Wednesday, August 10, 2005

Kritik semua pihak

Sedutan wawancara (bertulis) penulis dengan UmmahOnline.com (27 April 2005), antaranya tentang penerbitan buku Patah Balek.

SOALAN: Anda menerbitkan buku Patah Balek: Catatan Terpenting Reformasi baru-baru ini. Apakah tujuan atau matlamat anda dengan penerbitan buku itu? Di dalamnya, anda juga mengkritik banyak pihak – kenapa?

FATHI: Sebenarnya kerja mengkritik ini kerja yang penuh serba-salah, apatah lagi mengkritik teman-teman sendiri. Tetapi saya ingin membuka satu analisa lain dalam hubungan tokoh (public figure) dengan tanggungjawab awam (public role).

Maksudnya, semua orang yang mempunyai tanggungjawab awam wajar disemak kembali peranan, prestasi, arah tuju dan wacana mereka dalam konteks demokratisasi negara ini.

Maksudnya, bukan hanya pemerintah atau kerajaan yang dilihat ‘bersalah’ atau ‘tidak demokratik’, banyak pihak juga seharusnya memikul peranan yang sama. Tetapi jangan salah faham. Saya tidak membela pemerintah.

Ada dua landasan berhujah di sini.

Pertama, jika lebih banyak pihak menyertai proses demokrasi – misalnya seniman, ahli akademik, cendekiawan – maka akan lebih baik proses reformasi bangsa.

Sebab itu, saya marah kepada kelompok-kelompok ini yang berdiam diri atau berselindung di sebalik orang politik. Saya mahu mereka independen untuk menyampaikan suara yang lebih ‘jujur’, luas, rasional dan tenang (bukan sarat kepentingan politik semata-mata).

Maksudnya, kita sudah cukup berpolitik secara berpihak sehingga banyak isu dan wacana menjadi keruh dan kelam-kabut.

Kedua, saya mengkritik pembangkang sebagai satu proses reformasi bangsa atau kritik diri. Kritik diri terhadap pembangkang ini penting agar mereka dapat melihat kelemahan atau kesilapan mereka.

Dengan itu mereka boleh menjadi pembangkang, aktivis NGO dan aktivis siswa yang lebih berkesan. Tentunya, banyak perkembangan positif akan berlaku jika pengkritik kerajaan lebih berkesan, dihormati dan berwibawa.

Nada kritik saya dalam soal ini selalunya difokuskan (mengingatkan) bahawa corak fikir mereka itu sendiri tidak demokratik, terikut-ikut dengan lagak, wacana dan permainan BN atau Umno yang pernah merugikan mereka (pengkritik kerajaan) sendiri.

Tujuan buku itu sama sahaja dengan kolum ‘Tiada Noktah’ – mengajak perbahasan isu-isu yang tidak akan ada titik akhirnya. Isu-isu kebebasan akhbar, misalnya. Akan sentiasa diperdebatkan orang walau kita berjaya menegakkan demokrasi di negara kita.

Di Indonesia sekarang, isu-isu media sering menarik perhatian ramai. Banyak isu politik sebenarnya jatuh di ruang ambiguity (kabur), bukan hitam-putih, bukan halal-haram, bukan baik-jahat sahaja. Banyak dinamika dan nuansa manusia di sini.

Jadi, cara fikir binary opposition tidak wajar untuk memahami politik atau ‘ruang awam’. Tapi puak Islam selalu melihat dunia ini begitu! (ketawa)

Kolum saya itu memasuki ruang itu – ruang yang cenderung kontroversi dan mudah menyinggung perasaan orang.

Tetapi, alhamdulillah, saya bersyukur dapat mengulas isu-isu dengan agak mendalam, luas, dan beragam. Saya banyak belajar dari kawan-kawan aktivis Reformasi dan KSJT. Kalau harap gerakan Islam, tidak mungkin! (ketawa, lagi)

No comments: