Monday, August 22, 2005

Malam memanjang

Dulu, selepas berbual agak panjang dengan (mantan) wartawan selebriti TV3 (teman lama), saya pernah menulis artikel 'Di mana-mana, malam tetap kelam' (21 Julai 2003) sebagai dedikasi optimisme kepadanya (dan rakan-rakan wartawannya).

Tetapi hari ini, alam masih kelam atau bertambah kelam.... Malam kian panjang? :(

Seorang penulis kolum Malaysiakini.com (setiap Isnin, seperti kolum saya juga) Dr Azly Rahman hari ini menerbitkan surat bersama isterinya Dr Mutiara Mohamad. Kedua-duanya ahli akademik di Universiti Utara Malaysia (UUM) yang disingkirkan, dan rayuannya diabaikan selepas sembilan bulan (mulai Disember 2004), kerana enggan, antaranya, menurunkan tandatangan di 'surat aku janji'!

Sejak ada kolum 'Tiada Noktah', khususnya 2003, saya tidak henti-henti mencabar, menyindir dan mengkritik cerdik pandai Melayu (termasuk ahli akademik, seniman, wartawan, budayawan) agar turut memberikan analisa atau perspektif mereka tentang gejala-gejala buruk yang dibiakkan (membiak?) angkara krisis politik 1998.

Di suatu masa, saya menganggap mereka ini "cendekiawan Melayu yang tidak berguna" yang gagal memberikan "kepemimpinan intelektual" dalam krisis politik mutakhir yang -- seharusnya -- menggugat dasar hati masing-masing!

Sewaktu saya menerima anugerah zamalah Cendekiawan Awam Asia (API), pada majlis rasminya di sebuah hotel di Putrajaya (Mac, 2004), saya masih lagi menyindir, dengan menyebut (antara lain): "di negara kita orang ramai tidak faham apa maksud public intellectual (intelektual awam); orang lebih mudah mengenali tandas awam (public toilet)!" Sementara sebilangannya, yang dekat dengan barisan pembangkang, dianggap "miskin imaginasinya"! Lihat teks Inggeris di sini: Public intellectuals and the poverty of imagination.

Namun, kelihatan belum mendapat kesedaran meluas di kalangan mereka -- mungkin juga mereka tidak membaca artikel-artikel saya kerana seseorang harus melanggan Malaysiakini.com untuk membaca kolum-kolum kami.

Dr Azly dan isterinya Dr Mutiara -- kini menyahut cabaran ini. Saya dengan perasaan terharu tidak mampu berkata apa-apa lagi kecuali menghulurkan tangan persahabatan dan doa dari kejauhan. Semoga malam ini tidak bertambah panjang. Cukuplah tujuh tahun malam memanjang** ...

Lihat beritanya di sini UUM lectures axed for rejecting akujanji (Malaysiakini.com, 22 Ogos):

After eight months of silence from Universiti Utara Malaysia (UUM) on the outcome of their respective appeals against termination of their services, lecturers Dr Azly Abdul Rahman and Dr Mutiara Mohamad wonder if they will ever be reinstated.

** Tujuh Tahun Malam Memanjang sebuah naskhah autobiografi Ahmad Boestamam, seorang daripada nasionalis Melayu yang harum namanya, bersama dua lagi Lambaian dari Puncak dan Merintis Jalan ke Puncak (tiga memoir ini diterbitkan kembali oleh Penerbit UKM)

1 comment:

Clarissa Lee said...

Pernah dipaksa tandatangani jugak masa I nak register utk semester baru postgrad. Tak mau tanda, takut tak dapat register (sebab di mintak tanda there dan di pejabat dekan). Nasib baik, tak pernah diganggu aktiviti2 I oleh itu. Tapi, keadaan mungkin lebih ketat dan teruk untuk pensyarah. Surat tu lebih pudar intinya dari OSA.

Tinggal lagi satu semester, bolehlah juangkan tu dari luar. (: