Berikut beberapa petikan soal-jawab tentang sikap penulis berhubung 'pendirian independen' dalam budaya politik Malaysia, khususnya di kalangan orang Melayu.
Perjuangan demokrasi dan gerakan pembangkang dalam suasana sekarang harus ke arah mencelikkan masyarakat, menghayati budaya politik demokratik sehingga ke peringkat akar umbi. Petikan ini diterbitkan, asalnya di blog teman-teman saya, sikap-sikap luas-sedar, terbuka-mencari generasi baru yang menyenangkan saya, Sam Ahmad, (11 Mei 2005) dan Zulhabri (9 Mei):
Soalan: Kenapa dan di mana ‘bahaya’ politik kita?
Jawapan: Politik kita (Melayu, umumnya) menyimpan ‘bahaya’ kepada pemikiran kita kerana sifatnya yang sangat berpihak (partisan). Kecenderungan berpihak ini membiakkan lagi beberapa gejala negatif, tetapi sayangnya tidak diperhatikan, tidak dikenali dan dibahaskan dengan baik. Kecenderungan ini muncul kerana sifat dan budaya kita yang sangat tajam perseteruannya.
Apakah penyebab atau punca-punca yang memunculkan kecenderungan negatif ini?
Ada beberapa faktor yang mendorong kecenderungan ini. Ia saling berkaitan antara satu sama lain, bukan satu faktor sahaja. Ia bertindih dan bertaut dalam satu jaringan yang kompleks, beberapa lapis. Secara mudah, kita boleh nampak faktor-faktor berikut (antaranya):
(a) suasana yang tidak bebas dan tidak berimbang (tidak demokratik),
(b) pengaruh wacana agama yang menyuburkan keyakinan hak/benar/suci/iman dengan lawan politiknya yang dianggap kurang (atau tidak) hak/benar/suci/iman,
(c) masing-masing kumpulan bergegas untuk menang, maka mereka memajukan kepada orang ramai sisi-sisi benar diri (kumpulan) sendiri, dan mendiamkan sama sekali sisi-sisi lemah, palsu atau menyeleweng mereka; sebaliknya menunjukkan sisi-sisi buruk lawan politik mereka, mengabaikan sama sekali kebaikan pihak-pihak lawan,
(d) wacana baik-buruk dalam wacana politik ini pula dangkal sahaja, sarat propaganda (tapisan maklumat dan penyerongan perspektif), dan kurang perspektif teori atau sudut pandang yang meluas,
(e) pihak-pihak cerdik pandai Melayu yang lain ‘tenggelam’ bersama dua pihak ini (PAS dan Umno) atau ‘berdiam diri’ - mereka tidak turut serta menyuarakan hal yang luas, jujur, tenang dan kritis kerana faktor (a) di atas.
Di bahagian kedua siri soal jawab ini, penulis ini (saya) menjawab seperti di bawah (petikan):
Ber-independen itu maknanya apa? Apakah maksudnya kita tidak mempunyai pendirian politik atau tidak menceburi politik?
Independen bukan ertinya tidak peduli politik. Mereka prihatin pada isu-isu politik tetapi tidak mudah berpihak kepada sesuatu isu sehingga diperhatikan isu-isu dengan jelas, dengan jernih. Sehingga dapat dibentangkan kepada orang ramai duduk perkara sebenar. Jadi, terpulang kepada masyarakat untuk menilainya.
Jika budaya independen seumpama ini berkembang, pastilah tingkat ‘celik politik’ masyarakat kita akan dapat dipertingkatkan. Masyarakat seumpama ini berupaya pula merangsang parti-parti dan orang-orang politik agar menghargai wacana jamak perspektif, rasional dan pro-akal.
Sekarang, bagaimana sikap orang politik terhadap rakyat?
Sekarang, orang politik tidak menghargai wacana jamak perspektif, rasional dan pro-akal. Mereka senang menyebarkan propaganda, suka membakar emosi, mengelabui hujah-hujah, tidak jelaskan duduk perkara sebenar, dan tidak suka hujah berteori kerana (tersembunyi) dalam fikiran (andaian) mereka bahawa pendekatan seumpama ini sesuai untuk masyarakat.
Masyarakat mudah faham dan terima hujah politik kalau disuapkan pendekatan propaganda dan membakar emosi ini. Dengan kata lain, orang politik percaya masyarakat kita itu bodoh. Jadi, marilah kita sama-sama perbodohkan lagi masyarakat!
Permainan politik seumpama inilah yang berbahaya kepada orang Melayu dan Malaysia. Bersikap independen itu tujuannya untuk menentang projek pembodohan orang-orang politik kita, sama ada kerajaan atau pembangkangnya. Kita, anak-anak muda dan mahasiswa, harus bertegas melawannya!
Tuesday, August 09, 2005
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
3 comments:
Ok fathi, keep it up
Halo Fathi ! Terima kasih memberitahu blog anda -saya akan jadi peminat tetap ! Kiranya ada masa sila kunjung ke blog saya : www.malvu.org untuk memberi teguran. Ong BK/P.Pinang
Salam,
Democrazy bukan sistem terbaik, pun bukan sistem yang ideal. Sang penjahat dunia pun saat ini sedang menyebarkan demokratisasi di Timur Tengah. Demokrasi jelas memberikan kebebasan kepada manusia untuk berekspresi, menghina nabi dan agama lain, dijamin tidak ada sanksi apapun,meski silent majority menjadi mayoritas yang berekspresi.Demokrasi jelas memberikan kebebasan kepada manusia untuk membuat hukum sendiri, even if its against religion.Jadi, demokrasi hanya untuk orang yang sependapat dengan teori sekularisme yang menyebutkan agama tidak ada hubungannya dengan kehidupan negara. Vox populi vox dei (suara rakyat adalah suara tuhan), adalah benar dalam demokrasi.Sampai-sampai pelacuran atau perjudian pun disahkan dengan dalih dilokalisir. Jadi mendukung/memakai demokrasi=mendukung sekularisme.
Salam..
Post a Comment