Sunday, January 15, 2006

Simbiosis

Teman-teman dan saya berjaya mengadakan diskusi warung, dua tajuk "Daripada fizik kepada metafizik: Satu kes teori kuantum" dan "Khalwat: Ketuk pintu sebelum masuk" dibentang dan dicanaikan.

Kedua-duanya topik yang memikat.

Selepas diskusi, seorang teman menyampaikan dua buku fotokopi (lagi!) Faham Ilmu suntingan Idris Jauzi dan Simbiosis Sistem Nilai dengan Tabii Matematik karangan Shaharir Mohamad Zain. Terima kasih AF!

Kedua-duanya pernah saya baca dan fahami sejak awal 1990-an lagi sewaktu saya cuba bergelut memahami falsafah sains dan epistemologi. Tetapi kedua-duanya pula, seperti nasib beberapa buku lain, tidak tahu di mana letaknya.

Jadi, memiliki kembali dua naskhah ini (walau "edisi" fotokopi sahaja) dapat mengingatkan kembali beberapa perkara dan juga (mungkin) boleh membantu teman-teman muda awal 20-an yang berminat menguasai (atau, berkenalan) dengan subjek ini, epistemology atau teori ilmu.

[Kedudukan dan pengaruh kepercayaan atau sistem nilai budaya dalam epistemologi, sila lihat di sini secara ringkas]

Tidak salah ingatan saya, Idris Jauzi waktu menyunting buku ini bertugas sebagai seorang pegawai di Kementerian Pendidikan. Beliau pernah menyampaikan ceramah di kampus kami, di Arau pada 1991 -- waktu itu kami sempat belajar mata pelajaran "Sejarah dan falsafah sains Islam". Saya pernah pula bertanya kepadanya satu soalan (yang berat, sukar pula dijawabnya); maklum, sedang ghairah dengan falsafah sains!

Sementara buku Shahrir [foto kiri] ini saya perolehi sewaktu ada pameran buku besar di Kuala Terengganu, acara tahunan yang dikendalikan oleh Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT). Juga, pergelutan saya untuk cuba menyelami sendiri (self-taught) subjek yang pernah membangkitkan ghairah intelektual saya.

Buku nipis ini asalnya ucapan keprofesoran Shaharir di UKM pada 5 Julai 1990. Ia menjelaskan bahawa matematik -- cabang ilmu sains yang dianggap paling "objektif", bebas nilai (value-free) dan berkecuali (neutral) -- juga dipengaruhi oleh sistem nilai atau kepercayaan seseorang.

"[M]atemarik itu tidak seobjektif seperti yang ditanggapi umum selama ini dan tidaklah juga bebas nilai. Simbiosis budaya, kebudayaan, ideologi dan sistem nilai dengan sains matematik sentiasa berlaku dari semasa ke semasa," simpul Shaharir dalam buku ini (hal. 60-61).

Di muka surat 17, tokoh sains asal Kelantan ini berhujah:

"Kini kita dapat menyaksikan betapa budaya dominan, cita rasa dan kecitaan semula jadi manusia kepada sepuluh yang menjadi faktor dalam mentakhtakan sistem angka perpuluhan yang melebihi daulatnya daripada sistem-sistem angka yang lain yang sama bersistem, sama berkerasionalan dan sama bermantik.

"Hanya sistem masa dan sistem angka bagi bahasa komputer sahaja yang tidak menghayati sistem perpuluhan."

Shaharir kemudiannya berhujah lagi: "Pengekalan sistem masa ini semata-mata atas dasar emosi dan estetik sahaja. Dalam bahasa komputer pula, sistem perpuluhan tidak dipakai kerana sistem ini tidak sesuai dengan teknologi bersahaja komputer."

Sewaktu seorang teman dan saya bertemu beberapa bulan lalu di kampus Serdang, beliau bertugas sebagai penyelidik khas INSPEM di UPM. Selepas UKM tidak mahu menyambung kontraknya kerana (mungkin) tidak senang dengan sikap lantang tokoh pemikir ini mempertahankan dasar bahasa Melayu.

Untuk mengikuti lagi buah fikiran Shaharir, sila klik Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu (17 Oktober 2005), Bahasa ibunda berkesan ajar subjek kritikal (berita), dan wawancara dengan Ummahonline.com (23 November 2004).

6 comments:

Anonymous said...

Fathi,
Andainya tidak keberatan, kongsi bersama kami soalan berat yang telah diajukan dan apa pula jawapannya dan jawapan Fathi sekarang.

fathi aris omar said...

Kepada Mat Arau: Soalan berat itu, kurang lebih, berkisar tentang "sintesis" pemikiran, mazhab atau ideologi sains moden dengan kefahaman sains Islam.

Sains di sini bermaksud scientia atau ilmu; ilmu atau pengetahuan dalam konteks yang lebih luas, selain "sains" moden [aliran positivisme] yang kita kenali kini (secara popular).

Ia bergolak tentang projek Islamisasi ilmu pengetahuan yang dibawa oleh beberapa pemikir Islam seperti Syed Naguib al-Attas atau Ismail Faruqi serta pengikut2 mereka.

Soalannya panjang dan ada beberapa hal itu saya telah lupa. Jadi, saya tidak menyebutnya secara detail dalam catatan di atas. Tetapi memang waktu itu obsesi saya (di kampus Arau) tentang "sintesis kreatif" antara sistem ilmu Barat dan Islam.

Hari ini saya mungkin tidak sebegitu ghairah dengan Islamisasi pengetahuan walau saya kira dalam beberapa penjuru hujah Shaharir Mohamad Zain dan teman-temannya dalam Akademi Sains Islam Malaysia (Asasi) masih sah dan relevan.

Dalam acara yang sama, seorang aktivis utama ABIM ustaz Dr Arsyad, sebagai timbalan pengetua HEP, turut hadir. Idris Jauzi pernah menyebut kepada ustaz, "syeikh, anak murid enta ini tanya soalan yang baik! Bagus enta mengajar di sini" (kurang lebih begitu nada dan kata-kata Idris).

Jadi, saya sedar soalan tiba-tiba saya waktu itu tidak dapat dijawab oleh Idris. Mungkin dia tidak menguasainya.

Mungkin ramai di kalangan kita sekadar "popularizer" (tukang canang) idea, jadi bukanlah tugas kita untuk menjawab memecahkan persoalan-persoalan berat yang berlegar di kalangan beberapa kelompok umat Islam. faomar@yahoo.com

Sapere Avde said...

saya amat berterima kasih dan berbesar hati dengan saudara fathi yang memberi saya satu suntikan semangat dan kesediaan untuk membantu.

saya rasa terlalu bertuah dapat mengenali saudara walau saya tiada nama didunia yang saudara fathi bernafas lama dengan seribu satu pengalaman yang bisa menjadikan saudara setaraf sifu bagi saya, masih merendah diri dengan melanyan saya yang tidak punya apa-apa ini.Terima kasih.

Saya amat mengharap pimpinan dan bimbingan dalam dunia yang baru saya terokai ini.

zarul20@yahoo.com

Anonymous said...

Zarul, terima kasih.

Apa kata: jika Sdr menulis satu rencana mengupas beberapa artikel saya dalam bab kedua "Cinta Anak Muda".

Ambil dulu, misalnya, tiga artikel [1] "Anak muda tidak mungkin berwacana hal. 46", [2] "Siswa perlu ‘bahasa baru’ hal. 58" dan [3] "Siswa, seluar pendek dan kesetiaan, hal. 62"

Dari ketiga-tiga ini, gabungkan menjadi satu artikel, Sdr boleh bersetuju dan mengembangkan lagi (mengikut perspektif Sdr) atau Sdr boleh mengkritik idea-idea yang disampaikan dalam ketiga-tiga itu (mengikut pengalaman & pembacaan Sdr).

Baca ketiga-tiga artikel saya ini dan cuba ajak teman2 dekat Sdr membahaskannya (agar dapat menolong menjana idea2 baru untuk Sdr) dan kemudiannya dapatlah Sdr mengolahnya menjadi artikel Sdr yang baru.

Ini satu proses ke arah menjadi penulis. Yakni, harus membaca [+ berfikir], harus berdiskusi [+ berfikir] dan kemudian menulis draf 1 [+ berfikir] dan kemudian draf 2 [+ berfikir] dan draf akhir [+ berfikir].

Antara draf 1 dan draf 2, Sdr boleh berdiskusi lagi dengan teman2. Antara draf 2 dengan draf 3, Sdr juga harus membaca, mengkaji dan berdiskusi lagi. Cara beginilah idea-idea kita diasah, dicanai dan dipertajamkan.

Mungkin artikel Sdr ini boleh diterbitkan di blog Sdr atau beberapa web yang lain, misalnya UmmahOnline.com. faomar@yahoo.com

Sapere Avde said...

Asslamualikum,

Terima kasih di atas cadangan tersebut.Semamangnya ketiga-tiga artikel tersebut adalah berkenaan pasungan idea mahasiswa yang dipasung atau mahasiswa sendiri yang rela dipasung.

Ini menurut apa yang sdr tulis adalah kesan dari beberapa batasan yang tidak mampu mahasiswa lepasi kesan dari sikap mahasiswa sendiri serta sistem yang diwujudkan keatas mehasiswa sejak dari alam persekolahan hinggalah universiti,adapun segelintir mahasiswa cuba lagi bersikap kritis namun kritisan mereka hanya dalam kelongsur pambangkang tanpa ada penelitian dan hujah meraka sendiri. Ini antara yang saya kesan dari ketiga-tiga artikal tersebut.

saya akan cuba siapkan assigment yang pertama ini dengan step-step yang saudara syorkan.jutaan terima kasih.

Anonymous said...

Zarul, kurang lebih begitulah. Tetapi jika Sdr mengajak beberapa teman berdiskusi nanti, saya boleh hadir untuk sama-sama merancakkan diskusi kita faomar@yahoo.com