Wednesday, February 08, 2006

Lutfi

Catatan pertama teman saya selepas memimpin Harakah, sila lihat di sini. Sementara teks di bawah diterbitkan kembali, selepas sedikit perubahan kecil, daripada catatan pendek teman saya Zulkifli Sulong:

Penulis politik Ahmad Lutfi Othman memulakan tugasnya sebagai pemimpin baru akhbar Harakah mulai 3 Februari bagi menggantikan Suhaimi Mokhtar yang tamat kontraknya.

Harakah yang bakal berada di pasaran esok adalah hasil kerjanya yang pertama sebagai ketua pengarang.

Lutfi, nama yang dikenali di kalangan rakan-rakannya, sebelum ini menjawat pengarang sebuah akhbar dwi-bulanan propembangkang, Siasah.

Sebelum ini pengerusi Harakah, Mustafa Ali memaklumkan Lutfi dilantik kepada jawatan itu selepas Suhaimi melepaskan jawatan apabila kontraknya tamat.

Sekitar 1992, Lutfi pernah menjadi pengarang Kumpulan Harakah menggantikan Zin Mahmud yang menyertai akhbar harian Watan, yang diaktifkan semula ketika itu, selepas diharamkan pada 1987.

Bagaimanapun beliau dapat bertahan kira-kira enam bulan sahaja kerana terpaksa berhenti ekoran beberapa masalah dalaman akhbar rasmi PAS ketika itu. Jawatan ini diambil alih oleh Taufek Yahya.

Selain bertugas dengan Harakah, Lutfi pernah menjadi pengarang majalah-majalah politik Tamadun dan Dunia Islam.

Jualan Tamadun mencapai edaran tertinggi sehingga dicetak lebih 150,000 naskhah pada penghujung 1998 apabila memuncaknya isu Anwar Ibrahim.

Lutfi juga pernah menjadi pengarang akhbar mingguan Cabaran dan beberapa majalah lain termasuk Detik dan Wasilah -- masing-masing diharamkan oleh Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KKDN) pada 1999 dan 2000.

Bagaimanapun, Lutfi lebih terkenal dengan buku-buku politiknya; paling popular Anwar Lawan Ghafar dan Mufti Lawan Mahathir sehingga diulang cetak beberapa kali.

Teks asal oleh Zulkifli Sulong (Harakahdaily.net, 8 Februari 2006). Diubah suai oleh Fathi Aris Omar untuk penerbitan di blog ini.

2 comments:

Unknown said...

bagai sirih pulang ke gagang. hampir semua buku Lutfi saya miliki. Terasa mahu mengulang baca buku beliau..

Anonymous said...

Ulang baca? hahaha...