Saturday, April 28, 2007

Habermas

Dr Lutfi Assyaukanie, yang pertama kali saya kenali di Jakarta, semalam ke Kuala Lumpur untuk membicarakan buku Faslul Maqal wa Taqrir ma bainal Syari'ah wal Hikmah minal Ittasal, karya tokoh besar Ibnu Rusydi.

Saya terlambat hadir kerana baru pulang dari kantor. Tapi setidak-tidaknya cebisan diskusi di hujung pembentangannya menarik perhatian saya -- dan juga teman-teman peserta lain, khususnya yang muda-muda.

Seorang teman mencatat pengalamannya di diskusi tersebut, dan juga sesi sembang warung kemudiannya, sebagai "sebuah istana di kayangan, terawang-awang." Sementara seorang lagi teman mencatat, sebelum ke program diskusi itu, begini pula.

Sewaktu sembang-sembang yang ringkas dan tidak tersusun itu, terpacul kata dari Lutfi tentang sumbangan Jurgen Habermas dan "ruang awamnya", public sphere, dalam menjana konsep asasi tentang dakwaan kebenaran (truth claim), dan sifat dialog yang berterusan dalam masyarakat terbuka.

Lihat buku dasarnya The Structural Transformation of the Public Sphere (yang telah disemak ulang melalui karya yang lebih terkini Between Facts and Norms: Contributions to a Discourse Theory of Law and Democracy).

Yang, di sisi teman sasterawan saya S. M. Zakir, sebagai sejenis ancaman "sosialis baru" yang cuba dikembangkan di negara ini. Sehinggakan konsep authoritarian personality atau mengulang kaji dan menyemak kembali, termasuk membedah siasat, sumber-sumber kuasa dominan -- bagi penulis cerpen dan rencana seni ini -- suatu ancaman paling bahaya yang sedang bergerak senyap-senyap.

Dengan segala kekotoran dan kekejian wacana Habermas dan mazhab Frankfurt-nya, S. M. Zakir mencoret begini (sengaja dikutip di sini dengan panjang lebar):

Di Malaysia selepas pasca-krisis Mahathir-Anwar, muncul beberapa kelompok golongan muda yang mula menaja ideal-ideal tentang kebebasan, liberalisasi, dan rasionalisasi. Mereka menuntut ruang kebebasan yang mengatasi bukan sahaja campurtangan politik tetapi juga campur tangan budaya dan agama. Nilai dan norma yang sedia ada tidak terkecuali tradisi dilihat sebagai kota purba yang mengekang kehidupan pascamoden yang bebas daripada sebarang batas dan sempadan.

Hubungan Negara yang diikat dengan nilai dan keperibadian Melayu dilihat sebagai bentuk ‘authoritarian personality’ yang menjadi regim budaya-politik lama. Sementara kepercayaan dan agama dianggap sebagai milik peribadi yang hanya wujud sebagai ritual dan bukan sebagai pengawas tingkah masyarakat. Perjuangan emansipasi melalui gerakan feminisme, hak asasi, individualiti, etnik minoriti, dan sebagainya dianggap sebagai misi suci masyarakat pascamoden.

Selain daripada itu mereka juga mencari ruang ekspresi di dalam dunia jaring teknologi maklumat, penulisan, muzik, teater dan filem. Mereka menuntut ruang dialog dan tafsiran semula bukan sahaja terhadap nilai, norma dan peraturan di dalam masyarakat tetapi juga di dalam kepercayaan dan agama.

Maka lahir kelompok-kelompok muda di ibukota yang membawa semangat perubahan dan menentang bentuk establishment serta status quo yang dianggap sebagai ‘authoritarian personality’. Kelompok yang menyatukan diri mereka di dalam perjuangan reformasi.

Kelompok emansipasi wanita dan hak asasi manusia yang berpegang kepada prinsip liberal dan individualiti. Kelompok yang menentang sebarang bentuk keperibadian kebangsaan termasuk bahasa dan budaya Melayu.

Kelompok seniman terutamanya dunia teater dan filem yang kononnya berjuang di luar jalur arus perdana. Kelompok rasional dan liberal yang berpegang kepada prinsip meritokrasi. Dan juga kelompok anti-agama yang berpegang kepada aliran positivisme. Sebuah utopia moden sedang dicipta menjadi matlamat agung.

Tanpa disedari sebuah revolusi senyap juga sedang berlaku secara perlahan-lahan, halus dan sangat sistematik di Malaysia. Kelompok-kelompok muda ini baik secara sedar mahupun tidak sedar iaitu secara naïf (naïve) dan jahil (ignorance) sedang membentuk golongan sosialis baru atau foot soldier kepada gerakan mazhab Frankfurt yang sedang melangsungkan revolusi senyap di seluruh dunia.

Saya enggan mengulas panjang coretan S. M. Zakir ini kerana, pada fikir saya, kalau dia sudah memandangnya dengan sedemikian rupa hitamnya Habermas dan Marxisme (dan kita yang membaca dan berdiskusi tentang hal itu sudah dianggap "barua" atau bahasa Indonesia "antek-antek" (atau dalam bahasa asalnya, foot soldier), biarkan sahaja ia bermain-main dalam fikirannya dan peminatnya. Tak sangka, ya, public sphere bertukar public's fear!

Mungkin semua kritik ideolog Rumah PENA itu bermula di sini dan di sini (rujuk artikel Merobek-robek Citra Cak Nun) yang asal-asalnya bermula dari sini dan juga sini. Atau, boleh jadi juga artikel saya ini atau artikel yang ini.

Cuma patah-patah ringkas Lutfi malam tadi mengembalikan ghairah lama saya yang terabaikan. Maka segeralah saya mencapai kembali kitab-kitab Habermas dan membaca ulang sebentar -- setidak-tidaknya untuk pengenalan awal kepada teman-teman baru (nanti).

..../2 (bersambung)

2 comments:

UMMU FATIMAH said...

Terima kasih Sdr Fathi atas saranan buku-buku di blog saya. Sewaktu menulis ulasan Saman itu saya ada terfikir, (berdasarkan pengalaman membaca tulisan Sdr Fathi dan berbeza pendapat kecil dgn Sdr tahun sudah kalau tak salah), agaknya apa komen Sdr tentang ulasan tersebut. Tak sangka pula sdr akan betul2 sampai di blog saya. Walau bgmanapun, di sebalik tidak persetujuan saya ttg sesetengah tajuk artikel dan isi Patah Balek (buku sdr), saya telah buat keputusan membelinya.

fathi aris omar said...

Terima kasih. Semoga ada manfaatnya selepas membaca Patah Balek.

Elok buku saya itu difahami bersama konteks politik dan negara selepas tercetus Gerakan Reformasi 1998-2000 dan juga kemerosotan gerakan demonstrasi dan parti-parti politik pembangkang selepas 10 aktivisnya ditahan ISA, 2001-2003.

Namun, buku saya itu bukan karya politik; ia sebuah naskhah -- hasil diskusi intensif sekumpulan anak muda -- pemikiran kebudayaan dalam konteks krisis politik 1998-2000 di Malaysia.

Jika anda mencintai buku, Patah Balek membahaskan persoalan itu dari pelbagai sudut.