Monday, January 02, 2006

Takut kacau

Ada dua buku yang ingin saya baca dan telaah -- kemudian, harap-harap, dapat diulas dalam kolum saya, jika tidak di Malaysiakini.com (Tiada Noktah) boleh jadi di Mstar.com.my (Pojok).

Kedua-duanya diusahakan oleh sekumpulan penulis dan pengkarya muda, rata-ratanya Melayu kecuali Danny Lim (jurugambar The Edge) dalam Wilayah Kutu.

Kumpulan karya kreatif yang pertama ini memuatkan cerpen; sementara Jiwa Kacau memuatkan luahan kreatif pengendali-pengendali blog Melayu. Kedua-duanya boleh diperolehi di, antaranya, toko buku Silverfish, Jalan Telawi.

Pulang dari Pulau Pinang, untuk menghadiri satu seminar "pemimpin muda teraju masa depan", anjuran Open Dialogue Center (ODC), saya berharap dapat menumpukan perhatian kepada dua buku ini.

Tetapi ... saya masih ada sebuah buku (Inggeris) yang belum habis dibaca.

Selain itu, saya sentiasa ada rasa takut (maafkan saya!) berdepan dengan karya-karya berbahasa Melayu. Saya takut membaca atau menekuninya kerana bimbang ia akan merosakkan pemikiran saya sebagaimana saya takut membaca akhbar negara ini atau tinggal lebih lama di sini.

Ketakutan yang saya gambarkan dalam beberapa artikel saya di Malaysiakini.com, misalnya "Ketewasan jiwa intelektual Melayu" (12 Mei 2003) dan "Krisis kepemimpinan intelektual Melayu" (19 Mei 2003).

Sebagai pengamat, saya seharusnya membaca, menelaah dan merenung baris-baris makna yang tersirat di sebalik Wilayah Kutu dan Jiwa Kacau tetapi saya takut pada "kekutuan" dan "kekacauannya".

Seperti saya takut melihat jembalang kerendahan mutu dalam artikel-artikel saya sendiri, dan beberapa wacana yang disebarkan oleh orang-orang yang saya hormati (juga).

Saya tidak tahu apakah ada orang yang akan (boleh) memahami maksud saya ini. Mungkin teman-teman dekat boleh memahami tetapi saya bimbang penulis-penulis dua karya kreatif tersebut sukar menyelami hal ini.

Saya tidak bermaksud sinis dan tidak merendahkan keupayaan akal mereka. Saya belum membacanya, maka saya belum boleh menilai dan berkata-kata.

Tetapi saban waktu saya bergelut dengan hal ini...

Sekuat tenaga saya telah cuba lari daripada kebodohan, kelompok yang bodoh dan wacana yang buruk tetapi akhirnya saya temui semua kebodohan itu dalam fikiran saya sendiri.

[Dalam beberapa artikel, saya menyebutnya begini: Awal kebodohan di Indonesia, Benarkah Melayu bodoh? dan Punca anak muda gagap (semuanya diterbitkan kembali dalam blog Selak Lagi)]

Kuat sekali kejahatan dalam masyarakat ini membunuh keupayaan berfikir kita. Keburukan masuk ke dalam jasad seperti ungkap Karl Popper dalam Knowledge and Mind-Body Problem: In defence of interaction atau Pierre Bourdieu lewat karyanya Language and Symbolic Power.

Tetapi apakah kita (ulang: kita semua, tanpa kecuali) menyedari akan hal ini?

4 comments:

Anonymous said...

Selamat menelaah kesemua buku. Terutamanya JIWA KACAU.

Rudy Bluehikari
& rakan penyumbang entry di JIWA KACAU

Anonymous said...

ahh...aku rasa ramai anak muda yg masih 'kemandulan kreativitinya' termasuk aku sendiri (ya, selalu aku temui dalam fikiran sempit sendiri). tapi, kenapa kita harus terus membenarkan kebodohan? jd,perlulah ada bimbingan dan kebangkitan...
JIM ada di Penang? aduh..ruginya aku.

Anonymous said...

Kpd Rudy Bluehikari: Ya, aku akan telaah 'Jiwa Kacau' dan 'Wilayah Kutu' (kedua-duanya); aku akan cuba berlaku adil.

Tetapi aku lebih tertarik pada 'Jiwa Kacau' sebagai luahan spontan, independen dan kreatif anak-anak muda Melayu (blogger).

Kpd Attokz: Ya, kita perlu atasi kebodohan kita sendiri agar tidak terperangkap dalam wacana-wacana buruk yang bermain dalam masyarakat kita.

Kita tidak boleh mengatakan orang lain "tidak bagus", atau masyarakat kita "tidak kreatif", tanpa diri kita sendiri cuba sekuat-kuat tenaga untuk mengatasinya dan menyebarkannya kepada orang ramai.

Aku lebih suka jika kita mulakan dengan membaca dan menelaah karya Syed Hussein Alatas, ahli sosiologi, Intelektual Masyarakat Membangun, asalnya terbitan berbahasa Inggeris (1977), terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP, 1990).

Bagi aku, ia memerlukan muhasabah kolektif yang jujur, matang, ilmiah dan berani! faomar@yahoo.com

1 said...

Aku baru dapat Jiwa Kacau semalam. Baru separuh khatam. Cuma setakat ini aku tak berapa nak kacau lagi. Aman damai macam Aman Malaysia je. Nanti habis baca aku pun cadang nak tulis secara serius (sekurang-kurangnya separuh serius) dalam blog aku.