Thursday, May 04, 2006

Akhbar

Teman saya, penulis politik terkenal Ahmad Lutfi Othman merungut tentang ruang kebebasan akhbar di negara ini, dan di hujung artikelnya sempena sambutan Hari Kebebasan Akhbar Sedunia (World Press Freedom Day) semalam mencatatkan "malang sekali, KAMI pun seakan-akan sudah terkubur."

KAMI, atau Kumpulan Aktivis Media Independen, dimunculkan daripada semangat yang panjang dan lama tetapi sekitar 2000, khususnya selepas beberapa majalah dan akhbar ditutup, namanya mula bergerak dalam kenyataan akhbar, kempen, forum dan artikel.

Saya, antara pendukung awal idea ini, tidak sanggup mengupas panjang dan biarlah perjalanan masa kemudiannya menentukan rentak jatuh bangun idealisme perjuangan KAMI atau kumpulan-kumpulan pro-kebebasan akhbar di negara ini, khususnya sepanjang dan selepas 'era Reformasi' 1998.

Sebahagian besar catatan saya, ulasan dan berita, terakam di arkib Malaysiakini.com, ruang saya bergelut, belajar dan beridealisme sewaktu memunculkan KAMI.

Sekarang Ahmad Lutfi memimpin Harakah, termasuk edisi web Harakahdaily.net, sebuah rangkaian media yang dipunyai langsung oleh parti pembangkang; sementara saya sendiri di mStar Online, sebuah projek web berbahasa Melayu terbitan Star Publications (M) Bhd.

Saya masih beridealisme tentang kebebasan akhbar, kebebasan bersuara, tentang profesionalisme dan kualiti penerbitan berbahasa Melayu, tentang latihan membangunkan tenaga terlatih dan bakat muda, tentang memanfaatkan teknologi-teknologi terkini penerbitan dan tentang memiliki media sendiri.

Juga tentang pengkaryaan, dunia buku dan intelektualisme umumnya.

Idealisme ini nampaknya tidak dapat dirangkumkan oleh KAMI -- sebagai "anak zamannya" kumpulan wartawan Melayu ini nampaknya masih mewarisi saki-baki semangat era Reformasi itu, era jerit melalak-lalak dan melepak tepi jalan!

Saya tidak merujuk pada KAMI, pada teman saya Ahmad Lutfi atau teman-teman kami yang lain. Yang saya maksudkan, apakah mungkin wartawan-wartawan ini (rata-ratanya Melayu) dapat menggerakkan kempen yang lebih luas dalam agenda yang merangkumi isu-isu yang saya sebutkan tadi.

Saya mudah tertarik dengan Komunite Seni Jalan Telawi (KsJT) yang rata-ratanya anak muda 20-an dengan segala kepemudaan, kementahan, kesilauan dan api semangatnya.

KsJT, saya harap, akan turut memikul idealisme KAMI dan memancarkan juga idealisme kebebasan akhbar, profesionalisme dan mutu dan ghairah intelektualisme.

Atas jalan inilah, sebagai anak era pasca-Reformasi (kalaulah kata ini boleh diterima), saya kira KsJT meneruskan jejak langkah yang telah diterokai oleh KAMI dan semua aktivis yang telah berjalan di atas jejak-jejaknya.

Saya bangga dapat menumpang membawa obor dua kumpulan ini, KAMI dan KsJT walau tidak ada siapa tahu bagaimana nasib masing-masing di kemudian hari.

Tidak ada batu nisan yang dipacakkan sendiri oleh tangan si mati.

Jadi urusan mengkafankan sejarah dan menisankan gerak kita hari ini kita serahkan kepada orang lain.

Kita hanya menulis, membetulkan koma dan noktah, menyediakan manuskrip; kerja mencetak, menjilid dan menjual kita serahkan kepada generasi berikutnya -- ya-lah kalaulah manuskrip catatan kita saat ini layak dibukukan.

(bersambung ... entah bila!)

4 comments:

Anonymous said...

Saya sudah tempah sekayu kain kapan dan sepasang batu nesan berprada emas.

Di mana patut saya pacakkan?

...terngiang2 di telinga lagu `Layu Sebelum Berkembang'.

Anonymous said...

Kami (bukan KAMI) sesuatu ketika dulu pernah memacakkan dua batu nisan buat seseorang. Sebagai tanda peringatan. Tiba-tiba Kami didenda kerana kuburan itu bukan di tempat yang telah ditetapkan. Kuburan itu sebenarnya dimiliki oleh orang yang mendenda Kami. Dia masih hidup lagi.

Kini Kami tidak tahu samada dia telah mempunyai batu nisan ataupun tidak.

Maafkan Kami kerana bertindak sedemikian.

Sapere Avde said...

sayu saya membacanya...apapun selamat berjuang KsJT..

Anonymous said...

Buat apa sayu2, Zarul. Iya-iya o, kau ni pun! Hehehe faomar@yahoo.com