Tuesday, April 12, 2005

Suara Melayu alternatif



Artikel ini ditulis menjelang pilihan raya umum ke-11 (2004) dan ditanggapi dengan positif di kalangan teman-teman dalam PAS (maklum balas ini diterima langsung daripada mereka). Ia dimuatkan dalam edisi Internet media parti Islam, Harakahdaily.net (waktu itu dipimpin oleh Ahmad Lutfi Othman; sekarang oleh Zulkifli Sulong).

Saya pertama kali belajar menulis artikel melalui tabloid Harakah (edisi cetak) pada 1988. Saya sangat terhutang budi kepada akhbar ini dan sidang pengarangnya walau jarang saya menyebut begitu secara terbuka.

Petikan artikel Mencari Melayu Alternatif (Harakahdaily.net, 29 Januari 2004):

[...]Dengan penguasaan yang sebegitu besar daripada dua rangkaian ini, orang Melayu tidak mempunyai laluan aktivisme dan juga ekspresi politik “alternatif”. Orang Melayu yang nampak kelemahan – atau tidak mahu diasosiasikan dengan – Umno atau PAS tidak mempunyai saluran aktivisme dan suara lain.

Jika mereka mempunyai pandangan “alternatif”, misalnya pandangan kritis terhadap PAS dan Umno, di manakah pentas yang boleh mereka suarakan dan akan mendapat perhatian serius daripada pemikir-pemikir dan ahli politik Melayu? Tidak ada!

Di sinilah bermula “episod baru” dalam permasalahan orang Melayu. Media utama dan berpengaruh, kelompok elit atau arus perdana di segenap peringkat, semuanya dibolot oleh dua arus besar dan begitu hegemonik sifatnya.

Suara Melayu akhirnya tinggal dua sahaja. Kedua-duanya dengan kekuatan dan kelemahan masing-masing. Kelompok Melayu manakah yang boleh dianggap “independen”, “jujur” dan “adil” untuk menilai kekuatan dan kelemahan dua arus besar ini? Tidak ada!

Sebab-sebab tidak muncul “suara ketiga” orang Melayu boleh dihuraikan dengan panjang lebar.

Tetapi yang meresahkan penulis, kelihatan tidak terdapat azam politik di kalangan orang Melayu sendiri – seperti budayawan, ahli akademik, saintis, sasterawan, birokrat, seniman, profesional atau wartawan – untuk membentuk dan membesarkan suara “alternatif” mereka. Seolah-olahnya mereka tidak nampak (atau takut memikul amanah?) akan muncul gejala-gejala merosakkan daripada dua aliran sedia ada ini.

Orang Melayu tidak mempunyai pilihan yang banyak, tidak seperti kita ke pasar borong dengan segala macam ikan atau sayur, tidak dapat menilai isu-isu dengan lebih bebas dan adil, tidak ada nuansa atau spektrum dalam wacana Melayu.

Ada kecenderungan, malah, wacana Melayu dan ke-Melayu-annya berbentuk klise (cliche), dangkal dan terbatas – sebahagiannya akibat tekanan politik hegemoni dua arus besar Melayu ini. [...]

Mereka tidak pula nampak perlunya orang Melayu dibebaskan daripada kongkongan dua aliran besar ini. Mereka tidak sedar wajibnya mencambahkan suara-suara baru orang Melayu agar dapat dipertandingkan secara terbuka dan dinilai bersama secara lebih kritis untuk kemajuan masa depan bangsa.

Malah, wacana publik orang Melayu – sama ada melalui media, aktivisme atau diskusi – sudah kelihatan menjadi “hak mutlak” dua aliran besar ini.

Lihat sahaja di dada akhbar-akhbar harian. Suara Melayu terkhusus kepada orang politik dan agenda perbalahan politik mereka, sama ada kerajaan atau pembangkang, termasuk di Malaysiakini.com yang dianggap media lebih bebas dan independen.

Dalam mengupas isu-isu nasional yang lain, tidak pula kelihatan tokoh-tokoh atau sudut-sudut pandangan orang Melayu daripada aliran “ketiga”, “keempat”, “kelima” atau “keenam”.

Budayawan, ahli akademik, saintis, sasterawan, seniman, profesional atau wartawan Melayu terbungkam bawah arus besar ini.

Jika ada suara mereka sekali-sekala, itu pun kerana melayan atau memberi legitimasi tambahan kepada dua aliran besar itu. Tidakkah gejala ini merosakkan? [...]

2 comments:

Anonymous said...

Oh, saya belum pernah membaca artikel ini, fathi. Sudah lama anda tulis, ya? -Sdp

Clarissa Lee said...

Hi, lama tak update?
I letak testimonial later. (: