Tuesday, April 12, 2005

Disumpah jadi batu


Judul: Patah Balek: Catatan Terpenting Reformasi
Pengarang: Fathi Aris Omar
Tebal: 263 + xxii halaman (dengan indeks)
Penerbit: SIRD Petaling Jaya, Selangor
Terbit: 2005 (Februari)

Tema-tema utama: budaya dan kebebasan kreatif, bahasa dan kesasteraan, peranan cendekiawan awam, kebebasan akademik, gerakan mahasiswa dan anak muda, reformasi politik, budaya demokrasi dan hak asasi, masyarakat sivil dan ruang awam, kebebasan akhbar, politik Islam, parti pembangkang Melayu.

AYU Utami, novelis terkenal Indonesia, menggelar penulis ini "Si Malin Kundang"- anak derhaka yang akhirnya menjadi batu dalam dongeng Minangkabau. Dalam versi Melayu, namanya ˜Si Tenggang". Novelis Saman dan Larung bagaimanapun menyatakan simpati pada pengarangnya Fathi Aris Omar. Kita tahu, batu karang juga sebuah lambang kekuatan,catat Ayu dalam ˜kata pengantar" buku Patah Balek: Catatan Terpenting Reformasi.

Ayu melihat Fathi Aris sebagai pengkritik bangsanya yang menceburi peristiwa-peristiwa politik Gerakan Reformasi, parti-parti pembangkang dan pertubuhan Islam tetapi sekaligus menjarakkan diri. Satu posisi yang sukar dimengertikan ramai orang kerana ibaratnya ˜tidak di laut, tidak di darat", jelas Ayu, juga sebagai anggota sidang pengarang jurnal sastera budaya Kalam di Komunitas Utan Kayu, Jakarta Timur, tempat pengarang Malaysia ini menjalankan kajiannya sekarang.

Fathi Aris menjelaskan hal yang sama: artikel-artikel ini sebagai ˜jawapan" awal hasil sejumlah pertanyaan selepas krisis politik 1998 kerana kesungguhan dan minatnya yang mendalam dengan reformasi bangsa. Tetapi mungkin lebih banyak lagi soalan yang sengaja ditinggalkan untuk kita, untuk pembaca.

Fathi Aris mengemukakan satu landasan analisa dan berhujah budaya politik tidak demokratik telah mempengaruhi dan merosakkan semua orang dan semua sektor, termasuk aktivis dan ahli politik pembangkang, anak muda dan pemimpin siswa, dan pemikiran gerakan Islam. Kesalahan bukan hanya pada kerajaan, begitulah premisnya cuba meyakinkan pembaca.

Beliau mengingatkan perlunya sikap independen pada kelompok-kelompok seniman, cendekiawan, sarjana, wartawan, ulama dan siswa dalam ˜ruang awam"- ruang berwacana dalam kebebasan bersuara yang demokratik. Pengarangnya tidak senang dengan sikap berpihak berlebihan dalam politik Melayu yang telah mengakibatkan wacana-wacana awam bersifat propaganda dan menjadi tidak jernih.

Di tengah-tengah krisis politik kita, sikap ˜independen" tentunya tidak mudah popular. Ketika kerajaan dilihat sedang menekan pembangkang, bersuara ˜waras dan wajar" Fathi Aris ini -- sambil mengkritik pembangkang -- membingungkan banyak pihak.

Tetapi inilah ˜Si Malin Kundang" kita- mungkin beliaulah satu-satunya penulis muda Melayu (atau Malaysia?) yang bersedia mengambil risiko ini, risiko disumpah menjadi ˜batu".

Batu ini terus abadi (harapan Ayu Utami) agar ia mengingatkan kita tentang kecelakaan bersama yang sedang dilalui dan bakal kita tempuh lagi di masa depan. Bukunya Patah Balek: Catatan Terpenting Reformasi merupakan batu ingatan itu.

Seperti disaran oleh pengarangnya, kita tidak perlu bersetuju dengan semua analisa dan sudut pandangnya. Malah, dia menggalakkan kita mendebatkannya. Membaca buku ini pasti bermanfaat kepada mereka yang cuba mencari sisi-sisi berbeza, kritis, rasional dan kreatif dalam analisa politik Melayu dan Gerakan Reformasi 1998.

Koleksi artikel terpilihnya ini, asalnya dari kolum 'Tiada Noktah' di Malaysiakini.com, tidak memuatkan kritik-kritik kerasnya terhadap kerajaan. Patah Balek lebih merupakan catatan budaya dan pemikiran, sebuah diari renungan diri (self-reflection) untuk sasaran kritikannya: seniman, cendekiawan, sarjana, aktivis, wartawan, ulama dan siswa.

Dengan itu, Patah Balek sentiasa sesuai dan wajar dibaca untuk semua.

Pengedar buku:
GB Gerakbudaya Enterprise Sdn Bhd,
No. 11, Lorong 11/4E,
46200 Petaling Jaya, Selangor.

Tel: 03-79 57 83 43 atau 42
Fax: 03-79 54 92 02
Emel: sird@streamyx.com

Pesanan boleh dibuat melalui emel atau telefon. Buku ini juga boleh didapati di kedai-kedai buku seperti Kinokuniya, MPH, Times dan Popular.

3 comments:

Anonymous said...

Tahniah Faris. Saya kena cari buku ini nampaknya walaupun Sdra bukan hero dlm drama bersiri Si Malin Kundang @ Si Tenggang.

Shamsul Iskandar Mohd. Akin said...

Salam, boleh tak rujuk 2 atau 3 bab dari buku ni untuk buat ucapan dasar saya yang pertama ? Bila boleh jumpa ?

blackpurple @ jowopinter said...

Salam,
Terima kasih kerana sudi berkunjung dan memberi sedikit pandangan tentang buku saudara ini di kotak komen blog saya.

Saya sedang membacanya. Memang banyak idea berbeza yang menarik dan segar !

Memang tidak rugi memilikinya, biarpun mungkin agak lambat tapi idea itu sentiasa segar rasanya :)