Wednesday, January 18, 2006

Negara

Negara sudah menjadi beban dan bala kepada warganya. Kita membesar, dan kita baru tersedar ia (negara) tiba-tiba ada; dengan sewenang-wenangnya menjarah warganya.

Banyak persoalan pokok atau fundamental yang harus kita persoalkan dan ungkitkan kembali -- berkali-kali. Selain negara, misalnya, kita boleh bertanya "apa perlu perkahwinan (atau, keluarga)?", "untuk apa kodifikasi undang-undang?", "kenapa bahasa itu selalu berbohong?" atau "benarkah orang gila itu gila?"

Biar kita kembali menjadi anak-anak dengan akal yang mentah (innocent) untuk menyemak dasar-dasar yang enggan dipersoalkan orang kebanyakan; mungkin langkah ini (mempertikaikan) sejajar dengan fikiran (kita) yang kreatif, rasional dan kritis.

Seumpama Isaac Newton bertanya kenapa epal jatuh ke bawah (walau semua orang sedar semua buah jatuh ke bawah!). Dia melihat buah itu jatuh di tamannya di Woolsthorpe pada 1666. Kita tahu, akhirnya, Newton tidak bertanya soalan "bodoh" tetapi membangkitkan penemuan sains yang sangat mustahak dan mendasar.

Negara, syaitan apakah yang dinamakan negara itu? Bagi seorang pemikir, negara itu "kejahatan yang tidak terelakkan; jadi kuasa negara tidak seharusnya dipertingkatkan lagi" sehingga membuncit dan menindih kita bersama.

"The state is a necessary evil: its powers are not to be multiplied beyond what is necessary," kata Karl R Popper, pendukung aliran liberalisme, dalam sebuah bu
kunya (saya baca artikel dalam koleksi terbitan Yayasan Friedrich Naumann).

Ini catatan awal saya selepas merenung kembali beberapa buku tentang negara, misalnya karangan prof Joseph R Strayer On the Medieval Origins of the Modern State (1973), catatan John Greville Agard Pocock (1978) dalam pengenalannya kepada teks Edmund Burke Reflections on the Revolution in France dan juga perbahasan James M Buchanan dalam The Limits of Liberty: Between anarchy and Leviathan (1975)

Kedua-dua karya Burke dan Buchanan ada dalam edisi Internet seperti pautan (links) yang saya sediakan ini. Sila rujuk untuk idea yang rinci.

Teman diskusi saya di AstoraJabat.com bertanya soalan klasik tentang "kebebasan bersuara" (freedom of speech) dengan "kebebasan selepas berbicara" (freedom after speech); seperti pemikir dan aktivis membezakan "rule of law" (keluhuran undang-undang atau negara yang mendaulatkan undang-undang adil) dengan "rule by law" (undang-undang tidak adil yang dibebankan ke tengkuk rakyat).

Daripada mengulang pandangan klise yang sudah biasa didengar dan dijawab, saya menyebut (dalam forum siber tersebut) persoalan "kuasa negara" yang berlebihan kuasa, kawalan dan birokrasinya.

Demokrasi dan liberalisme berdepan dengan kemelut ini, dilema kuasa negara yang semakin membesar, canggih, ketat dan sendat kawalannya yang (ada waktunya) mengecewakan.

Misalnya kita baca karya profesor komunikasi politik terkenal Murray Edelman The Politics of Misinformation (2004), kita akan dapat rasakan betapa tebalnya rasa kecewa dan lemah Edelman mengungkap kehebatan negara (kuasa elit memerintah atas nama "majoriti rakyat") membelenggu kita semua.

Ya, tidaklah baru rasa resah ini, Alexis de Tocqueville dalam Democracy in America (teks asal berbahasa Perancis) sejak awal kurun ke-19, abad liberalisme dunia Barat, sudah berjaya membongkar gejala ini --- gejala yang kemudiannya menjadi tema utama pemikir-pemikir klasik dalam aliran liberal.

John Stuart Mill, tokoh utama era itu, dalam On Liberty juga sangat menyedari kekangan "makhluk" yang kita namakan "negara". Inilah yang cuba diungkapkan Buchanan, pemenang anungerah Nobel ekonomi 1986, dalam karyanya yang saya sebutkan itu.

Teman saya EA berminat pada buku ini; ya, kita harus cuba memahami debatnya (dari perspektif hukum ekonomi atau contract) yang cuba meletakkan liberalisme dari dua perspektif, anarchy (sebagai cabang falsafah politik) dengan Leviathan (budaya kekangan).

Tidak sempat lagi menghabiskan Buchanan dan Burke, di sini saya turunkan dulu beberapa catatan Strayer dalam
On the Medieval Origins of the Modern State:

The fact that there was such a strong emphasis on law at the beginning of Western European states was to have a profound influence on their future development. The state was based on law and existed to enforce law. The ruler was bound morally (and often politically) by the law, and European law was not merely criminal law, as was that of many other regions; it regulated family and business relationships, and the possession and the use of property.

In no other political system was law so important; in no other society were lawyers to play such an important role. European states did not always attain their ideal of being primarily law-states, but that this was their ideal was an important factor in gaining the loyalty and support of their subjects. (muka surat 23-24; huruf condong oleh saya -- FAO)

Tetapi yang lebih menarik, kutipan-kutipan berikut, bagaimana undang-undang diperkudakan: Nevertheless, rulers gradually began to see that [the administration of] justice was something more than a source of revenue. It was a way of asserting the authority and increasing the power of the king or greater lords. Therefore, the ablest rulers tried to increase the number of cases that came to their courts. (halaman 29
; huruf condong oleh saya -- FAO)

Diulang lagi pada halaman 39: Yet justice was a source of revenue and a sign of power; it was to the king's advantage to have as many cases heard by his court as possible.

Inilah dilema semua sistem politik -- kemelut negara (atau elit yang tercokol di atas takhtanya), sama ada dalam sistem demokrasi yang liberal dan memperjuangkan hak asasi manusia; apatah lagi sistem autoritarianisme seperti yang dialami sendiri Czeslaw Milosz (1953) dan Milan Kundera (1970).

Sebab itu, kita harus mempermasalahkan kembali, mengungkit-ungkitkan semula, kecelakaan negara! Mahu? Sanggup?

(dikemas kini 18 Januari 2006, 9:35pm)

6 comments:

Anonymous said...

Malas hendak kemas kini, halaman2 56-57 dan 108-109 serta 111 juga menjelaskan lebih menarik betapa kuatnya entiti yang kita sebut negara faomar@yahoo.com

Anonymous said...

Siapa sebenarnya yang mewarisi undang-undang negara? Dan para pewaris juga malas untuk berfikir dengan undang-undang yang sedia ada? Biarkan ia berlalu selagi tiada bantahan yang kuat.

Anonymous said...

Mat Arau, beginilah cara "negara" berperanan, "menina-bobokkan" rakyatnya sehingga tidak muncul bantahan yang kuat.

Dalam sejarah Eropah, evolusi negara menjadi satu keperluan perundangan (untuk beri kesejahteraan hidup dan perlindungan harta) kepada alat untuk mengayakan elit pemerintah(waktu itu, Raja) dan kaum kerabat mereka.

Kemudian muncul idea "Negara" sebagai "hak Ketuhanan" (divine right) yang diutuskan ke atas Raja-raja agar rakyat tidak melawan.

Akhirnya muncul patriotisme sebagai "nilai mulia" di kalangan warga dan, paling akhir (menjelang abad ke-18 dan 19), mencipta semangat nasionalisme.

Ia merebak ke serata dunia (termasuk dunia Islam & membangun) dalam perjuangan menentang kuasa-kuasa penjajahan pada awal abad ke-20.

Demikianlah analisa Joseph R Strayer yang saya sebutkan di atas

Negara, Mat Arau. Negara! faomar@yahoo.com

Anonymous said...

Andainya Fathi memiliki Negara, apa impian yang ingin dilaksanakan?

fathi aris omar said...

Hehehe Mat Arau! Tidak perlu andaian lagi, memang kita sudah ada "Negara" tetapi sebagai warga atau peserta.

Cuma "Negara" (baca: elit berkuasa) tidak membuka ruang yang jelas, selesa dan terbuka untuk penyertaan warga (seperti saya).

Misalnya, kerjaya saya sebagai wartawan (dan semua wartawan sedar, termasuk anggota NUJ atau National Union of Journalists atau wartawan arus perdana) sangat terbatas ruangnya.

KDN sering mengganggu kami, misalnya yang terbaru ugutan kementerian ini untuk menarik balik lesen penerbitan (PP) akhbar China Press.

Akibatnya, dua pemimpin kanan akhbar ini dipecat atau dibuang (kononnya demi menyelamat PP akhbar ini!).

Apa jenis Negara ini?

Hal ini telah diadukan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) pada Jumaat minggu lepas. Saya hadir di perhimpunan tersebut sebagai aktivis media.

Begitu juga beberapa akhbar yang lain -- saya baru sahaja mendapat khabar dari seorang wartawan politik terkenal (enggan saya sebutkan nama di sini) tentang gangguan yang dikenakan oleh KDN pada tabloidnya.

Khabarnya, ada hubungan dengan aduan (mengada-ngada!) orang-orang yang dekat dengan tokoh No 2 di negara ini!

Beliau cemas kerana tidak lama lagi PP akan tamat tempohnya! Bagaimana kita mahu "cari makan" jika kita (wartawan) sewenang-wenangnya diperlakukan?!?

Permit penerbitan akhbar parti Keadilan, misalnya, sampai sekarang belum diberikan permit walau ini wujud dengan sah, pernah menyertai pilihan raya umum, dan malah ada wakil di Dewan Rakyat! Bagaimana PP ini dipersulitkan atau diperlambat-lambatkan?

Begitu juga pendaftaran organisasi-organisasi sukarela. Hampir semua NGO yang aktif dan lantang ini menggunakan Pendaftar Syarikat (RoC) atau Pendaftar Perniagaan (RoB) kerana Pendaftar Pertubuhan (RoS) enggan, menyulitkan atau memperlambatkan proses pendaftaran!!!

Jadi, Negara seperti inilah yang saya sebutkan di atas sebagai "syaitan" atau dalam bahasa Karl R Popper "necessary evil".

Hari ini, siapa yang lahir tanpa negara?

fathi aris omar said...

Oh ya Mat Arau, isu Negara dan manusia sedang dibicarakan oleh dua sarjana besar dunia, misalnya profesor dari Universiti Yale, Seyla Benhabib dalam The Rights of Others: Aliens, Residents and Citizens (2004) dan juga gurunya Jurgen Habermas, The Inclusion of the Other: Studies in Political Theory
(2000)

Buku pertama, ini pautannya:
http://jrs.oxfordjournals.org/cgi/content/citation/18/2/235

Buku kedua, pautannya:
http://mitpress.mit.edu/catalog/item/default.asp?ttype=2&tid=3280

Saya ada kedua-dua buku ini, nanti (bila senang2) saya ulas pula buku ini