Kenyataan,
Datuk Seri Zainuddin Maidin,
Datuk Seri Zainuddin Maidin,
di sidang akhbar
11 Mac 2008
11 Mac 2008
Tsunami politik telah mematahkan suatu percubaan untuk mengambil alih kepimpinan Negara oleh golongan muda yang dibuat secara terurus dan terancang menerusi Pilihan Raya Umum ke-12 untuk perubahan politik secara drastik.
Ini adalah kerana tuhan masih sayang kepada kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan juga Timbalannya Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dan juga UMNO.
Maka itu, tsunami politik ini adalah satu hikmat yang memberikan pengajaran yang cukup besar kepada kepimpinan Negara dan golongan ini.
Apa yang perlu dilakukan oleh semua ahli UMNO sekarang ini ialah memberikan sokongan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah dan juga Timbalannya Datuk Seri Mohd Najib, untuk kembali mengukuhkan UMNO dan meletakkan UMNO kepada jalan yang benar, yang selama ini sentiasa mengimbangi pengorbanan golongan tua dan inspirasi serta idealisme golongan generasi muda.
Sekarang bukan masa untuk menuding jari atau menuduh sesiapa atas apa yang telah berlaku, tetapi keutamaan perlu diberikan kepada usaha untuk menjernihkan suasana dan mengembalikan kepercayaan rakyat kepada UMNO.
Jadi ditoleh ke belakang dalam sejarah Malaya dan Malaysia, setiap tragedi politik yang menimpa UMNO dan rakyat, ianya membawa hikmah, membuka fikiran dan penggemblengan semula kepimpinan UMNO dan kesedaran rakyat bagi muhasabah diri dan meletakkan semula kepimpinan UMNO kepada jalan yang dihasratkan oleh rakyat, sekalipun ianya adalah sesuatu yang amat berat untuk dilakukan.
Sesungguhnya saya percaya, kepimpinan UMNO ini adalah lebih mementingkan negara dan rakyat dan menganggap tanggungjawab ini adalah lebih besar dari kepentingan diri, keluarga dan juga harta.
Sebagai konklusinya, bagi saya apa yang berlaku dalam Pilihan Raya Umum ke-12 ini merupakan satu nikmat dan rahmat yang amat besar kepada masa hadapan negara, dan secara khususnya kepada UMNO.
(Berikut berita di halaman dua Utusan Malaysia, 12 Mac 2008)
Cubaan golongan muda ambil alih kepimpinan gagal
KUALA LUMPUR 11 Mac – Bekas Menteri Penerangan, Datuk Seri Zainuddin Maidin hari ini mendedahkan ada golongan muda telah membuat percubaan untuk mengambil alih kepimpinan negara secara terurus dan terancang melalui Pilihan Raya Umum Ke-12.
Bagaimanapun, menurut beliau, cubaan untuk membuat perubahan secara drastik tersebut gagal berikutan tsunami politik yang berlaku pada pilihan raya umum itu.
Zainuddin yang diminta menjelaskan dakwaannya itu bagaimanapun enggan mengulas lanjut. Sebaliknya beliau meminta wartawan jangan membuat provokasi terhadapnya.
“Saya tidak akan jelaskan dengan lebih lanjut, biarlah pembaca (orang ramai) menilai sendiri kenyataan saya ini,” katanya pada sidang akhbar terakhirnya di Kementerian Penerangan di sini hari ini.
Zainuddin menjelaskan, tsunami politik itu yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) gagal memperoleh majoriti dua pertiga adalah satu hikmah yang memberikan pengajaran yang cukup besar kepada kepimpinan negara dan golongan muda tersebut.
Katanya, Tuhan masih sayang kepada kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan juga timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau memberitahu, apa yang perlu dilakukan oleh semua ahli UMNO sekarang adalah memberikan sokongan kepada Presiden UMNO dan timbalannya.
Katanya, sokongan itu penting bagi mengukuhkan kembali UMNO dan meletakkan parti utama kaum Melayu itu pada landasan yang betul.
“Selama ini parti UMNO sentiasa mengimbangi pengorbanan golongan tua dan inspirasi serta idealisme generasi muda.
“Sekarang bukan masa untuk menuding jari atau menuduh sesiapa atas apa yang telah berlaku, tetapi keutamaan perlu diberikan kepada usaha menjernihkan suasana dan mengembalikan kepercayaan rakyat kepada UMNO,” katanya.
Ketika ditanya mengenai kekalahannya di Parlimen Sungai Petani, Zainuddin berkata, beliau kalah kerana para pengundi Cina tidak ramai keluar mengundi.
“Saya mengakui kekalahan saya juga disebabkan saya tidak banyak berkempen di kawasan tersebut,” katanya.
Namun, beliau menggunakan pendekatan tersendiri iaitu bertemu rakyat secara lebih dekat bagi mengetahui permasalahan mereka.