Allah berfirman, "Pergilah ke tanah Moria dengan Ishak, anakmu yang tunggal, yang sangat engkau kasihi. Di situ, di sebuah gunung yang akan Kutunjukkan kepadamu, persembahkanlah anakmu sebagai korban untuk menyenangkan hati-Ku."
Awal pagi esoknya, Abraham membelah-belah kayu yang akan digunakan untuk membakar korban dan mengikat kayu itu pada keldainya Dia berangkat bersama-sama Ishak dan dua orang hambanya ke tempat yang sudah diberitahukan Allah.
Pada hari yang ketiga Abraham nampak tempat itu dari jauh.
Kemudian dia berkata kepada hamba-hambanya, "Tinggallah di sini bersama dengan keldai ini. Aku dan anakku akan pergi ke sana untuk menyembah Tuhan; nanti kami balik kepada kamu."
Abraham menyuruh Ishak memikul kayu untuk korban yang dibakar, dan dia sendiri membawa sebilah pisau serta bara api untuk membakar kayu. Sedang mereka berjalan bersama, Ishak berkata, "Ayah!"
Abraham menjawab, "Ada apa, anakku?"
Ishak bertanya, "Kita sudah membawa api dan kayu, tetapi di manakah anak domba untuk korban yang dibakar itu?"
Abraham menjawab, "Allah sendiri akan menyediakan anak domba itu." Mereka berdua meneruskan perjalanan.
Apabila mereka tiba di tempat yang sudah diberitahukan Allah, Abraham membina sebuah mazbah dan menyusun kayu di atasnya. Lalu dia mengikat anaknya dan membaringkan dia di mazbah, di atas kayu yang disusun.
Kemudian dia mengambil sebilah pisau untuk membunuh anaknya, tetapi malaikat TUHAN berseru kepadanya dari langit, "Abraham, Abraham!"
Abraham menjawab, "Ya, Tuhan."
"Jangan sakiti anak itu, jangan lakukan apa-apa terhadapnya," kata malaikat itu. "Sekarang Aku tahu bahawa engkau menghormati dan mentaati Aku, kerana engkau tidak enggan menyerahkan anakmu yang tunggal kepada-Ku."
Abraham memandang di sekelilingnya, lalu nampak seekor domba jantan yang tanduknya tersangkut pada belukar. Abraham mengambil domba itu, lalu mempersembahkannya kepada TUHAN sebagai korban untuk menyenangkan hati TUHAN, bagi menggantikan anak lelakinya.
Abraham menamakan tempat itu "TUHAN Menyediakan Apa Yang Diperlukan." Sampai sekarang pun orang berkata, "Di atas gunung-Nya TUHAN menyediakan apa yang diperlukan."
Sekali lagi, dari langit malaikat TUHAN berseru kepada Abraham, "TUHAN berfirman: Aku bersumpah demi nama-Ku sendiri; kerana engkau sudah melakukan hal ini dan tidak enggan menyerahkan anakmu yang tunggal kepada-Ku, Aku berjanji akan memberkati engkau dengan berlimpah-limpah dan menjadikan keturunanmu sebanyak bintang di langit serta sebanyak pasir di pantai laut. Keturunanmu akan mengalahkan musuh mereka. Semua bangsa di dunia akan memohon kepada-Ku supaya Aku memberkati mereka sebagaimana Aku telah memberkati keturunanmu, kerana engkau sudah mentaati perintah-Ku."
Selepas itu Abraham balik kepada hamba-hambanya, lalu mereka bersama-sama pergi ke Bersyeba; Abraham menetap di sana.
[Perjanjian Lama, Kitab Kejadian: 22, terjemahan Al-Kitab Berita Baik edisi Bahasa Melayu (cetakan 1996), muka surat 21]
+ * + * +
Dan Nabi Ibrahim pula berkata: "Aku hendak (meninggalkan kamu) pergi kepada Tuhanku, Ia akan memimpinku (ke jalan yang benar).
"Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku anak yang terhitung dari orang-orang yang salih!"
Lalu Kami berikan kepadanya berita yang menggembirakan, bahawa ia akan beroleh seorang anak yang penyabar.
Maka tatkala anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: "Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?" Anaknya menjawab: "Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar."
Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu), dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah, (Kami sifatkan Ibrahim -- dengan kesungguhan azamnya itu -- telah menjalankan perintah Kami),
Serta Kami menyerunya: "Wahai Ibrahim! --
"Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu." -- Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan.
Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata;
Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar;
Dan Kami kekalkan baginya (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian:
"Salam sejahtera kepada Nabi Ibrahim!" (salamun 'ala Ibrahim)
Demikianlah Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan.
Sesungguhnya Nabi Ibrahim itu dari hamba-hamba Kami yang beriman.
Dan Kami pula berikan kepadanya berita yang menggembirakan, bahawa ia akan beroleh (seorang anak): Ishaq, yang akan menjadi Nabi, yang terhitung dari orang-orang yang salih.
[Al-Qur'an, surah as-Saafaat: 99-112, terjemahan Tafsir Pimpinan ar-Rahman kepada Pengertian al-Qur'an (cetakan 2001), muka surat 1188-1190]
8 comments:
Fathi,
Dalam Perjanjian Lama, Ishak dijadikan korban, manakala dalam al-Quran akan dapat anak iaitu Ishak.
Nama Ishak ada dalam kedua kisah itu tetapi memainkan peranan yang berbeza.
Benarkah kefahaman saya ini?
fathi,
aku sekadar terkesan dengan penulisan ko selama ini sahaja. Malas aku nak terpengaruh (buat waktu ini) dengan penulis lain. satu penghormatan utk ko!
Hey, Perjanjian Lama (old tastement) masih ada yg asli? Sejujurnya aku masih mencari2 versi lama ini--dalam tafsiran bahasa semestinya. Ada saranan?
Kepada Mat Arau: Ya, begitulah kefahamannya jika kita membandingkan kedua-dua teks ini. Saya ambil (salin) bulat-bulat tanpa suntingan atau tafsiran saya.
Pagi Raya kelmarin, saya tertarik dengan cerita dalam buku Perjanjian Lama (Old Testament), walau edisi Melayu ini telah dipermudahkan, yang mempunyai macam-macam cerita.
Menurut kawan saya di Jakarta (seorang Kristian, aktivis dialog antara agama), buku ini tarafnya hanya cerita atau "hadis" dalam konteks Islam --- yakni cerita-cerita yang diriwayatkan; oleh itu memang ada beberapa versi.
Kepada Attok: Saya menulis begitu di blog Sdr kerana saya sendiri menyedari kelemahan penulisan saya.
Tentunya saya berbesar hati jika ada teman-teman yang ingin mendekati dan mencontohi saya. Tetapi, sebagai generasi muda, kita harus terus mempertingkatkan mutu penulisan --- hari demi hari lebih baik daripada penulis-penulis (dan karya-karya) sedia ada.
Inilah idealisme (atau angan-angan?) kawan-kawan Komunite Seni Jalan Telawi (KsJT) --- yakni mempertingkatkan, memperluaskan dan memperdalamkan wacana intelektualisme (politik, seni, falsafah, agama, atau sastera) anak-anak muda. KsJT bukan sahaja menuntut kebebasan ruang ekspresi kreatif tetapi juga mendukung peningkatan mutu dan kepelbagaian (dinamisme) ekspresi kreatif. Sebab itu, dulu 2002-2004, KsJT anjurkan APUKe (Acara Baca Puisi Keliling), selain diskusi2 politik, seni, falsafah, agama dan sastera.
Sesuatu tulisan itu, seperti Sdr juga sedar, boleh dinilai pada gaya (style), prosa (prose), bahasan (arguments), idea, aliran berhujah (line of thought) dan ini semua haruslah sesuai dengan subjek (subject matter), media dan sasaran (audience atau khalayak).
Saya tidak mempunyai kekuatan di semua sudut ini sekali gus. Saya sering takut melihat kelemahan prosa saya yang ada waktu-waktunya "ber-emosi" dan "kering".
Adakah Sdr mengikuti tulisan Rahmat Haron (dalam majalah Siasah tentang Ayu Utami)? Artikel ini baik dicontohi kerana mendekati konsep "kewartawanan sasterawi" atau literary journalism yang dipromosikan, antaranya, oleh Gabriel Garcia Marquez.
Tolong beli dan baca buku-buku pemenang Nobel ini, misalnya Living to Tell the Tale atau Kidnapping.
Satu lagi, buku Khalid Jaafar Tumit Achilles, yang ada gaya prosa yang menarik. Cubalah lihat, boleh diperolehi di toko-toko besar atau IKD faomar@yahoo.com
Fathi,
terima kasih atas saranan dan juga pengakuan jujur (dalam konteks merendahkan diri).
Aku secara langsung yg terlibat dengan Perhimpunan Penulis Muda Nasional lalu masih belum menjumpai penulis muda (malah aku sendiri tidak betul) yg benar-benar sensitif dengan isu yg ada disekelilingnya.
Jangan mati rasa!
Kepada Attok: Ya, saya harus jujur kerana "bermegah diri" (sebagai penulis) tidak akan ke mana juga!
Seorang penulis tetapi ada beratus-ratus (mungkin beribu-ribu pembaca), bagaimana mampu kita "membohongi" mereka? Jadi, lebih baik jujur dan berterus terang bahawa kita, sebagai penulis, hanya menunaikan "sebahagian" tanggungjawab; selebihnya tanggungjawab itu harus dipikul oleh pembaca. Bukan begitu?
Isu kedua: Itulah persoalan yang sering bermain di fikiran saya setiap kali menonton drama atau filem Melayu; membaca sajak-sajak dan cerpen-cerpen Melayu yang (umumnya) ditulis oleh anak muda; dan kadang2 menonton teater (di negara kita).
Saya tertanya-tanya, apakah yang seniman atau sasterawan faham tentang masyarakatnya? persoalan apa yang ingin dibentangkan atau dipecahkan? kenapa dan bagaimana seniman/sasterawan kita melihat persoalan2 tertentu?
Kemudian, saya tertanya-tanya lagi, teori seni (atau, teori budaya) apakah yang mereka pakai untuk memahami dan mengolah subjek-subjek renungan (kreatif) mereka?
Macam-macam yang muncul di fikiran; dan inilah juga yang memotivasikan teman2 di KsJT, termasuk kawan kita Jim.
Saya pernah jelaskan kepada Jim, beberapa tahun lepas (tidak tahu sama ada saya berjaya jelaskan atau tidak; tidak pasti sama ada dia faham atau tidak), pandangan Karl R Popper tentang "teori interaksi-isme" (interactionism theory) dalam persolan (epistemologi Barat) pemisahan minda-jasad (body-mind problem).
Kami merujuk buku itu selepas Jim berminat pada teks ringkas saya "Tuhan di Kota Teks" (dalam majalah Siasah).
Kami juga meneroka debat (teori, falsafah) tentang "absurd-isme", perceraian antara objek (di luar diri) dengan subjek (diri).
Kedua-dua ini tidaklah mendalam dan sistematik tetapi kami fikir ia membantu penghasilan karya kreatif; menolong seniman dan sasterawan (muda) menajamkan bakal akal dan kreativiti mereka.
Pernah tahun 2004, bulan puasa, kami mendiskusikan topik "semiotika" (semiotics), termasuk konsep "semiotika sosial" dan bagaimana bidang pengetahuan mencipta kesan ke atas fikiran kita.
Ketiga: Kembali kepada blog Sdr. Ya, saya juga tidak memiliki Perjanjian Lama atau Perjanjian Baru edisi BM. Yang saya catat ini dipinjam dari kawan. Bercadang juga untuk mencari satu naskhah. faomar@yahoo.com
Sdr Mat Arau, teman saya Abd Moqsith Ghazali dari JIL cuba mengupas persoalan "Ismail atau Ishak" yang diminta dikorbankan? Kenapa ada perbezaan antara Perjanjian Lama dengan sumber al-Qur'an?
Abd Moqsith menulis: "Berbeda dengan Perjanjian Lama, Alquran tidak menuturkan dengan tegas tentang siapa yang hendak disembelih Ibrahim tersebut.
Dari sinilah kiranya perbedaan pendapat itu bermula. Mungkin ada yang meng-copy PL bahwa Ishak lah yang hendak disembelih. Ada yang menyangkal bahwa yang mau disembelih itu Ismail, bukan Ishak.
Anehnya, hadits yang menjelaskan hal ini pun cukup beragam. Suatu waktu Nabi menyebut Ismail. Kala yang lain berkata Ishaq.
Pada hemat saya, ini merupakan bukti betapa tidak mudahnya melakukan verifikasi terhadap sejumlah peristiwa yang terjadi pada zaman lampau.
Sejumlah kisah yang disajikan Alquran tak sepenuhnya bisa dan boleh di cek secara ilmiah, menyangkut akurasi dan validitas datanya. Sebab, terlalu banyak orang yang berkeberatan jika Alquran diperlakukan secara demikian". [sumber asal: Ismail atau Ishak?, editorial laman web JIL, 16 Jan 2006]
Sumber URL: http://islamlib.com/id/index.php?page=article&id=978
Daripada apa yg saya baca dari buku kisah2 Nabi (saya lupa siapa yang tulis tapi kat belakang buku tu ada gambar Hassan Din selaku peneliti) , dan dengar ceramah dari org alim2,
Nabi ismail lahir oleh siti hajar(gundik raja) dulu dan Nabi ibrahim sembelih ketika umur dia 10 tahun, masa tu siti sarah tak dapat anak(isteri pertama) 13 tahun kemudian barulah lahir Nabi ishaq
wallahualam,
saya ada tulis sikit dalam blog saya cerita ringkas nabi ibrahim
www.keretamayat.blogspot.com
Ya Sdr, begitulah yang disebut dan diperdebatkan oleh pemikir2 Islam klasik tentang hal ini -- siapa? Ismail atau Ishak yang hendak dikorbankan itu.
Catatan Abd Moqsith Ghazali menyebutkan tentang hal ini. Sila ke pautan (link) yang saya sertakan di atas faomar@yahoo.com
Post a Comment