Thursday, February 09, 2006

Korupsi

Teman saya, Ahmad Lutfi Othman, melalui SMS mengucapkan "selamat kembali bertugas" pada hari pertama saya menjejakkan kaki secara rasmi di kantor koran web Mstar Online di Menara Star beberapa hari lalu.

Saya memulangkan ucapan "selamat maju jaya" untuk teman baik ini sebagai pelantikan kembali ke jawatan lamanya, jawatan yang disandang sewaktu saya mula-mula berkenalan dan berjinak-jinak dalam dunia kewartawanan Melayu selepas dunia kampus.

Hari ini, apabila kita menjenguk daerah kenangan, masa telah meninggalkan suka-duka yang panjang. Hari ini, apabila kita cuba merenung ke depan, tiada siapa yang dapat menduga dengan pasti. Menariknya (atau, celakanya?) manusia kerana perkara ini -- the future is full of uncertainty.

[ii]

Perjalanan waktu mendewasakan kita dan sekali gus mengkorupsikan kita. Seburuk-buruk manusia bermula pada ketidaksediaannya untuk menerima hakikat bahawa pengalaman bukan sahaja bertambah kaya, sewaktu kita semakin dewasa atau mendewasa, tetapi kekayaan pengalaman datang bersama korupsinya.

"Hanya anak muda yang boleh mengubah sejarah," khutbah Hishamuddin Rais kepada kami suatu hari di sebuah kedai mamak di Bangsar Utama. "Orang tua telah memikul beban sejarah."

Semua orang korup, akuilah sahaja, sewaktu mendaki puncak usia. Idealisme, atau sebut sahaja angan-angan atau lebih indah "cita-cita", akan mulai pudar bersama belitan beban, tanggungjawab dan ruang gerak.

Dan -- dalam ramai-ramai manusia yang korup -- manusia yang paling korup, dan sekali gus muflis, adalah manusia yang setiap hari membaca akhbar harian dan majalah di negara ini! Atau, seseorang yang mendiami lubuk politik nasional atau aktivisme NGO.

Pejabat, rumah tangga, media, masjid dan masyarakat -- ini semua institusi-institusi yang korup, dan sekali gus bankrupt tetapi kita namakannya simbol kesedaran, kerjaya, kebijaksanaan dan kematangan.

[iii]

Korupsi dan kemuflisan teragung tetap juga pada pemikiran dan bahasa. Tetapi siapakah yang menyedari hal ini? Siapa pula yang mahu berterus-terang? Dan, bagaimana kita berdepan dengan gejala ini? Haruskah kita serius menanganinya?

[iv]

Saya sendiri pernah menjadi 'korban' kepada proses korupsi ini – setelah lama tidak menulis kepada akhbar Utusan Malaysia (1996) dan Berita Harian (1992-93). Sewaktu saya cuba menulis kembali kepada mereka, antaranya artikel 'Ruang awam untuk sasterawan'** (Mingguan Malaysia, 8 Jun 2003), saya terpaksa mengedit hampir 10 kali (sejenis swa-saringan atau self-censorship) agar serasi dengan bahasa dan gaya akhbar tersebut!

Barulah saya sedar bahawa bahasa saya telah beranjak daripada 'bahasa (dan pemikiran) arus perdana' akhbar harian (awal 1990 hingga pra-Gerakan Reformasi) kepada 'bahasa politik baru' (yang cukup bebas dan anjal – juga sarat 'emosi') era laman-laman web Reformasi (1998-2000).

Bahasa laman web ini, kemudiannya, menjadi beban pula sehingga saya meninggalkan Malaysiakini.com (akhir 2001) dan mula menulis untuk kolum saya 'Tiada Noktah' ini (mulai pertengahan 2002 hingga September 2005). Kolum yang menghadiahkan saya sejumlah pengalaman dan sebuah buku, Patah Balek: Catatan terpenting reformasi.

Sewaktu bertugas dengan Malaysiakini.com (2000), saya pernah mengkritik bentuk-bentuk wacana dan kualiti hujah laman-laman web reformasi, Harakah dan Utusan Malaysia (khususnya 1998-2000) kerana memaparkan sejenis 'budaya dan bahasa politik' yang buruk dan tidak mencerahkan akal.

** Malangnya, artikel ini terpilih untuk disenarai-pendekkan (dicalonkan) bagi kategori "rencana sastera" Anugerah Sastera Utusan-Exxon 2003

[v]

Bahasa dominan ini rupa-rupanya menyimpan 'kejahatan', atau 'keganasan simbolik', tersendiri seperti saya alami dalam fasa-fasa tertentu, misalnya lebih 10 tahun dalam gerakan pelajar dakwah (mulai 1983). Bahasa di sini bukan ayat dan karangan tetapi 'wacana', pemikiran atau 'paradigma' kumpulan. Kumpulan-kumpulan sosial (atau 'medan' dalam teori Pierre Bourdieu, misalnya Language and Symbolic Power) sentiasa melakukan kejahatan ini, rupa-rupanya!

Tidaklah menghairankan apabila forum awam dan diskusi kita, termasuk di kalangan aktivis, jarang mahu disertai peserta-pesertanya. Begitu juga surat pembaca untuk penerbitan Melayu (yang pernah saya sertai). Rupa-rupanya ada proses 'menggagapkan' orang ramai akibat penggunaan wacana yang tidak demokratik yang sudah terlalu jauh berkembang dalam masyarakat kita.

Pandangan orang ramai dianggap tidak perlu dirujuk dan akibatnya masyarakat mematikan keghairahan bersuara.

Jika ada, mereka terperangkap pula dalam bahasa-bahasa politik hentaman (seperti mereka kenali dalam akhbar pembangkang dan ceramah politik).

Orang ramai terlalu daif untuk menentang 'bahasa buruk' yang sedia ada dalam budaya politik kita, manakala aktivis politik (termasuk cerdik pandainya) gagal memperkasakan kita semua ke arah memantapkan 'bahasa baru' politik antikerajaan.

[vi]

Bahasa? Binatang apakah yang kita namakan "bahasa"? Dan, ... kenapa bahasa, semua bahasa, dicipta untuk berbohong?***

*** Maaf! Semua ini pertanyaan filsafat yang menuntut jawapan falsafah dan mengheret kita (semua?) dalam tindak reformasi bahasa dan pemikiran (media harian arus perdana, khususnya). Seorang yang korup akan berhenti di sini -- di ruang penulis bermain dengan bahasa dan berbohong antara satu sama lain :(

11 comments:

Anonymous said...

Fathi,

All the best wishes for the new job. Semoga Allah mengurniakan rezeki yang melimpah-limpah!!

ventti.

Anonymous said...

Terima kasih, Ventti :)

Unknown said...

lagi lama saya tinggalkan zaman universiti, lagi hilang idelialisme dan semangat yang dulu..

selamat berjuang di kerusi baru...

Anonymous said...

Terima kasih kerana meletakkan pautan (link) Mstar Online di blog Sdr.

Sufian said...

(i) "Re: Perjalanan waktu mendewasakan ...sekaligus mengkorupsikan kita."

Wittgenstein musykil mengapa G.E. Moore dipuji kerana memiliki 'childlike innocence'. Apakah itu satu pujian, tanya W, kerana 'innocence' (kesucian?) yang dimilik anak-anak itu 'innocence' yang tidak pernah diuji.

Sdr lihat pengalaman sbg korupsi, tapi manusia spt W melihatnya sebagai ujian, di mana kita perlu memilih (seperti kata Dumbeldore kpd Harry Potter) antara yang mudah dan yang betul.

(ii) "Re: ...paling korup/muflis, etc etc"

Saya tak faham. Apa korupnya pembaca akhbar harian/majalah? Ya, ada yang membaca dan menelan bulat-bulat apa yang secara konvensinya literal tapi dalam sebutir beras pun sang pemikir zen boleh mencari beribu kebijaksanaan. Barthes, misalnya merungkai apa yang epik dalam gusti, dalam iklan, dalam mundanity kehidupan.

Foucault berkata, kritikan yang bersifat hukuman membuat aku mengantuk. Aku mimpikan kritikan yang memberi nafas pada idea, menyalakan api. Kritikan yang menjadi menjadi alis kilat taufan yang datang! Lebih bagus lagi kalau semua ini dicipta [dari sesuatu yang tak wujud].

Anonymous said...

Sufian Abas tulis: Foucault berkata, kritikan yang bersifat hukuman membuat aku mengantuk. Aku mimpikan kritikan yang memberi nafas pada idea, menyalakan api. Kritikan yang menjadi menjadi alis kilat taufan yang datang! Lebih bagus lagi kalau semua ini dicipta [dari sesuatu yang tak wujud].

Fathi Aris Omar tulis: Korupsi dan kemuflisan teragung tetap juga pada pemikiran dan bahasa. Tetapi siapakah yang menyedari hal ini? Siapa pula yang mahu berterus-terang? Dan, bagaimana kita berdepan dengan gejala ini? Haruskah kita serius menanganinya?

Dan ... seterusnya, dan seterusnya... seperti pada [iv], [v] dan [vi]

Clarissa Lee said...

Merujuk pada perkara (v) dan (vi);
Idea terkecil boleh terkandung dalam morpheme, sebutan terkecil (atau mungkin pra-sebutan?) terkandung dalam phoneme.

Saussure dan anak2 Strukturalist berkata...adakah bahasa dapat muncul sebelum munculnya satu imejan yg terapung dlm serebum (maaf, I buat 'paraphrase' secara bebas). Atau mungkinkan bahasa memberikan inspirasi untuk sesuatu imejan.

Wittgenstein juga ada menanyakan soalan ini dalam satu aksiom dia ( dalam buku terakhir terbitan posthumous)

Kitab Injil mengata bahawa Adam menamakan kehidupan2 dan objek2 sekitarnya. Tapi kita tidak tahu bilakah Adam boleh berkata2. Dan dalam bahasa sepertimana sekrg ke apa?

Bagi saya, bahasa boleh mengikat dan mengelirukan. Permainan bahasa merupakan lumrah cendekiawan dan sasterawan. Tetapi sayangnya, ada yg terpenjara dengan permainan bahasa sendiri, dan hilang inti idea yg disampaikan.

Adakah kemudahan menyampai idea di dalam sesuatu bahasa itu memerikan bahasa yg fleksibel dan maju?

Sekarang terdapat perdebatan hebat mengenai ini dalam dunia linguistik kognitif. Sila pergi ke wikipaedia untuk keterangan dan capaian2 lanjut.

Maaf, teori i makin karat makin lama i tinggalkan menara gading. :D

Salam

Sufian said...

FAO,

Cuba sdr consider, kalau kita bertanya tentang 'keikhlasan' bahasa, dan menghukum ia sebagai 'muflis dan korup' bukankah akhirnya kerja itu sia-sia, kerana untuk melakukan kerja itu (yakni menghukum) kita menggunakan bahasa juga (yang muflis dan korup!) - atau apakah ada golongan istimewa yang bahasanya suci murni?)

Apa nilai kritikan kita akhirnya?

Anonymous said...

Sufian, mungkinkah catatan awal saya ini boleh membantu?

http://patahbalek.blogspot.com/2005/12/tarian-teks.html (Tarian teks, 4 Disember 2005)

faomar@yahoo.com

Anonymous said...

Oh ya Sufian, di akhir catatan saya ini, telah tercatat:

"Seorang yang korup akan berhenti di sini -- di ruang penulis bermain dengan bahasa dan berbohong antara satu sama lain"

Jadi, tanyalah diri masing-masing penulis, sama wartawan atau penulis kreatif, apakah dia (diri kita) korup atau tidak?

- Fathi Aris Omar, faomar@yahoo.com

Anonymous said...

'Sebelum meninggal, Italo Calvino menulis buku tipis Six Memos for the New Millenium. Ia menurunkan kepada penulis generasi penerus enam hal penting tentang penulisan, elemen-elemen pembangun sebuah karya sastra. Dia membicarakan tentang lightness, ringan yang membebaskan tapi berbobot, dengan mengutip Paul Valery, "One should be light like a bird, and not like a feather."...'

Baca Lagi