Pada awalnya saya berniat mengulas bab-bab 6 'The significance of the Reformasi movement' dan 8 'Conclusion: Insights, implications and extensions' dalam buku Meredith Weiss, Protest and Possibilities.
Ya, sebagai memenuhi janji saya untuk menyambung diskusi bawah tajuk 'Reformasi' (2 Februari) di blog ini.
Tetapi tiba-tiba saya terkesan dengan pesanan ringkas (SMS) dua teman, seorang bertugas di sebuah akhbar harian utama dan seorang lagi dari luar negara. Kedua-duanya bercerita hal yang berdekatan -- anak muda, diskusi dan penyediaan struktur.
Biarlah saya berterus-terang sedikit di sini bahawa kerja sukarela anak muda memang memerlukan fokus, kerjasama erat, stamina dan idealisme yang padu. Struktur memang diperlukan.
Tetapi ada "keganjilan" dalam dunia aktivisme, sama ada parti politik, gerakan siswa Islam (cabang gerakan Islam seperti JIM atau Abim), badan bukan kerajaan (NGO) atau perkumpulan lain anak muda.
Saya mujur dapat mengamati gejala ini agak lama, 20 tahun, dan merentas era-era ketegangan politik dan ragam-ragam kelompok yang panjang, bermula daripada pejabat Aliran Kesedaran Negara (Aliran) yang sepi kecuali dipenuhi orang tua kepada 'Universiti Bangsar Utama' (UBU) yang kemudaannya terlalu rancak atau Open Dialogue Center (ODC) yang setahun jagung.
Saya menghidu gerak-gerak anak muda Islam, Cina, kampus, NGO, orang seni dan kelompok media (kecil). Saya menghidu keganjilan itu.
Keganjilan tersebut bermula pada tipisnya semangat kesukarelaan (volunteerism) untuk berdikari sendiri tetapi mampu memberi dampak kepada masyarakat.
Kesukarelaan menjadi "paradoks" apabila sering dikaitkan dan diterjemahkan dalam struktur, sama ada separuh rasmi atau rasmi. Kononnya, harus ada wang, harus ada organisasi dan pejabat serta kelengkapannya, harus ada penaung (patron) atau penyumbang dana (funder), harus ada ruang fizikal (pentas atau bilik) -- barulah anak muda berjaya melancarkan gerakan idealisme mereka!
Bohong! Bohong! Sudah terlalu banyak struktur dibangunkan untuk kerja-kerja ini tetapi semuanya gagal berkembang, gagal dikembangkan, malah gagal dimanfaatkan. Malah, kepada organisasi besar seperti gerakan Islam, atau persatuan belia dan Umno, menjadi mala petaka besar. Lihat dua ulasan saya di sini.
Kami, teman-teman dan saya dalam kelompok Komunite Seni Jalan Telawi (KsJT), pernah 'bekerjasama' dengan beberapa penulis yang dekat dengan Persatuan Penulis Nasional dulu (2004) tetapi Rumah PENA menjadi 'barang mati' yang digentayangi oleh hantu-hantu atau orang tua-tua (termasuk yang muda-muda) yang telah kering sumur idea dan idealisme mereka.
Yang "kerancakan berfikir" mereka (pinjam ungkapan Nakhaie Ahmad di koran Harakah 1988 sebelum tokoh ini meninggalkan parti tersebut) sudah sinonim dengan melancap bini! Yakni, syok sendiri dan bergegas-gegas mengisi waktu dan ruang kerana struktur yang besar akhirnya menuntut pengisian.
Persoalan saya, kenapa kita bergegas-gegas mengisi ruang yang dibentangkan oleh struktur, seperti jadi "pahat dengan penukul" atau "selepas terantuk, baru tengadah"; bukankah asal-asalnya struktur, awal-awalnya, dibentuk untuk menampung idealisme yang besar?
Kini seorang teman, lewat SMS-nya itu, mengundang kami (termasuk anak-anak muda lain) memanfaatkan sebuah ruang di sebuah badan kerajaan. Katanya, seorang tokoh penulis mengundang anak-anak muda berdiskusi.
Ya, saya sentiasa alu-alukan peluang dan ruang seumpama ini. Tidak pernah teman-teman KsJT dan saya enggan bekerjasama dengan pihak-pihak lain, sama ada agensi luar negara, kelompok kecil, tokoh muda, agensi kerajaan atau media (sama ada arus sisi atau arus perdana).
Tetapi cuba kita (semua kita) merenung lebih jauh dan mendalam. Idealisme dan aktivisme anak muda -- khususnya jenis manusia yang berurusan dengan 'idea' -- sebenarnya bermula dengan apa?
Struktur, wang dan ruang fizikal yang menjadi pokok pangkal daya gerak anak muda? Atau, semangat yang tebal untuk berfikir, merenung, berbuat sesuatu untuk menyumbang kepada masyarakat? Stamina yang luar biasa untuk mengharung beban manis idealisme? Atau apa?
Tolonglah, jangan berbohong dengan saya dalam soal ini. Setiap struktur, organisasi atau 'institusi' sosial ada bentuk-bentuk kekangannya.
Ini semua sebagai 'wahana' (kalau tidak mahu disebut 'alat' atau 'jalan') menyempurnakan idealisme. Ia bukan tujuan dan bukan medan pencetus idea, bukan pembakar idealisme! Semua ini, baik yang dekat dengan pemerintah atau NGO, sebetulnya ruang buat duit tetapi berselindung di sebalik nama 'perjuangan' atau 'idea' atau 'idealisme'!
Tidak perlu bertopeng dengan mendung kata-kata. Supaya besok pagi, apabila mata terbuka, dan mulut anak menganga, ada secawan susu dan sekeping roti untuk sarapan.
Maksud saya, kenapa kita harus terbelit dan dibelit dunia paid voluteerism (kesukarelaan berbayar) atau salaried activism (aktivisme bergaji)? Yang mana lebih mustahak, asal-asalnya, kesukarelaan atau bayarannya?
Kalau kita tidak cermat, akhirnya tanpa bayaran, kita tidak akan bergerak; malah celaka lagi, dengan gaji sekali pun, kita gagal menghidupkan ruh aktivisme. Struktur akhirnya menjadi matlamat -- matlamat akhir, atau matlamat peribadi semata-mata, bagi orang yang mengepalai struktur.
Ya, tidaklah salah struktur, dana asing, penaung, organisasi dan ruang fizikal. Tetapi jangan sekali-kali kita kelam-kabutkan persoalan idea dan idealisme dengan 'wahana' idea dan idealisme.
Jangan kita kabur melihat medan idea bergolak dan bergejolak; medan pertarungan idea. Apakah pokok pangkal persoalan masyarakat kita sendiri?
Pada bab 'Cinta anak muda', buku Patah Balek: Catatan terpenting reformasi (muka surat 46-49), saya telah bahaskan keupayaan (dan tidak keupayaan) anak muda untuk serius berwacana (wacana dengan erti "diskusi serius yang penuh keresahan idea"; beban idealisme yang difikir berulang-ulang secara jujur, luas dan authentic).
Kita menulis bukan kerana ada media (atau memiliki dua tangan)! Kita menulis kerana ada keghairahan berkongsi pandangan. Kita mencari dan mencipta media kerana keghairahan ini, apabila ada keinginan tebal untuk menyampaikan idealisme. Biar ditarik permit, biar perundangan melarang, biar pun tidak berbayar, walau tanpa pengiktirafan, kalau mahu kita teruskan juga menulis!
Kita berdemonstrasi bukan kerana keseronokan di tengah-tengah orang ramai. Kita berdemonstrasi kerana ia, kita anggap, satu proses halal dalam berpolitik, legitimate political process, untuk menyampaikan idealisme. Biar dipandang salah oleh aparatus negara, oleh undang-undang, biar si pengecut tidak hadir, tetapi kita tetap melawan.
Aktivisme, atau sebelumnya idealisme, bukan ritual orang-orang suci, holier than thou, untuk memuaskan sejenis upacara manusia ganjil yang kadang-kadang perasan sebagai 'makhluk terpilih', selected few, daripada cebisan masyarakatnya!?!
Bab 'Kemelut media' dalam buku yang sama (halaman 98-101), saya mempertikaikan konsep dan jeritan kebebasan akhbar yang dilaung-laungkan kita bersama. Kebebasan ini datangnya kerana kita ghairah bersuara (melalui teks, imej) atau kerana adanya ruang yang bebas daripada tekanan (kerajaan)?
Jawapan saya, selepas meninjau beberapa perkembangan di negara lain dalam tempoh-tempoh sejarah tertentu, kita tidak harus menunggu-nunggu ruang seperti menadah tangan mengharapkan jatuhnya al-manna wa salwa, Imam Mahdi atau Ratu Adil! Kita mencipta imam mahdi, pemimpin yang diberi petunjuk, kita sendiri.
Kritik saya: kenapa aktivis sendiri (maksud saya, aktivis yang beriya-iya melawan kerajaan dan ingin mencipta sosok negara menurut model kegemaran mereka) tidak rancak menulis, tidak ghairah membaca dan mendiskusikan buku (atau, idea-idea); tidak tajam analisanya tetapi hanya sekadar menyalak-nyalak tentang halangan-halangan yang diciptakan kerajaan?
Selepas memerhatikan gerakan budaya, intelektual dan politik di serata dunia di sepanjang zaman; sama ada era Renaissance Itali atau kelompok Barranquilla-nya si Marquez (Gabriel Garcia); sama ada era Pencerahan Eropah atau gerakan pan-Islamisme Abduh dan Al-Manar; sama ada Al-Imam-nya Syed Syeikh Alhadi atau kelompok anak muda Mohamad Hatta-Sutan Sjahrir (di Eropah dan di tanah air); sama ada Komunitas Utan Kayu di Jakarta atau gerakan siswa Bangkok (menentang regim tentera).
Apakah signifikannya model-model ini?
Idea dan idealisme anak muda mesti tulen membuak-buak, mestilah lebih besar, kaya, kemas dan tebal daripada struktur, wang, pejabat, kelengkapan, ruang fizikal dan organisasi. Idea dan idealisme inilah yang menjadi dynamo atau bahan api (bukan bom, ya!) bagi menggerakkan struktur, wang, pejabat, kelengkapan, ruang fizikal dan organisasi; bukan sebaliknya.
Perubahan, atau sebuat sahaja reformasi, bukan kerja mengurus alat atau benda mati; ini kerja mengurus manusia, mengendalikan ragam pluralisme ego dan kepedulian masing-masing. Jangan mudah memperkudakan orang, seolah-olah mereka ini sejenis benda.
Sesiapa yang tidak bersedia dengan hukum ini (yakni: "idealisme harus lebih besar daripada format bergerak") hanya berminat dengan wang, glamor, mencari jalan pintas, orang-orang (di sawah) yang nampak hebat tetapi ... (sudahnya) sejarah yang akhirnya menentukan.
Idealisme menentukan pentas; bukan sebaliknya. Malah, tanpa pentas, idealisme menciptakan pentas baru.
Idealisme boleh bebas mengalir dan mencari bentuknya sendiri -- apabila ia diempang sepadu-padunya. Manusia menjana kuasa elektrik bukan kerana adanya empangan, tetapi kerana adanya air -- sewaktu arus kecil ia kelihatan sungai mengalir lesu (macam novel Pak Samad), tetapi apabila luas menjadi tasik dan apabila lebih besar tiba-tiba bertukar bah besar!
Kita tidak hidup kerana terkeluar dari celah peha ibu kita; kita hidup kerana kita mahu terus hidup. Kita sentiasa masih ada pilihan -- untuk tidak hidup. Jika mahu hidup, kita mesti ada ghairah. Mesti ada ada mimpi, mesti ada impian yang dalam, "I have a dream," kata si Luther (dipinjam dari wacana berapi-api teman saya, Buddhi Hekayat).
Bagi sebilangan anak muda, kita hidup kerana kita yakin boleh mencipta sejarah dan mencatat nama pada ingatan manusia-manusia masa depan -- yang mungkin saat ini ibu dan bapanya belum bertemu wajah, apatah lagi bersatu tubuh.
Freedom does not begin when parents are rejected or buried; freedom dies when parents are born --- Milan Kundera, Life is Elsewhere (1990: 121)
Sunday, February 05, 2006
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
7 comments:
(i)
Sebagai reaksi kepada catatan seorang blogger, zarul20.blogspot.com, saya menulis:
Kalaulah boleh saya mencelah di sini sedikit, Zarul, saya fikir melihat gerakan pelajar di kampus dan kemudian menang-kalah dalam pilihan raya -- sampai bila-bila pun isu2 ini akan menyempitkan perspektif kita.
Saya syak (ulang: syak) pemusatan kuasa dan hirarki organisasi melembabkan dan melambatkan proses penyebaran tenaga & kreativiti anak muda (ulang: anak muda) yang seharus bergerak jauh ke luar kampus, baik semasa belajar di IPT atau selepas tamat pengajian.
Proses ini -- penggemblengan tenaga, bakat dan kreativiti anak muda -- terbantut sebab ada struktur, hirarki, pemusatan kuasa dan "wehdatul fikir" (baca juga: kelumpuhan paradigma, paradigm paralysis) di kalangan mereka sendiri.
Aktivis (mungkin juga pemimpin?) gerakan siswa (termasuk pro-Aspirasi) belum teruji bakat dan ketahanan stamina masing-masing dalam kerja-kerja kesukarelaan (voluteerism), apatah lagi aktivisme sosio-politik, kerana mereka hanya menumpang struktur gerakan dan sistem Pemayungan (patronage system) yang sedia ada.
Andaikan (ulang: andaikan), anda bergerak seorang diri atau dengan beberapa teman muda untuk memulakan (ulang: memulakan) sesuatu gerakan baru, apakah yang bakal terjadi? Terus berkembang? Atau, mati tanpa nesan? Atau, hidup segan, mati tidak mahu?
Kata John Stuart Mill (seperti saya kutip dalam buku saya Patah Balek: Catatan Terpenting Reformasi, muka surat 182-187) dengan jelas menunjukkan tingkat perbedaan itu.
Pendek kata, anak muda sekarang (termasuk gerakan siswa) tidak kreatif, mudah ikut cakap orang dan belum teruji daya tahannya.
Lebih 50 peratus teman aktivis jemaah Islam, zaman saya dulu, apabila tamat kuliah akan meninggalkan gerakan Islam!
Termasuklah pemimpin usrah, pemimpin MPP atau JPP, dan "si alim" yang berbuih-buih mulut dengan ratib dan tahlil "perjuangan Islam! perjuangan Islam! perjuangan Islam!" (sekali-sekala dengar macam penjual ais krim).
Apabila waktu berlalu, jumlah lebih 50 peratus ini saban tahun semakin meningkat.
Anda tahu berapa peratus aktivis sebenar JIM, PAS atau Abim? Banyak ramalan (dari pengalaman) menyebutkan hanya 10 peratus (daripada jumlah keahlian)!!!
Mana pergi yang lain-lain, yang 90 peratus lagi?
Terus meratibkan (dalam usrah) "perjuangan Islam! perjuangan Islam! perjuangan Islam!" (baca gaya penjual ais krim) tetapi cakap banyak, baca buku kurang, fikir tidak kreatif, kaya retorika!
Hari ini, saya syak (ulang: syak) usrah dan semua proses latihan gerakan siswa Islam telah menjadi sarang utama melembikkan dan melumpuhkan anak muda Melayu/Islam.
Ini tuduhan yang berat dari saya ... tetapi izinkan sedikit masa nanti saya membongkarkannya!
faomar@yahoo.com
(ii)
dan saya menyambung lagi dengan catatan berikut pula: ...
Maaf, sedikit penjelasan, JPP dalam teks saya di atas maksudnya Jawatankuasa Perwakilan Pelajar, majlis rasmi dan tertinggi dalam struktur pentadbiran Institut Teknologi Mara (ITM) - zaman saya dulu, 1986-87 dan 1989-91.
JPP ini sama statusnya dengan MPP di universiti-universiti lain.
Jadi, JPP di atas bukannya membawa maksud-maksud lain atau Jawatankuasa Pelajar PAS, sebuah kumpulan (jawatankuasa) yang ada hubungan dengan sistem tarbiyyah (student recruitment) parti ini atau Dewan Pemuda PAS. Harap maklum.
Zarul,
Betul yang Sdr catatkan di atas. Struktur rasmi, hirarki (dan kadang-kadang "kerahsiaan bergerak"), bai'ah, wehdatul fikr dan kedekatan kelompok siswa dengan organisasi luar (PAS, JIM, Abim atau Umno) telah menyebabkan fikiran siswa (aktivis?) terkongkong dan terjerat.
Bahaya inilah yang kurang disedari oleh ramai aktivis pelajar.
Saya mengkritik gejala ini telah lama; seperti saya catat dulu dan ramai kenalan saya tahu, sejak 1992-93 lagi, khususnya dalam tabloid Media Islam (sekarang, tidak lagi beroperasi).
Saya cuba tunjukkan bahawa ia mengundang bebannya tersendiri. Banyak kelemahan tersembunyi di sini kerana sudah gagal melahirkan ramai pemikir, penulis dan penggerak yang cemerlang.
Kalau semua gerakan siswa Islam berjaya melahirkan pemikir dan penulis, tentulah kita dapat baca banyak penulisan yang membahaskan persoalan-persoalan ini dengan baik, mendalam, bernas dan tajam (sharp).
Tetapi kenapa hal ini (penulisan dan penerbitan bermutu) gagal dihasilkan oleh gerakan-gerakan Islam?
Sebab tidak ada pemikiran yang luas dan mendalam! Fikiran yang mencakupi cabang-cabang kehidupan yang sepadan dengan idealisme "Islam suatu cara hidup" atau matlamat membangunkan "Negara Islam".
Sebab apa lahir gejala ini?
Sebab (satu daripada beberapa faktor) usrah dan indoktrinasi ini berhasrat untuk "mengepung" pemikiran siswa dan orang muda, tujuannya untuk melahirkan pengikut-pengikut yang sederhana mindanya (mediocre followers), bukan insan kamil yang cemerlang.
Usrah bertujuan melimpahkan banjiran doktrin-doktrin dan dogma-dogma ke dalam kawah minda anak muda. Biar anak muda lemas terkapai-kapai dan tidak mampu lagi membebaskan diri mereka untuk berfikir secara kreatif, kritis dan sintesis.
Dalam kajian Marxisme, Louis Althusser menyebutkan gejala ini sebagai sejenis "hegemoni" (idea yang dibangunkan oleh Antonio Gramsci, pemikir Marxisme Itali) dengan konsep "ideological state apparatuses" atau ISA.
Althusser, pemikir Perancis aliran kiri, menyatakan sesebuah negara itu harus terus hidup dan bernafas; caranya ... negara menyebarkan ideologi (media massa, pendidikan, sistem-sistem nilai, agama dan budaya) agar dapat mengepung pemikiran massa.
Kemudian, muncul pula RSA (repressive state apparatuses) sebagai mengekangkan lagi ISA yang telah diterapkan lebih awal.
Gerakan Islam sama juga -- menyebarkan ideologi Islamisme atau fundamentalisme agama.
Cara bergerak dan pembersihan fikiran (brain-washing) gerakan-gerakan Islam dan Umno tidak ubah kaedah kempen komunisme juga!
Bahaya ... kita mesti bongkar dan lawan!
Fathi,
membaca tulisan anda ini saya teringat satu komen atau kritik seorang siswa terhadap Aqil Fithri dalam enak sembangnya... satu jalur pemikiran yg saya pasti adalah hasil indoktrinasi lewat usrah. Indoktrinasi yg jika menurut Chomsky akan menjadikan seseorang itu terus berkutat dalam orthodoksi. Cara-pandang-tak-lebih- sehastanya membuat saya rasa geram sekaligus sayu. `Rebel without a cause' jauh lebih berwibawa drp jenis aktivisme cara-pandang-tak-lebih-sehasta itu.
JISUN
Aku menemukan belang Ketua Menteri Jisun Si di bawah pemerintahan Raja Zhoa. Kisah ini saya baca dalam "Riwayat Hidup Konfusius."
Jisun Si; dia pernah menghalau Konfusius kepada Konfusius dilihat tidak layak masuk majlis jamuan kerajaan. Majlis itu hanya untuk orang kenamaan, jemputan khas dan raja-raja, dan kerabat raja daripada negeri-negeri berdekatan. Di hadapan pintu, Jisun mentertawakan Konfusius; menghalau dia pulang. Apakah yang difikirkan Konfusius ketika dia melangkah, dan ketika sampai di rumah, apa yang perlu dia ceritakan kepada si isteri yang tadi menyiap-nyiapkan bawa cantik dan bersih untuknya? Kita tidak tahu.
Tapi, berselang beberapa tahun selepas itu, apabila Konfusius mempunyai ramai anak murib dan berjaya menjadi Menteri Keadilan, Jisun datang kepada Konfusius dan meminta mana-mana anak murid itu untuk bekerja dengannya. Keliru. Memang. Tapi, lelaki mulia itu memberikan dua anak muridnya yang terbaik kepada Jisun. Jisun, dia menggunakan wang begitu banyak untuk majlis di rumahnya. Tarian sembilan lapis, yang sepatutnya hanya untuk Raja, dia gunakan untuk dirinya sendiri. Dia juga berbangga kerana duduk di tingkat yang sangat dihormati. Lalu, ketika Negeri Lu sedang berhadapan dengan strategi dan kemungkinan diserang, Jisun menggigil. Dia tidak berani untuk melakukan tugas dan diplomasi--sehingga terpaksa mengambil Konfusius untuk mengiringi Raja Zhoa.
Sudahkah dia lupa? Konfusius yang agung, bukan ketika dia menjadi seorang menteri dan punya pengikut yang ramai dan setia--dia sudah 'bersedia' sejak dihalau daripada muka pintu, barangkali. Tidak seorang pun yang tahu itu, termasuk barangkali teman-teman di rumah Pena, DBP, Utusan Malaysia, Berita Harian--dalam struktur. Ada kalanya mereka perlu struktur, kerana sejak awal, dia tahu, dirinya sudah tiada daya. Dan tidak pernah berusaha. Bayangkankah, kalau Jisun tidak di tempat (struktur) Ketua Menteri, layaknya barangkali sama sahaja dengan pegawai penjaga ladang babi, kalau pun tidak lebih hina dari itu.
Sejarah Jisun kemudiannya dirakam sebagai manusia yang hasad, keanak-anakan, suka joli dan jejek sekali.
Hasmi Hashim,
Damansara Heights, KL.
Ya Hasmi, aku setuju sekali dengan perenggan ini (dan beberapa ayat selepasnya):
"Sudahkah dia lupa? Konfusius yang agung, bukan ketika dia menjadi seorang menteri dan punya pengikut yang ramai dan setia --- dia sudah 'bersedia' sejak dihalau daripada muka pintu, barangkali.
"Tidak seorang pun yang tahu itu, termasuk barang kali teman-teman di rumah Pena, DBP, Utusan Malaysia, Berita Harian -- [mereka yang berada] dalam struktur."
Fathi Aris Omar faomar@yahoo.com
Oh ya, tertinggal satu isi lagi, hehehe ... Ingat pesan si doktor kepada Gabriel Garcia Marquez (nasib yang pernah dialami George Orwell)
Saya kutip sedikit cerita si pemenang Nobel ini:
"Tulis Marquez lagi, doktor kenalan keluarganya itu turut menyebut, kira-kira: 'pekerjaan seni ini, yang paling misteri daripada sekian banyak misteri, menjadikan seseorang memperhambakan keseluruhan hidupnya tanpa mengharapkan apa-apa pulangan pun!' "
Untuk edisi lengkap, sila klik link
http://patahbalek.blogspot.com/2005/08/mengatasi-kuasa-cinta.html
Ramai tokoh besar datang daripada dunia yang melarat, merempat dan tidak dipedulikan.
Tetapi rasa cinta (yang mendalam), siapakah yang faham?
"Dalamnya idea untuk seorang muda harus seperti dalamnya cinta" --
Fathi Aris Omar
faomar@yahoo.com
di celah-celah buku di rak local interest di sebuah kedai buku, saya terjumpa naskhah Ide terbitan ODC.
Inilah yang saya cari. Tulisan ilmiah dan separa ilmiah dari anak muda. Kita perlu lebih banyak tulisan seperti itu. Itu lebih bermakna dari berebut kerusi dan meja.
Rebut kerusi meja, kalau ada otak dan baca buku tak per! Ni tak baca apa2 ... kerusi & meja lebih bijak daripada tukang rebut!
Post a Comment