Umno diajak fahami, dekati 'Generasi Net'
KUALA LUMPUR: Umno disaran mengambil langkah proaktif dengan lembut dan mesra bagi mendekati generasi baru orang Melayu yang semakin berani mempertikaikan kerajaan dan mempersoal kaum mereka sendiri.
"Sebilangan dari generasi ini (golongan terpelajar kelas menengah) mempunyai daya fikir yang berbeza, cita-cita politik yang berbeza, pandangan terhadap nilai-nilai kemelayuan yang berbeza," kata Pertubuhan Alumni Kelab-kelab Umno Luar Negara dalam satu rumusan yang diedarkan kepada media hari ini.
Rumusan keempat 'Menghadapi Kebangkitan Generasi Baru' itu merupakan satu daripada lapan resolusi Seminar Agenda Melayu ke-3: Melayu 2057 anjuran pertubuhan itu pada Ahad lalu.
"Generasi Net" yang ditaktif oleh pertubuhan itu antaranya mempunyai ciri-ciri "berfikiran kritis, berani berpolemik tentang kedudukan bangsa, berpartisipasi dalam dunia demokrasi dengan bertanya ke mana haluan negara, mempersoalkan apakah yang telah dilakukan pemimpin dan sentiasa menilai sama ada Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri membuat kajian dan kerja rumah sebelum berbahas."
Menurut resolusi itu lagi, generasi baru yang aktif menyebar dan mendapat maklumat melalui alam siber seperti melalui kumpulan komuniti penulis blog, Youtube, Myspace dan Friendster memerlukan kebijaksanaan kepemimpinan Umno dan kematangan berpolitik parti itu.
Menyedari realiti baru tersebut, pertubuhan itu menggesa Umno mengambil langkah "mengadakan pertemuan berterusan (didik dengan mesra) agar mereka dapat diasah untuk menjadi pemimpin masa depan yang cemerlang".
Langkah itu juga diambil, kata pertubuhan itu lagi, agar Generasi Net "mengenal realiti politik dan kemudiannya ikut serta mempertahankan kredibiliti Umno" dan strategi ini akan menjadi "aset penting mengekalkan orang Melayu sebagai bangsa penentu pada 2057."
Di sidang media itu, timbalan pengerusi pertubuhan tersebut Datuk Mohamad Rais Zainuddin berkata pihaknya sedang merangka satu pelan sebagai panduan untuk bangsa Melayu bagi memastikan hak dan keistimewaan mereka di dalam negara ini terus terpelihara.
[ii]
Coretan di atas tadi berita yang saya sediakan untuk mStar Online. Apakah anda boleh bersetuju dengan analisa Pertubuhan Alumni Kelab-kelab Umno Luar Negara?
Jika bersetuju, apakah anda senang dengan pendekatan yang disarankan itu?
Friday, November 09, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment