Tuesday, April 17, 2007

Sewaktu agama kehilangan akal

NOTA: Untuk memudahkan bacaan pengunjung blog ini, esei berikut dikemaskini sebagai edisi bahasa Malaysia, edisi asal boleh dilihat di Ummah Online.

Dilema umat Islam sering merupakan persoalan di antara dua sisi ekstrem: akal dan emosi, ruang awam dan ruang peribadi, rasionaliti dan wahyu, kebebasan dan kekangan, ke depan (sezaman) dan ke belakang (tradisi), ulama dan bukan ulama, dunia dan akhirat, ummah (sesama umat Islam) dan manusia (dengan manusia bukan Islam).

Pertentangan, binary opposition, ini menyulitkan kita menerima nuansa, spektrum atau kekelabuan sebagai realiti pengalaman beragama itu sendiri. Sering kita cenderung mengambil satu ekstrem saja. Dilema inilah yang tidak terpecahkan. Malah sebarang langkah ke arah memecahkan persoalan ini sering dihambat pertentangan dan penolakan dari dalam tubuh umat Islam sendiri.

Entah di mana celakanya, persoalan ini pula yang enggan dimengertikan oleh kaum terpelajar Muslim, khususnya yang sudah dipengaruhi dogma-dogma fundamentalisme agama. Pemerintah kita masing-masing hanya membesarkan kepentingan elit mereka saja. Sementara pemikir reformis atau progresif sering bergelut dalam kekaburan sisi-sisi ekstrem ini yang menjadikan mereka sulit dimengertikan dan, akibatnya, cenderung diabaikan (oleh massa). Hidup ini, mungkin, lebih mudah jika kita memilih ekstrem!

Agama kemudian hanya sekadar carut-marut niat, declaration of intent, slogan-slogan atau janji-janji manis untuk berbuat baik kepada sesama manusia tapi dangkal sekali agenda atau program kemaslahatan manusiawinya. Seolah-olah wujud tenaga yang besar tetapi terkepung dan tidak terluahkan. ‘Islam progresif’, di sisi saya, harus melihat gambaran besar ini dan cuba mengguna pakai wacana-wacana pemecahan yang kreatif, emancipatory dan kritis.

Islam itu untuk maslahat manusia, bukan untuk Tuhan. Islam itu ada janjinya kepada manusia, rahmatan lil ‘alamin, tetapi janji ini belum ditunaikan (kalau tidak mahu menyebut ‘dimungkiri’). Umat Islam sering berbicara tentang isu-isu agama seolah-olah mereka tidak hidup dan berinteraksi dengan orang lain. Seolah-olah dampaknya tidak membabitkan orang lain atau mereka ini tidak akan memberikan dampaknya kepada umat Islam.

Jika di Malaysia, Islam itu (walau membabitkan dasar awam) mahu dibicarakan sesama umat Islam saja, atau lebih buruk lagi sesama ulama. Islam sering menjadi medan eksklusif ulama – konon autoriti agama itu dicampakkan kepada segolongan kecil manusia dari dewa langit!

Kita belum belajar menghargai manusia lain atau golongan bukan ulama. Kita belum tahu berwacana secara awam tentang hal-ehwal agama kerana kononnya wahyu itu sentiasa kekal, tidak berubah-ubah lagi, sepatah demi sepatah di dalam al-Quran. Campur tangan manusia atas tafsir, kecuali monopoli ulama, tidak diizinkan.

Seolah-olah enakmen hudud (yang pernah disarankan oleh PAS) diambil 100 persen dari kitab suci itu, tanpa tafsir atau rumus manusiawi sedikit pun! Mempertikaikan enakmen ini sama berdosa dengan menolak al-Quran. Tafsir tiba-tiba menjadi taboo, akal sewenang-wenang dikhabarkan tunduk di bawah tapak kaki gergasi wahyu.

Sesiapa yang cuba berwacana rasional, khususnya meminjam teori atau paradigma ilmu sosial kontemporari (misalnya ‘Islam progresif’, ‘Islam liberal’, ‘Islam kiri’ atau ‘Islam sivil’), dicurigai ‘separuh benar’, ‘separuh Islam’ atau, lebih buruk lagi, ‘barua Barat’!

Di negara kami, inilah dilema paling besar – dilema merumuskan kedudukan akal dengan wahyu dan tradisi agama. Isu ini paling pusat dalam keseluruhan wacana agama. Isu ini menjadi cukup bermasalah apabila politik turut campur tangan. Apatah lagi politik itu, baik agama atau sekular, tidak pernah demokratik. Perseteruannya tajam, dan ada waktu-waktunya keji dan tanpa etika. Sementara perlawanan mencabar keadaan tidak demokratik itu pula lemah atau tidak tekal.

Ya, sebetulnya, dilema Malaysia itu bukan kes terpencil. Malah, di negara-negara Muslim yang lain, termasuk di Indonesia, hal yang seumpama ini masih berjalan.

Bagi mengelak kebingungan arus moderniti dan urbanisme, tidak sedikit kaum terpelajar kita (kelas menengah Muslim) melarikan diri ke dalam ruang peribadi – agama sekadar upacara menjinakkan jiwa. Sebahagian gejala ini asalnya pengalaman tradisi beragama. Persoalan dunia dilihat dari perspektif bukan agama atau disederhanakan saja.

Upaya untuk mengolah akal bagi mendepani dunia kontemporari (dunia moderniti dengan pasca-modernitinya, dunia tempatan dengan pensejagatannya), terhambat.

Sementara kaum fundamentalisme agama pula memang ingin menegakkan Islam di ruang awam (dasar bernegara) tetapi sering pula menyederhanakan persoalan-persoalan agama. Negara bagi mereka hanyalah lembar-lembar fotokopi al-Quran, hadis, ijmak dan qias ulama! Begitulah proses menyederhanakan agama sehingga sesiapa yang berfikiran luas akan cenderung ketawa, atau kecewa, dengan lawak agama ini.

Tetapi mereka benar-benar serius dan pengaruh mereka besar sekali. Jangan cuba mentertawakan hal ini, nanti anda terkena label ‘murtad’.


(ii)
Saya sengaja menjadikan Malaysia sebagai satu kes untuk direnung kita bersama kerana, konon khabarnya di Indonesia, negara ini (Malaysia) dipandang ‘tinggi’, dari beberapa sisi, dalam kemajuan Islam, pembangunan ekonomi, hubungan antara kaum dan kejamakan budaya, pendidikan universiti, kestabilan politik dan teknologi.

Pengalaman kami di Malaysia menjelaskan bahawa situasi negara yang tidak demokratik telah merosakkan faham agama. Islam menjadi korban dunia tidak demokratik. Dunia politik seperti negara kami mematikan akal kritis warganya, menyuburkan konservatisme dan feudalisme, menolak perbahasan terbuka dan kejamakan tafsir, dan melemahkan keghairahan mengkaji teori-teori baru (dari luar). Pendek kata, apa saja hegemoni bakal menemui lembah subur di sini.

Tidak pernah ada Nurcholish Madjid (Cak Nur) atau Abdur Rahman Wahid (Gus Dur) di negara kami – pemikir isu-isu kontemporari dari cabang pendidikan tradisi agama (di sini, kami menyebutnya ‘ulama’) – yang mendapat dukungan meluas.

Semua pemikir yang kritis tentang agama (khususnya aliran fundamentalisme) datangnya daripada pendidikan bukan agama seperti Zainah Anwar, Farish A Noor (kecuali Astora Jabat -- ed.) dan sejumlah tokoh lagi. Mereka bergerak sebagai individu atau dalam NGO kecil yang berpangkalan kehidupan kota dan kelas menengah.

Jadi, wacana-wacana alternatif dan progresif tidak pernah mengakar di umbi masyarakat Islam. Pluralisme tafsir agama baru saja berkembang, berbanding di Indonesia yang sudah beberapa dekad dibicarakan orang.

Pembirokrasian Islam di tangan negara juga ada dampak buruknya. Tangan-tangan tidak demokratik negara mengawal agama dengan penuh rasa cemburu. Dalam persaingan politik dengan parti Islam, pemerintah mengawal dengan ketat jabatan-jabatan agama dan tafsir Islam. Sering muncul dua versi agama, satu milik pemerintah, satu lagi milik parti pembangkang. Media, kampus dan panggung seni turut dikawal – jauh lebih halus dan berdampak buruk daripada zaman Orde Baru. Bukan saja pemerintah, pembangkang juga mengawal media, kampus dan panggung seni bersesuaian dengan tingkat kuasa masing-masing.

PAS, sebagai sebuah parti tradisi yang berpengalaman luas, berjaya menerobos hegemoni pemerintah. Parti ini pada 1982 (hingga kini) diresapi kaum fundamentalis, sesuai dengan arus kebangkitan Islam di serata dunia. Mereka menguasai kampus dan anak muda. Jabatan agama juga berjaya disusupi anasir-anasir PAS.

Dalam persaingan yang semakin sengit dengan parti Islam, pemerintah Malaysia juga akhirnya mahu dikenali ‘pejuang Islam’. Dulu, sewaktu Anwar Ibrahim berada dalam parti pemerintah, dasar ‘penerapan nilai-nilai Islam’ diperkenalkan sejak awal 1980-an. Kini, selepas Dr Mahathir Mohamad dan timbalannya Anwar tidak ada lagi, perdana menteri baru memperkenalkan ‘Islam Hadhari’, mulai 2004, sebagai sebuah versi agama tanpa kebebasan dan demokrasi – atau, ‘kebebasan’ dan ‘demokrasi’ menurut faham negara.

Di sini, ‘negara Islam’ bukan saja seruan parti oposisi tetapi juga parti pemerintah. Agama tidak boleh dipisahkan daripada politik (walau partai pemerintah itu sekular-pragmatis orientasinya) seperti agama tidak boleh dipisahkan daripada kaum (Melayu). Sementara politik negara pula bermakna hegemoni politik Melayu (dari Semenanjung) ke atas kaum-kaum lain – Cina, India dan suku kaum di Sabah dan Sarawak – dalam wacana politik perkauman.

Jadi, wajah-wajah popular Islam di Malaysia sentiasa bermakna ‘Islam negara’ dan ‘Islam pembangkang’ (baca: fundamentalisme), dan kadang-kadang ‘Islam perkauman’ atau ‘Islam fasis’, tetapi tidak pernah ‘Islam progresif’.

Walau kedengarannya dua nama berbeza, ‘Islam negara’ dan ‘Islam pembangkang’ pada akhirnya memiliki satu tubuh saja: anti-akal, anti-debat, anti-kebebasan, anti-pluralisme, atau ringkasnya anti-demokrasi.

Perlawanan daripada pemikir-pemikir independen terhadap hegemoni negara, dan lain-lain kelompok dominan, hampir-hampir tidak ada atau tidak tekal. Kerana masyarakat sivil dan institusi demokrasi telah berjaya dilumpuhkan secara sistematik di bawah pentadbiran Dr Mahathir, sewaktu ‘penerapan nilai-nilai Islam’ berkembang.

Berbeza dari Indonesia, di negara kami kata ‘independen’ atau ‘mandiri’ itu masih lagi asing sebab semua orang cenderung memihak, kalau tidak kepada pemerintah, pastilah kepada pembangkang. Atau, berdiam diri.

Di Indonesia, sentiasa muncul tokoh dan gerakan (walau kecil atau tersembunyi) yang cuba mandiri (menjaga jarak) daripada negara. Di Malaysia, seseorang dipaksakan (oleh arus popular) memihak kepada kumpulan dominan untuk mendapat tempat (kedudukan), suara dan pengaruh. Akhirnya individu yang progresif atau kritis tunduk kepada hegemoni-hegemoni tertentu yang sudah tidak demokratik.

Maka, sesiapa yang cuba melihat persoalan politik atau Islam dari perspektif yang luas, mengkritik pembangkang dan pemerintah dalam sebuah artikel yang sama, pasti tidak akan disenangi dari segenap penjuru! ‘Konspirasi’ seperti ini buat masa sekarang menjadi kepastian hidup di Malaysia – ruang ‘mandiri’ hanya satu, itu pun di alam siber, misalnya Malaysiakini.com.

Di akhbar web inilah, sejak tahun 2000, kita bisa melihat keghairahan orang Malaysia berwacana dengan lebih bebas, jujur dan jamak dalam semua bidang kehidupan. Akhbar web ini seolah-olah ‘penyelamat’ dari alam ghaib, makhluk dari planet asing, manna wa salwa bagi mereka yang kelaparan kejamakan, kecerdasan dan pemikiran progresif.

Pelbagai kaum, kelas sosial, pendidikan, aliran berfikir dan pendukung politik (termasuk pemerintah) muncul di sini. Tetapi kualiti diskusi belum terjamin tinggi. Malah, cenderung pula dangkal dan sempit.

Kedangkalan dan kesempitan wacana ini kerana mereka dipengaruhi struktur kuasa dan budaya masyarakat yang konservatif itu. Ertinya, walau kita berjaya mendirikan media yang bebas tetapi jika budaya masyarakatnya masih konservatif, maka tidak ada ertinya ‘kebebasan media’ itu!

Sama situasi di Indonesia saat ini – pembaca dan masyarakat tidak cenderung menggunakan hak jawab dan hak membetulkan (ralat), sebaliknya mereka lebih suka membawa media dan wartawan ke mahkamah. Media belum dimanfaatkan secara jujur dan sungguh-sungguh oleh warga sebagai peserta (participant) ruang awam.

Namun, setidak-tidaknya Malaysiakini.com boleh menjadi cermin bagi merenung wajah ‘jujur’ dan ‘asli’ Malaysia walau tidak dinafikan rata-rata pengunjung (pembaca) tapak web ini dari kelas menengah kota, khususnya Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor. Di luar laman web ini, ada lagi wajah-wajah lain Malaysia.

Gambaran ini sangat penting disampaikan dengan harapan pembaca Indonesia dapat berlaku adil ketika melihat Islam dan hubungannya dengan politik di Malaysia. Ertinya, bukan hanya agama itu buruk, sedangkan hal-hal lain (di Malaysia) itu sudah baik. Agama hanya satu daripada beberapa keburukan atau kelemahan di Malaysia.

Aktivis agama itu tidak lebih buruk, tidak lebih baik, daripada profesional, penduduk kota atau masyarakat kelas menengah kami (Melayu atau bukan, Muslim atau tidak). Malah, mereka saling mempengaruhi (bertukar-tukar) keburukan, mediocrity, akibat situasi demokrasi yang terbatas. Pendek kata, keadaan negara yang tidak demokratik telah merosakkan banyak perkara, tidak terkecuali faham agama.


(iii)
Dalam masyarakat Melayu (semuanya harus Islam seperti telah didefinisikan oleh perlembagaan), arus konservatisme semakin menebal sejak tahun-tahun mutakhir. Dalam buku saya, Patah Balek: Catatan Terpenting Reformasi (2005), hampir semua bidang kehidupan – seni, politik, agama, kampus, aktivisme pro-demokrasi, pemikiran dan media – dan kelompok (khususnya Melayu dan Islam) telah dikenal pasti menyimpan dampak-dampak buruk tidak demokratiknya negara. Di sini membiak authoritarian personality – peribadi autoritarian.

Konservatisme itu tetap berjalan bersama tingkat pendidikan tinggi, termasuk dari universiti-universiti Barat, dan kemajuan ekonomi (khususnya sebelum krisis kewangan 1997).

Konservatisme itu lebih deras terasa apabila wujud kekangan politik negara, khususnya pasca krisis 1998, dan berkembangnya arus fundamentalisme agama.

Pada pertengahan dekad 1990-an, ketika ekonomi memacu laju dan pemerintah memperolehi suara besar dalam pilihan raya umum 1995, ada semacam era ‘keterbukaan’ di Malaysia. Beberapa pemikir kritis dan aktivis NGO (lembaga swadaya masyarakat) diundang bersuara, termasuk di televisyen, media (seperti akhbar dan radio) yang dikuasai sepenuhnya oleh pemerintah atau kroni pemimpin negara.

‘Keterbukaan’ ini yang mendorong Anwar Ibrahim, waktu itu timbalan perdana menteri, menganjurkan wacana ‘masyarakat madani’, sesuai dengan berkembanganya tema civil society di dunia antarabangsa.

Tetapi persoalan hak asasi manusia tidak pula dipandang serius waktu itu, malah Malaysia antara negara yang paling tinggi suaranya menggesa nilai-nilai hak asasi manusia itu dikaji kembali, kerana kononnya idea-idea itu datang dari Barat dan tidak sesuai diterapkan di negara-negara bukan Barat. Malaysia juga, bersama Singapura, yang merumuskan ‘nilai-nilai Asia’ dan menolak tuntutan Barat yang mahu isu-isu ekonomi antarabangsa diperhitungkan bersama soal-soal pemusnahan ekologi atau pelanggaran hak asasi manusia.

‘Keterbukaan’ yang datang bersama kemajuan ekonomi negara ini bagaimanapun berlaku setelah pemerintah berjaya melemahkan masyarakat sivil dan institusi demokrasi (misal, sistem kehakiman) pada dekad sebelumnya. Krisis politik 1987 turut memburukkan demokrasi tetapi memberi keuntungan kepada aliran fundamentalisme agama yang didukung oleh parti pembangkang PAS, khusus sewaktu pilihan raya umum 1990 – menjadikannya ‘percaya diri’ luar biasa kerana berjaya menarik dukungan lebih besar massa Melayu (yang kecewa dengan UMNO yang sedang mengalami perpecahan).

Dari sini, konservatisme Melayu perlahan-lahan muncul walau ekonomi sedang meningkat. Kemajuan ekonomi itu malah melahirkan kesedaran agama di kota, sejenis ‘sufisme kota’ seperti komentar profesor Komaruddin Hidayat. Perkembangan ini tidak jauh bezanya sewaktu pilihan raya umum 1999, apabila sekali lagi parti pembangkang ini mendapat pengaruh yang luar biasa besar – akibat krisis politik 1998 (kes pemecatan Anwar Ibrahim) yang memburukkan demokrasi. Orang Melayu yang kecewa pada UMNO lari lagi kepada PAS.

PAS diam-diam menjadi ‘tulang belakang’ Gerakan Reformasi Anwar – kebetulan, presiden parti ini Fadzil Noor (almarhum) teman dekatnya Anwar. Walau di kota slogan Gerakan Reformasi, yang turut disertai aktivis-aktivis hak asasi dan gerakan pro-demokrasi, kedengaran ‘progresif’ tetapi di desa-desa yang menjadi pangkalan parti pembangkang ini, agama tetap juga dalam faham fundamentalisme dan konservatisme.

Slogan gerakan pendukung Anwar ini memang bunyinya ‘reformasi’, ‘politik baru’, ‘keadilan’, ‘Malaysia yang adil’ dan ‘alternatif’ tetapi, sesuai pula dengan budaya politik Malaysia, sekadar promosi di kulit saja. Kandungannya, tiada yang benar-benar ‘reformasi’, ‘baru’ atau ‘alternatif’. Di bawah retorikanya dan di dalam gerakan ini, semuanya konservatisme. Idea-idea progresif sulit tumbuh dan tidak diberikan perhatian: oleh pemimpin politik, aktivis dan pengikut akar umbi.

Tulisan-tulisan dan idea-idea progresif tidak berkembang, tidak berjaya difahami dan dituturkan, termasuklah di kalangan aktivis muda dan pemimpin mahasiswa (kelompok ini telah lama bergabung sebagai sayap parti pembangkang atau NGO Islam, seperti juga gejala di Indonesia). Cara mereka menganalisa atau merumus konflik politik itu masih lagi permukaan dan lama.

Oleh itu, penulis-penulis seperti Farish A Noor dan saya (sekadar dua contoh) sering mengalami dilema ini. Sewaktu kami berdua menggesa gejala ini (kelemahan wacana dan pemikiran dalam Gerakan Reformasi) diperbaiki segera demi kemajuan demokrasi, halangan itu mendadak datang dari pemikir dan aktivis kanan gerakan ini sendiri – malah, kami dituduh ‘orang asing’ yang tidak pernah beriltizam pada perjuangan perubahan (sesuatu yang, pastilah, tidak benar).


(iv)
‘Islam progresif’, jika kita memakai takrif Omid Safi, memang menarik dan relevan dengan wacana umat Islam sekarang – setidak-tidaknya ia boleh menjadi ‘pengimbang’ kepada wacana-wacana ‘Islam liberal’ yang berorientasikan pasar dan semangat liberalisme.

(Nota: kata ‘Islam liberal’ di sini bermaksud umum saja, tidak merujuk kepada atau tanpa sebarang hubungan dengan Jaringan Islam Liberal)

Namun, masalah pokok di negara kami, kedua-dua kata ini ‘Islam progresif’ atau ‘Islam liberal’ tidak diterima oleh aliran konservatif. Wacana popular dan berunsur politik beberapa bulan kebelakangan semuanya menyatakan penolakan (keras?) terhadap sebarang kata yang ditambah selepas kata ‘Islam’.

Asalnya, kelompok Islam – khususnya parti Islam PAS – tidak senang dengan kata ‘Islam hadhari’ yang dimunculkan oleh UMNO menjelang pilihan raya umum Mac 2004. Saya berada di masjid Rusila, sewaktu presiden PAS menyampaikan kritikannya terhadap konsepsi ‘Islam hadhari’ UMNO – kini wacana parti Islam ini sudah dijadikan sebuah buku.

Awal tahun ini (2005), selepas muncul kontroversi besar ‘anti-kawalan moral’ sebagai susulan memorandum daripada organisasi-organisasi dan aktivis-aktivis pro-kebebasan individu, kelompok agama konservatif membakar emosi orang ramai dengan mendakwa ‘Islam liberal’ itu mengancam ‘akidah’ umat Islam.

Dengan maksud, semua kata baru di belakang ‘Islam’ seperti ‘Islam emansipatori’, ‘Islam pasca-tradisionalis’, ‘Islam kiri’, ‘Islam substantif’, ‘Islam kultural’ atau ‘Islam sivil’ dianggap semuanya itu – di negara kami – ‘Islam liberal’. Kata ‘Islam progresif’ tidak terkecuali dirangkumkan sekali dalam daftar wacana yang terlarang di sisi faham agama mereka, kaum konservatif dan tradisionalis, sama ada parti pembangkang, NGO Islam atau pemerintah sendiri!

Saya melihat dilema besar di Malaysia. Dinding nalar sedang didirikan di negara kami seolah-olah sebuah dinding tinggi yang memisahkan orang-orang Palestin dan Yahudi di Israel. Dulu, sewaktu Perang Dingin, ada ‘tembok Berlin’ untuk memisahkan dunia kapitalisme-liberalisme-demokrasi dengan komunisme tetapi kini di Malaysia ada tembok Islam konservatif-fundamentalis dengan Islam liberal (seperti yang mereka fikirkan begitu).

Dinding nalar ini memang mujarad (abstract) tetapi perseteruannya tidak kurang tajamnya seumpama aantara orang Palestin dengan regim Israel (pada sisi dan sikap kaum konservatif).

Rasa kebencian dan kekagetan awam dibesar-besarkan sehingga orang ramai dan umat Islam umumnya kebingungan apakah sebenarnya isu-isu dasar yang harus mereka perhalusi dan fikirkan. Masyarakat disuap dengan propaganda sebelah pihak, dangkal dan rencatan pengetahuan.

Halangan seumpama ini saya ceritakan di sini sebagai satu kes untuk diteliti lanjut – apakah ada harapan kita memajukan ‘Islam progresif’ di negara-negara umat Islam sekarang? Apakah orang Islam nampak bahawa wacana-wacana ‘Islam progresif’ itu ada sisi-sisi penting, relevan dan harus mereka berikan fokus utama (lagi-lagi seperti tafsir Omid Safi)?

Keragu-raguan saya ini bukanlah baru, bukan semata-mata kerana didorong beberapa peristiwa politik dan kontroversi agama di Malaysia akhir-akhir ini. Sebagai aktivis mahasiswa Islam, kira-kira 10 tahun sejak pertengahan 1980-an, dan kemudiannya menulis artikel-artikel kritis terhadap mereka, mulai awal 1990-an, saya rasakan sendiri betapa kecilnya dunia wacana umat Islam umumnya.

Betapa sikap penolakan mereka itu didasarkan pada kejahilan, kedangkalan dan buruk sangka yang salah. Kritik dan kecaman mereka pada kata ‘Islam liberal’ saat ini membuktikan segala-galanya.

Namun begitu, Dr Syafii Anwar, pengarah International Center for Islam and Pluralism (ICIP), melihat di sebaliknya – dia melihat sisi-sisi terangnya. Mungkin kerana ada jalur-jalur harapan di Indonesia, berbanding di Malaysia, jadi penulis seperti saya cenderung melihat dunia (masa depan?) yang lebih murung itu. Keragu-raguan saya itu disebabkan oleh sejumlah faktor di negara kami berbanding di Indonesia.

Di Indonesia, kata Dr Syafii, beberapa organisasi massa (ormas) Islam yang paling besar seperti Nahdlatul Ulama (NU) dan Muhammadiyah senang dengan wacana agama yang lebih moderat dan progresif. (Nota: Walau persidangan NU akhir tahun lalu, 2004, memberikan isyarat yang berbeza).

Tetapi di Malaysia, tidak ada ormas seumpama NU atau Muhammadiyah. Malah, tidak ada tokoh seumpama Cak Nur, Gus Dur atau, malah, Ulil Abshar-Abdalla!

Jadi, sebagai rumusannya, saya ingin jelaskan bahawa wacana ‘Islam progresif’ haruslah menyedari latar penerimaan masyarakat setempat. Ia tidak boleh terlalu gairah dengan idealisme dan kata-kata ilmiah yang akhirnya mencipta jurang antara pemikir Islam progresif dengan umat Islam yang rata-ratanya kurang berfikir, kurang mengkaji dan cenderung konservatif.

Sebenarnya umat Islam kehilangan konteks antara dirinya dengan dunia yang berubah. Jadi, apabila mereka mendengar kata ‘Islam progresif’, mereka tidak nampak di mana ‘konteks’ atau kerelevanan wacana agama ini dengan kehidupan dan masa depan mereka. Umat Islam faham apa makna al-Qur’an, hadis, syurga, neraka dan ulama! Umat Islam nampak konteks ini semua – al-Qur’an, hadis, syurga, neraka dan ulama – dalam kehidupan mereka sehari-hari.

Lingkungan politik yang tidak demokratik ini (bukan hanya di Malaysia, tetapi di banyak negara Islam) memburukkan lagi usaha membuka wacana baru tentang agama dalam konteksnya yang lebih luas dan jamak.

Dari analisa saya, budaya tidak demokratik di Malaysia telah merosakkan semua orang: bukan hanya pemerintah, tetapi juga pembangkang, aktivis NGO, seniman, mahasiswa, cendekiawan, ahli akademik dan agamawan terjerembap di bawah situasi tidak demokratik negara.

Jadi (saranan saya), tidak perlulah kita saling menyalahkan, kita harus sama-sama bertanggungjawab membangunkan budaya demokrasi, membuka ruang awam (public sphere) untuk isu-isu agama dan bukan agama kerana dari sini saja kita saling belajar memprogresifkan nilai hidup dan perspektif.

Pesan saya, rakyat Malaysia harus memberdayakan masyarakat sivil, melazimkan massa berinteraksi idea, berwacana secara tenang tetapi kritis-rasional walau majmuk sekali kepentingan dan perspektif masing-masing, bertolak ansur pada nilai-nilai berbeza dan tidak cuai menyoal siasat golongan berkuasa (atau kelompok dominan).

Bagi saya, ‘projek pencerahan’ Islam bukan lagi ‘belum selesai’ (unfinished project, kata Jurgen Habermas) tetapi baru saja bermula. Untungnya, pendidikan tinggi dan tingkat celik huruf semakin membaik jika dibandingkan sewaktu merdeka pada 1957.

Tetapi, dalam situasi tidak demokratik, pendidikan mudah menjadi alat hegemoni negara. Ibarat pesan Louis Althusser, dalam eseinya yang terkenal, Ideology and Ideological State Apparatuses: Notes toward an Investigation, hati-hati pada pendidikan! Sekarang media massa -- dan juga globalisasi budaya pop dan konsumerisme -- berlumba-lumba masuk ke rumah umat Islam – sejenis usaha ‘membius’ fikiran masyarakat dunia, Islam atau bukan Islam.

Ertinya, Islam progresif itu bukan hanya berdepan dengan kuasa-kuasa setempat tetapi seluruh kuasa sejagat yang cuba melemahkan akal manusia – yang mahu menjadi individu sebagai subjek yang ditaklukkan.

Pendidikan agama – usaha baru di kalangan aktivis aliran fundamentalis – sejak awal 1980-an belum menampakkan hasil ‘positif’ untuk mereformasikan agama, sebaliknya sekadar mengawal generasi muda mereka daripada dipengaruhi cara berfikir negara. Gejala ini sama sahaja kritik W. S. Rendra dalam bukunya Penyair dan Kritik Sosial – tentang kelemahan generasi muda di bawah kawalan dan kekangan generasi tua yang berkuasa.

Memang banyak isu agama dan bukan agama dalam senarai panjang agenda perubahan di Malaysia. Tetapi ia akan bermula dari sini: pembebasan akal dan alam fikiran daripada hegemoni-hegemoni negara, agama, modal dan tradisi feudalisme Melayu. Pembebasan ini pembebasan akal daripada mitos-mitos kata, bahasa, wacana dan komunikasi, kata Roland Barthes dalam Mythologies. Pembebasan ini pula hanya boleh dilaksanakan dengan baik jika ada media massa yang berkesan dan NGO yang aktif.

Penyertaan generasi muda, profesional dan intelektual Malaysia dalam proses reformasi pemikiran – saya kira – sangat tergantung pada sejauh mana menarik atau tidaknya wacana yang kita tawarkan, dalam pelbagai bidang, kepada mereka. Buat masa sekarang, wacana ini ‘harus ditawarkan’, bukannya mereka yang ‘harus mencari’!

Jika kita dapat memecahkan persoalan-persoalan semasa yang dekat dengan kepentingan mereka – seperti dinyatakan di awal artikel ini – dan wujud pula kesedaran kolektif akan perlunya langkah-langkah pemecahan itu, maka ‘Islam progresif’ mempunyai masa depan yang cerah.

Sumber:
Barthes, Roland (1972) Mythologies, New York: Hill and Wang
Omid Safi (2003) ‘What is progressive Islam’, ISIM Newsletter 13, Desember
Syafii Anwar (2004) Progressive Thought is not Socialized, situs web Jaringan Islam Liberal (JIL), 30 Augustus

Nota: Catatan ini dijadikan sebagai kata Pengantar Pendamping bagi buku (terjemahan Indonesia) Dr Farish A. Noor, Islam Progresif: Peluang, Tantangan, dan Masa Depannya di Asia Tenggara. Saya sedang menyiapkan catatan lanjut tentang persoalan ini 'Islam progresif' untuk satu lagi projek penulisan buku, jika tidak ada aral melintang.

7 comments:

Biby Cletus said...

Nice post, its a really cool blog that you have here, keep up the good work, will be back.

Warm Regards

Biby Cletus - Blog

che nik said...

Agama itukan hal-hal perseorangan baik sesama penganut agama yang sama sekalipun, apa lagi tidak sama.
Bila agama itu mula dilibat sama dalam hubungan antara manusia (sosial) dan kehidupan bernegara akan timbullah pelbagai perkara, sebahagiannya mungkin baik-baik saja, sebahagian lagi mungkin tidak.
Jika gue, gue letak saja agama dalam sempadan diri gue. Itu pun jika gue beragama, jika tidak ceritanya tidak berbangkit langsung.

bakaq said...

Aku setuju dengan hang bahawa manusia perlu mentafsirkan. Nabi Muhammad s.'a.w.w. sendiri didatangkan untuk menafsirkan al-Quran kepada kita.

Kalau dia tak tolong tafsir kat kita, akhirnya kita tak ubah seperti budak tadika membaca peta. Hantam saja la labu...

Mentafsir memang elok. Tetapi mentafsir memerlukan ilmu. Masalahnya ramai orang kita yang perasan depa pun boleh tafsir agama tanpa sebarang ilmu.

Aku ingin melihat lebih ramai orang seperti Kang Jalal. Selepas mengaji ilmu dunia, dia mengembara untuk mengaji ilmu agama.

Selepas itu, apabila dia mentafsirkan ajaran dan panduan agama, orang tak boleh mudah-mudah nak pertikai.

Nak pertikai mesti dengan ilmu. Kalau tak, merapu.

Setiap kali hang update dengan posting baru, harap sangat-sangat beritahu di ruangan komen http://malaysiakita-bakaq.blogspot.com/

Aku dok usaha nak senaraikan semua update terbaru setiap hari.

Kalau hantaq, aku terima kasih sangat. Sebab kalau nak intai satu demi satu, lama sungguh masanya!

Salamun'alaika!

ABU MUJAHID said...
This comment has been removed by a blog administrator.
abu mujahid said...

Tidak pernah ada Nurcholish Madjid (Cak Nur) atau Abdur Rahman Wahid (Gus Dur) di negara kami – pemikir isu-isu kontemporer dari cabang pendidikan tradisi agama (di sini, kami menyebutnya ‘ulama’) – yang mendapat dukungan meluas.

Kata-kata ini saya ambil dari artikel anda dari Ummah Online.com

Maksudnya saudara menghormati mereka ini kerana mereka adalah kritis dan pragmatis dengan agama Islam


Nucholish Madjid

Tokoh gerakan sekularisasi di Indonesia, Nurcholish Madjid, juga tidak hanya berpendapat dalam bidang sosial-politik, tetapi juga mempromosikan Teologi Inklusif. Pendapatnya ditulis oleh Sukidi dalam sebuah buku berjudul “Teologi Inklusif Cak Nur”. Cak Nur adalah sebutan untuk Nurcholish Madjid. Ditulis dalam buku tersebut:



"Bangunan epistemologis teologi inklusif Cak Nur diawali dengan tafsiran al-islam sebagai sikap pasrah ke hadirat Tuhan. Kepasrahan ini, kata Cak Nur, menjadi karakteristik pokok semua agama yang benar. Inilah world view Al Quran, bahwa semua agama yang benar adalah al-islam, yakni sikap berserah diri kehadirat Tuhan (QS 29:46)_ "Dalam konteks inilah, sikap pasrah menjadi kualifikasi signifikan pemikiran teologi inklusif Cak Nur. Bukan saja kualifikasi seorang yang beragama Islam, tetapi "muslim" itu sendiri (secara generik) juga dapat menjadi kualifikasi bagi penganut agama lain, khususnya para penganut kitab suci, baik Yahudi maupun Kristian. Maka konsekuensi secara teologis bahwa siapa pun di antara kita - baik sebagai orang Islam, Yahudi, Kristian, maupun shabi'in --, yang benar-benar beriman kepada Tuhan dan Hari Kemudian, serta berbuat kebaikan, maka akan mendapatkan pahala di sisi Tuhan ... (QS 2:62, 5:69). Dengan kata lain, sesuai firman Tuhan ini, terdapat jaminan teologis bagi umat beragama, apa pun "agama"-nya, untuk menerima pahala (surga) dari Tuhan. Bayangkan betapa inklusifnya pemikiran teologi Cak Nur ini." 29



DARI KESIMPULAN DI ATAS CAK NUR KATA SEMUA AGAMA ADALAH SAMA


APA KOMEN SAUDARA

Anonymous said...

minta dikomen pandangan abu mujahid diatas, bung fathi...

kompius said...

saya baca tajuk, nampak menarik pas tu tergerak nak baca semua tapi baru sampai suku dah blur.... penuh dgn perkataan yg dasyat2 lah, yang saya tak paham. Kena cari kamus lak cam nak baca crita omputih lak. Dlm bahasa pasarnya "potong stim larr" Saya nak tanyalah, adakah artikal tuan2 ni utk sendiri atau utk kengkawan blogger atau utk org2 bijak pandai jer atau ada mempunyai niat utk menarik minat org yg tak berapa cerdik? Saya pun teringin nak bagi pendapat, tapi ni dah bukan tahap saya dah nih....