Tuesday, February 21, 2006

Lagi?

Beberapa badan Islam yang kononnya bergabung dalam 'Mapan', bersama PAS, membuat dua laporan polis berasingan kelmarin berhubung satu karikatur yang diterbitkan di akhbar New Straits Times (20 Feb 2006).

Sewaktu melaporkan isu ini, penulis blog Jeff Ooi menerbitkan kembali kartun tersebut tetapi telah memadamkan perkataan 'Muhammad' di lakaran di bawah.




Jelas, blog yang pernah menjadi kontroversi luar biasa suatu waktu dulu, akibat satu ulasan pembaca yang tidak bertanggungjawab, tidak sanggup lagi memindahkan kontroversi NST kepada blognya pula.

Asalnya, lakaran di atas -- seperti terbitan di akhbar berbahasa Inggeris tersebut -- sebetulnya sebesar dan selengkap karikatur di bawah [sila klik di atas gambar untuk saiz lebih besar]. Ia diambil daripada laman web The Non Sequitur (juga ditunjukkan di blog Jeff Ooi)



Dalam berita Harakahdaily.net (21 Feb), NST didakwa menghina Nabi; sementara foto utama di akhbar web milik PAS ini memaparkan tiga tokoh Pemuda parti ini dengan keterangan gambar seperti berikut:

NST hina Nabi... Ketua Pemuda PAS, Salahudin Ayub bersama timbalan dan naibnya menunjukkan akhbar NST semalam (20 Februari) yang menyiarkan satu kartun yang dianggap menghina Nabi ketika umat Islam di seluruh dunia marah kepada akhbar Jerman kerana menghina Rasulullah saw melalui kartun mereka. Beliau menunjukkan keratan akhbar itu selepas membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi kira-kira jam 3 petang tadi.

Laporan akhbar web ini, antara lain, menyebut: Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa dalam kenyataanya berkata, PAS melahirkan rasa kesalnya dengan tindakan akhbar New Straits Times semalam (20 Februari) yang menyiarkan satu kartun dimuka 20 ruangan Life & Times yang boleh disifatkan menghina Nabi.

"PAS memberi amaran keras kepada NST yang menerbitkan kartun pada halaman 8 Life & Times semalam. Kartun tersebut mempunyai unsur menghina Rasul saw," kata Nasharudin dalam kenyataannya kepada Harakah.

Sementara dalam laporan agensi berita Bernama pula, selain parti pembangkang, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMs) dan Kongres India Muslim Malaysia (Kimma), yang bergabung di bawah Majlis Angkatan Permuafakatan NGO-NGO Malaysia (Mapan), membuat laporan polis masing-masing di Ibu pejabat Polis Daerah Brickfields, di sini, pada pukul 3.30 petang.

Sekarang, kita menilai sendiri -- menghina Nabi atau tidak?


+ * + * +

Sementara itu, beberapa kumpulan penting hari ini meneruskan "serangan" terhadap sikap akhbar berbahasa Inggeris milik Umno itu. Kebetulan, di halaman dua hari ini, New Straits Times menerbitkan "sikapnya" yang enggan tunduk pada tekanan-tekanan beberapa pihak, selain yang membuat laporan polis, termasuk A Kadir Jasin dan Jeff Ooi.

Sikapnya itu, menurut menteri penerangan Zainuddin Maidin petang tadi, sesuatu yang "tidak bijak". Menteri ini, juga dikenali Zam, yang terkenal dengan sikap kerasnya terhadap media menyatakan menteri-menteri kabinet bukan Islam juga tidak senang dengan penerbitan kartun di NST.

Pemuda PAS terus mendesak akhbar itu memohon maaf, laporan Harakahdaily.net hari ini dipetik.

Tidak ketinggalan Pemuda Umno. Dalam satu kenyataannya, mereka menggesa "pengarang New Straits Times memohon maaf dengan sesungguh-sungguhnya kepada umat Islam dan semua kaum di Malaysia" susulan penyiaran karikatur terbabit "yang dianggap menghina dan mengguris perasaan umat Islam."

Shamsul Najmi Shamsuddin, pengerusi Biro Agama Pemuda Umno, dalam kenyataannya berkata "walaupun kartun itu tidak mempunyai sebarang lakaran karikatur atau objek Nabi Muhammad, ia mengandungi kata-kata yang sinis dan penuh sindiran."

Kemas kini terakhir 9:20 malam 22 Feb 2006

9 comments:

Anonymous said...

jadi subjektif pulak dah....

Anonymous said...

What the NST says

[Feb 22 2006, New Straits Times]

WHAT do you see in this cartoon? Does it mock Prophet Muhammad (peace be upon him) as suggested by Berita Publishing editor-in-chief Datuk Abdul Kadir Jasin in an SMS to New Straits Times Press group editor-in-chief Datuk Hishamuddin Aun yesterday morning? Or as echoed later by Kadir’s columnist in his Malaysian Business, Jeff Ooi, shortly after that on his blog?

---------------------------------
Foto kartun yang kontroversi (bagi sebilangan orang) disiarkan kembali di sini, di halaman dua NST hari ini)
---------------------------------

Does it mock Islam? So say Kadir, Ooi and the ones who lodged police reports against the NST yesterday.

What is the difference between the NST and Sarawak Tribune and Guang Ming Daily, which were both suspended?

The difference is that they carried the caricatures — whether blurred or whether as pictured in someone reading a newspaper — which, in Islam, is offensive and wrong; and which is why the Muslim world took offence at the caricatures published first in Danish and European newspapers.

If this cartoon were to mock Islam and the Prophet, then, certainly, the newspaper that publishes it, in this case the New Straits Times, its executives responsible should be held accountable. Just as the editors and publishers of the Sarawak Tribune and Guang Ming were held accountable.

But before we get caught up in the violent wave that has swept some parts of the Islamic world and which, by the grace of Allah s.w.t. has not affected either Malaysia or Indonesia, we should ask ourselves whether the attacks on the NST are out of genuine concern for the multi-racial and multi-religious fabric of the country and the image of Islam, or whether there are politics and other personal vendettas involved.

As far as Kadir and Ooi are concerned, one only has to read the back issues of Malaysian Business and previous postings on the blog to see how doggedly they have, as comrades-in-arm, attacked the NSTP Group and its executives.

We want to defend the freedom that we crave to report as freely as we can; and Kadir and Ooi have exploited this freedom to the fullest. Glory to them.

But there are also others, some more powerful, who have had their crosshairs sighted on the unyielding editors of the group. Because, simply, these editors have tried to be as professional as possible, to give their readers the news as objectively as possible. And when the truth gets reported, some get hurt. The powerful ones will seek to protect themselves with whatever means at their disposal.

Therefore, the issue we have to decide here is whether the cartoon has transgressed the limits; whether it has crossed the boundaries, and whether it has insulted Islam and the Prophet.

If it has violated all these principles, then the Government must hold the NST and its editors accountable because no one nor any newspaper should get away with insulting ANY religion.

But at the same time, let us ponder the fundamental issue — do we continue to be a society where a vocal few, with personal vendettas and less than honourable motives, can whip up sentiments and make the innocent guilty?

What are we saying of our own selves and our country if we allow people with personal motives to capitalise on religious and racial sensitivities to victimise others?

Unknown said...

walaupun tiada unsur penghinaan, ternyata mereka tidak sensitif.
bagai menambah garam di luka..

Anonymous said...

Pemuda PAS tolak penjelasan NST, tuntut permohonan maaf terbuka
Wed | Feb 22, 06 | 05:19:13 PM

KUALA LUMPUR, 22 Feb (Hrkh) - Pemuda PAS menolak penjelasan akhbar New Straits Times hari ini dengan menyifatkannya sebagai satu yang tidak meyakinkan.

Sehubungan itu, Ketuanya, Salahudin Ayub menuntut supaya Pengarang akhbar berkenaan memohon maaf secara terbuka kepada umat di negara ini atas penyiaran kartun yang tidak bertanggungjawab itu.

Satu surat menuntut perkara berkenaan telah ditunjukkan oleh Salahudin kepada media dalam sidang akhbarnya hari ini.

"Jika tidak ada permohonan maaf terbuka, kami akan berdemo di depan pejabat NST Jumaat ini," kata Salahudin.

Semalam akhbar NST menyiarkan kartun yang disifatkan sebagai menyindir usaha membela penghinaan terhadap Nabi dan bagi Pemuda PAS kartun itu menghina Nabi.

Beberapa pertubuhan termasuk Pemuda PAS membuat laporan polis mengenainya.

Laporan polis

ABR melaporkan, Salahudin menyifatkan akhbar New Straits Times (NST) mengancam keselamatan negara dan berniat jahat apabila menyiarkan kartun berkaitan karikatur kontroversial mengenai Nabi Muhammad s.aw.

"Perbuatan menyiarkan kartun itu juga boleh mengancam keselamatan negara kerana ia berunsur hasutan dan akan memecah belahkan perpaduan di negara ini," kata Ketua Dewan Pemuda PAS Salahuddin Ayub ketika ditemui selepas membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi.

Akhbar itu menyiarkan kartun yang dilukis Willie Miller di muka surat lapan dalam ruangan "coffee break". Kartun itu menggambarkan seorang pelukis karikatur sedang duduk menunggu pelanggan sambil melukis sesuatu di atas kertas.

Salahuddin mengganggap kartun yang disiarkan oleh akhbar berkenaan sengaja mempersendakan isu yang dianggap sensitif dan merupakan satu penghinaan terhadap masyarakat Islam seluruh dunia.

Pengarah Latihan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Izham Nayan berkata penyiaran kartun itu menunjukkan akhbar itu berniat jahat untuk menghina agama Islam sebagai agama rasmi Malaysia, menghina umat Islam, tidak menghormati perlembagaan negara dan biadab.

"Kita mahu editor akhbar ini diambil tindakan sewajarnya," tegas beliau.

Selain Pemuda PAS dan PPIM, turut membuat laporan polis ke atas NST ialah Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) yang bergabung di bawah Majlis Angkatan Permuafakatan NGO-NGO Malaysia (Mapan).

Bendahari Agung GPMS Azan Ismail berkata akhbar berkenaan cuba menguji sensitiviti orang Islam di negara ini dengan menyiarkan kartun itu malah mencabar arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, agar tidak menyiarkan karikatur yang menghina Nabi.

Anonymous said...

dari laman web Bernama (edisi BM), sila baca berita berikut (22 Februari, 2006 19:18 PM):

Tak Bijak, Kata Zam Mengenai Langkah NST Siar Lagi Kartun Dianggap Hina Nabi Muhammad

KUALA LUMPUR, 22 Feb (Bernama) -- Menteri Penerangan Datuk Zainuddin Maidin menyifatkan sebagai tidak bijak dan satu provokasi langkah akhbar The New Straits Times menyiarkan semula hari Rabu kartun yang dianggap sebagai mempersenda Nabi Muhammad SAW.

Beliau berkata kabinet dalam mesyuaratnya hari Rabu telah membuat keputusan mengenai perkara itu dan ia akan diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Menteri Keselamatan Dalam Negeri sekembalinya Rabu malam daripada lawatan ke Australia.

Kartun yang pertama kali disiarkan oleh akhbar itu Isnin lepas tidak mengandungi lukisan Rasullullah tetapi memaparkan seorang pelukis duduk bersebelahan satu papan notis bertulis "Caricatures of Muhammad While You Wait". Beberapa badan bukan kerajaan dan PAS telah membuat laporan polis mengenai kartun itu.

Zainuddin berkata anggota kabinet termasuk yang bukan beragama Islam menyatakan kesal terhadap tindakan akhbar itu.

"Ini merupakan satu tindakan tidak sensitif terhadap agama Islam yang melarang sama sekali sebarang perkataan, ucapan, tindakan, kelakuan dan seumpamanya termasuk menerusi lukisan yang mempunyai unsur menghina dan mempersenda-sendakan seseorang, apatah lagi persendaan itu dimaksudkan kepada Nabi Muhammad SAW," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri mesyuarat kabinet pertamanya setelah dilantik Menteri Penerangan dalam rombakan kabinet 14 Feb lepas. -- LAGI

Anonymous said...

sambungan berita Bernama di atas...

Zainuddin berkata beliau berasa sedih kerana NST sebagai akhbar terkemuka di negara ini sepatutnya lebih bertanggungjawab dan tidak menimbulkan provokasi yang tidak diperlukan itu yang ternyata tidak sensitif terhadap perasaan umat islam.

Malah, katanya, tindakan itu juga bertentangan dengan arahan Perdana Menteri yang telah beberapa kali menasihati pihak media supaya berhati-hati menangani isu itu serta melarang sebarang penyiaran sama tulisan, gambar atau kartun yang menghina Rasullullah SAW.

Sebelum ini kerajaan menggantung akhbar berbahasa Inggeris, Sarawak Tribune, kerana menyiarkan semula karikatur Nabi Muhammad SAW yang pertama kali disiarkan oleh sebuah akhbar Denmark sehingga menimbulkan kemarahan umat Islam seluruh dunia. Akhbar berbahasa Cina, Guang Ming, digantung selama dua minggu kerana menerbitkan gambar orang membaca surat khabar yang menunjukkan karikatur itu.

Zainuddin berkata kartun terbitan NST itu mungkin tidak menyiarkan secara langsung karikatur mengenai Nabi Muhammad tetapi mesej yang disampaikan ternyata mampu menyinggung perasaan umat Islam di negara ini serta menimbulkan perasaan rasa kurang senang di kalangan masyarakat bukan Islam.

Katanya beliau menerima banyak panggilan dan SMS daripada orang ramai yang marah dan tersinggung dengan perbuatan akhbar itu.

"Tafsiran terhadap kartun itu adalah pelbagai tetapi tidak semua orang mempunyai keupayaan untuk mentafsirkan kartun itu secara intelektual," kata Zainuddin.

"Bila dah tahu timbul kemarahan orang ramai, NST patut lebih sensitif."

Beliau berkata media yang bertanggungjawab sepatutnya akan berperanan untuk menenangkan suasana dan bukannya menambah ketegangan.

-- BERNAMA

Anonymous said...

22 Februari, 2006 21:45 PM

Dua Pegawai NST Dipanggil Beri Keterangan Isu Siaran Kartun

JITRA, 22 Feb (Bernama) -- Kementerian Keselamatan Dalam Negeri telah memanggil dua pegawai New Straits Times Press (NSTP) hari Rabu untuk mendapatkan penjelasan mengenai penyiaran kartun dalam akhbar itu yang dianggap mempersendakan Nabi Muhammad SAW.

Mereka yang dipanggil itu adalah Ketua Pengarang dan seorang editor, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Mohd Johari Baharom, tanpa menamakan kedua-duanya.

"Laporan akan diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selaku Menteri Dalam Negeri, dan sebarang tindakan akan bergantung kepada keterangan pengarang akhbar itu serta laporan pegawai kementerian," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan wang ehsan kerajaan kepada 92 orang petani mangsa banjir Disember lepas di pejabat MADA GII di sini, Rabu.

Pada Isnin lepas dan hari ini, akhbar itu menyiarkan kartun yang sama. Ia tidak mengandungi lukisan Rasullullah tetapi memaparkan seorang pelukis duduk bersebelahan satu papan notis bertulis "Caricatures of Muhammad While You Wait". Beberapa pihak telah membuat laporan polis mengenai kartun itu.

"Mungkin esok (Khamis) kita akan mengetahui hasil laporan oleh pegawai kementerian untuk diserahkan kepada Menteri Dalam Negeri," kata Mohd Johari yang juga anggota Parlimen Kubang Pasu.

Beliau menasihatkan pihak media supaya sentiasa berhati-hati dan sensitif terhadap perkara yang menyentuh apa jua agama.

Mohd Johari, yang baru dilantik ke jawatan itu bersama seorang lagi Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Fu Ah Kiaw, dalam satu rombakan kabinet minggu lepas, berkata beliau akan bertanggungjawab terhadap Polis Diraja Malaysia, Agensi Dadah Kebangsaan dan percetakan Al-Quran.

"Saya akan mengambil kesempatan ini untuk memulihkan semangat anggota pasukan keselamatan yang menghadapi banyak tekanan akibat tindakan pihak-pihak yang tidak berpuas hati dengan mereka," katanya.

Beliau meminta orang ramai menilai sumbangan anggota polis dengan melihat sejarah perjuangan pasukan itu yang terpaksa melakukan banyak pergorbanan demi menjaga keselamatan negara.

-- BERNAMA

Anonymous said...

NST terjerat dalam jala yg ditebarkannya sendiri.

Memang benar cakap org... jerat tak pernah lupa pelanduk.

Sekarang mana mau lari....

Anonymous said...

ini semua mainan politik yang dangkal... pas dan Zam (menteri penerangan) dah sama-sama bersatu hati dalam isu ini. Tahniah pas kerana mengukuhkan cengkaman Zam sebagai wakil mahathir yang akan menggempur Pak Lah sendiri. Akhirnya, kartun tetap kartun, dan orang tak nampak, pelaku kezalimanlah yang akan menang, atas nama Nabi dan Islam!!!