Monday, May 08, 2006

Amir

(kemas kini 2: 11 Mei 2006)

Hari ini The Sun masih lagi memuatkan berita tentang pengharaman Lelaki Komunis Terakhir, mengambil kenyataan Pusat Kewartawanan Independen (CIJ) yang mengkritik langkah kerajaan ini. Malah, menarik diperhatikan, lidah pengarang akhbar ini juga mengulas perkembangan yang sama.

Setakat tulisan ini, akhbar lain belum disemak.

Semalam The Sun memuatkan kenyataan Amir Muhammad di blognya, satu diterbitkan di edisi cetak akhbar percuma ini dan satu lagi di laman web.

The Star semalam pula mengutip kenyataan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, selain menghubungi Amir di Amerika Syarikat, sambil mengambil sebahagian kenyataan di blog Last Communist.

Alasan larangan filem, menariknya, kerana masanya tidak sesuai (dan penayangannya dianggap "tidak peka") dengan perkembangan semasa, antara kerana Umno bakal menyambut ulang tahun ke-60!

Kenyataan menteri ini senada dengan kepala artikel Akmal Abdullah di Berita Harian (4 Mei), satu daripada sebab kecaman Amir kepada akhbar konservatif ini. Siapa tiru daripada siapa?

[Akmal menulis: Seminggu selepas parti bangsa Melayu terbesar dunia, Umno menyambut ulang tahunnya ke-60 pada 11 Mei ini, masyarakat di negara ini pula akan meraikan satu filem dokumentari mengenang perjuangan Parti Komunis Malaysia (PKM) yang diharamkan serta mengenali lebih dekat pemimpin utama kumpulan pengganas itu, Chin Peng.

Ada satu ironi dan sinikal apabila dua parti itu ‘dirai dalam bulan sama’ mengikut cara berbeza. Dua parti yang bertentangan ideologi. Umno sebagai tonggak parti sah yang menerajui kerajaan sebagai ketuanan politik di Malaysia diraikan atas kesedaran meneruskan survival bangsa era ini dan masa depan, manakala PKM sebagai parti yang diharamkan kerana gerakan subversif untuk merosakkan ketenteraman negara serta kefahamannya menolak kewujudan Tuhan. Perjuangan PKM sejak 1930 hingga 1989 nyata sia-sia]

[Sementara menteri pula dilaporkan berkata: Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad berkata beliau mengambil keputusan melarang filem Lelaki Komunis Terakhir mengikut seksyen 26 Akta Penapisan Filem 2002 kerana dianggap "tidak sensitif" untuk menayangkan filem tentang Chin Peng itu sewaktu Umno sedang menyambut ulang tahun ke-60.]

mStar Online, lewat petang semalam, mengutip pandangan empat anak muda; dua penggiat seni dan dua wartawan. Baca 'Larangan filem tidak wajar' yang disediakan oleh saya sendiri.

Sebenarnya artikel ini agak panjang (asalnya saya merancang menulis lebih panjang kerana empat sumber ini menyampaikan pandangan-pandangan menarik tetapi catatan di media web tidak sesuai terlalu panjang) dan beberapa perenggan dipotong. Beberapa sumber tidak dapat dimasukkan kerana hal yang sama.

Malaysiakini.com juga memproses kenyataan CIJ semalam, dan pada masa yang sama menerbitkan sepucuk surat pendek daripada peguam Chin Peng, Darshan Singh Khaira.

Sehari sebelumnya (Selasa) akhbar dalam talian ini turut memproses kenyataan Amir di blognya, sama seperti mStar Online. Untuk mengetahui perkembangan tindakan undang-undang Chin Peng, sila ke laman web James Wing, Freedom in Solidarity.

Baca juga dua catatan James tentang dokumen perjanjian dalam antara parti komunis dengan kerajaan Malaysia, [bahagian 1] dan [bahagian 2]

(kemas kini 1: 9 Mei 2006)

Akhbar The Star hari ini memetik kenyataan Menteri Penerangan yang menyokong pengharaman filem 'Lelaki Komunis Terakhir'. Filem besar pengaruhnya berbanding buku, rumus Zainuddin Maidin.

Ya, Amir Muhammad hari ini akhirnya bersuara -- satu penjelasan panjang di blog rasmi 'Lelaki Komunis Terakhir'. Baca di sini 'Why is Lelaki Komunis Terakhir banned in Malaysia?'

Selain menjelaskan kekeliruan dan kesilapan (sengaja?) fakta di Berita Harian, Amir turut mempertikaikan politik budaya yang dibawa oleh akhbar konservatif ini. Tentunya, Akmal tidak terelakkan lagi menjadi objek serangan dan pertikaian Amir. Kenapa? Baca di sini ...

Dan seperti boleh diduga, semakin ramai pemblog mengulas isu pengharaman ini: Jeff Ooi, What's the Matter?, Lainie: Artword Addict, Riding the Mellow, Eye on Everything, Virtual Insanity, Garam Gula, Indiecom, Liann, What I Says Is, dan juga Nizam Zakaria yang memuatkan catatan Clarissa Lee.

Selain blog, laporan berita di The Sun (edisi web, edisi cetak esok sedikit berbeza) dan Malaysiakini. Oh ya, juga mStar Online! Hehehe (macam mana boleh lupa?) Ketiga-tiga laporan media ini mengutip kenyataan Amir tersebut.

Setakat siang tadi (Selasa, 9 Mei), Berita Harian, New Straits Times dan Utusan Malaysia belum memuatkan berita ini. Akhbar di Sabah dan Sarawak?

Saya sendiri bercadang menulis news feature (alias commentary) esok. Beberapa tokoh muda seni dan wartawan akan dikutip pandangan mereka (sudah ada dalam simpanan saya). Sila ke kolum saya Pojok.

Ulasan Lelaki Komunis Terakhir saya ini nanti harap-harap tidak dianggap "pejam sebelah mata" oleh teman-teman dan pembaca. Manalah tahu kalau ada pihak yang mahu "buka tiga belah mata"!

Oleh kerana sukar menggambarkan filem ini, maka poster rasmi ini saya perhatikan semakin popular bergerak daripada satu media kepada media yang lain, daripada satu blog kepada blog yang lain. Promosi percuma? Untuk apa kalau tidak boleh ditonton!

[Commercial break: Di celah-celah isu hangat ini, satu catatan di Tranung Kite.net, laman web PAS Dungun, mengingat pembaca betapa perlunya meningkatkan kualiti tulisan dan perbahasan web -- dengan menyebut kutukan saya selama ini. Terima kasih kawan!]

(setakat 8 Mei 2006)

Tayangan 'Lelaki Komunis Terakhir' dilarang

PETALING JAYA: Filem dokumentari kontroversi Lelaki Komunis Terakhir arahan Amir Muhammad tidak akan ditayangkan minggu depan di pawagam seperti dijadualkan berikutan larangan oleh Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri pada Jumaat lalu.

Berita di mStar Online hari ini boleh dibaca di sini.

Agak panjang juga backgrounding disediakan dengan andaian pembaca yang tidak mengikuti isu ini dengan dekat akan dapat memahami konteks larangan KHEDN.

Sila klik juga beberapa pautan menarik yang disediakan di hujung berita ini.

[UPDATE: Amir Muhammad menulis di ruangan komentar blog filem ini, semalam (tapi kami tidak perasan), di kaki posting 'First blog review', 6 Mei 2006: We will be writing an appeal letter to the Home Ministry which had decided to ban Lelaki Komunis Terakhir from Malaysian cinemas based purely on hearsay published in Berita Harian. More updates soon!]

Selain berita ringkas di Malaysiakini.com pada Sabtu lepas, The Sun (edisi web) hari ini turut melaporkan perkembangan ini. Utusan Malaysia hari ini, melalui kolum Ku Seman Ku Hussain, turut menyentuh "kontroversi" ini seimbas lalu dengan nada memperli, 'LPFM perlu ada pendirian'.

Hari ini, tidak dilaporkan oleh akhbar-akhbar harian berbahasa Melayu dan Inggeris (kecuali The Sun); akhbar berbahasa Mandarin saya tidak pasti tetapi beberapa rakan wartawan menghubungi saya (sepanjang dua hari hujung minggu lepas) untuk mendapatkan sedikit sebanyak analisa/info tentang kes ini.

Jadi, apa pandangan anda tentang pengharaman filem ini?

Nota: Beberapa ulasan lain di blog tentang larangan ini, sila ke Garam Gula, Freedom in Solidarity, Gagak di Rimba, Petola (sebelum diharamkan), Khyron's Musings dan The World on the Other Side.

Setakat blog-blog ini dulu, kalau ada perkembangan baru, saya kemas kini lagi posting ini. Saya pasti beberapa hari mendatang akan lebih banyak pemblog akan mengulas isu ini.

Maklum, ramai orang suka bergantung kepada media arus perdana untuk mengetahui apa yang terjadi di sekeliling kita walau kini sudah ada teknologi/ruang untuk menyampaikan berita dan pandangan sendiri.

Apakah benar blog boleh "mengancam" kehadiran media tradisional? Saya ragu-ragu ...

7 comments:

Andin Salleh said...

Saya ada catatkan komen ringkas saya dalam blog saya , "Gagak Di rimba".

Anonymous said...

Fathi, inilah berita-berita yang kau suruh aku cari tu:

LPF ditegur tak peka (BH, 3 Mei 2006)
Oleh Norfatimah Ahmad, Jalal Ali Abdul Rahim, Masrina Mohd Yunos dan Adha Ghazali

Tayangan ‘Lelaki Komunis Terakhir’ luka hati mangsa darurat

KUALA LUMPUR: Tindakan Lembaga Penapis Filem (LPF) meluluskan tayangan dokumentari ‘Lelaki Komunis Terakhir’ yang mengisahkan kehidupan bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng, disifatkan sebagai tidak kena pada tempatnya.

Pelbagai pihak yang dihubungi bagi mendapatkan reaksi berhubung perkara itu, mengecam tindakan LPF kerana ia dilihat sebagai tidak peka terhadap sensitiviti rakyat negara ini khususnya mangsa dan keluarga mereka yang menderita akibat kekejaman komunis.

Ketua Puteri Umno, Datuk Noraini Ahmad berkata, tindakan LPF itu disifatkan sebagai tidak wajar kerana adalah tidak sesuai untuk mana-mana pihak mengagung-agungkan pemimpin komunis sedangkan negara juga mempunyai tokoh yang lebih berwibawa untuk diteladani.

Katanya, perkara berhubung penerbitan dokumentari itu dan sama ada tayangannya wajar diluluskan oleh pihak berkuasa pernah dibincangkan sebelum ini tetapi ia tidak dipanjangkan kerana beranggapan usaha menerbitkannya tidak akan menjadi kenyataan.

Tokoh sejarah, Profesor Emeritus Datuk Khoo Kay Kim berkata, LPF sepatutnya tidak perlu terburu-buru memberi kelulusan tayangan dokumentari itu sebaliknya ia harus dirujuk kepada pihak yang arif terutama dari segi kesannya jika kisah itu disiarkan kepada umum.

“Sebelum meluluskan, biarlah pihak yang arif menontonnya terlebih dulu. Dalam hal ini LPF tentu tidak benar-benar faham jika kita minta mereka menjelaskan apa itu komunisme dan faham apa sejarah darurat.

“Kekejaman komunis menyebabkan kesengsaraan dahsyat kepada rakyat dan pasukan keselamatan. Penyiarannya hanya menyebabkan timbul rasa kurang senang di kalangan mereka,” katanya ketika diminta mengulas keputusan LPF meluluskan tayangan dokumentari arahan Amir Muhammad itu di pawagam mulai 18 Mei ini.

Bagaimanapun tayangan dokumentari itu hanya diluluskan di tiga pawagam milik rangkaian Golden Screen Cinemas (GSC) itu di pusat membeli-belah Mid Valley dan One Utama, Kuala Lumpur serta Gurney Plaza di Pulau Pinang.

Veteran Umno, Tan Sri Aziz Tapa, berkata dokumentari itu tidak wajar dibenar ditayangkan kepada umum kerana kebencian terhadap Chin Peng sangat mendalam terutama di kalangan mangsa kekejaman PKM dan walaupun luka sudah hilang, parutnya tetap ada’.

“Sebut saja nama Chin Peng orang sudah marah. Tayangan itu hanya membangkitkan lagi kemarahan terutama kalangan keluarga mangsa dan kita bimbang `luka lama berdarah kembali’,” katanya yang menyifatkan kelulusan itu mungkin dibuat pegawai muda LPF yang terlalu mahu `demokrasi’ tanpa menyedari kesannya.

Seorang lagi veteran Umno, Tan Sri Zaleha Ismail, berkata beliau menentang keras tayangan dokumentari berkenaan kerana ia hanya melukakan hati mereka yang pernah sengsara angkara kekejaman komunis.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Mustafa Abdullah berkata beliau sendiri tidak pasti mengenai status kelulusan tayangan dokumentari berkenaan.

Beliau berkata, sehingga kini pihaknya tidak menerima maklumat berhubung pembikinan ataupun penayangan filem itu tetapi yakin cawangan Khas Bukit Aman sudah tahu mengenainya.

“Apa pun, saya yakin, mesti ada rasional di sebalik kelulusan yang diberikan oleh LPF untuk dokumentari itu ditayangkan,” katanya yang enggan mengulas lanjut.

Presiden Persatuan Bekas Tentera Malaysia, Datuk Mohamad Ghani, berkata tindakan LPF meluluskan tayangan filem itu boleh mencetus kemarahan semua anggota tentera terutama mereka yang pernah berjuang menentang komunis.

“Filem ini seolah-olah memperkecilkan perjuangan kami pasukan keselamatan menentang komunis sedangkan sepanjang tempoh itu, lebih 11,000 anggota polis, tentera dan orang awam terkorban.

Anonymous said...

Epilog: Filem Lelaki Komunis Terakhir untuk rakyat Malaysia?

Oleh Akmal Abdullah (BH, 4 Mei 2006)

SEMINGGU selepas parti bangsa Melayu terbesar dunia, Umno menyambut ulang tahunnya ke-60 pada 11 Mei ini, masyarakat di negara ini pula akan meraikan satu filem dokumentari mengenang perjuangan Parti Komunis Malaysia (PKM) yang diharamkan serta mengenali lebih dekat pemimpin utama kumpulan pengganas itu, Chin Peng.

Ada satu ironi dan sinikal apabila dua parti itu ‘dirai dalam bulan sama’ mengikut cara berbeza. Dua parti yang bertentangan ideologi. Umno sebagai tonggak parti sah yang menerajui kerajaan sebagai ketuanan politik di Malaysia diraikan atas kesedaran meneruskan survival bangsa era ini dan masa depan, manakala PKM sebagai parti yang diharamkan kerana gerakan subversif untuk merosakkan ketenteraman negara serta kefahamannya menolak kewujudan Tuhan. Perjuangan PKM sejak 1930 hingga 1989 nyata sia-sia.

Kelahiran filem berjudul Lelaki Komunis Terakhir yang mendapat bantahan pemimpin dan veteran politik negara, tokoh sejarah dan ahli Parlimen itu bagaimanapun diberi kelulusan Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPF) dan bakal ditayangkan di Malaysia pada 18 Mei ini di pawagam terkemuka di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, iaitu kawasan majoriti penduduk Cina serta satu tayangan amal di Ipoh pada 19 Mei ini.

Filem adalah filem. Filem juga alat hiburan. Namun, dalam erti kata lebih besar, filem ialah rakaman kehidupan, sejarah dan budaya masyarakat. Paling besar, filem adalah alat propaganda individu, kumpulan, bangsa, komuniti, negara mahupun kerajaan. Maknanya, dalam konteks ini, filem dokumentari Lelaki Komunis Terakhir yang dihasilkan pengarah generasi baru, Amir Muhammad mempunyai signifikan dalam konteks rakaman kehidupan, sejarah dan propaganda. Seseorang individu itu akan dikenang dengan pelbagai cara untuk membuktikan kewujudannya masih relevan menerusi falsafah perjuangan, ideologi, keganasan dan agenda politik.

Adalah tidak adil kita terus menghukum filem Amir itu tanpa menontonnya terlebih dulu apatah lagi LPF sudah meluluskannya. Kita sedar, apabila LPF sudah beri kelulusan, barangkali cerita filem itu tidak memberi kesan kepada keselamatan negara. Namun, filem dalam bentuk dokumentari itu juga kita akui tidak akan dapat lari daripada satu tribute untuk pemimpin komunis, satu pergerakan atas nama PKM untuk mengajak rakyat di negara ini mengenang semula susur galur Chin Peng yang menjadi teraju utama pemberontakan bersenjata komunis di Tanah Melayu sejak Jun 1948 untuk mengambil alih kuasa pemerintahan di bumi tercinta ini.

Chin Peng atau nama besarnya Ong Boon Hu, anak Sitiawan, Perak sudah menjadi ahli PKM sejak berusia 18 tahun dan dilantik menjadi Setiausaha Agung PKM dalam usia 26 tahun selepas Lai Teck melarikan diri. Di bawah pimpinan Ching Peng, ramai anak watan derita dan nestapa, darah menjadi mainan anggota PKM dan beribu-ribu nyawa melayang. Akibatnya, Chin Peng sehingga ini dilarang masuk ke Malaysia.

Catatan sejarah membuktikan, kekejaman PKM menyebabkan kematian 2,461 penduduk awam dan 1,851 anggota keselamatan maut, selain 1,383 penduduk cedera serta 807 orang hilang! Kita berharap Lelaki Komunis Terakhir tidak lagi mengembalikan kenangan dan mencipta glamor terhadap Chin Peng yang mengetuai pemberontakan dan serangan ke atas balai polis, lombong bijih timah, ladang getah dan penduduk kampung. Tragedi Bukit Kepong yang difilemkan Jins Shamsuddin menjadi mimpi ngeri kita betapa pergerakan kejam komunis sanggup membunuh polis yang menjaga keselamatan negara, lalu kanak-kanak kecil menjadi yatim dan isteri menjadi janda. Kehidupan masa itu menjadi ‘neraka’ kerana komunis sanggup membunuh nyawa orang kampung semata-mata mahu mendapatkan beras dan gula.

Diharap, filem Amir itu tidak memuliakan kekejaman Ching Peng dan anak buahnya untuk mencapai cita-cita mewujudkan Republik Komunis Malaya. Walaupun kita tahu PKM sudah diharamkan dan gencatan senjata sudah dibuat, tetapi ideologinya tidak pernah mati, bila-bila masa ia boleh dihidup dan disegarkan semula. Namun, kita yakin, Lelaki Komunis Terakhir tidak mungkin cenderung ke arah itu kerana ia sudah diluluskan LPF. Namun, kena ingat atas nama filem juga, propaganda boleh digunakan dengan teknik persembahan secara halus jika ada unsur mengangkat biografi dan kronologi kehidupan Chin Peng diwujudkan meskipun tanpa babak perang atau aksi ganas dalam hutan. Kita harap selepas ini, Amir dan pengarah Melayu generasi baru lain lebih prihatin kepada perjuangan tokoh nasionalis bangsanya sendiri seperti Ibrahim Tok Janggut, Tun Perak, Datuk Maharaja Lela, Mat Kilau, Datuk Bahaman, Tok Gajah, Dol Said, Mat Salleh, Tok Naning, Rosli Dobi, Temenggung Jugah, Abdul Rahman Embong, Tengku Kudin, Long Jaafar, Datuk Sagor, Sultan Abdullah (Perak) dan Sultan Abu Bakar (Bapa Johor Moden) mahupun Datuk Onn. Mungkin, Amir tidak kenal mereka ini.

Kata orang, luka lama berdarah kembali, mimpi negeri zaman datuk nenek mula menghantui kita...

Anonymous said...

PFM, PPFM anggap ‘filem komunis’ tidak wajar (BH, 5 Mei 2006)

Mereka terkejut filem Lelaki Komunis Terakhir mendapat lampu hijau Lembaga Penapisan Filem Malaysia

PERSATUAN Pengeluar Filem Malaysia (PFM) dan Persatuan Pekerja Filem Malaysia (PPFM) mengaku tidak tahu menahu mengenai penerbitan filem dokumentari Lelaki Komunis Terakhir sama ada di peringkat awal hingga posproduksinya kerana tenaga kerja serta penerbitnya bukan ahli mereka.

Dua persatuan perfileman yang berpengaruh itu juga menyifatkan penerbitan filem itu tidak wajar dalam konteks Malaysia yang berdaulat pada masa kini dan akan datang, selain Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPF) juga tidak sepatutnya meluluskan filem itu untuk tatapan rakyat.

Presiden Persatuan Pengeluar Filem Malaysia (PFM), Ruhani Abdul Rahman, berkata beliau hanya tahun filem Lelaki Komunis Terakhir muncul apabila ia mula menjadi sebutan beberapa penggiat filem dan kemudian mengetahuinya menerusi media massa apabila bakal ditayangkan bermula 18 Mei ini.

Kata Ruhani, secara peribadi dia sendiri terkejut apabila dokumentari mengenai Chin Peng dihasilkan dan dalam diam-diam sudah hendak ditayangkan kepada umum.

“Penerbit filem dokumentari ini bukan ahli PFM. Kami tidak tahu menahu dan tidak pernah terbabit dalam memberi kerjasama. Saya juga terkejut apabila LPF sendiri boleh beri kelulusan terhadap filem ini. Bila masanya Amir mengarah filem ini? Kita pun tidak tahu siapa pembiaya dan penerbitnya?

“Apa yang kita kesalkan, kalau untuk bercakap mengenai perjuangan sejarah, tidak adakah cerita yang dapat mengangkat martabat perjuangan tokoh nasionalis bangsa dan negara kita, daripada mengambil cerita mengenai komunis dan pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) yang terbukti dulu banyak memberi kesan sengsara terhadap rakyat.

“Tidak adakah wira Melayu yang boleh Amir angkat menerusi filem dokumentari. Kita belum ada filem dokumentari mengenai tokoh kita seperti Datuk Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman malah tokoh radikal seperti Ibrahim Yaacob atau Dr Burhanuddin Al-Helmy? Kenapa pilih Chin Peng?

“Memang kita tidak lagi menonton cerita Lelaki Komunis Terakhir, tetapi soalnya kenapa subjek itu dipilih? Ini mengundang sensitiviti masyarakat. Ia akan menjadikan rakyat mungkin marah dan tidak suka. Inilah masalah pembikin filem generasi baru yang lebih berkiblat cara filem Barat. Di Amerika, pembunuh diberi kemasyhuran dengan menerbit filem mereka untuk mempromosikan kejahatan mereka itu menerusi teknik cerita yang berselindung bahawa pembunuh itu orang baik. Inikah yang hendak diikut?” kata Ruhani.

Presiden PPFM, Syed Mohamed Hassan turut menafikan ada ahli PPFM menjadi krew untuk filem dokumentari berkenaan kerana pihaknya sendiri tidak tahu mengenai perjalanan produksi dan penggambarannya.

“Kami di PPFM berasakan filem sebegini tidak wajar dibuat apatah lagi ditayangkan untuk umum di pawagam. LPF harus memikirkan soal sensitiviti masyarakat sebab komunis atau PKM menjadi musuh negara. Walaupun persembahannya tidak ada babak perang atau tidak muncul Chin Peng secara fizikal, tetapi semangat, personaliti dan jiwa komunis Chin Peng tentu ditunjukkan secara psikologi.

“LPF kena berani. LPF memang perlu bersikap terbuka tetapi biarlah lebih sensitif. Sensitiviti masyarakat kena ambil kira kerana gerakan komunis memberi penderitaan kepada rakyat di negara ini sama ada sebelum dan selepas Malaysia merdeka.

“Kita dalam dunia filem tahu, filem sebegitu akan dipaparkan dengan babak yang bermain secara psikologi dengan visual dan garapan tersirat. Ini boleh merosakkan pemikiran generasi muda. PPFM tidak bersetuju Lelaki Komunis Terakhir ditayang secara umum.

“Kenapa sebelum filem ini diberi kelulusan LPF, biarlah ia ditayangkan dulu di Parlimen, biar Parlimen putuskan layak atau tidak untuk ditayangkan kepada rakyat Malaysia. Ini filem yang sensitif kerana berkaitan Chin Peng.

“Krew filem ini bukan ahli PPFM. Saya sendiri tidak tahu siapa krew yang bekerja dengan produksi ini dan siapa menjadi pembiaya filem ini. PPFM juga berasakan rakyat Malaysia tidak wajar dihidangkan filem mengenai Chin Peng. Kita kena ada semangat cintakan bangsa dan negara kerana perjuangan tokoh nasionalis dulu membolehkan generasi sekarang hidup sejahtera di negara ini.

“Sebenarnya, apa pun alasan diberi, soalnya apa sangat cerita yang mahu menunjukkan kisah komunis dan mahu menghargai mereka yang menjadi komunis? Kalau kita biarkan negara ini bebas tanpa had kepada sesiapa saja, bermakna kita tidak percaya dengan tokoh nasionalis kita dulu. Kita kena melindungi perkara ini daripada digembar-gemburkan untuk generasi akan datang,” kata Syed Mohamed.

Anonymous said...

fathi, kawan aku cakap ada 1 lagi news kat BH Jumaat minggu lepas, tapi tak ada kat website dia.

Katanya tajuk LPF kaji semula kelulusan 'Lelaki Komunis Terakhir', page B6.

Ko carilah paper ari tu, OK? - Syed

Anonymous said...

jangan ajar anak-anak berfikiran sempit.
jangan ajar juga mereka meninggi suara dalam bercakap.
adusss, pening. bapa-bapa hanya tahu telagah, hanya tahu bermegah,
anak-anak hisap dadah.

Anonymous said...

http://pojok-maya.blogspot.com/2006/05/lelaki-komunis-haram.html

Satu lagi komen perihal isu ini.