Friday, March 10, 2006

Daun

Tidak pasti, sama ada saya terpikat pada belalang daun atau pada kajian serangga (entomology) atau pada namanya 'selangor-ensis'. Atau, pada ketiga-tiganya sekali gus!

Kalau Selangor, apa istimewanya nama dan negeri ini? Saya belajar entomologi di Perlis, bukan Selangor!

Hari ini, agensi berita Bernama melaporkan kemunculan (rasmi!) belalang daun kedua di Semenanjung -- ia dikenali Rhomboptera selangorensis Muzamil, selepas R honorabilis Brunner pada tahun 1895.

Foto hitam putih belalang ini, seperti terpapar di edisi cetak Journal of Asia-Pacific Entomology 8 (4) 2005, boleh dilihat di bawah.

Sementara foto warna, imej yang sama, boleh dilihat di mStar Online dan Bernama hari ini. Atau, imej belalang mati terkangkang kepaknya seumpama ini.

Yang saya agak cemburu, macam mana sesungutnya di sebelah kanan telah patah! Mujur tidak patah balek!

Apakah tidak ada sampel lain yang 'lebih sopan' untuk rakaman jurugambar? Dan kenapa pula jurugambar ini mengambil latar berwarna putih (atau cerah) di bawah sampel belalang daun ini? Sehingga sayap sebelah dalam (di bawah) yang berwarna cerah (atau, lut cahaya) tidak kelihatan dengan jelas.

Belalang ini mula dijumpai (hehehe, ya ke?) pada 6 Mac 1961, diawet dan disimpan dalam koleksi Unit Entomologi, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Kepong.

"Hanya pada tahun 2005 sahaja penemuan baru itu dikenal pasti, disah dan diterbitkan," kata penemunya Muzamil Mustaffa, ahli akademik di Fakulti Sains Gunaan UiTM Pahang.

No comments: