Friday, August 12, 2005

Mengatasi kuasa cinta

(didedikasikan buat Sam Ahmad, ditulis sebagai kata pengantar samizatnya awal tahun ini. Sam pernah diserang strok tahun lalu, sewaktu kami sedang merancang projek penerbitan, dan kini masih belum pulih. Sam sekarang tinggal di desanya di Kuala Kangsar.)

Menulis, di banyak tempat, memang kerja ‘gila’. Atau, maksud saya, hanya orang yang ‘gila’ sahaja akan jatuh cinta dengan pekerjaan tulis-menulis, misalnya menjadi wartawan bebas dan penulis kreatif. Kerja yang belum menjamin pulangan hasil, walaupun wang untuk membeli sekotak rokok, secangkir kopi (atau segelas teh tarik) dan sesekali mengajak kekasih menonton di pawagam.

Saya rasakan sangat hal ini sewaktu diamuk asmara dengan seorang siswi UPM pada 1996-97, walau punca kami berpisah itu tiada kena mengena dengan kepenulisan. Tetapi diam-diam, saya fikir, dia jatuh hati kerana saya seorang penulis! Kerana waktu itu saya sedang menyiapkan manuskrip novelet cinta remaja Sekuntum Duri (yang 80 peratus siap tetapi sekarang sudah hilang), selain mengirim komentar kepada Utusan Sarawak dan beberapa majalah kecil.

Kerja ‘gila’ ini memang sulit dimengertikan oleh orang tua, adik beradik, kekasih, teman-teman atau isteri (kalau lelaki). Ada orang yang berbakat dan boleh lebih ‘maju’ dalam hidup tiba-tiba menukar haluan dan menumpukan masa untuk melayan kegilaan ini.

Saya, selepas kira-kira 15 tahun terapung-apung dalam hidup, tidak pernah faham di mana indahnya melayan kegilaan itu tetapi yang saya perhatikan, seperti ada pada beberapa penulis muda dan besar (peringkat dunia), ia sudah tumbuh sejak kecil. Sedikit sebanyak kita boleh baca buku Living to Tell the Tale – biografi karangan sendiri Gabriel Garcia Marquez (masih hidup), si pemenang anugerah Nobel sastera (1982).

Sebab itu, saya senang sekali apabila pengarang samizat ini Ahmad Zulfikar Samsuri memperkenalkan kerjayanya sebagai “penulis sambilan dan penganggur sepanjang masa”. Sekurang-kurangnya, saya harap, dia – kami di Jalan Telawi memanggilnya Sam sahaja, atau Sam Ahmad – tidak bermimpi. Walau sering orang fikirkan kerja tulis-menulis, khususnya yang kreatif, itu kegiatan berangan-angan. Dan memang berangan-angan, bagi penulis kreatif itu, nampaknya membuahkan hasil juga!

Namun, jika ditanya pada Ayu Utami novelis popular Indonesia, novelnya bukanlah angan-angan tetapi penyelidikan yang intensif tetapi diolah melalui fiksyen (begitulah yang saya faham tentang proses penulisan kreatifnya sewaktu beliau mengajak saya, selama seminggu, belajar tentang gua daripada seorang pakar gua di sini).

Ayu sudah beberapa kali bertanya saya tentang alam serangga, tentang bagaimana serangga-serangga bersenggama dan haiwan-haiwan berasmara. Tanya Ayu, apakah si jantan di atas? Tanyanya lagi, bukankah hanya gorilla (yang lagaknya manusia itu) berasmara berdepan-depan, seperti kita, sementara binatang lain tidak? Katanya, ia menyelidik untuk bahan dalam novelnya.

Maksud saya, berangan-angannya penulis itu hanya tanggapan bukan penulis sahaja. Entah juga, mungkin di Malaysia (atau di negara-negara lain) pengarang kreatif memang berangan-angan, bukan mengangkat pengalaman konkret dirinya (dan orang lain).

Kepenulisan, agak mual untuk ditegaskan sekali lagi di sini, bukanlah angan-angan – walau masih tetap perlu sedikit ‘kegilaan’ tersendiri. Misalnya, kegilaan berfikir, kegilaan membaca, kegilaan bertanya dan berdiskusi (sebenarnya, bersembang!). Termasuk, lagi, kegilaan untuk mencoret bermacam-macam hal, siap dan tidak siap, terbit atau tidak diterbitkan, berbayar atau tidak, murah atau mahal. Pendek kata, jangan fikir sangat soal wang – seolah-olahnya wang sudah menjadi anti-thetical dengan penulis. Atau, penulis tidak perlu makan dan harus jalan kaki ke mana-mana, dengan poket kosong!

Dalam Living to Tell the Tale, ada diingatkan kepada Marquez oleh seorang doktor tua (yang pernah berangan-angan menjadi penulis tetapi gagal), sewaktu Marquez ghairah ingin menjadi penulis dan meninggalkan kuliah undang-undang (dan dibantah ibu bapanya): “menulis itu satu-satunya kuasa yang boleh mengatasi kuasa cinta.”

Mungkin doktor perubatan itu ingin mengingatkan ibu Marquez bahawa anak sulungnya itu sudah sanggup tidak mempedulikan pengorbanan besar orang tuanya semata-mata sudah dijangkiti ‘kegilaan menulis’ – kegilaan bertemu beberapa wartawan dan seniman muda yang kemudiannya dikenali dengan nama ‘kelompok Barranquilla’ di Colombia.

Tulis Marquez lagi, doktor kenalan keluarganya itu turut menyebut, kira-kira: “pekerjaan seni ini, yang paling misteri daripada sekian banyak misteri, menjadikan seseorang memperhambakan keseluruhan hidupnya tanpa mengharapkan apa-apa pulangan pun!”

Selain Marquez, tentunya kita boleh membaca dan menganalisa sendiri riwayat hidup mereka yang lebih awal: John Stuart Mill (pengarang On Liberty, awal abad 19), Maxim Gorky (Mother dan Foma Gordeyev, hujung abad 19-awal abad 20), George Orwell (Animal Farm, pertengahan abad 20) atau generasi pemikir-seniman Jerman abad ke-18, abad yang kononnya disebut era moden, Zaman Pencerahan di seluruh benua Eropah.

Dalam koleksi tulisan Sam ini, kita dengan cerdas akan dapat merasakan pekerjaan tulis-menulis tidaklah angan-angan atau ‘gila’. Dia berdepan, mencari dan mengulas, dengan fakta-fakta yang serius, besar dan mendunia sifatnya. Dia mengupas tentang Edward Said dan Orientalism-nya, tentang sekularisasi agama, tentang filem, budaya, politik dan hal-hal serius lain tapi cerewet dengan tanggapannya yang kreatif.

Sebagai penulis muda, Sam bolehlah dibilang sebagai seorang penulis, dan wartawan, berbakat dan mempunyai masa depan yang cerah – cuma, mungkin, Sam tidak boleh hidup dan bekerjaya di Malaysia sebab negara ini tidak memungkinkan dia besar. Ya, kita bercerita lebih panjang lebar di kesempatan lain tentang hal ini.

Sam berdepan dengan dunia yang nyata, yang sangat penting dan maha besar – apatah lagi pada ukuran anak muda seusianya di negara kita. Yang, sekali imbas, kita lihat mereka tidak menghargai kehidupan berbudaya (tinggi?) dan intelektual. Mereka hidup dengan indra konsumerisme budaya global – limpahan super-kapitalisme naluri.

Tetapi Sam tidak begitu. Malah dia cuba lari daripada keghairahan hidup generasinya (saat ini) dan mengasosiasikan diri dengan manusia se-idealismenya seperti kelompok Jalan Telawi, selain teman-temannya di Shah Alam, Bangsar Utama, Pasar Seni dan lain-lain (yang saya tidak ikuti).

Boleh jadi, sekadar ikut-ikutan atau tidak sepenuhnya sedar risiko sewaktu memilih asosiasi itu tetapi – ya, kita lihat sendiri nanti – lama kelamaan akan terbentuk juga kesedaran diri tentang lingkungan,dengan segala kemanisan dan kebejatannya.

Tetapi ‘kegilaan’ penulis di sini bukanlah natijah peribadi – yang diarelakan sepenuhnya – tetapi juga akibat tekanan sosial. Dengan kata lain, masyarakatlah yang melahirkan penulis-penulis yang melayan kegilaannya. Sama ada masyarakat untung atau rugi, adil atau tidak, sikap, reaksi dan layanan masyarakat menceruk penulis kreatif, pengulas sosial, pengamat politik dan juga wartawan bebas (semua orang ini tidak ada syarikat yang membayar gaji bulanan) sehingga status sosialnya dipandang rendah tetapi (ada waktu-waktunya) dikagumi.

Saya tidaklah mahu berpanjang-panjangan menyalahkan masyarakat atau nampak hanya masyarakatlah yang bersalah. Penulis, sarjana, pemikir atau wartawan kita juga ada kelemahan, pastinya. Tetapi jika semua jenis dan kelompok penulis tidak diberikan penghargaan dan perhatian; sementara penulis muda tanpa bimbingan dan naungan sewajarnya, dan karya-karya olah fikir kita [sama ada kreatif atau bukan, sama ada sastera, ilmiah, seni atau bahan-bahan media] tidak membangkitkan kepuasan batin bangsa ini, maka tentulah ada hubungan buruk/hodoh antara masyarakat kita dan kaum penulisnya. Nampaknya masyarakat berlepas tangan dalam isu dan hal ini. Malah, kelompok penulis juga sudah sangat capek!

Maka, dalam konteks inilah, saya jelaskan di awal tadi: penulis muda seperti Sam seorang ‘ikon bangsa’ ini yang berani – berani melangkah dalam dunia yang mulia, berani membelit diri dengan kerja akal, berani menganalisa (dan dengan itu, menelanjangi kelemahan atau kesilapan diri) – untuk menghidangkan cebisan akalnya kepada masyarakat yang tidak menghargainya dan tidak memandang padanya. Ini memang kerja gila. Tetapi bukan kegilaan penulis, atau kegilaan Sam, tetapi kegilaan kita semua! Kegilaan masyarakat dan penulisnya.

Selamat datang ke dunia ‘kami’, Sam! Selamat berkarya, semoga berjaya!

Fathi Aris Omar,
Komunitas Utan Kayu, Jakarta
20 Februari 2005

2 comments:

Anonymous said...

tq.. pasal angkat nama aku kat blog kau...

Anonymous said...

kelahiran pelbagai blog yang lebih didominasi oleh golongan muda hari ini, adalah arus bagus untuk kita.

cuma kita perlu menarik pemikir/penulis angkatan dulu yang tidak terpanggil dengan blog, supaya turut serta.

aku rasakan kehilangan tulisan2 mereka, bila mereka itu tidak lagi keluar dalam mana2 akhbar atau majalah yang 'terpaksa mengipas untuk hidup'.

tolonglah ajak mereka itu.

salam ketemu.