Wednesday, August 24, 2005

Bangkai kerbau

Kebebasan akademik, ya? Kenapa sekarang ia memprihatinkan kita? Selepas kejadian di Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia (satu lagi kes di sini), Universiti Pertanian Malaysia dan Universiti Utara Malaysia?

Dua tahun lalu, di bahagian hujung artikel tersebut, saya menulis seperti berikut dalam kolum saya Kebebasan Akademik: Apa Sudah Jadi? (Tiada Noktah, Malaysiakini.com, 15 September):

Cuba kita bariskan nama pemimpin pembangkang kini atau aktivis NGO yang pernah (dan masih) berkhidmat sebagai pensyarah: Sahri Bahri, Dr Mohd Nor Manuty, Rustam A Sani, Dr Sanusi Osman, Shahnon Ahmad, Dr Syed Azman Nawawi, Dr Zulkifli Ahmad, Dr Mohd Nasir Hashim dan .... ramai lagi yang bersembunyi di sebalik Jamaah Islah Malaysia (JIM), Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) atau bersimpati dengan pembangkang.

Tetapi kenapa idea, isu dan kempen tentang kebebasan akademik sukar sekali digerakkan di tengah-tengah keghairahan kita bercakap tentang demokrasi, keadilan, kebebasan, ‘politik baru’, ‘parti alternatif’, dan hak asasi? Kenapa?

Malah (selain Shahnon), Rustam, Sanusi dan Mohd Nasir adalah antara pembentang kertas kerja yang muluk-muluk di persidangan akademik di USM pada 1989 itu sendiri. Bagaimana kita dapat meraikan sikap politik mereka hari ini dengan perincian agenda reformasi yang kita sama-sama sedang bicarakan?

Gerakan reformasi mempunyai beberapa senarai kempen – seperti ‘hapuskan Akta ISA’, ‘kebebasan media’, ‘hak berhimpun’, atau ‘kebebasan sistem kehakiman’ – tetapi kenapa tidak muncul ‘kebebasan akademik’?

Rupa-rupanya dalam keghairahan itu, banyak lagi isu asas kebebasan dan hak asasi manusia belum dibawa ke muka umum. Banyak sekali isu tertinggal dan semua orang kelihatan sudah melupakannya.

Siapa yang harus menanam bangkai kerbau, akibat dilanggar lori sampah majlis perbandaran, di atas jalan raya? Kita akan dilihat bangsa yang ‘sangat kelakar’ jika gagal membersihkan bangkai kerbau itu. Tetapi hakikatnya inilah yang sedang berlaku.

Kegagalan seumpama inilah yang saya sebutkan dulu sebagai ‘dosa orang tua’ yang menyesatkan anak muda.

Jangan cepat-cepat menuduh penindasan kerajaan atau menyalahkan kelesuan masyarakat, sedar dirilah pembangkang, baik pemimpin, pemikir atau aktivis mereka. Ada kelemahan ketara di kalangan pembangkang, tidak payahlah retorika berjela-jela!

[Rujukan saya: Wan Manan Wan Muda dan Haris Md Jadi, ed. (1991) Akademia: Menjelang Tahun 2000, Pulau Pinang: Persatuan Kakitangan Akademik dan Pentadbiran USM; Zaini Ujang (1993) Universiti: Mendukung Tradisi Intelektual, Kuala Lumpur: Institut Kajian Dasar]
+ * + * +

Sekarang baru kita rasa gelisah dengan kekangan keterlaluan di kampus-kampus kita? Kekangan yang sudah 'tidak masuk akal' dan memualkan?

Selamat memperjuangkan kebebasan akademia, walau lambat sekali, moga-moga kita boleh membuka mata mereka yang masih terpejam ...

+ * + * +

+ Deklarasi Lima tentang Kebebasan Akademik dan Autonomi IPT (edisi Inggeris)
+ Report on Academic Freedom in Asia-Pacific [PDF format] oleh Carolyn Allport
+ Laporan-laporan hak asasi Malaysia (edisi Inggeris) oleh Amnesty International (AI)
+ Malaysia: Laporan Hak-hak Sivil dan Politik [PDF format] oleh Suaram

1 comment:

Anonymous said...

hmmm... kebebasan akademia.
Bikin apa? Politik telah mengambil segala peran dan wacana. Biar saja politik meyelesaikannya... sebab orang-orang politik yang mahukan begitu.

Akademia hanya perlu baca buku sikit sini sikit sana guna up date pengetahuan kemudian sampaikan pada pelajar mana perlu. Cukup bulan jolok ATM... prrrrr keluar upahnya. Kan mudah begitu. Itulah impian semua orang bukan?

Kalau bising2 jadi macam Prof P Ramasamy UKM... kontrak tamat pra-matang. Kan bikin susah tu... hehe.