Lihat koleksi foto pesta Samba di Brazil di koran Jepang ini, Mainichi Daily News. Selain menghiburkan fikiran daripada kekalutan isu kartun, foto ini mengingatkan saya pada kontroversi kartun di negara kita --- pada nasib editor atau wartawan yang bertanggungjawab menerbitkan kartun Wiley Miller di New Straits Times, dan karikatur/imej dari Jyllands-Posten di Sarawak Tribune, Guang Ming Daily, Berita Petang Sarawak, TV2, TV3 dan ntv7.
Lihat foto ini --- apakah yang anda perhatikan? Dan apa pula yang anda temui? Atau, fokus mata anda sebetulnya ke mana, dan di mana? Ha, ha, ha!
+ * + * +
Artikel pertama saya sejak menyertai awal bulan lepas kumpulan wartawan laman web berbahasa Melayu, satu projek The Star Publications (M) Bhd, 'Jualan jatuh, Harakah cari arah baru' (27 Feb 2006) di mStar Online.
Rencana berita (news feature) ini mengupas pergolakan dalaman yang sedang melanda PAS, khususnya jentera penerbitan Harakah (cetak) dan Harakahdaily.net.
4 comments:
salam revolusi. saya dhani dari Papakerma Distro menulis disini. sebetulnya, pada 11.3.06 bersamaan dengan hari sabtu ini kami [Papakerma] dengan kerjasama Artport, Galeri Shah Alam akan mengajurkan "zine/alternative book fair". dengan itu, disini kami ingin menjemput pihak kamu untuk turut sama menjayakan acara yang kami anjurkan ini. sila datang ke Galeri Shah Alam dengan membawa buku-buku yang ingin dijual/dipamerkan pada 11.3.06 ini. kami menyediakan tempat [menjual buku] secara percuma kepada orang ramai. acara akan bermula seawal jam 10 pagi. flyers/maklumat lanjut akan kami sediakan dalam masa terdekat ini di: www.papakerma.com . apa2 pertanyaan sila ajukan kepada saya di 019 2508857. sekian.terima kasih.
[faisal]
019 2508857
www.papakerma.com
Gambar tak relevan dengan situasi Malaysia. Ianya relevan jika dipentaskan di sini.
Kepada Faisal, salam revolusi? Ohh, tidak, tidak! Salam saya hanya salam reformasi [Ingat! huruh kecil 'r']
Saya, kalau dapat singgah, mungkin ke sana sebagai 'wartawan', untuk mencuri (opppsss, mencari) bahan-bahan untuk menulis.
Kepada Mat Arau, dipentaskan di sini? Samba dipentaskan di Malaysia? Kau tak tahu ke? Nanti boleh dituduh kita ini umat Nabi yang menghina Kartun! Aku tak sanggup. Kau sanggup ke? faomar@yahoo.com
28 Februari, 2006 11:24 AM
Memartabatkan Usahawan Melayu Dalam Industri Buku Negara
Oleh Melati Mohd Ariff
(Sempena Pelancaran DIBMM oleh Timbalan Perdana Menteri pada 3 Mac)
KUALA LUMPUR, 28 Feb (Bernama) -- Dewan Industri Buku Melayu Malaysia (DIBMM) lahir atas kesedaran kolektif sekumpulan usahawan Melayu yang terbabit aktif dalam industri buku untuk memartabatkan usahawan Melayu dalam industri buku negara.
Ia bukan sahaja mahu melihat orang Melayu menguasai lebih banyak peluang perniagaan dalam industri berkenaan tetapi dalam masa yang sama ingin mencetus kembali semangat cintakan buku, khususnya di kalangan masyarakat Melayu.
Ditubuhkan pada 30 Mei 2005, DIBMM akan dilancar secara rasmi oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 3 Mac ini.
Menurut Presiden DIBMM, Datuk Abdul Ghani Ngah, modal insan yang berkualiti bermula daripada penerbitan yang memuatkan pelbagai ilmu pengetahuan.
Untuk itu, katanya, DIBMM ingin memberi sumbangan positif kepada negara dengan memperhebatkan lagi penyertaan usahawan-usahawan Melayu dalam industri penerbitan negara ini.
"Di samping berorientasikan perniagaan sebagai landasan utama, DIBMM turut prihatin terhadap isu-isu lain yang menyentuh kepentingan negara bagi meningkatkan ilmu pengetahuan warganya," kata beliau kepada Bernama di sini baru-baru ini.
Abdul Ghani juga yakin, dengan "satu suara, dengan satu cara bertindak, dengan satu pakatan yang begitu kemas, DIBMM akan dapat bergerak dengan lebih cekap dan lancar" untuk mencapai matlamat-matlamat penubuhannya.
ANTARA MATLAMAT
Antara matlamat DIBMM ialah untuk menyatukan semua usahawan buku Melayu sama ada penerbit, pencetak, pembekal, pengedar, pengimport/pengeksport, pembekal kertas dan yang berkaitan dalam satu gabungan.
"Ia juga berperanan sebagai satu suara apabila berurusan dengan kerajaan dalam soal-soal yang menyentuh pelbagai kepentingan berkaitan industri buku di samping mencari peluang-peluang perniagaan yang boleh dikongsi usahawan Melayu," ujar Abdul Ghani.
Selain itu, katanya, DIBMM juga akan membantu usahawan Melayu dalam kegiatan pembukuan termasuk penerbitan, pembekalan, percetakan dan mengeksport buku dan kertas.
"Kita juga akan mengadakan program-program latihan pelbagai bidang berkaitan industri buku dan membina rangkaian peruncit dan pedagang buku di seluruh negara," tambahnya.
Bagaimanapun, menurut Timbalan Presiden DIBMM, Datuk Dr Mohd Anuar Rethwan, DIBMM bukan mahu menyaingi peranan yang dimainkan Dewan Bahasa dan Pustaka.
"DBP mempunyai tiga program iaitu program bahasa, program sastera dan program penerbitan. Dalam bidang penerbitan, DBP buat masa ini mengeluarkan kira-kira 500 judul baru setahun.
"Kita di DIBMM ini sebenarnya mahu melengkapkan peranan yang dimainkan oleh DBP dalam bidang penerbitan. Kita mahu membantu menambah bilangan penerbitan judul-judul baru," jelasnya.
JUMLAH PENERBITAN BUKU MASIH KURANG
Dr Mohd Anuar yang pernah berkhidmat lebih 30 tahun dengan DBP sebagai pentadbir, penulis dan editor memberitahu jumlah penerbitan buku di Malaysia masih kurang.
"Mengikut perangkaan Perpustakaan Negara, ianya sekitar lapan ribu hingga 10 ribu setahun. Di negara-negara maju, ukuran umum untuk jumlah buku baru sewajarnya 0.1 peratus daripada jumlah penduduk. Kalau jumlah penduduk kita 26 juta, jumlahnya mesti sekitar 26,000. Ini maknanya kita masih jauh ketinggalan," kata Dr Mohd Anuar.
Beliau berkata salah satu program DIBMM ialah untuk melakukan Penyelidikan dan Pembangunan bagi mengenalpasti kekurangan dan langkah yang perlu diambil.
Menurut Dr Mohd Anuar, meskipun negara ini mempunyai penulis-penulis yang berkualiti namun bilangannya masih kurang.
Beliau berkata masalah itu mungkin dapat diatasi sekiranya golongan pensyarah turut aktif berkarya.
"Kita ada lebih 18,000 pensyarah universiti (IPTA). Jika seorang menghasilkan sebuah buku setahun, kita sudah tentu ada 18,000 judul baru setahun. Ini menunjukkan mereka kurang berkarya atau menulis," jelasnya.
DIMB, katanya akan turut berusaha menggilap bakat menulis termasuk di kalangan pelajar.
"Kita akan bergerak ke arah itu, penulis untuk pelbagai peringkat, golongan kanak-kanak, remaja dan dewasa untuk pelbagai bidang termasuk agama, sains dan teknologi," tambahnya.
PERLU ATASI KELEMAHAN
Dalam pada itu, kata Dr Mohd Anuar, kebanyakan pengusaha Melayu masih bertumpu kepada sektor persekolahan iaitu menerbitkan buku untuk sekolah rendah, menengah, kolej dan universiti.
Beliau berkata sudah sampai masanya usaha juga perlu ditingkatkan untuk menerbitkan lebih banyak buku yang berkualiti untuk bacaan umum serta buku-buku rujukan terutamanya dalam bahasa Melayu.
"Kalau hendak diikutkan, nilai pasaran buku di Malaysia dianggarkan RM1.5 bilion setahun tetapi penguasaan orang Melayu masih amat kurang," tambahnya.
Beliau juga menyentuh soal pemasaran yang disifatkan sebagai punca utama jualan rendah buku-buku yang diterbitkan oleh para pengusaha Melayu.
"Kita memang ada penulis dalam pelbagai bidang termasuk sains fiksyen tetapi yang menjadi masalah ialah pemasaran dan publisiti," jelasnya.
Dalam masa yang sama, beliau memberitahu kurangnya buku karya penulis Melayu yang diterjemahkan untuk menembusi pasaran antarabangsa.
"Kita ada penterjemah cuma usaha terjemahan tidak seiring dengan hasrat untuk meningkatkan karya yang diterjemah," katanya.
Beliau juga menyarankan supaya usaha menerbitkan buku bukan sahaja ditumpukan kepada terbitan yang biasa dibuat.
Sebaliknya, kata beliau ia perlu juga membabitkan penerbitan elektronik.
"Kami di DIBMM akan mendalami aspek-aspek ini sebab kita tak boleh bergantung kepada penerbitan konvensional semata-mata. Ia perlu kombinasi kedua-duanya," tambah beliau.
MENYEMAI MINAT MEMBACA
Perpustakaan Negara Malaysia mendedahkan pada tahun 1996, majoriti rakyat negara ini membaca purata dua buah buku setahun.
DIBMM melihat cabaran paling besar ialah untuk meningkatkan tabiat membaca di kalangan masyarakat tanpa mengira peringkat umur.
"Perlu ada pelbagai usaha ke peringkat akar umbi. Umpamanya pesta membaca pantun dan syair yang menggunakan bahasa sastera untuk membiasakan anak-anak muda kita dengan bunyi dan irama bahasa berkenaan.
"Ini secara serentak mengukuhkan bahasanya dan memahami tatabahasa dan sekali gus menyayangi bahasanya. Kita yakin pada akhirnya anak-anak muda ini akan menjadikan buku bahan pilihan untuk mereka jadikan sahabat ke mana sahaja mereka pergi dan tidak seperti hari ini di mana bahan muzik menjadi tumpuan mereka," jelas beliau.
Dr Mohd Anuar menjelaskan setakat ini pengusaha-pengusaha Melayu yang terbabit dalam bidang pembukuan memang mengeluarkan buku-buku berkualiti tetapi sambutan masyarakat kurang memuaskan.
"Ada penerbit yang mencetak 3,000 naskhah mungkin hanya dapat menjualnya dalam tempoh dua tahun tetapi penerbit-penerbit buku bercorak novel remaja boleh menjual 30,000 naskhah dalam masa dua bulan. Mereka yang menulis buku-buku seperti itu memang boleh buat duit," katanya.
INDUSTRI BUKU MASIH RELEVAN
Presiden DIBMM berpendapat kemerosotan minat membaca di kalangan khalayak ramai memberi impak kepada perkembangan industri buku negara.
"Anak-anak muda sekitar tahun 60-an, kita lihat mesti ada buku di tangan atau dalam beg, karya penulis-penulis hebat. Kecenderungan ini merosot menjelang akhir 70-an dan 80-an langsung tak ada," kata Abdul Ghani dengan sedikit nada kesal.
Bagaimanapun, beliau masih yakin industri buku masih relevan di tengah-tengah kemajuan teknologi yang mempengaruhi minat membaca buku.
"Pemimpin kita juga sedang berusaha kuat untuk menambah minat membaca di kalangan orang ramai terutamanya murid-murid sekolah.
"Dewan ini akan memberi sumbangan untuk menjayakan kempen atau dasar galakan membaca kerajaan supaya kita sama-sama dapat membina satu generasi yang cintakan buku kerana untuk membangun mereka perlukan ilmu dan ilmu itu biasanya dihubungkan dengan pembacaan melalui buku," jelasnya. -- BERNAMA
Post a Comment