Monday, November 19, 2007

Yang 'setan' dalam diri sasterawan

Milan Kundera, novelis yang terkenal dan 'ganjil' itu, bingung memikirkan bagaimana seniman Perancis boleh mendukung kezaliman politik di (bekas) negaranya sendiri, Czechoslovakia.

Penyair yang dikaguminya Paul Eluard secara terbuka dan megah mengalu-alukan tindakan pemerintah Prague yang mengirim seorang seniman republik tersebut ke tali gantung.

Kata Kundera: This episode (I wrote about it in The Book of Laughter and Forgetting) hit me like a trauma: when an executioner kills, that is after all normal; but when a poet (and a great poet) sings in accompaniment, the whole system of values we considered sacrosanct has suddenly been shaken apart.

[Terjemahan: Episod ini (saya tulis hal ini dalam The Book of Laughter and Forgetting) menyentak saya seperti satu trauma: Apabila seorang algojo membunuh, hal ini tidaklah terlalu menghairankan; tetapi apabila seorang penyajak (apatah lagi seorang penyair besar) menyanyikan sokongannya, seluruh sistem nilai (benar-palsu, baik-buruk) yang kita anggap mulia tiba-tiba rebah berkecai.]

Kejadian inilah, antara sebab, beliau mengarang novel Life is Elsewhere (1970), karya tentang Jaromil, penyair muda yang berjiwa muda dan sarat kespontanan dan ghairah hidup. Namun di lehernya terjerut bayang-bayang kawalan si ibu (Maman namanya), sang setia yang tertipu suami sendiri yang tergila-gilakan cewek Yahudi.

Jaromil, yang idealis dan pro-ideologi kiri lama, ingin menerbitkan sajak-sajak lirik sebagai simbol keghairahan mudanya yang spontan dan 'jiwang' tetapi tidak menyedari bahawa politik anutannya itu telah menghalangnya. Paradoks jiwa.

Jaromil, anak muda yang sakit, ada waktunya kejam dan melalui lidah Kundera, kita mengenali wataknya: "But his [Jaromil's] monstrosity is potentially contained in us all. It is in me. It is in you."

[Terjemahan: Tetapi kesetanan dia [Jaromil] ini mungkin juga tumbuh di dalam diri kita. Di dalam diri saya. Di dalam diri anda sendiri.]

Kundera, ganjil juga, tidak mahu seratus peratus menyalahkan sistem politik komunisme. Dia malah berhujah, ideologi itu sekadar menolong mencetuskan jiwa jahat dan rakus manusia seperti Jaromil (yang seperti kita juga!), penyair muda yang menikam dari belakang kekasihnya sendiri semata-mata, konon, mahu mempertahankan kepentingan negara dan ideologi anutannya.

Seniman, penulis kreatif dan pemikir – pada mata Czeslaw Milosz – bukanlah makhluk agung; jauh sekali nabi-nabi atau orang suci. Mereka ini pernah mengirim manusia ke penjara dan tali gantung; malah menolong membersihkan darah-darah dan dosa-dosa di tangan si diktator.

Milosz (baca: Miwas) pemenang Nobel sastera 1980, seumpama Kundera, sedar manusia seni seperti mereka boleh berbuat apa sahaja, menjadi malaikat atau syaitan, nabi dan algojo. Pilihlah, kita mahu menjadi apa?

Dalam karya besarnya The Captive Mind (1953), selepas lari dari Poland, sebuah lagi negara yang menjadi korban di tangan komunisme selepas jenuh bergelut menentang Hitler, Milosz mencatatkan semua bentuk kekejian kaum seniman, sasterawan, budayawan dan intelektual.

Mereka boleh berbuat apa sahaja – termasuk membunuh, bukan sahaja kerjaya, tetapi jasad! Kerjaya rakan-rakan sendiri yang sama-sama berjuang menjadi porak-peranda, prasangka berkembang biak, demi mendaki tangga-tangga kerjaya di sebuah negara tidak demokratik.

Nilai baik atau buruk, semangat setiakawan, hancur.

Yang masih jujur, harus menelan ludah kebenaran di halkum sendiri; hilang rasa yakin untuk terus hidup bersama sebagai kelompok pemikir yang sedar dan ada harga diri – semata-mata kerana, memang, politik sudah menjadi terlalu sempit dan kesetiaan pada Negara (baca juga: ideologi) harus mutlak.

Milosz melarikan diri ke Amerika Syarikat tidak lama selepas tamat Perang Dunia kedua, kemudian menerbitkan karya kreatifnya itu. Dia sudah tidak sanggup berpura-pura bertemankan takiyyah (istilah Milosz, ketman) – satu-satunya semangat palsu untuk bertahan hidup.

Sama seperti gambaran Kundera, semua watak dalam catatan 'minda terpasung' Milosz seakan-akan ada di tengah-tengah kita, di kalangan sasterawan, seniman, ahli akademik, pemikir dan wartawan kita.

Ngeri, walau tanpa komunisme, negara kita berjaya membiakkan kaum intelektualnya seburuk Poland dan Czechoslovakia. "But his [Jaromil's] monstrosity is potentially contained in us all. It is in me. It is in you."

2 comments:

blokbatu said...

Apabila menyebut vision, maka ramai yang akan terjemahkannya sebagai wawasan. Aku bukanlah tak bersetuju, cuma suka kepada perkataan imajinasi.

Imajinasi yang terperangkap. Maka tidak hairanlah jika seniman kita mempunyai permainan yang sama dengan negara-negara komunis.

Atas nama apa yang mereka percaya, boleh saja mereka mengorbankan yang lain. Maka ramailah Paul Eluard.

Minda pasungan ini pada pendapat aku sekurangnya-kurangnya ada dua peringkat. Pertama, proses kepungan, pemerangkapan dan memenjarakan. Sistem mula dibentuk oleh institusi untuk proses pemagaran(mengepung), konsepsi yang umum menjadi retorik seperti Melayu, Islam, Komunisme, Keadilan dan sebagainya.

Lama kelamaan yang diperangkap atau dipenjara mula selesa, mula percaya, dan kelaihan, membuta-tuli serta dogmatik mula menyusun bongkah batu memenuhi ruang yang sudah dikepung.

Anonymous said...

Blokbatu,

Kepungan fikiran ini, soalnya, bermula daripada bahasakah? Yakni, daripada pengetahuan dan budayakah?

Atau, kepungan fikiran itu datangnya daripada kuasa/politik? Yakni, politik mencari & menemukan bahasa yang sesuai untuk mengepung fikiran sasaran komunikasinya.

Misalnya kita mendengar lagu (dan liriknya) sewaktu sambutan 50 Tahun Merdeka. Apakah kesannya (sebagai pendengar) selepas berulang-ulang kali menerima kata-kata indah "cemerlang, gemilang, terbilang"?

Mungkin "cemerlang, gemilang, terbilang" tidak kuat atau tidak membawa apa-apa makna & kekuatan pengaruh.

Tetapi lagu (muzik, lirik) sebagai satu wacana sangat-sangat menggugah fikiran manusia. Mengepung atau membebaskannya.

Jadi, bahasa (perkataan) + lingkungan berbahasa = kepungan.

Bahasa sendiri, walaupun kuat, tidak cukup untuk mencipta kepungan fikiran yang boleh menundukkan jutaan jiwa.

Dalam hal ini, walaupun kenyataan George Orwell ini tidaklah sehebat rumusan ahli-ahli falsafah, wajar saya ulangi:

“When the general atmosphere is bad, language must suffer. I should expect to find … that the German, Russian and Italian languages have all deteriorated in the last ten or fifteen years, as a result of dictatorship.

But if thought corrupts language, language can also corrupt thought. A bad usage can spread by tradition and imitation, even among people who should and do know better.”