Entah mengapa, dan kita perlu cari sebabnya, berita negatif tentang Rosmah Mansor cepat mendapat perhatian ramai - setidak-tidaknya beginilah ukuran enjin pengesan beberapa berita ngetop (istilah orang Indonesia) di Malaysiakini.
Terbaru berita tentang beliau bertajuk Lagi gema gugurkan Rosmah di Unisel. Ia dimuatkan petang Jumaat lalu (hari yang paling kurang pembaca, khususnya di sebelah petang) dan tiba-tiba melompat ke tangga keempat berita paling popular sebulan ini.
Ia melaporkan satu desakan popular - dan kelihatannya spontan, tanpa perancangan - untuk menyingkirkan isteri perdana menteri sebagai canselor universiti tersebut.
Dua berita teratas kategori paling popular bulanan juga mengenai Rosmah - Kempen video burukkan isteri PM (25 Jun) dan 'Rosmah-Najib kahwin di rumah saya' (26 Jun).
Berada di tangga kelapan sejak beberapa minggu lalu JKKK kecewa video cemar Rosmah (26 Jun).
Malaysiakini pernah memuatkan beberapa bahan berita tentang (atau berkaitan) Rosmah dalam tempoh dua minggu lalu tetapi tidak tersenarai dalam kategori paling popular peringkat bulanan.
Bagaimanapun bahan-bahan berita ini pernah popular peringkat mingguan - tetapi tidak cukup kuat untuk mendaki tangga bulanan: Video burukkan Rosmah makin hilang sambutan (9 Julai), Siswa anti-Rosmah belum serah diri (2 Julai), Video Rosmah: Polis siasat Badrul (30 Jun) dan 'Bini puaka' seret 2 siswa ke mahkamah (30 Jun).
Kita harus bertanya: kenapa berita-berita tertentu tentang Rosmah meraih populariti mendadak dan bertahan lama dalam carta berita popular; sementara berita-berita lain tentang personaliti yang sama boleh naik mendadak tetapi tidak kekal dalam carta popular?
[ii]
Jika kita tinjau lagi carta berita-berita ngetop bulanan di Malaysiakini, kita akan dapati berita banglo mewah Dr Khir Toyo berada di tangga ketiga - kenaikan perlahan-lahan sejak ia menjadi isu besar media awal minggu lalu (6 Julai).
Berita Nik Aziz Nik Mat menghentam Nasharuddin Mat Isa (kata orang, nama barunya "broker") masih bertahan di tangga kelima walaupun isunya sudah lama berlalu (17 Jun).
Berita yang naik mendadak tetapi masih di tangga bawah carta paling popular peringkat bulanan termasuklah ulasan Dr Mahathir Mohamad tentang 100 hari pertama "yang lebih banyak negatif daripada positif" pentadbiran Najib Razak, suami Rosmah.
Ia berada di tangga kesembilan, atas berita tentang Mohd Saiful Bukhari Azlan jawab bos lamanya Anwar Ibrahim - sudah lama, mula menurun dan mungkin akan terkeluar carta tidak lama lagi jika ada berita-berita yang lebih hangat.
Senarai berita dan perkembangan sekitar politik Perak dan wiranya yang paling tersohor Mohamad Nizar Jamaluddin - yang pernah menguasai carta bulanan sejak beberapa bulan dulu - kini berada di tangga ketujuh.
Kemungkinan tokoh ini akan terus merosot jika tiada lagi insiden seperti rampasan kuasa di Perak, kekecohan di DUN Perak, kes mahkamahnya yang luar biasa dan laungan "hidup rakyat" di Dewan Rakyat.
[iii]
Saya rasa mudah untuk menjawab kenapa tokoh-tokoh politik ini mendapat perhatian meluas. Antaranya, kerana isu itu bersifat nasional, dilaporkan meluas di media dan tokoh politik yang sudah bertapak kukuh.
Persoalan saya kenapa berita tentang Rosmah yang hanya dilaporkan di Malaysiakini boleh mencipta minat mendalam pembaca? Apakah hebatnya Rosmah ini?
Monday, July 13, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment