Pada awalnya saya berniat mengulas bab-bab 6 'The significance of the Reformasi movement' dan 8 'Conclusion: Insights, implications and extensions' dalam buku Meredith Weiss,
Protest and Possibilities.
Ya, sebagai memenuhi janji saya untuk menyambung diskusi bawah tajuk '
Reformasi' (2 Februari) di blog ini.
Tetapi tiba-tiba saya terkesan dengan pesanan ringkas (SMS) dua teman, seorang bertugas di sebuah akhbar harian utama dan seorang lagi dari luar negara. Kedua-duanya bercerita hal yang berdekatan -- anak muda, diskusi dan penyediaan struktur.
Biarlah saya berterus-terang sedikit di sini bahawa kerja sukarela anak muda memang memerlukan fokus, kerjasama erat, stamina dan idealisme yang padu. Struktur memang diperlukan.
Tetapi ada "keganjilan" dalam dunia aktivisme, sama ada parti politik, gerakan siswa Islam (cabang gerakan Islam seperti JIM atau Abim), badan bukan kerajaan (NGO) atau perkumpulan lain anak muda.
Saya mujur dapat mengamati gejala ini agak lama, 20 tahun, dan merentas era-era ketegangan politik dan ragam-ragam kelompok yang panjang, bermula daripada pejabat Aliran Kesedaran Negara (Aliran) yang sepi kecuali dipenuhi orang tua kepada 'Universiti Bangsar Utama' (UBU) yang kemudaannya terlalu rancak atau Open Dialogue Center (ODC) yang setahun jagung.
Saya menghidu gerak-gerak anak muda Islam, Cina, kampus, NGO, orang seni dan kelompok media (kecil). Saya menghidu keganjilan itu.
Keganjilan tersebut bermula pada tipisnya semangat kesukarelaan (volunteerism) untuk berdikari sendiri tetapi mampu memberi dampak kepada masyarakat.
Kesukarelaan menjadi "paradoks" apabila sering dikaitkan dan diterjemahkan dalam struktur, sama ada separuh rasmi atau rasmi. Kononnya, harus ada wang, harus ada organisasi dan pejabat serta kelengkapannya, harus ada penaung (patron) atau penyumbang dana (funder), harus ada ruang fizikal (pentas atau bilik) -- barulah anak muda berjaya melancarkan gerakan idealisme mereka!
Bohong! Bohong! Sudah terlalu banyak struktur dibangunkan untuk kerja-kerja ini tetapi semuanya gagal berkembang, gagal dikembangkan, malah gagal dimanfaatkan. Malah, kepada organisasi besar seperti gerakan Islam, atau persatuan belia dan Umno, menjadi mala petaka besar. Lihat dua
ulasan saya di sini.
Kami, teman-teman dan saya dalam kelompok Komunite Seni Jalan Telawi (KsJT), pernah 'bekerjasama' dengan beberapa penulis yang dekat dengan Persatuan Penulis Nasional dulu (2004) tetapi Rumah PENA menjadi 'barang mati' yang digentayangi oleh hantu-hantu atau orang tua-tua (termasuk yang muda-muda) yang telah kering sumur idea dan idealisme mereka.
Yang "kerancakan berfikir" mereka (pinjam ungkapan Nakhaie Ahmad di koran
Harakah 1988 sebelum tokoh ini meninggalkan parti tersebut) sudah sinonim dengan melancap bini! Yakni, syok sendiri dan bergegas-gegas mengisi waktu dan ruang kerana struktur yang besar akhirnya menuntut pengisian.
Persoalan saya, kenapa kita bergegas-gegas mengisi ruang yang dibentangkan oleh struktur, seperti jadi "pahat dengan penukul" atau "selepas terantuk, baru tengadah"; bukankah asal-asalnya struktur, awal-awalnya, dibentuk untuk menampung idealisme yang besar?
Kini seorang teman, lewat SMS-nya itu, mengundang kami (termasuk anak-anak muda lain) memanfaatkan sebuah ruang di sebuah badan kerajaan. Katanya, seorang tokoh penulis mengundang anak-anak muda berdiskusi.
Ya, saya sentiasa alu-alukan peluang dan ruang seumpama ini. Tidak pernah teman-teman KsJT dan saya enggan bekerjasama dengan pihak-pihak lain, sama ada agensi luar negara, kelompok kecil, tokoh muda, agensi kerajaan atau media (sama ada arus sisi atau arus perdana).
Tetapi cuba kita (semua kita) merenung lebih jauh dan mendalam. Idealisme dan aktivisme anak muda -- khususnya jenis manusia yang berurusan dengan 'idea' -- sebenarnya bermula dengan apa?
Struktur, wang dan ruang fizikal yang menjadi pokok pangkal daya gerak anak muda? Atau, semangat yang tebal untuk berfikir, merenung, berbuat sesuatu untuk menyumbang kepada masyarakat? Stamina yang luar biasa untuk mengharung beban manis idealisme? Atau apa?
Tolonglah, jangan berbohong dengan saya dalam soal ini. Setiap struktur, organisasi atau 'institusi' sosial ada bentuk-bentuk kekangannya.
Ini semua sebagai 'wahana' (kalau tidak mahu disebut 'alat' atau 'jalan') menyempurnakan idealisme. Ia bukan tujuan dan bukan medan pencetus idea, bukan pembakar idealisme! Semua ini, baik yang dekat dengan pemerintah atau NGO, sebetulnya ruang buat duit tetapi berselindung di sebalik nama 'perjuangan' atau 'idea' atau 'idealisme'!
Tidak perlu bertopeng dengan mendung kata-kata. Supaya besok pagi, apabila mata terbuka, dan mulut anak menganga, ada secawan susu dan sekeping roti untuk sarapan.
Maksud saya, kenapa kita harus terbelit dan dibelit dunia
paid voluteerism (kesukarelaan berbayar) atau
salaried activism (aktivisme bergaji)? Yang mana lebih mustahak, asal-asalnya, kesukarelaan atau bayarannya?
Kalau kita tidak cermat, akhirnya tanpa bayaran, kita tidak akan bergerak; malah celaka lagi, dengan gaji sekali pun, kita gagal menghidupkan ruh aktivisme. Struktur akhirnya menjadi matlamat -- matlamat akhir, atau matlamat peribadi semata-mata, bagi orang yang mengepalai struktur.
Ya, tidaklah salah struktur, dana asing, penaung, organisasi dan ruang fizikal. Tetapi jangan sekali-kali kita kelam-kabutkan persoalan idea dan idealisme dengan 'wahana' idea dan idealisme.
Jangan kita kabur melihat medan idea bergolak dan bergejolak; medan pertarungan idea. Apakah pokok pangkal persoalan masyarakat kita sendiri?
Pada bab 'Cinta anak muda', buku
Patah Balek: Catatan terpenting reformasi (muka surat 46-49), saya telah bahaskan keupayaan (dan tidak keupayaan) anak muda untuk serius berwacana (wacana dengan erti "diskusi serius yang penuh keresahan idea"; beban idealisme yang difikir berulang-ulang secara jujur, luas dan
authentic).
Kita menulis bukan kerana ada media (atau memiliki dua tangan)! Kita menulis kerana ada keghairahan berkongsi pandangan. Kita mencari dan mencipta media kerana keghairahan ini, apabila ada keinginan tebal untuk menyampaikan idealisme. Biar ditarik permit, biar perundangan melarang, biar pun tidak berbayar, walau tanpa pengiktirafan, kalau mahu kita teruskan juga menulis!
Kita berdemonstrasi bukan kerana keseronokan di tengah-tengah orang ramai. Kita berdemonstrasi kerana ia, kita anggap, satu proses halal dalam berpolitik,
legitimate political process, untuk menyampaikan idealisme. Biar dipandang salah oleh aparatus negara, oleh undang-undang, biar si pengecut tidak hadir, tetapi kita tetap melawan.
Aktivisme, atau sebelumnya idealisme, bukan
ritual orang-orang suci,
holier than thou, untuk memuaskan sejenis upacara manusia ganjil yang kadang-kadang perasan sebagai 'makhluk terpilih',
selected few, daripada cebisan masyarakatnya!?!
Bab 'Kemelut media' dalam buku yang sama (halaman 98-101), saya mempertikaikan konsep dan jeritan kebebasan akhbar yang dilaung-laungkan kita bersama. Kebebasan ini datangnya kerana kita ghairah bersuara (melalui teks, imej) atau kerana adanya ruang yang bebas daripada tekanan (kerajaan)?
Jawapan saya, selepas meninjau beberapa perkembangan di negara lain dalam tempoh-tempoh sejarah tertentu, kita tidak harus menunggu-nunggu ruang seperti menadah tangan mengharapkan jatuhnya
al-manna wa salwa, Imam Mahdi atau Ratu Adil! Kita mencipta
imam mahdi, pemimpin yang diberi petunjuk, kita sendiri.
Kritik saya: kenapa aktivis sendiri (
maksud saya, aktivis yang beriya-iya melawan kerajaan dan ingin mencipta sosok negara menurut model kegemaran mereka) tidak rancak menulis, tidak ghairah membaca dan mendiskusikan buku (atau, idea-idea); tidak tajam analisanya tetapi hanya sekadar menyalak-nyalak tentang halangan-halangan yang diciptakan kerajaan?
Selepas memerhatikan gerakan budaya, intelektual dan politik di serata dunia di sepanjang zaman; sama ada era Renaissance Itali atau kelompok
Barranquilla-nya si Marquez (Gabriel Garcia); sama ada era Pencerahan Eropah atau gerakan pan-Islamisme Abduh dan
Al-Manar; sama ada
Al-Imam-nya Syed Syeikh Alhadi atau kelompok anak muda Mohamad Hatta-Sutan Sjahrir (di Eropah dan di tanah air); sama ada
Komunitas Utan Kayu di Jakarta atau gerakan siswa Bangkok (menentang regim tentera).
Apakah signifikannya model-model ini?
Idea dan idealisme anak muda mesti tulen membuak-buak, mestilah lebih besar, kaya, kemas dan tebal daripada struktur, wang, pejabat, kelengkapan, ruang fizikal dan organisasi. Idea dan idealisme inilah yang menjadi
dynamo atau bahan api (
bukan bom, ya!) bagi menggerakkan struktur, wang, pejabat, kelengkapan, ruang fizikal dan organisasi; bukan sebaliknya.
Perubahan, atau sebuat sahaja reformasi, bukan kerja mengurus alat atau benda mati; ini kerja mengurus manusia, mengendalikan ragam pluralisme ego dan kepedulian masing-masing. Jangan mudah memperkudakan orang, seolah-olah mereka ini sejenis benda.
Sesiapa yang tidak bersedia dengan hukum ini (yakni: "idealisme harus lebih besar daripada format bergerak") hanya berminat dengan wang, glamor, mencari jalan pintas, orang-orang (di sawah) yang nampak hebat tetapi ... (sudahnya) sejarah yang akhirnya menentukan.
Idealisme menentukan pentas; bukan sebaliknya. Malah, tanpa pentas, idealisme menciptakan pentas baru.
Idealisme boleh bebas mengalir dan mencari bentuknya sendiri -- apabila ia diempang sepadu-padunya. Manusia menjana kuasa elektrik bukan kerana adanya empangan, tetapi kerana adanya air -- sewaktu arus kecil ia kelihatan sungai mengalir lesu (macam novel Pak Samad), tetapi apabila luas menjadi tasik dan apabila lebih besar tiba-tiba bertukar bah besar!
Kita tidak hidup kerana terkeluar dari celah peha ibu kita; kita hidup kerana kita mahu terus hidup. Kita sentiasa masih ada pilihan -- untuk tidak hidup. Jika mahu hidup, kita mesti ada ghairah. Mesti ada ada mimpi, mesti ada impian yang dalam, "
I have a dream," kata si Luther (dipinjam dari wacana berapi-api teman saya,
Buddhi Hekayat).
Bagi sebilangan anak muda, kita hidup kerana kita yakin boleh mencipta sejarah dan mencatat nama pada ingatan manusia-manusia masa depan -- yang mungkin saat ini ibu dan bapanya belum bertemu wajah, apatah lagi bersatu tubuh.
Freedom does not begin when parents are rejected or buried; freedom dies when parents are born --- Milan Kundera,
Life is Elsewhere (1990: 121)