Dari dulu lagi saya tidak pernah mahu bersetuju dengan konsep atau ungkapan "isu sensitif" yang digunakan oleh orang-orang politik kita dan juga media massa negara ini.
Apakah sebenarnya yang dibingkaikan dan dimaksudkan "isu-isu sensitif"?
Ada unsur-unsur dan kepentingan politik tertentu di sebalik penggunaan kata ini, jelas saya kepada wartawan MerdekaReview.com pada 21 Januari lalu. Akhbar web edisi Mandarin ini mewawancara ringkas saya tentang lidah-lidah pengarang (editorials) dua akhbar berbahasa Melayu pada Isnin lepas, Utusan Malaysia dan Berita Harian.
Dalam rencana pengarang 'Cara betul bincang isu sensitif', Utusan Malaysia (21 Januari)antara lain berkata:
"Tindakan sembilan menteri Kabinet bukan Islam menghantar memorandum kepada Perdana Menteri Rabu lalu boleh dianggap sebagai perbuatan terlanjur.
Tetapi tindakan mereka menarik balik memorandum tersebut, walaupun selepas dinasihat oleh Perdana Menteri dan ditegur banyak pihak lain tetap kita hargai.
Mereka juga bersetuju untuk membincangkan perkara berhubung isu agama yang dianggap sensitif itu dalam mesyuarat Kabinet sahaja. Itu cara yang betul.
Tindakan sembilan menteri yang terdiri daripada pemimpin tinggi kerajaan dan parti komponen Barisan Nasional perlu sedar bahawa tindakan mereka mengemukakan memorandum terus kepada Perdana Menteri adalah tidak betul caranya.
Dengan tindakan menarik balik memorandum, kita percaya mereka dapat melihat betapa perlunya menggunakan cara yang betul untuk mengemukakan pandangan atau cadangan yang mewakili kaum atau agama masing-masing.
Adalah tidak manis menteri Kabinet mengambil tindakan membuat memorandum dan menghantarnya kepada Perdana Menteri. Mereka harus sedar perbuatan mereka itu diperhatikan oleh rakyat.
Tindakan menteri Kabinet berkenaan telah memberi isyarat yang salah kepada rakyat seolah-olah mereka tidak mempunyai saluran atau pilihan lain untuk menyampaikan pandangan.
Malah kita tidak mahu salah tafsiran seolah-olah wujud pergeseran dalam Kabinet bermain-main dalam fikiran rakyat."
Sementara Berita Harian pula membuat tanggapan dalam 'Penyelesaian isu sensitif patut jadi pengajaran elak berulang' (21 Januari):
"Isu sembilan menteri Kabinet bukan Islam menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri meminta supaya disemak semula undang-undang berkaitan hak orang bukan Islam, sudah selesai. Selain Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri menganggap isu itu tidak perlu ditimbulkan lagi, semua menteri terbabit juga sudah menarik balik memorandum berkenaan selepas lima daripada mereka menemui Perdana Menteri kelmarin. Kita bersyukur kerana masalah itu berjaya ditangani pemimpin kita tanpa perlu berdemonstrasi, bertikam lidah atau campur tangan orang lain. Inilah keistimewaan kita di Malaysia. Segala masalah dapat diselesaikan secara musyawarah.
Dalam sebuah negara pelbagai kaum dan agama seperti Malaysia, ternyata semua masalah yang dihadapi perlu dibincangkan secara telus. Sehubungan itu, kesediaan Kabinet membincangkan sebarang isu walau bagaimana sensitif sekalipun bukanlah sesuatu yang asing, malah sejak dulu lagi semua anggota Kabinet mempunyai hak sama untuk bercakap serta membangkitkan apa-apa isu tanpa sebarang halangan. Kita mungkin lebih rela mereka bertikam lidah dalam mesyuarat mingguan Kabinet daripada mempersoalkannya di luar.
Apa pun, kita mengucapkan syabas kepada Perdana Menteri kerana bertindak pantas menyelesaikan isu itu sebelum ia menjadi masalah besar. Tindakan itu sekali gus dapat menyekat mana-mana pihak daripada mengambil peluang menggembar-gemburkannya. Selain itu, rakyat keseluruhan juga wajar diberi pujian kerana tidak bertindak mengikut emosi sehingga boleh menimbulkan kekecohan yang hanya akan merugikan semua pihak. Sememangnya, isu sensitif terutama yang membabitkan agama dan kaum perlu ditangani dengan berhati-hati dan semua pihak, khususnya pemimpin politik serta pertubuhan bukan kerajaan perlu sentiasa memikirkan sensitiviti itu.
Bagaimanapun, kita agak kecewa kerana masih ada pihak tertentu yang cuba bermain api dengan mempertikaikan tindakan menteri terbabit melalui ruang internet, seolah-olah cuba membakar emosi orang ramai. Apa yang dilakukan mereka ini jelas bertentangan dengan ingatan Perdana Menteri supaya semua pihak berhenti daripada memperkatakan mengenainya. Oleh itu, kita berharap pihak berkuasa dapat memantau golongan ini yang menyalahgunakan kebebasan diberikan dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka. Selain itu, kita juga mahu isu desakan supaya menteri yang terbabit dengan kontroversi itu supaya meletak jawatan tidak ditimbulkan lagi kerana kesediaan mereka menarik balik memorandum berkenaan dianggap sudah memadai.
Hakikatnya, semua pihak harus menghormati perpaduan dan kerukunan hidup yang dikecapi masyarakat pelbagai bangsa dan agama di negara ini. Kita harus sedar ada isu sensitif membabitkan agama tertentu yang harus dihormati tidak kira sama ada oleh orang Islam atau penganut agama lain. Kenyataan seperti mengaitkan kelakuan berpegang tangan antara bukan muhrim sebagai ‘budaya’ yang tidak dapat diterima pada abad ini adalah keterlaluan. Sewajarnya semua pihak harus tahu membezakan antara budaya dan hukum agama. Oleh itu, jika kita tidak tahu secara mendalam sesuatu hukum dalam agama tertentu, eloklah kita tidak menyentuhnya."
(saya kutip penuh teks ini kerana nanti akan masuk arkib dan susah lagi untuk kita akses kecuali berbayar!)
Banyak kali, ungkapan "isu sensitif" dijadikan sebab atau alasan untuk mematikan perbahasan terbuka -- misalnya melalui forum awam atau media massa -- perkara-perkara yang menjadi pertikaian umum di kalangan kita.
Dalam perlembagaan kita, selepas tragedi 13 Mei 1969, dimasukkan perenggan (clause) yang melarang kita semua mempertikaikan aspek-aspek tertentu, misalnya 'hak istimewa Melayu' atau 'penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa nasional.'
Begitu juga Akta Hasutan, akta yang paling 'gila' dan ortodoks, yang melarang kita mengkritik mahkamah, raja dan beberapa aspek tentang kerajaan. Akta yang paling nipis (diciplak terus daripada penjajah Inggeris) kerana di dalamnya butiran perundangan (clause) ditulis secara umum dan terbuka sekali -- maka mudahlah pihak berkuasa menafsir sesuka hati mereka untuk menekan orang ramai.
Atas sebab inilah, saya jelaskan bahawa ungkapan dan niat "isu sensitif" bertujuan mematikan kritik terbuka, perbahasan orang ramai, dalam hal-hal yang tidak disenangi mereka; misalnya isu agama, kedudukan Melayu, dan beberapa institusi yang sedia ada.
Dalam isu (dakwaan) penyelewengan ketua hakim negara pada 2000 dulu, yang kami dedahkan di Malaysiakini.com, alasan "isu sensitif" juga diguna pakai sehingga wakil-wakil rakyat di Dewan Rakyat gagal mengemukakan usul tergempar dan membincangkan dakwaan rasuah pada Eusoff Chin! Jika dikemukakan juga, boleh dikenakan tindakan undang-undang!
Boleh bincang, kata mereka, tetapi haruslah secara tertutup; kononnya mengambil langkah musyawarah (atau, kadang-kadang disebut "kebijaksanaan"), kononnya lagi beginilah nilai-nilai Timur!
Bukankah berbincang secara tertutup itu sejenis kooptasi (co-optation) dan selalunya disertai oleh puak elit sahaja? Siapa yang tahu apa yang diuruskan di sebalik pintu?
Urusan di belakang pintu seharusnya urusan sepasang kekasih (termasuk suami isteri) sahaja, bukan?
Thursday, January 26, 2006
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
8 comments:
sensitiviti ada di kepala. Lagi tebal kalau sentiasa diapi-api, ditakut-takut atau ditutup-tutup. Paling melampau kalau diikat dengan emosi. Ubatnya rasionaliti dan keterbukaan.
Emosi tidak akan dapat bertahan apabila diasak oleh rasionaliti. Emosi boleh mengembang mengendur sedangkan rasionaliti tetap eguh pada paksinya. Sayangnya pertahanan orang melayu/Islam bukan pada rasionaliti. Ia akan tewas tanpa kita semua sedari.
Mile, misalnya lihat rencana pengarang Berita Harian di atas:
"Kita bersyukur kerana masalah itu berjaya ditangani pemimpin kita tanpa perlu berdemonstrasi, bertikam lidah atau campur tangan orang lain. Inilah keistimewaan kita di Malaysia. Segala masalah dapat diselesaikan secara musyawarah."
Dan juga perenggan ini: "Bagaimanapun, kita agak kecewa kerana masih ada pihak tertentu yang cuba bermain api dengan mempertikaikan tindakan menteri terbabit melalui ruang internet, seolah-olah cuba membakar emosi orang ramai. Apa yang dilakukan mereka ini jelas bertentangan dengan ingatan Perdana Menteri supaya semua pihak berhenti daripada memperkatakan mengenainya."
Bagaimana ini? Ertinya, wartawan kanan di akhbar ini "tidak ada otak", sekadar mengulang-ulang kosa kata dan muntahan idea yang klise (cliche) yang ada dalam masyarakat kita.
Dia sendiri tidak pernah memikirkan jalan keluar secara kreatif, ... dan yang buruk lagi tidak pernah memikirkan "apakah kesan-kesan buruk dalam masyarakat kita jika kita sering cuba menutup-nutup isu-isu yang [KONON-nya] dianggap sensitif?"
Berita Harian atau Utusan Malaysia, apakah kesan buruknya? Apa?
Diorang bercakap tentang kitalah tuh... hehe
Saya telah telaah banyak tulisan dan ulasan orang2 bukan Islam tentang perkara tersebut dan pada saya kebimbangan dan masalah mereka adalah genuine. Mereka umumnya sangat objektif. Malangnya jarang sekali kedapatan ulasan drp orang2 Islam sendiri yang bukan sekadar memberi rebuttal, tetapi mencadang jalan penyelesaian terhadap masalah tersebut. Bagi saya masalah ini adalah real... bukan suatu tuntutan yang dibuat2 hanya untuk menguntungkan pihak bukan Islam sahaja. Ulasan Pawancheek Marican dalam Siasah tentang pendekatan dan upaya kita orang Islam yang `malu alah'patut diberi perhatian. Liberal thinking muslims should be given space to talk...
Saya masih terus memegang konsep "isu sensitif" pada saya isu sensitif ialah perhubungan antara sepasang suami isteri. Jika ditanya juga, cukup dengan jawapan senyuman.....
Hehehe Mat Arau!
`liberal-leaning muslims must assert themselves'...
ehehe.... macam mencabar je bunyiknya..
Isu sensitif bermula dari pakatan kerahsiaan samada sah atau tidak di sisi undang-undang. Memandangkan pakatan rahsia itu bukan mulut tempayan yang boleh ditutup maka diwujudkan pula perkataan "isu sensitif".
Oleh isu sensitif bermula dari kerahsiaan seseorang seperti sepasang suami isteri.
Post a Comment