Monday, December 19, 2005

Rosli

(dedikasi buat Rosli yang pernah mengharukan hati; yang tidak pernah menjadikan matanya sebagai halangan membaca)

As soon as a fact is narrated no longer with a view to acting directly on reality but intransitively, that is to say, finally outside of any function other than that of the very practice of the symbol itself, this disconnection occurs, the voice loses its origin, the author enters into his own death, writing begins – Roland Barthes dalam ‘The death of author’ (1977)

Jika kita ada menyimpan sekeping (atau beberapa keping) foto bogel sewaktu zaman kita nakal-nakal dulu, atau ada insiden-insiden lama yang mengaibkan diingatkan kepada kita saat ini, apakah perasaan kita?

Tentulah malu...

Saya berdepan dengan idea-idea saya yang tersebar dalam bermacam-macam media: akhbar-akhbar harian utama, yang ada waktunya bersifat polemik atau kecaman keras, dan juga risalah-risalah tertutup untuk teman-teman diskusi sejak di bangku sekolah.

Setidak-tidaknya ia bermula sejak 1985, sewaktu kami menerbitkan risalah al-Ikhwan dan majalah tahunan al-Hijrah di Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud, Kuala Terengganu. Kemudian saya menulis kepada Harakah dan majalah Muslimah pada 1988, selepas (dan sebelum) bergelumang di sebuah kampus di Shah Alam (dan Arau).

Ada waktu-waktunya saya gembira, ada rasa puas, kerana pernah terfikir dan menulis begitu. Tetapi banyak waktunya saya tidak gembira; ia menimbulkan resah, rasa malu dan 'aib, pandangan-pandangan lama itu. Saya sekarang (2005) bukan sepenuhnya saya dulu (1985-2004).

Semua orang berubah, dan saya seorang daripada semua orang itu. Tetapi tulisan saya seolah-olah masih kekal abadi dan mungkin masih terus dibaca, disebut dan dirujuk orang (khususnya anak-anak muda). Walau mungkin, jika saya ditemui saat ini, saya akan mengemukakan pandangan lain (kalau tidak sepenuhnya 'baru').

Saya sentiasa sedar hal ini dan sentiasa bergolak memikirkan tentang idea-idea lalu. Seperti hantu masa silam mengganggu seseorang, artikel-artikel saya sering muncul dengan wajah hodoh dan mengerikan, mengejek dan menghina, dalam mimpi dan sedar saya.

Tetapi tidak pernah ada gugatan yang kuat ke jantung kesedaran saya sehinggalah muncul seorang anak muda bernama Rosli, dari Brickfields, Kuala Lumpur. Anak muda ini, asal Kelantan tetapi mendapat didikan di ibu kota, benar-benar menggugah makna tanggungjawab dan moral saya sebagai seorang penulis. Dia benar-benar menyentuh dasar kesedaran saya selama ini.

Suatu hari, penghujung 2003 atau awal 2004, selepas diminta oleh saya sendiri Rosli membawa dua keping artikel saya yang telah difotokopi.

Satu, daripada majalah Tamadun (1997 atau 1998), tentang penggunaan teori sistem, systems theory, dalam memahami dinamika negara untuk perubahan Islam. Ia ditujukan kepada aktivis dan pemikir gerakan Islam - walau saya tidak pasti sama ada mereka mengambil perhatian tentang itu atau tidak.

Kedua, keratan rencana saya yang diterbitkan dalam Utusan Malaysia (1996), tentang hubungan nilai dan budaya masyarakat dengan kemajuan ekonomi. Isu ini memang sering menjadi obsesi saya yang lama, setua keghairahan
saya cuba memahami epistemologi dan filsafat bahasa.

(Untuk satu analisa terkini, baca makalah Politics, institutional structures, and the rise of economics: A comparative study karya Marion Fourcade-Gourinchas.)

Sewaktu saya di Jakarta sepanjang tahun ini, saya terpikat dengan idea memajukan demokrasi dari bawah, daripada 'masyarakat sivil', daripada nilai dan budaya masyarakat, daripada modal masyarakat (social capital), begitu istilah ilmiahnya.

Tidak salah ingatan saya, sewaktu menyediakan artikel di akhbar harian tersebut, buku Lester Thurow, Head to Head: The coming of economic battle among Japan, Europe and America, yang menjadi rujukan saya, selain sebuah buku berjudul Human Capital (hingga sekarang saya lupa nama pengarangnya -- kerana dipinjam kawan tetapi bukunya tidak dipulangkan). Namun buku tentang modal manusia ini pernah pula dijadikan asas untuk menulis sebuah rencana 'Memasuki era ekonomi pengetahuan' di akhbar Berita Harian (20 September 1993), tentang perubahan teori pengurusan apabila muncul gejala ekonomi berasaskan pengetahuan (k-economy).

Saya tidak menduga sama sekali Rosli masih menyimpan kedua-dua artikel tersebut. Pada dugaan saya, tidak ada pembaca yang setekun itu -- menyimpan keratan rencana-rencana yang tidak seberapa (mutu) itu untuk diarkibkan.

Saya selalu membuat andaian bahawa artikel-artikel saya tidak diberikan perhatian atau bakal berlalu begitu sahaja. Kebanyakan idea saya selalunya bersifat seimbas lalu, bukan satu kajian atau pemikiran yang mendalam. Semuanya suatu 'permulaan' untuk tinjauan lanjut di masa-masa depan (yang entah bila akan muncul lagi).

Tetapi Rosli ini mencabar tanggapan umum saya. Maksud saya, tanggapan tentang harga dan nilai idea saya di mata pembaca. Juga, soal moral dan tanggungjawab sebagai penulis.

Rosli, beberapa tahun lebih muda daripada saya, seorang yang buta, sebetulnya. Dia hanya boleh memandang dengan sebelah mata. Untuk membaca, dia harus mendekatkan teks kira-kira satu inci (2 atau 3 cm) ke mata kirinya itu.

Tetapi Rosli bukan sembarangan pembaca; dia berpengetahuan luas dan minat yang mencakupi banyak topik -- agama, politik dan falsafah antara isu-isu utamanya. Dia sentiasa minat menghadiri diskusi, forum atau seminar. Buku-buku serius juga menjadi subjek pembacaannya.

Kita mungkin tidak menemui 'Rosli' di kalangan mahasiswa atau graduan kita hari ini kerana anak muda ini tidak pernah ke kampus. Tetapi kepintaran dan keseriusannya boleh menyebabkan kita semua malu.

Dan, sayalah seorang yang sangat dimalukan dengan ketekunannya itu :(

4 comments:

Anonymous said...

Fathi,
Saudara hanya menyatakan kehadiran Rosli, apakah hasil diskusi yang dicapai bersama Rosli?

Anonymous said...

MA, salam :) Tidak ada yang spesifik dengan Rosli, seperti juga sembang2 yang lain. Tetapi ia menampakkan sifat keintelektualan Rosli yang sukar kita temui di kalangan anak muda kita sekarang, termasuk siswa atau graduan.

Dia seorang yang tekun -- yang meminati filsafat, agama dan politik. Dengan halangan matanya, ketekunannya itu sangat mengagumkan saya (dan kami) faomar@yahoo.com

Anonymous said...

ya..aku setuju. aku kebetulan kenal Rosli sejak 2004 (seingat aku selepas memorandum penyelewengan Pilihan Raya). masa tu kami duduk di warung simpang UBU dan duduk bersama kami 4 orang SB (salah seorangnya sangat rajin menghubungi aku terutama bila musim Pilihan Raya Kampus). masa tu si SB tekun mendengar Rosli berhujah tentang isu keganasan. memandangkan Rosli tidak nampak, dia terus bercerita hingga aku berkali2 mencuitnya pun dia tidak sedar. kemudiannya aku memberitahu Rosli bahawa tadi di sebelahnya yang membayar harga makanan kami adalah SB. Tidak sangka SB itu masih menanti kami di bawah selepas 2 jam! Rosli dengan selamba bertanya "awak SB ya?". Si SB seakan terkejut..Rosli menambah "walau saya tak nampak tapi hati kecil saya rasa begitu". Akhirnya si SB mengaku. Aku juga pernah sebilik dengan Rosli dalam satu program anjuran IKD..memang Rosli seorang yang sangat dalam perasaannya, tekun dan cekal..moga Allah s.w.t. akan terus menyuluh hidup Rosli..

Kenalan Rosli
Kampus Hijau Serdang

Anonymous said...

Ya, Rosli juga seperti kita semua -- ada getaran hati apabila mendengar ketidakwajaran berleluasa di sekelilingnya faomar@yahoo.com