Friday, March 30, 2007

Anwar

Berikut saya ulang terbit selengkapnya ulasan terhadap artikel saya di mStar Online semalam 'Masalah PKR hakis karisma Anwar' (29 Mac).

Tulisan di bawah disediakan oleh "Cowboy Kampung" di Malaysia-Today:

Sebelum berita ini diserang sekali lagi oleh golongan pencacai UMNO (khususnya blogger-blogger dari kumpulan Cybertroopers UMNO) yang tujuannya mengadu domba, membawa berita-berita bohong dan karut semata-mata untuk menmengganggu sebarang perbincangan sihat yang menjurus kepada agenda perubahan, izinkan saya memberi beberapa pendapat.
-----------------------------------------

Sebagai penggiat media arus perdana (walaupun satu ketikanya Fathi Aris Omar amat dekat dengan gerakan reformasi) sudah tentulah berita sebegini menjadi permintaan, kemahuan dan kegemaran media arus perdana yang hidup matinya bergantung kepada acuan dan selera pemerintah. Ini bukanlah perkara ganjil bagi pembaca-pembaca yang telah berjaya memerdekakan fikiran mereka daripada tempurung propaganda kerajaan.

Walaubagaimanapun jiwa'memberontak' yang ada pada Fathi Aris Omar terselit juga dalam rencana tulisannya ini apabila beliau secara halus 'menolak arahan kerajaan' supaya media arus perdana jangan sesekali memetik apa-apa berita dan rencana daripada blog internet".

Secara tidak langsung Fathi Aris Omar telah 'melawan' arahan terbaru kerajaan yang telah diedarkan dalam surat perkeliling kepada semua penggiat media arus perdana dengan memberikan publisiti percuma kepada blog Rustam A Sani.

Jika diamati secara tenang dan jujur, tiada apa yang luar biasanya dalam rencana tulisan Rustam A Sani itu. Sebagai seorang penganalisa terkemuka dan sarjana, Rustam telah berlaku jujur dalam pengamatannya dengan menggariskan beberapa perkara pokok yang perlu ditangani oleh pembangkang secara keseluruhannya (bukan dibebankan kepada Dato Seri Anwar Ibrahim sahaja) supaya impak politik yang dibawa oleh gabungan pembangkang akan menjadi lebih berkesan dan berjaya.

Tulisannya itu tidak langsung bertujuan untuk menyerang, apatah lagi memperlekehkan usaha-usaha yang telah dilakukan oleh Dato Seri Anwar Ibrahim. Petikan-petikan tulisan Rustam A Sani yang dibuat oleh Fathi Aris Omar dalam rencana MSTAR ini perlu dibaca secara terus dari awal hingga akhir, bukannya secara terkerat-kerat dan terpotong-potong untuk menghayati maksud sebenar yang ingin disampaikan oleh Rustam A Sani.

Dalam tulisan Rustam itu, beliau menulis;

"Selain itu, terdapat pula suatu faktor penting yang selalu menghantui pihak kerajaan – yakni faktor Anwar Ibrahim. Jika pilihanraya berlangsung tahun ini masih terdapat kemungkinan untuk menghalang penyertaan giat Anwar Ibrahim berdasarkan undang-undang. Tahun depan sudah pasti akan memperlihat penyertaan giat Anwar Ibrahim dalam proses pilihanraya tersebut."

Tentang lukisan kartun Zunar itu, humour yang ingin disampaikan oleh Zunar sebagai kartunis itu cukup terbuka tafsirannya. Sebagai seorang penggemar Zunar, saya tidak nampak ianya sebagai suatu bentuk sindiran ataupun 'serangan', malah bagi hemat saya ianya hanyalah suatu bentuk 'rakaman sejarah' yang merakamkan keadaan Dato Seri Anwar Ibrahim selepas beliau dibebaskan dan juga perkaitannya dengan kegiatannya dimasa lampau.

Tentunya Anwar Ibrahim memerlukan masa setelah dipenjarakan keseorangan bagi tempoh yang cukup lama untuk merancang masa depan politiknya. Ianya bukan semudah yang kita barangkali simpulkan.

Panjang lagi catatannya, untuk baca lanjut ke Malaysia-Today.net

[ii]

Sementara itu satu blog "menyanggah" pandangan saya berhubung artikel PAS mahu pinggirkan Hadi? (mStar Online, 22 Mac).

Antara catatannya seperti berikut:

Memandangkan Fathi [Aris Omar] ada mengambil sedikit rujukan dari laman web Tranungkite Online, tapi sebenarnya, artikel bertajuk "Presiden PAS perlu diberi kepada ahli" itu berasal dari laman blog ini. Rakan penulis saya, Aduka Teruna telah mengadakan sedikit perbincangan tentang hasrat beliau untuk menulis atrikel tersebut sebelum di sairkan diblog dan seterusnya akan di “eksport” ke ruangan forum di Tranungkite Online dengan tajuk yang sama iaitu "Presiden PAS perlu diberi kepada ahli".

Memandangkan Fathi Aris ada mengambil sedikit dari tulisan di blog ini, maka saya merasa ada tanggungjawap untuk membetulkan kesalah fahaman tentang niat mulia kami mengeluarkan artikel tersebut. Mengenai rujukan beliau dari blog lain, saya rasa penulis artikel itu sendiri lebih bertanggung jawap untuk memberi sebarang komen. Dalam hal kesalah fahaman ini, ia bukan berjangkit kepada Fathi seorang sahaja, malah, kami ditegur, dihentam dan disindir di dalam ruangan forum tersebut.

Panjang lagi, sila ke Blog Lordazaab menyangkal tulisan Fathi Aris Omar.

Wednesday, March 28, 2007

Jutawan segera

Tidak perlu direct selling atau menyertai Swisscash untuk jadi jutawan.

Cukup dengan membaca berita ini atau melawat laman web ini.

Jangan lupa, ganjaran RM17.3 juta milik anda! Anda hanya perlu ke Johor, Muar atau Kluang.

Selebihnya baca di sini dan di sini.

NOTA: Halaman ini akan terus dikemas kini sebaik sahaja kami menerima maklumat tentang lelaki yang dicari ini ...

Rujukan awal: Departemen Pertahanan RI, Jejak Petualangan..., JI in SEA: Damaged but Dangerous, Noordin M Top, How the JI network operates, Indonesia steps up militant hunt ...

Tuesday, March 27, 2007

M-16

Menteri Besar Kelantan, Nik Abdul Aziz Nik Mat mencadangkan supaya senjata api seperti M-16 digunakan ketika membaca khutbah di atas mimbar bagi menggantikan tongkat.

‘‘Saya pernah saran sebelum ini kerana Rasulullah sendiri pegang pedang ketika baca khutbah. Ini bertepatan dengan simbol kuasa baginda selaku ketua termasuk dalam soal pertahanan, dan polis juga boleh ambil contoh itu kerana polis juga adalah simbol kuasa dalam sistem masyarakat sekarang,” katanya (seperti dilaporkan Utusan Malaysia hari ini).

Tetapi mujurlah Mursyidul 'Am PAS itu mencadangkan M-16 itu digunakan sewaktu berkhutbah kepada orang pekak!

Kalau orang pekak yang mengantuk dan menguap kerana tidak berapa jelas mendengar kata-kata khatib, boleh pula dia menembak dari atas mimbar!!

Note: At least, those working for wire news agencies may write a story today, quoting the MB. What a great story!!!

Monday, March 26, 2007

Blongong v3.0

Kepada: Rocky, Susan, Jeff, Ron, Marina, Datuk Kadir,

Salam!

Penulis blog -- saya fikir -- tidak boleh selama-lamanya "marah" atau "kecewa" dengan kenyataan-kenyataan (serta larangan), atau sikap prasangka, para menteri kita tentang blog, penulis blog, dan dunia blog Malaysia.

Apatah lagi setiap kali meloncat ulasan yang negatif terhadap blog, tuan-tuan dan saudara-saudari mengulas panjang, sewaktu-waktunya dengan nada defensif dan "membebel" --- walaupun untuk memahamkan kepada mereka, dan juga pembaca, serta mengkritik dan menghentam mereka.

Saya fikir, selain menjelas dan mengecam, kita jimatkan tenaga dengan meringkaskan sikap anti-blog ini kepada beberapa istilah, atau ungkapan, agar ia dapat dimasukkan sebagai satu kosa kata dalam perbendaharaan bahasa Melayu, setidak-tidaknya dalam dunia penulisan blog.

Mungkin boleh kita wariskan, sebagai rakaman sejarah, kepada generasi akan datang. Siapa tahu, 'kan?

Misalnya, "blongong" (gabungan "blog" + "bengong") untuk menunjukkan sikap dan mentaliti bengong, buruk sangka dan kegayatan pada dunia penulisan blog. Klik Blongong I dan Blongong II.

Misalnya lagi, "goblo(g)k" (kata Indonesia yang bermaksud globlok!).

Atau "blogayat" (blog + gayat) bagi menunjukkan seseorang menteri, atau birokrat, yang "gayat" apabila blog boleh mendahului memecahkan berita-berita panas.

Boleh juga, contohnya, "blogodam" (blog + godam) = penggodam atau penghentam blog dan penulis blog.

Atau, kita boleh sebut "blongkunan" (blog + tengku adnan) atau "blogozam" = sikap seseorang menteri yang .... [sila tambah sendiri ...] sehingga menunjukkan pandangannya yang fobia pada perkembangan blog.

[ii]

Kita tahu di dunia berbahasa Inggeris, percubaan untuk mengayakan perkataan-perkataan berkaitan dunia blog sedang berlangsung.

Misalnya (sila klik): blogophobic, blogorrhea, blogiot, atau blogjob.

Bagaimanapun, saya tidak bersetuju jika kita guna (pinjam) perkataan blogofobia atau blogofobik kerana sememangnya suffix "-phobia" atau "-phobic" itu kata Inggeris. Misalnya claustrophobia, xenophobia atau homophobic.

[iii]

Atau, kita sebut sahaja mereka "blogila" (blog + gila) tetapi nanti orang salah fahamkan, sangkakan seseorang yang tergila-gilakan blog (macam "bloggian" = "blog" + "gian").

Tentunya, jika anda tanya saya, jawapannya: BLONGONG !

>>> Jika anda ada pilihan lain atau penjelasan yang lebih menarik, tinggalkan di ruangan komentar di kaki coretan ini.

Sunday, March 25, 2007

Kerabat

Berita ini pendek dan tidak cukup mendalam. Membacanya tidak akan puas, malah membiakkan sejumlah pertanyaan -- belum tentu ada jawapannya!

Berita ini sawang keruwetan yang menyembunyikan labyrinth di sebalik teks berita. Berita yang juicy dan penuh selera tetapi dipancung supaya dapat diterbitkan sekadar ada. Antara sawang yang penuh keruwetan itu:

+ Seorang "putera" atau kerabat diraja di sebuah negeri didakwa memukul seorang gadis berusia dalam lingkungan 20-an.

+ Gadis itu kekasih hatinya.

+ Gadis itu cuba melaporkan kesnya ke balai-balai polis tetapi enggan diterima. Lalu si gadis terpaksa mengusung aduannya ke Bukit Aman.

+ Gadis itu dikatakan ada hubungan asmara dengan lelaki lain yang sudah beristeri.

+ Kekasih gadis itu telah ditukarkan dengan notis 24 jam ke Sarawak dan diberikan "tugas-tugas pejabat" ("desk duties").

+ Kekasihnya itu seorang pegawai polis bahagian narkotik.

Sekali imbas ia bukan berita. Mungkin cereka atau layak diangkat sebagai skenario (kata orang Indonesia) sebuah sinetron. Atau, dipentaskan di Istana Budaya. Hakikatnya ia sebuah berita! Marilah kita menduga dan menyelak celah-celah labyrinth teks ini:

> Siapakah kerabat yang "digeruni" itu? Kerabat dekat atau kerabat jauh? Berapa usianya?
> Di negeri manakah dia berasal? Negeri yang dekat Bukit Aman ke? Atau, negeri yang jauh?
> Siapakah gadis si buah hatinya? Anak siapa? Rupa parasnya?
> Kenapa pegawai polis itu ditukarkan ke Sarawak? Oleh siapa?

Penulis blog, atau kaum pemblog, akan menerima malu besar jika mStar Online boleh menerbitkannya sedang dunia blog yang bebas dan luas itu masih tertanya-tanya.

Ayuh kawan, buktikan blog lebih powerful daripada media arus perdana...

Thursday, March 22, 2007

Hadi

Dengan mencantumkan beberapa maklumat, bertulis dan lisan, dalam dan luar PAS, saya merakamkan catatan berikut di mStar Online hari ini PAS mahu pinggirkan Hadi?

Setakat ini pembaca-pembaca Malaysia Today dan Tranungkite Online telah membahaskannya.

Kepada pembaca, termasuk ahli dan penyokong PAS, yang berminat menerbitkan pandangan mereka di mStar Online, mereka boleh menulis kepada saya atau editor di editor@mstar.com.my

Mudah-mudahan, jika relevan dan sesuai, dapat disiarkan di ruangan pendapat kami.

Sesiapa yang ingin meneliti sendiri bahan-bahan bertulis awal yang disebutkan dalam artikel saya, sila ke PKR dan PAS .... kejayaan tahun 1999 (2 Mac), Ustaz Hadi .... presiden PAS? (4 Mac), dan Idea Roslan .... PAS disanggah (5 Mac).

Oh ya, sewaktu berkejar menyiapkan artikel saya tersebut, saya benar-benar terlepas pandang. Rupa-rupanya di ruangan forum Detikdaily.net, terdapat satu topik diskusi yang mengajak pembaca menilai kepemimpinan Abdul Hadi (13 Mac) dengan maksud menggesanya meletakkan jawatan. Topik ini pula diambil daripada catatan blog yang lebih awal (12 Mac).

Siapakah mereka? Apakah PAS akan mengambil tindakan terhadap pemilik blog dan pengendali laman web yang menentang pucuk pimpinan tertinggi parti pembangkang -- ala kecaman kerajaan terhadap blog? Atau PAS dengan jiwa besarnya (atau ???) akan membiarkan ia dibawa angin lalu? Siapakah mereka, atau kumpulan, di belakang gesaan agar Abdul Hadi diketepikan daripada jawatan presiden menjelang pemilihan PAS pada muktamar 1 Jun ini? Hmmm....

[ii]

Nota: Sewaktu mencari di sana-sini, saya terserempak dengan kenyataan lama Nik Aziz Nik Mat tentang Abdul Hadi Awang, seperti dilaporkan sebuah akhbar sewaktu muktamar PAS 2004, kira-kira empat bulan selepas kalah teruk dalam pilihan raya umum tahun tersebut. Menarik sekali!

On criticism directed at party president Abdul Hadi Awang at the party muktamar, Nik Aziz said Hadi could have been a victim of his own supporters. “It is possible that Hadi is a victim of his own ‘gung-ho’ supporters.”

Saturday, March 17, 2007

Altantuya

Dia datang, dengar khabarnya, untuk menuntut sejumlah wang untuk merawat anaknya yang cacat. Tetapi entah bagaimana dia akhirnya diketahui dibunuh, dan mayatnya dihancurkan dengan bahan letupan.

Apakah perasaan anda jika melihat anak kecil itu, 3 tahun, hanya mampu mengengsot-engsot kerana kecacatannya?

Apakah perasaan anda jika menyedari bahawa anak kecil ini sudah tidak ada ibunya lagi kerana dibunuh di bumi Malaysia, bumi bertuah, "bumi tempat tumpahnya darahku"?

Dan semuanya itu boleh dibaca dan dicapai di sini Video papar Altantuya bersama anak cacat (mStar Online, 16 Mac)

Empat keping foto ini diambil daripada laman web mStar Online, yang meminjam daripada imej-imej rakaman video tersebut.

Saksikanlah sendiri betapa sengsaranya menjadi si kecil ini tanpa si ibunya yang manis...

Thursday, March 15, 2007

SPM seks

Jabatan Pelajaran Negeri Perak mengesan satu keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang baru dikeluarkan Isnin lepas oleh dua anak beranak masing-masing berumur 53 dan 13 tahun yang memperoleh keputusan 24 1A.

Dua salinan slip keputusan peperiksaan yang diperolehi jabatan itu menunjukkan kedua-dua calon yang mendakwa pelajar salah sebuah sekolah ternama di sini memperoleh 24 1A dengan catatan markah 100 peratus untuk semua mata pelajaran. [rujuk Mana media? Kami dapat 24 1A !!!, mStar Online, 14 Mac]

Keputusan terbaru ini jauh lebih cemerlang daripada Nadiah Amirah yang mendapat 19 1A [rujuk Nadiah tidak tersenarai 'pelajar cemerlang', mStar Online, 13 Mac] sehingga kerajaan Kelantan berasa tercabar dan terpaksa mengisytiharkan pelajar negeri itu Siti Fatimah pula yang seharusnya dijulang "pelajar terbaik SPM 2006 seluruh Malaysia" semalam. [rujuk Kelantan main politik isytihar Siti 'pelajar SPM terbaik Malaysia', mStar Online, 14 Mac]

Nampak gayanya persaingan mencari calon yang paling banyak mengambil mata pelajaran dan mendapat keputusan terbaik dimenangi oleh Perak, diikuti Kelantan dan akhir sekali Johor (Rengit). Itupun kalau kita abaikan keputusan paling baik yang dicapai oleh seorang gadis Cina dari Pulau Pinang.

Nota: Kementerian Pelajaran dilarang campur tangan dalam soal ini, yang penting orang politik sama ada di Rengit atau Kota Bharu yang memberi kata putus masing-masing!!! Tapi saya tetap tabik pencapaian paling cemerlang di Perak.

[ii]

Bukan, bukan! Salah, yang dulu 'tu salah!

Bukan 886 daripada 887 pelajar remaja perempuan yang mengaku melakukan seks. Bukan.

Sebenarnya, hanya 3% daripada jumlah itu yang mengadakan seks. Yang selebihnya tidak pernah berbuat demikian.

Keputusan awal UKM yang dijalankan oleh Dr Khaizir Ismail diproses secara salah sebab individu (atau individu-individu) yang memasukkan datanya ke Pakej Statistik untuk Sains Sosial (SPSS) tersalah tekan!

Penjelasannya begini: Pasukan perunding mengenal pasti punca perbezaan itu ialah kesilapan memasukkan kod yang betul dalam pengisian data dari borang kaji selidik ke perisian Statistical Package for Social Science (SPSS) [rujuk Kajian UKM: 3% saja pelajar remaja adakan seks, mStar Online, 14 Mac]

Bandingkan laporan awal yang memetik kenyataan Dr Khaizir sebelum muncul kontroversi. [lihat Ramai pelajar perempuan bermasalah lakukan seks: kajian, mStar Online, 26 Feb]

Nota: Aku rasa anak dia yang baru belajar komputer tolong masukkan data dalam SPSS. Atau, anak itu ingat dia nak main game tetapi rupa-rupanya dapatan dalam PC atau laptop 'tu tinjauan remaja berisiko tinggi! Manalah budak 'tu faham "risiko" ini binatang apa! Tak bunyi macam Ultraman pun! Doc, lain kali carilah pembantu yang OK sket.

Wednesday, March 14, 2007

Adilkah?

Mahkamah Rayuan di sini semalam (13 Mac) memutuskan Mahkamah Sivil tidak boleh menghalang suami yang telah memeluk agama Islam daripada pergi ke Mahkamah Syariah untuk membubarkan perkahwinannya dan mendapatkan hak penjagaan (hak menukar agama) anak-anaknya (umur 3 dan 1 tahun).

Mahkamah itu, dalam keputusan majoriti dua-satu, memutuskan bahawa T. Saravanan, 31, seorang Islam, boleh pergi ke Mahkamah Syariah untuk membubarkan perkahwinannya dengan isterinya yang bukan beragama Islam, R. Subashini.

Semasa menolak rayuan Subashini, mahkamah juga memutuskan bahawa walaupun Subashini bukan seorang isteri beragama Islam, beliau boleh pergi ke Mahkamah Syariah untuk mendapatkan hak penjagaan anaknya yang diperoleh suaminya. [Rujuk: Boleh ceraikan isteri bukan Islam di mahkamah syariah, mStar Online, 14 Mac]

Pada 11 Ogos 2006, Mahkamah Tinggi mengeluarkan injunksi secara sebelah pihak kepada Subashini bagi menghalang T. Saravanan, yang nama Islamnya Muhammad Shafi Saravanan, daripada menjadikan anak lelaki mereka Sharvin, yang berusia setahun, sebagai penganut Islam sementara menunggu keputusan petisyen perceraian mereka.

Sebelum ini, Saravanan telah menjadikan anak lelaki sulungnya, Dharvin Joshua, 3, sebagai penganut Islam.

Terdahulu, Saravanan, yang diwakili peguam Mohamad Haniff Khatri Abdulla dan Zainul Rijal Abu Bakar, memfailkan permohonan bagi membubarkan perkahwinannya dan permohonan bagi mendapatkan hak penjagaan secara kekal terhadap dua anaknya di Mahkamah Syariah. [Rujuk: Islamkan anak: Mualaf berjaya ketepi injunksi isteri, mStar Online, 25 Sept]

Monday, March 12, 2007

Penipu

UPDATES: Tengku Adnan elak jawab kecaman blog wanita (mStar Online, 12 Mac), Minister said to have called them liars and mostly jobless women (Associated Press, March 12) dan juga Tourism Minister refuses to respond ... all bloggers liars (The Straits Times/AP)

[i]

Tengku Adnan (ada orang cakap Tengku itu ditambah kemudian), jadi kita sebut sahaja Adnan, harus menjelaskan kenyataannya kepada orang ramai bahawa (kurang lebih): "penulis blog adalah penipu" dan "80% daripada mereka wanita tak bekerja".

Sin Chew Daily menyiarkan kenyataannya tetapi akhbar-akhbar lain -- walaupun saya difahamkan wartawan media lain turut hadir -- tidak menyiarkan kenyataan ini.

Elizabeth Wong dah mengulasnya, begitu juga Marina Mahathir dan Susan Loone. Rocky's Bru dua kali menulis tentang hal ini. Malaysia Today pula menerbitkan kembali berita yang ditulis di Harakahdaily.net -- yang sebetulnya diambil daripada Rocky's Bru.

Jeff Ooi dan rangkaian penulis blog yang bersekutu dengan penulis-penulis blog ini sudah menulis.

Barulah saya faham maksud SMS Eli kepada saya beberapa hari lalu.

Adnan, minggu ini elok Tuan Menteri jelaskan bagaimana 8,000 daripada 10,000 penulis blog adalah wanita (yang ramai tak bekerja) dan kerja mereka hanya menulis catatan-catatan menipu?

Adakah Adnan marah pada penulis blog tertentu** sehingga dia sanggup memukul borong semua penulis wanita blog itu penipu?

**Nota: Sebelum ini Wong Chun Wai, timbalan pemred*** The Star pernah menulis, mendedahkan catatan blog seorang wanita Indonesia (wartawan) yang kecewa kerana sulit mendapatkan kerjasama sewaktu mahu menulis/mempromosi Malaysia.

*** pemred (istilah Indonesia) yang bermaksud "pemimpin redaksi" atau ketua pengarang.

[ii]

Atau, kita boleh susun semula kenyataan Adnan itu dan kita faham begini: Semua menteri adalah penipu! 80% menteri tidak buat kerja!

Tuesday, March 06, 2007

Skodeng

Melalui internet juga, pengguna kini boleh menikmati antara 20 hingga 30 klip video yang dirakam oleh seseorang (walaupun tanpa kuasa rasmi pejabat penguatkuasa agama) yang ghairah mencegah maksiat di Bangi, Selangor beberapa tahun lepas seperti dibongkar mStar Online pada akhir November lalu.

Persoalannya, bagaimana klip video ini boleh tersebar ke Internet? Dan untuk apa sebenarnya kegilaan menikmati tubuh orang lain -- asalnya sejenis keseronokan peribadi -- dijadikan "kegiatan bersama" untuk pengguna Internet atau telefon bimbit?

Dalam kes pasangan yang dirakam bercumbuan di dalam lif, bagaimanakah pula tahap kawalan terhadap bahan-bahan rakaman CCTV kita?

Negara sekarang sedang ghairah memasang CCTV, termasuk di sekolah, untuk mengawal keselamatan orang ramai di tempat letak kenderaan atau di lebuh raya.

Sementara idea melantik pengintai, atau "Mat Skodeng", dengan alasan mencegah maksiat di kalangan orang Islam bukan sahaja disokong golongan agama, termasuk mufti, tetapi dipersetujui pula oleh tokoh-tokoh politik kita.

Sehingga Perdana Menteri dan kabinet sering pula terpaksa campur tangan untuk mengawal keghairahan "skodeng" berselindung di sebalik pencegahan maksiat.

>>> Saya fikir kita mesti perangi habis-habisan gelagat "Mat Skodeng" di mana-mana dan bila-bila masa pun. Setuju?

Artikel saya di mStar Online hari ini 'Mat Skodeng' bocor video asmara dalam lif

Thursday, March 01, 2007

Blog

Sebuah web TV yang baru, dinamakan TVPas.com, menerbitkan satu siri wawancara berhubung isu blog, media dan kebebasannya.

Selain Rocky dan Zaharin, saya turut bercakap. Pertama kali saya bercakap depan kamera!

Kepada yang belum mengenali ketiga-tiga nama ini, bolehlah ke laman web TVPAS.com.