Friday, August 25, 2006

Goblog

[i]

Catatan saya akhirnya terbit dengan judul 'Perang blog kian panas', "perang" antara pasukan yang mengkritik Perdana Menteri dengan pasukan blog yang membela beliau.

Ia ditulis hasil wawancara bersemuka dengan A Kadir Jasin dan Rocky dalam tempoh beberapa minggu ini sebagai melengkap diskusi nasional tentang politik dan kredibiliti blog, media dalam talian yang dianggap -- di serata dunia -- sebagai kekuatan baru komunikasi.

(Nota: Sehingga teman saya menulis 'Berikan aku tujuh blogger', (pasti akan ku goncang dunia ini!)** dalam kata pengantarnya untuk buku Globlog: Koleksi tulisan blog orang kecil]

Siri ini yang terakhir daripada dua siri sebelumnya, 'Khairy Chronicles' berkubur (11 Ogos) Kerajaan tewas dalam 'perang siber'? (3 Ogos).

Jika ada siri-siri ulasan politik melalui wacana blog, saya bercadang mewawancara daripada perspektif penulis/pengendali blog-blog pro-Abdullah Ahmad Badawi pula.

Saya masih ingat, sewaktu mengendalikan majalah Detik, 1999, saya pernah mewawancara pengendali web Laman Reformasi atau Mahazalim.

Nampaknya, saya dan alam siber masih lagi erat.

** Dipinjam dan dialih daripada kata-kata Soekarno, yang kurang lebih begini, "Beri aku 1,000 orang, dan dengan mereka aku akan menggerakkan Gunung Semeru! Beri aku 10 pemuda yang membara cintanya kepada Tanah Air, dan aku akan mengguncang dunia."

[ii]

Goblog -- seingat saya, inilah produk keempat himpunan catatan daripada blog, sebelum ini sudah muncul Jiwa Kacau, Ayah Kita Bos dan Jongkang Jongket.

Ulasan saya tentang isu buku-buku blog ini, atau blook, di sini Dua lagi 'blook' Melayu diterbitkan (31 Mac)

Ada sesiapa yang pernah membaca/mengulas buku-buku ini?

2 comments:

Anonymous said...

'Penembak curi' di internet baling batu sembunyi tangan

Bersama Rejal Arbee (Berita Harian, 30 Ogos 2006, page 14)

PERKEMBANGAN mendadak internet kebelakangan ini yang membawa kepada wujud begitu banyak sekali laman web dan weblog mendapat perhatian pihak berkuasa berikutan keluhan pelbagai pihak berkepentingan yang tidak senang dengan kritikan terhadap mereka yang dimuatkan dalam alam maya siber.

Terakhir ialah kemusykilan Ahli Parlimen DAP, Dr Tan Seng Giaw yang meminta kerajaan mengawal tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab menyalahgunakan internet untuk tujuan tidak baik. Beliau mengemukakan perkara itu ketika soal jawab di Dewan Rakyat minggu lalu kepada Timbalan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Shaziman Abu Mansor.

Jawapan Shaziman pada mulanya menyenangkan pengendali laman web dan weblog kerana beliau mengakui bahawa kerajaan tidak mempunyai peruntukan undang-undang mengawal internet termasuk laman forum dan blog.

Malah, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Koridor Raya Multimedia (MSC) menjamin tidak akan berlaku sebarang penapisan dan halangan ke atas bahan di internet.

Sememangnya tidak siapa yang boleh memantau, mengawal dan menyekat apa yang berlaku di internet. Ini diakui sendiri Shaziman yang mengeluh adanya laman web dan bermacam weblog yang disifatkannya sebagai tidak bertanggungjawab mengkritik kerajaan tanpa perlu mendedahkan identiti mereka masing-masing. Beliau menyifatkan mereka ini sebagai ‘penembak curi’.

Kerajaan sebenarnya masih boleh mengawal laman web atau blog yang dihoskan dalam negara tetapi mustahil ia boleh berbuat demikian ke atas laman dan blog yang dihoskan di luar negara. Kiranya kerajaan berhasrat mengawal laman dan blog setakat mana yang ia mampu, terhadap laman yang dihoskan dalam negara, ia akan memaksakan penghijrahan mereka yang dihoskan di sini ke luar negara.

Tentunya ini yang tidak dikehendaki kerana ia akan menjejaskan hasrat penubuhan MSC serta kewibawaan kerajaan terhadap penggunaan internet. Malah, kerajaan menjamin pengguna internet tidak akan dikawal kerana hendak mengembangkan penggunaannya di kalangan rakyat serta menjamin kewibawaan dan kepercayaan pelabur asing terhadap MSC dan Cyberjaya.

Beliau juga menyifatkan ‘worldwide web’ (www) ini sebagai ‘wild wild web’ seperti ‘wild wild west’ di Amerika Syarikat ketika negara itu mula dibuka dulu yang tidak mempunyai peraturan dan undang-undang mengawal jenayah dan apa saja salah laku.

Kehampaan itu menyebabkan beliau mencabar pengendali blog yang berselindung di sebalik nama samaran tampil ke depan berdebat secara terbuka terhadap apa yang mereka musykilkan dan dimuat dalam blog mereka.

Sebenarnya kerajaan sejak 2001 cuba merangka undang-undang mengawal internet dengan menentukan pengendalinya akan bertanggungjawab terhadap apa yang mereka muatkan dalam laman mereka. Sememangnya kerajaan tidak boleh menggunakan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan untuk tujuan itu kerana ia tidak mempunyai sebarang peruntukan mengawal alam maya siber.

Bekas wartawan Bernama, Syed Imran Alsagoff, dalam blognya ‘Kuda Ranggi’, berkata masalahnya ialah bagaimana hendak memastikan identiti pengendali sesebuah laman atau blog yang dihoskan di luar negara dan dengan itu usaha berkenaan tidak diteruskan.

Sebenarnya wujud banyak weblog tempatan yang walaupun ada yang bersifat tidak bertanggungjawab memuatkan maki hamun pembacanya tetapi ada juga berbagai weblog lain yang melaksanakan khidmat terbaik dengan penuh rasa tanggungjawab.

Kita mungkin tidak setuju dengan sesetengah pandangan mereka terhadap beberapa hal, tetapi blog itu memberikan pandangan yang boleh membuka luas minda pembacanya terhadap pelbagai perkembangan dan isu semasa. Blog ini banyak berusaha mencelikkan mata rakyat terhadap berbagai perkembangan terkini yang kadangkala tidak disentuh oleh media arus perdana.

Selain weblog, wujud pelbagai laman web yang menyiarkan berita, analisis dan pendapat mengenai isu semasa. Laman web seperti ‘Beritakmu’ dan ‘Malaysia Today’ dikatakan amat popular kerana banyak menyiarkan berita alternatif yang tidak diberi ruang dalam akhbar perdana.

Laman ini dikendalikan oleh individu yang mengenalkan diri mereka dan dengan itu tentunya bersifat lebih bertanggungjawab. Sesiapa yang memikir mereka difitnah boleh bertindak menyaman pengendalinya mengikut peruntukan peraturan saman malu.

Mungkin apa yang dikeluhkan Shaziman sebagai ‘penembak curi’ ini adalah blog yang dihoskan di luar negara yang tidak mengenalkan diri siapa yang mengendalikannya. Laman web seperti Kpmu.net yang mengenalkan dirinya sebagai Kelab Penyokong Maya Umno atau Malaysiatomorrow.

Kedua-dua laman web ini nampaknya diwujudkan khusus untuk menangkis laman web Kmu.net yang kini ditukar nama sebagai Beritakmu.net dan Malaysiatoday yang banyak menyiarkan berita dan analisis yang menyokong bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Reka bentuk Kpmu betul-betul mirip Beritakmu seperti Malaysiatomorrow juga mirip Malaysiatoday. Kedua-dua Kpmu dan Malaysiatomorrow banyak menyiarkan tulisan yang mengkritik Dr Mahathir.

Demikian juga blog ‘macai’ yang juga tidak mengenalkan diri pengendalinya dan turut dihoskan di luar negara.

Apa pun nampaknya mereka yang melayari internet mempunyai begitu banyak sekali laman web dan blog yang mereka boleh pilih untuk mengikuti pelbagai perkembangan semasa serta isu yang wujud. Sama ada perkembangan ini baik atau buruk terpulang kepada mereka yang melayarinya untuk membuat kesimpulan sendiri.

Apakah dengan wujudnya begitu banyak laman web dan blog ini akan menjejas edaran dan kewibawaan akhbar perdana, hanya masa boleh menentukan. Sememangnya dari percakapan dengan beberapa orang teman ada di antara mereka yang menyatakan bahawa lebih selesa melayari pelbagai laman web dan weblog.

Ada juga yang melayari laman web akhbar itu kerana semua akhbar perdana kini mempunyai laman web mereka sendiri yang boleh dilayari tanpa dikenakan bayaran.

Malah, dengan adanya internet sekarang sesiapa yang mempunyai komputer boleh melayari akhbar yang diterbitkan di mana saja tanpa perlu berlanggan lagi atau pun melayari blog yang terus bertambah setiap hari.

Dengan adanya blog ini juga kita boleh mengetahui perkembangan terkini apabila saja berlaku sesuatu malapetaka atau peperangan seperti kejadian tsunami dua tahun lalu dan serangan Amerika ke atas Iraq dan serangan Israel ke atas Lubnan. Blog ini memberikan gambaran terhadap apa yang sedang berlaku dengan serta-merta.

Anonymous said...

Perang blog kian 'panas'
25-08-2006 09:51:47 PM
Oleh FATHI ARIS OMAR (mStar Online)

PETALING JAYA: Blog dan laman web propemimpin negara sekarang semakin menonjol dan lantang walau masih baru berbanding beberapa blog politik yang kelihatan kritis terhadap pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Selain Machai.net, dua lagi laman web mula diperkatakan oleh pelayar Internet, Malaysia Tomorrow dan Kelab Penyokong Maya Umno (KPMU).

Menariknya, nama dua laman web ini tidak jauh berbeza daripada media dalam talian yang sudah popular, Malaysia Today dan Kelab Menyokong Umno (KMU). Malah, reka bentuk dan warna dominan KPMU hampir-hampir sama dengan KMU.

Catatan politik di blog dan laman web ini, bagaimanapun, masih lagi sama -- kedua-dua pihak ini saling tuduh-menuduh dan buruk-memburukkan antara satu sama lain.

Amaran kerajaan kepada blog dan laman web yang berunsur fitnah dan menghasut seolah-olah langsung tidak meninggalkan kesan terhadap ahli forum Internet, pengendali blog dan laman web itu sendiri.

Tidak seperti pengendali beberapa laman web dan blog yang kritis terhadap pemimpin hari ini yang tidak segan silu memperkenalkan diri mereka, pengendali laman web dan blog baru yang ditubuhkan untuk mempertahankan kerajaan sebaliknya menyembunyikan diri.

Sehingga hari ini, usaha untuk menduga topeng mereka yang mengendalikan blog dan laman web ini masih menjadi kegiatan masa lapang ramai orang yang pintar IT.

Baru-baru ini mStar Online mewawancara dua daripada pengendali blog politik yang agak kritis terhadap pemerintahan Abdullah -- Datuk A Kadir Jasin, pengendali The Scribe, dan Ahirudin Attan, pemilik Rocky's Bru.

Topik perbincangan berkisar sekitar isu blog dan politik semasa, khususnya tanggapan tentang kredibiliti tulisan di blog dan amaran kerajaan terhadap penulis blog politik.

"Semua pihak, khasnya yang ada kuasa, perlu faham apa sebenarnya blog atau web log," kata Kadir kepada mStar Online.

"Janganlah kerana beberapa blog atau penulis blog yang dianggap berbahaya kepada kepentingan politik semasa, maka blog mahu digambarkan sesuatu yang negatif."

Kadir menambah, terdapat menteri dan pegawai kerajaan yang tidak memahami sifat dan budaya ICT (teknologi maklumat dan komunikasi) yang mengizinkan komunikasi pantas dan serta-merta.

"Semua pihak yang berhubungan dengan media, kita berada dalam zaman komunikasi serta-merta, jadi harus hati-hati," katanya, sambil menambah ICT sekarang, termasuk telefon bimbit, mengizinkan wartawan mengirim mesej, foto dan potongan visual (footage) ringkas tanpa lengahan waktu.

"Sesiapa sahaja yang buat ulasan atau amaran terhadap media massa harus benar-benar faham dengan operasi media, dengan kerjaya kewartawanan dan situasi teknologi yang ada," katanya lagi.

Sementara Ahirudin, bekas editor eksekutif Malay Mail, beranggapan kenyataan Perdana Menteri mengenai isu itu baru-baru ini sebagai terburu-buru dan dibuat selepas menerima "nasihat yang separuh masak".

"Mungkin niatnya betul, misalnya tulisan yang berbau perkauman atau yang tidak bertanggungjawab," katanya, juga dikenali Rocky, yang memulakan blognya Mei lalu.

Awal bulan ini Abdullah berkata jika maklumat yang disebarkan dalam blog dan laman web berbau fitnah, menimbulkan rasa kurang senang masyarakat dan boleh menyebabkan mereka hilang kepercayaan pada dasar ekonomi negara, penulisnya akan ditahan untuk siasatan.

Kadir yang mempunyai 37 tahun pengalaman dalam bidang kewartawanan ketika mempertahankan blognya berkata: "Kalau dengan pengalaman dan komitmen saya kepada kewartawanan, saya masih tidak berhak bersuara, siapa lagi yang boleh?"

Katanya lagi, langkah membangunkan blognya pada Februari lalu dibuat selepas dia sedar peluangnya untuk memberi pandangan melalui media arus perdana semakin mengecil kerana dilihat sebagai seorang yang pro-bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sementara Ahirudin pula berkata, melalui blognya, dia hanya ingin "berkongsi apa yang saya tahu."

Bagaimanpun Rocky dan Kadir bukanlah satu-satunya sumber sumber kritikan terhadap pemimpin sekarang. Ia dimulakan dengan laman web yang dekat dengan Umno sendiri, Kelab Menyokong Umno.

Seorang lagi pengamal media yang juga pengendali blog sendiri, James Wong Wing On berkata, blog-blog kendalian Kadir dan Ahirudin mempunyai kredibiliti tersendiri dan mampu mempengaruhi pembaca tentang banyak isu kerana kedua-dua mereka lama bertugas dengan media arus perdana.

Bekas penulis kanan di akhbar Sin Chew Daily dan juga Malaysiakini.com berkata kredibiliti mereka juga mantap kerana tidak pernah cuba untuk menyorokkan identiti mereka ketika mengkritik.

Menurutnya, pembaca mengunjungi blog Kadir untuk mengetahui analisis-analisis politik Melayu dan Umno. "Orang melihat beliau sebagai salah seorang daripada orang dalam (politik Umno)," kata bekas ahli Parlimen DAP itu yang mengendalikan blognya Freedom in Solidarity.

Padanya, menulis blog juga boleh memecahkan budaya takut. "Tidak ada orang yang menapis, menyemak tulisan dan mempertahankan anda (jika salah)," katanya. "Anda mengambil risiko bersendirian."

Isu kredibiliti dan kebebasan dalam talian memang menjadi fokus utama penulis-penulis blog ini.

Rocky berkata, dengan latar etika kewartawanannya, beliau sentiasa berfikir kesan baik buruk sesuatu tulisannya. "Saya sentiasa memikirkan isu itu 24 jam. Apakah ia adil? Apakah ia beretika?".

"Penulis blog yang berbohong akan membunuh kredibiliti sendiri. Lama kelamaan orang tidak akan melawat lagi (blognya)," tambahnya.

Kadir pula sentiasa menekankan budaya perdebatan dengan pembacanya secara terbuka dan telus. Beliau enggan menyiarkan pandangan daripada pembaca yang tidak dikenali atau menggunakan nama samaran yang tidak sesuai dan menggalakkan mereka menggunakan nama sebenar.

"Selama ini masyarakat kita tidak menggalakkan perbahasan secara tertib, sopan dan berhemah. Jadi apabila ada blog, mereka tidak dapat berbuat demikian. Saya rasa kita hendaklah berterima kasih kerana ada ruang (blog) lebih luas untuk berbincang dan berdebat. Elok kita sama-sama jaga ruang itu agar tidak tercemar," nasihatnya.

Kadir berkata beliau sedaya-upaya memberikan kebebasan kepada pembacanya tetapi ada juga di kalangan mereka yang memasukkan pandangan yang keterlaluan.

"Saya cuba sedaya-upaya mengelak komen-komen yang mengandungi unsur-unsur lucah, biadab, hasutan dan fitnah."

Wong pula mempertahankan sifat blog yang bersifat peribadi dan berbeza daripada akhbar harian.

"Blog menerbitkan pandangan peribadi. Jadi, soal bias tidak timbul. Anda tidak perlu berimbang (balanced) sewaktu mengupas idea-idea anda. Jika ada pembaca yang tidak senang dengan anda, biar mereka buka satu blog baru," katanya.

Berita berkaitan:
'Khairy Chronicles' berkubur (11 Ogos)
Kerajaan tewas dalam 'perang siber'? (3 Ogos)