(Khusus kepada pembaca Majalah I, Julai 2009)
Artikel saya yang asalnya bertujuan main-main akhirnya menjerat diri sendiri.
Malu ada, lucu pun ada - begitulah yang saya rasa sewaktu menyedari memang benar kata orang "pengarang telah mati" dan teks akhirnya bercakap bagi pihak dirinya sendiri - tiada lagi campur tangan pengarang!
Untuk bacaan lanjut teori ini, baca The Death of the Author (oleh Roland Barthes) dan ringkasan ideanya.
Kelmarin saya terperasan sebuah majalah Islam menerbitkan kembali artikel saya tentang "ISA, juga ada manfaatnya" yang diedarkan di Internet sejak April 2001 termasuk di Tranungkite.net.
Majalah bulanan terbitan Karangkraf itu dalam edisi Julai (terbaru) memuatkan isu kebebasan bersuara dengan memaparkan tokoh anti-ISA, Syed Ibrahim Syed Noh dan terselit juga satu halaman artikel saya tersebut.
Ya, walaupun saya berterima kasih atas kesudian pengarang dan penerbit memuatkan artikel tersebut demi melanjutkan perbahasan tentang pro dan kontra akta kontroversi tersebut tetapi tulisan saya itu tidak kena-mengena dengan sikap saya yang anti-ISA.
Tajuknya memang berbunyi positif tetapi kandungannya sarat dengan sindiran sinis yang halus, main-main dan benci kalau ... (ulang: kalau) pembaca memahami latar peristiwa politik yang mendorong saya menulis sebegitu rupa.
Yakni, penangkapan 10 aktivis Gerakan Reformasi dan pemimpin PKR (dulu PKN) menjelang dan selepas 14 April 2001 dan kenyataan ketua polis negara waktu itu yang bohong, palsu, mengada-ngada dan jahat.
[ii]
Bagaimanapun Majalah I bukanlah pihak pertama yang terkeliru dengan artikel saya yang mengelirukan itu.
Sahabat saya Astora Jabat juga pernah membangkitkan artikel tersebut dalam satu kolumnya di Utusan Malaysia (16 Feb 2003) yang memuji-muji saya sebagai seorang (daripada tiga) penulis Melayu kritikal "yang rasional". Saya telah jelaskan di sini "Belum mati" (16 Dis 2005).
Saya memohon maaf atas sifat main-main dan sinis lembut dalam artikel saya tentang ISA walaupun saya fikir saya tidak pernah bersalah apa-apa. Cuma, jika ada tanggapan umum bahawa saya pernah menyokong ISA, saya mohon maaf!
Kebetulan artikel ini tidak datang sendirian. Ada satu catatan pendek yang dikirim sehari atau dua sebelum saya menulis artikel ini.
Artikel itu bertajuk 'Cara nak buat Grenade Launcher, Molotov Koktel dan Bom' (lihat sikap saya yang anti-ISA dalam senarai artikel saya antara 2000 dan 2001 di laman web edisi lama Tranungkite.net).
Malah Astora bukan pihak yang pertama terkeliru.
Sewaktu artikel tentang ISA tersebut diedarkan dalam ruang diskusi senarai e-mel (mailing list) dan laman-laman web tersebut, ia telah menimbulkan kontroversi dan mengelirukan beberapa pembaca, termasuk teman-teman dekat saya sendiri.
Beberapa pembaca Malaysiakini, malah, menulis dan merungut waktu itu kepada ketua editor kami, Steven Gan. Saya telah jelaskan kepada Steven, rakan-rakan dan pembaca tetapi ... rupa-rupanya "pengarang telah mati" dan hantu karyanya terus berkeliaran mengejar mangsanya sendiri.
[iii]
Kepada rakan-rakan yang mengenali saya dan kepada pembaca setia yang mengikuti dengan dekat coretan-coretan saya, tentulah mereka tidak percaya saya mempunyai pendirian sedemikian dan tentulah mereka fikir saya bermain-main atau hanya melepaskan geram.
Saya boleh tunjukkan beberapa tempat yang menunjukkan artikel itu bukanlah mewakili pendirian saya.
(a) Sesuatu undang-undang diluluskan di Dewan Rakyat digubal untuk manfaat orang ramai dan negara, bukan semata-mata untuk menjaga Perdana Menteri atau Umno seperti didakwa oleh pembangkang.
Penjelasan: Saya sedar beberapa (kalau tidak banyak) akta digubal demi kepentingan perdana menteri dan kerajaan Umno semata-mata. Misalnya akta yang sering menjadi kecaman saya dalam konteks kempen kebebasan media, Akta Penerbitan dan Mesin Cetak (PPPA) dan Akta Rahsia Rasmi (OSA).
(b) Pembangkang memang akan memburuk-burukkan ISA kerana aktivis dan pengikut mereka yang sering menganjurkan keganasan, termasuk ketika berceramah, akan berasa terhalang dengan wujudnya akta ini.
Penjelasan: Saya tidak pernah percaya pembangkang menganjurkan keganasan sewaktu mereka berceramah yang saya ikuti sejak di bangku sekolah lagi. Saya ikuti dengan dekat kegiatan pembangkang - ceramah, seminar, forum, mesyuarat dan demonstrasi.
Hujah (b) saya ulang sebagai menyindir pemimpin politik BN, pegawai polis dan media arus perdana yang suka memburuk-burukkan pembangkang secara bombastik!
(c) Bukankah mereka juga berhak hidup dengan aman damai, sekurang-kurangnya dapat kais pagi makan pagi untuk menyara anak-anak ke sekolah.
Penjelasan: Ungkapan "berhak hidup dengan aman damai, sekurang-kurangnya dapat kais pagi makan pagi" juga bermaksud menyindir atau main-main.
(d) Dengan itu akan terselamatlah negara ini daripada gejala puak-puak pelampau ini, misalnya penyokong reformasi.
Penjelasan: Saya meletakkan diri saya sebagai penulis yang sebelah kakinya dalam Gerakan Reformasi (waktu itu) dan sebelah lagi dalam dunia kewartawanan, kepenulisan dan penerbitan alternatif. Semua "orang reformasi", aktivis NGO dan malah polis Cawangan Khas (SB) menyedari perkara ini.
(e) Setiap kali mereka mengadakan tunjuk perasaan besar-besaran di Kuala Lumpur, mereka mengganggu lalu lintas dan penjaja-penjaja di tepi jalan. Tidakkah kegiatan ini berbahaya kepada keselamatan nyawa pengguna jalan raya dan gedung perusahaan penjaja-penjaja ini?
Penjelasan: Lihat frasa ini "berbahaya kepada keselamatan nyawa pengguna jalan raya dan gedung perusahaan penjaja-penjaja ini." Cuba lihat perkataan "gedung perusahaan penjaja-penjaja", biar betul!
(f) Perenggan tersebut haruslah dibaca dengan perenggan selepasnya: Tentunya! Oleh itu langkah kerajaan untuk menggunakan ISA ke atas puak reformasi masih mempunyai kesan yang positif ke arah mengurangkan kemalangan di ibukota, misalnya akibat perlumbaan haram, dan meningkatkan taraf penjaja-penjaja Bumiputera di ibukota – yang semakin dihimpit ekonomi kaum asing.
Penjelasan: Saya ulang sejumlah perkataan tersebut dengan memberikan fokus kepada frasa yang digariskan seperti berikut: ... langkah kerajaan untuk menggunakan ISA ke atas puak reformasi masih mempunyai kesan yang positif ke arah mengurangkan kemalangan di ibukota, misalnya akibat perlumbaan haram.
Apakah begini sikap saya dan cara saya berfikir?
(g) Minggu lalu polis telah mendedahkan satu pakatan sulit puak reformasi untuk menggunakan pelancar bom, bahan letupan, bom petrol dan bebola penggalas bagi menyerang anggota-anggota polis.
Penjelasan: Saya tahu kenyataan ketua polis negara ini bohon semata-mata kerana saban malam saya bersama penggerak-penggerak demonstrasi ini dan pembohongan ini jelas sekali kerana kertas pertuduhan (sebenarnya alasan semata-mata) ke atas mereka sebelum diseret ke kem Kamunting di Taiping tiada kaitan langsung dengan kenyataan ketua polis ini!
(h) Walaupun polis tidak mengadakan sebarang sekatan jalan raya atau memeriksa kenderaan di tempat-tempat strategik di ibu kota, tetapi oleh kerana mereka sedar bahawa ISA sedang menunggu mereka, maka semua senjata berbahaya itu ditinggalkan sahaja di rumah-rumah mereka.
Penjelasan: Cuba lihat frasa "semua senjata berbahaya itu ditinggalkan sahaja di rumah-rumah mereka". Senjata berbahaya yang saya maksudkan ini (seperti perenggan-perenggan sebelumnya: pelancar bom, bahan letupan, bom petrol dan bebola penggalas) kerana nama-nama ini saya muntahkan kembali daripada kenyataan Tan Sri Norian Mai!
[iv]
Dengan sikap saya yang terpaksa menjelaskan kembali artikel yang lebih lapan tahun usianya itu, saya hari ini terpaksa mengangkat panji-panji baru "pengarang belum (ulang: belum) mati."
Pengarang yang belum mati akan terus mengejar, mencekik sehingga menggelupur dan menghanyutkan hantu artikelnya sendiri. Semoga tiada lagi mereka yang disampuk atau dirasuk oleh "ISA, juga ada manfaatnya".
(Meniru gaya Hishamuddin Rais di blognya Tukar Tiub) Kah, kah, kah, kah, kah, kah!
Tuesday, July 07, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 comments:
Nampaknya sinisisme pun sudah tak tertangkap gara-gara untuk menegak benang basah.
Kah kah kah...(hak cipta terpelihara ©Tukar Tiub)
Biasa lah , ramai orang tak faham yang tersirat sebalik yang tersurat!
Post a Comment