahkan agar story wartawan wanita tadi dibuang sama sekali daripada mStar Online!

Editor kami membaca story tersebut, dan sambil merungut-rungut sebentar, terpaksa membuangnya. Barulah saya tahu bahawa ada seseorang yang tidak senang dengan berita anak perempuan Rosmah diterbitkan di media.

Saya menunggu dan menunggu - esok, lusa, seminggu dan dua minggu. Media-media lain juga tidak melaporkan tentang berita perkahwinan tersebut. Saya hairan, kami bertanya-tanya.

Dan kemudian tersebarlah khabar bahawa Rosmah sendiri tidak mahu berita perkahwinan itu diterbitkan!

Dan saya pun belajar satu hukum untuk berjaya sebagai pekerja media di akhbar arus perdana bahawa ikutlah arahan orang politik kalau mahu terus kekal di situ walaupun arahannya tidak masuk akal, melampaui batas atau high-handed.

Nota: Sehingga kini saya tidak pasti siapa yang memberi arahan tersebut, sama ada pegawai-pegawai Najib, pegawai-pegawai Rosmah atau siapa. Saya sendiri tidak dapat mengesahkan sama ada khabar "Rosmah sendiri tidak mahu berita perkahwinan itu diterbitkan" itu benar atau palsu. Sehingga kini saya tidak pasti, saya tidak sahkan sendiri dan tiada maklumat sahih.

Yang saya dapat sahkan daripada peristiwa ini adalah - khabar angin bertukar menjadi berita yang sahih dan kuat sewaktu berita sebenar tidak lagi dapat disampaikan!


[iii]

Apabila isu perkahwinan anak gadis Rosmah muncul, semula, dalam klip video tersebut, maka maxim yang saya pakai saat ini ringkas sahaja: khabar angin bertukar menjadi berita yang sahih dan kuat sewaktu berita sebenar tidak lagi dapat disampaikan!

Gambar-gambar perkahwinan mereka (acara bersanding) boleh dilihat di Agendadaily.com.

Hak cipta foto atas (c) Pretty Peektures, foto bawah (c) Agenda Daily - anak Rosmah menangis

1 comment:

Marsli N.O said...

Sdr Fathi: Saya datang membaca dan menambahkan input peribadi.